Wednesday, July 27, 2011

Halal-haram: Antara hukum, perlaksanaan dan implikasi

Pengenalan

  • Sehingga kini, bukanlah sekali dua masyarakat Islam di Malaysia disajikan dengan isu berkaitan halal dan haram. Setelah isu kopitiam menyajikan kopi bercampuran babi, kita juga disajikan dengan isu bir halal. Nampaknya, isu ini merupakan satu isu malar segar setelah kebangkitan apa yang penulis sifatkan sebagai kesedaran halal (halal conscious) dalam artikel terdahulu.
  • Menjelang masa, sudah tentu akan ada pelbagai lagi isu berkaitan halal haram sehinggakan ada kemungkinan kita akan hanyut dek soal hukum dalam membicarakan agama Islam. Sedangkan paradigma Islam itu sendiri begitu luas sehingga menjadikan "Islam sebagai cara hidup" kekal menjadi retorik kosong kerana tumpuan lebih menjurus kepada hukum itu dan ini dan sedikit pula kita memperkatakan soal akidah yang menjadi tunjang kepada agama Islam itu sendiri dan ihsan yang menjadi tonggak tingkah laku, adab dan akhlak.
  • Sampaikan mana masalah akidah, mana masalah furu' hukum dan ibadah pun dicampur adukkan. Ada blogger yang menulis berkaitan satu siri drama di televisyen swasta yang dikatakan menghina wanita yang berburqa sehingga menuduh siri tersebut memesongkan akidah. Isu menghina wanita berburqa memanglah sesuatu perkara yang sangat berat namun tidaklah sampai ke tahap memesongkan akidah!
  • Selain itu, ada juga perkara berkait halal-haram yang lebih kepada isu penggunaan bahasa berbanding hukum itu sendiri. Ada juga perkara berkait halal-haram yang mana perbezaan pendapat perlu diraikan bagi membolehkan kehidupan menjadi lebih terurus dan mengelakkan kesulitan lantaran ada pendapat yang terlalu ketat dan ada pula yang terlalu longgar.
  • Oleh sebab itu, berlapang dada dalam menerima pendapat adalah dituntut sedangkan permasalahan yang ditimbulkan lebih berbentuk furu' malah mempunyai lebih banyak alternatif berbanding perkara-perkara usul yang lebih-lebih lagi berhak dipelihara.
Isu bahasa dan hukum
  • Isu berkait bir halal yang begitu hangat digembar-gemburkan oleh media massa terkini sebenarnya perlu juga dilihat daripada sudut penggunaan bahasa. Pada hemat penulis, bagaimanakah sesuatu minuman yang haram itu diletakkan entiti halal pada hujung namanya? Misalnya bir - bagaimana boleh jadi halal sedangkan satu dunia sudah meletakkannya sebagai minuman beralkohol yang memabukkan?
  • Jadi kembali semula kepada isu, kenapa kalau minuman itu tidak memabukkan hendak dinamakan bir? Adakah sifat-sifat bir itu ada namun alkoholnya ditiadakan, maka bir itu menjadi halal? Sedangkan dari segi bahasa, bir (beer) adalah merujuk kepada minuman beralkohol yang akan mendatangkan kesan memabukkan andai diminum secara banyak. Jadi, dari situ sahaja sudah boleh disimpulkan bahawa bir tidak akan sama sekali bertukar status daripada haram kepada halal!
  • Masalah kita pada masa kini adalah terlalu terikut-ikut sangat hendak memberikan atribut halal kepada sesuatu yang telah sedia haram. Sebab itu minuman berasaskan malt tersebut dipanggil 'bir halal' sedangkan dari segi bahasanya bir tetap haram. Kita sewenang-wenangnya menggunakan perkataan yang pada asalnya bermaksud makanan dan minuman yang haram, lalu diletakkan atribut 'halal' bagi mengaburi pengguna Islam membeli makanan/minuman tersebut. Sebab itu ada kita dengar 'ham halal' dan 'bacon halal' sedangkan pada asalnya kedua-duanya diperbuat daripada daging babi.
  • Oleh sebab itu, bahan makanan dan minuman yang diubah daripada resepi asal (daging babi tukar kepada daging ayam misalnya) selepas itu dinamakan pula dengan nama yang mana pada asalnya merujuk kepada makanan atau minuman yang mempunyai sumber yang haram (bir, wine, bacon, ham) namun diletak pula perkataan 'halal' bagi menarik minat pelanggan muslim membelinya.
  • Pada pandangan penulis, trend sebegini sepatutnya dikekang kerana sudah pasti keadaan sebegini akan menimbulkan kegelisahan dan kekeliruan kepada umat Islam. Maklumlah, teknik pemasaran sebegini akan melariskan jualan kerana sudah pasti ada sahaja orang yang teringin makan dan minum makanan yang pada asalnya 'haram' tapi kini dibuat 'halal.'[1] Selain penggunaan istilah yang salah, syubhah akan timbul dek kerana pencampuran nama haram dan halal sehingga mewujudkan rasa kurang senang umat Islam. Kita tak mahulah 'bir yang halal,' apabila dibuat ujian kimia ternyata haram kerana ada kandungan alkohol berlebihan. Perkara tersebut merupakan satu pengkhianatan terhadap hukum-hakam Islam dan apabila hukum Islam dikhianati maka bersedialah menghadapi balasan Tuhan!
  • Kita tidak mahu institusi sosial umat Islam sentiasa berada dalam keadaan ragu-ragu disebabkan isu-isu yang sebegini kerana akan merencatkan perkembangan ekonomi Islam itu sendiri. Alangkah elok andai gelaran bir halal itu ditukar sama sekali dengan menggunakan perkataan yang tidak membawa konotasi haram. Begitu juga dengan ham dan bacon; sungguh pun nama mungkin tidak vogue kedua-dua itu, adalah lebih elok dinamakan seperti chicken slice atau smoked beef.
Rokok: Halal, haram atau makruh?
  • Pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan baru-baru ini menyuarakan kekesalan beliau tentang umat Islam yang masih lagi merokok sedangkan dua buah negeri di Malaysia [2] telah mewartakan bahawa rokok itu haram. Rokok dilihat sebagai satu duri dalam daging yang membawa kepada permasalahan yang lebih besar dalam diri seseorang seperti masalah kesihatan, masalah kewangan dan bagi yang lebih teruk, mungkin menjurus kepada masalah penagihan dadah seperti ganja.
  • Selain itu, sebelum ini pun, Sahibus Samahah Tuan Guru Datuk Nik Aziz Nik Mat pernah menyamakan perokok sebagai "lebih teruk daripada lembu" kerana lembu tidak dikurniakan akal membezakan baik buruk sebaliknya manusia dikurniakan akal yang boleh membuat pertimbangan positif dan negatif. Kesemua ini menjurus kepada satu kesimpulan yang hampir serupa iaitu rokok merupakan sesuatu yang negatif dan harus dihindarkan.
  • Penulis semasa zaman mudanya (i.e. lebih muda daripada masa sekarang ini) juga pernah membuat pendirian bahawa rokok itu patut hukumnya haram. Ramai dikalangan rakan penulis (yang merokok mahu pun yang tidak) yang tahu benar dengan 'ketegasan' penulis pada ketika itu. Bagaimanapun, setelah kita bertambah dewasa, didedahkan dengan itu dan ini, barulah kita faham mengapa kita sepatutnya dan sebenarnya tidak boleh sewenang-wenangnya membuat hukum itu dan ini kerana setiap hukum mestilah ada perlaksanaan dan implikasinya.
  • Soal keluar hukum merupakan satu hal, akan tetapi bagaimanakah perlaksanaannya dan kesannya kepada rakyat? Perkara ini yang seharusnya lebih ditekankan oleh badan yang berkuasa dan pihak berkepentingan. Jangan kita menghukum itu dan ini tetapi kita tidak laksanakan. Kalau tidak dilaksanakan, apakah yang akan terjadi kepada hukum tersebut? Adakah sekadar terpahat di atas kertas, akta dan enakmen itu dan ini tetapi masyarakat masih tidak mengambil pusing hal tersebut. Atau sudah kata perkara itu haram, orang Islam masih lagi bebas membelinya dengan mudah?
  • Bagi Pok Nik pula, Pok Nik kena sedar yang tembakau merupakan antara sumber pendapatan terbesar negeri Pok Nik. Kalaulah ibarat menghisap rokok itu lebih bangang daripada lembu, maka apakah pula ibarat mereka yang menanam, memproses, mengedar, menjual dan mendapat hasil daripada penanaman tembakau tersebut? Bagaimanakah pula ibarat kerajaan negeri yang membolehkan penanaman tembakau tersebut berlaku dan menjadi sumber pendapatan rakyatnya? Lebih teruk daripada baghal agaknya?
  • Mungkin penulis pernah ceritakan sebelum ini, penulis pernah ditemu duga (nak dapat kerja kerajaan di Kementerian Kesihatan), penemuduga bertaraf Datuk itu bertanya adakah kempen berhenti merokok berjaya (ketika itu, rokok 10 dan 14 batang masih dijual) lalu penulis nyatakan memanglah ada kesannya tetapi tidaklah dapat dilihat secara total. Orang masih membeli rokok walau harga semahal mana (ketika itu masih harga RM5-8 sekotak 20 batang). Lalu ditanya penemuduga, 'apakah cadangan anda bagi mengatasi masalah ini.' Dengan selamba penulis jawab, 'kita haramkan sahaja rokok di pasaran, justeru orang tidak boleh menghisap lagi.' Kenyataan yang kedengaran naif ini dijawab oleh si Datuk, 'Eh, mana boleh kita haramkan?! Nanti akan timbul soal penyeludupan. Bagaimanakah pula dengan sektor pekerjaan? Pekerja yang kerja di kilang rokok itu bagaimana hendak cari kerja? Akan terjejaslah salah satu sumber pendapatan ekonomi negara.' Penulis gagal dalam temu duga tersebut.
  • Nah, sekarang barang ditanya, mengapakah rokok itu tidak diharamkan? Jawabnya, 'sebab ekonomi, sebab pekerjaan.' Sedangkan banyak sekali tujuan pengharaman tersebut menjurus kepada soal kesihatan dan pembaziran. Kalau waktu 'dihalalkan' ini pun dengan harga yang sebegitu mahal sekotak, penyeludupan masih ada; adakah tatkala diharamkan tidak berlaku penyeludupan?
  • Mengeluarkan hukum itu satu perkara, perlaksanaan itu satu perkara lain. Apalah ertinya hukum kalau tiada perlaksanaan? Kalau rokok benar-benar dihukumkan haram, sudah semestinya penguatkuasaan patut dilaksanakan. Rokok tidak boleh dijual kepada orang Islam. Rokok hendaklah dilesenkan dan hanya yang bukan Islam sahaja yang boleh menjualnya. Sumber pendapatan daripada rokok (termasuk tembakau) juga hukumnya haram. Tidak boleh diterima zakat orang yang menanam tembakau kerana ternyata hukum menanam tembakau pun sudah jadi haram! Tembakau lebihlah lagi tidak boleh diterima zakatnya kerana tiada manfaat besar yang lain selain membuat rokok berbeza dengan beras, gandum, barli kerana sungguh pun boleh dibuat arak, tanaman itu sebenarnya merupakan makanan ruji yang boleh dimakan - jadi terpulang kepada asal tanamannya untuk dibuat apa. Adakah kerajaan dan jabatan agama sudah bersedia menguatkuasa sampai ke tahap itu?
  • Satu lagi isu yang timbul adalah tanggungan pemerintah. Tatkala kita mengeluarkan fatwa sesuatu itu menjadi haram, sesuatu fatwa itu hendaklah dipatuhi sebagaimana hukum agama yang lain. Pemerintah yang seharusnya memastikan agar hukum itu dipatuhi. Kalau rakyat tidak mematuhinya, pemerintah perlu membuat penguatkuasaan. Kalau pemerintah tidak membuat penguatkuasaan, dosa melanggar hukum itu jatuh kepada siapa? Kalau diikutkan hadis nabi, 'cegahi kemungkaran dengan tanganmu' [3] yang mana 'tangan' itu ulama menafsirkannya sebagai 'dengan kuasa.' Jadi tanggungan tersebut jatuh kepada pemerintah! Memanglah dosa sendiri-sendiri yang tanggung; tetapi yang keluar fatwa itu autoriti agama. Lalu kalau fatwa dikeluarkan tapi tidak ada yang menghormatinya, autoriti agama sendiri tidak mahu melaksanakannya (dengan sendirinya tidak menghormatinya) apakah hukum-hakam yang hendak diputuskan? Dosa ditanggung oleh siapa?
  • Sebab itulah soal fatwa halal-haram ini tidak boleh dibuat main-main. Mesti jelas dan mesti difahami semua orang. Bukanlah niat penulis hendak memperkecilkan autoriti agama (jabatan agama, jabatan mufti) tetapi hakikatnya, kita tidak mahu soal hukum-hakam ini dipandang remeh sebab apabila kita sudah mengeluarkan fatwa, semua rakyat lingkungan fatwa tersebut wajib mengikutinya. Kalau Selangor sudah keluar dan wartakan fatwa yang rokok itu haram, maka haramlah rokok kepada rakyat negeri Selangor. Jabatan Agama Islam Selangorlah yang harus dipertanggungjawabkan dalam perlaksanaannya. Kalau orang Islam di Selangor menghisap rokok, hukumnya jadi haram lagi berdosa. Perlulah ada hukuman atau kaedah-kaedah yang dilaksanakan bagi membanteras gejala rokok di kalangan umat Islam di Selangor. Misalnya tangkapan, atau pesalah perlu menjalani kursus tertentu untuk kesalahan awal namun kalau tidak berhenti juga, perlulah ada hukuman. Kalau tidak, fatwa itu dipandang enteng dan semakin kerap orang melanggarinya, semakin banyak dosa-dosa yang ditanggung. Kalau penguatkuasaan sudah dibuat, barulah nampak ada usahanya menghormati fatwa. Namun kalau 'habuk pun tarak' institusi agama Islam akan terus dipermain-mainkan dan akan diperkecil-kecilkan sendiri oleh umatnya apatah lagi akan dipandang serong dan negatif oleh yang lain.
  • Sebetulnya, soal rokok ini satu soal yang sangat-sangat rumit sebab penghisapnya bukan sahaja terdiri daripada kalangan orang kebanyakkan, malah orang alim agama pun ada yang menghisapnya. Senario pak lebai hisap rokok di luar ruang sembahyang di masjid bukanlah satu pemandangan yang aneh. Yang berserban besar pun tidak segan silu menghisapnya di hadapan orang ramai. Tok Imam dan Pak Bilal pun ada yang membuat perkara yang serupa. Yang bergelar Ustaz, kadang-kala tumpang sekaki andai 'penuntutnya' berkumpul bercerita sambil merokok. Oleh sebab itu, kalau mereka yang dihormati ini pun tidak berhenti merokok, bagaimanakah agaknya bagi si jahil dan ilmu agama sekadar alif ba ta ini hendak mengikut?
  • Maka, kepada pihak yang berkepentingan, janganlah jadikan hukum-hakam agama ini sebagai barang yang tak laku dan dipandang sepi oleh orang ramai. Martabatkanlah institusi fatwa dengan perlaksananannya sekali; barulah institusi ini akan dihormati. Perlaksanaan bukan bermaksud menghukum sahaja, tetapi perlu ada langkah proaktif bagi memberi kesedaran, membuat penguatkuasaan dan memberi didikan. Nasihatkan pihak pemerintah supaya membuat pengharaman jualan rokok kepada umat Islam kerana sudah dikaji dalil naqli wa aqlinya bahawa rokok itu jatuh kepada hukum haram. Kerajaan pula tak usahlah guna alasan 'ekonomi' dan 'pekerjaan' sebagai sebab tidak boleh mengharamkan penjualan rokok sebab di atas muka bumi Allah yang Maha Penyayang, begitu banyak sekali pintu rezeki yang boleh dicari dan dimanfaatkan. Sinergi antara jabatan agama pula perlu diperkasakan supaya usaha untuk menjadikan autoriti agama di seluruh Malaysia sebagai badan yang dihormati dan disegani akan dapat dicapai.
Kesimpulan
  • Soal halal dan haram dalam bab makanan dan minuman bukanlah satu soal yang boleh dibuat main-main kerana segala makan minum kita akan menjadi darah dan daging kita dan akan memberi kesan kepada seketul daging yang bergelar hati (qalbu). Penulis tidaklah mahu ulas berkaitan dosa pahala, syurga neraka dan balasan seksa orang yang memakan dan minum benda-benda yang haram kerana perbincangan yang begitu ekstensif berkaitan hal-hal begitu banyak sekali dalam buku-buku agama terutamanya berkaitan targhib wa tarhib. Sebaliknya renungkanlah fungsi hati kita yang mana andai baik, baiklah seisi badan dan amalannya dan andai buruk, maka buruklah seisi badan dan amalannya . Dan hati, daging dan darah kita terhasil daripada apa yang kita makan dan minum melalui pengaktifan sel-sel yang tak terbeza sebelum dibezakan menjadi sel bagi tisu, tisu bagi organ dan organ bagi sistem badan manusia.
  • Masyarakat Islam kini menghadapi pelbagai krisis dari sosialnya, politiknya dan ekonominya; apatah lagi dicampur dengan persepsi negatif yang bukan Islam terutamanya Barat terhadap Islam. Kejadian pengeboman dan tembakan rambang yang berlaku di Norway misalnya pantas sekali dikaitkan dengan Islam sedangkan pelakunya merupakan pelampau Kristian. Begitulah buruknya persepsi media barat terhadap Islam. Kesemua ini tidak dapat tidak (inevitable) dapat dikaitkan dengan pelbagai permasalahan yang dikaitkan dengan Islam meskipun agama Islam juga merupakan agama yang paling cepat berkembang pada masa kini.
  • Oleh sebab itu, kita tidaklah mahu jadikan Islam itu hanya ramai pada angka tetapi banyaknya itu sekadar seperti buih lautan di tepi pantai yang setelah menghempas bumi hilang kesemuanya. Kontra dengan pemikiran biasa, penulis berpendapat bahawa kuantiti harus seiring dengan kualiti (berlainan dengan kualiti lebih penting berbanding kuantiti) sebab Nabi SAW sangat bangga umatnya ramai. Apakah cara yang lebih baik untuk meraikan kebanggan Nabi SAW itu melainkan dengan umat yang taat juga kepada perintah Allah dan Rasul-Nya [4]? Justeru dengan landskap sosial dan media yang sedia ada di mana angka menjadi kata bicara, adalah sangat penting untuk menunjukkan yang umat Islam yang benar-benar muslim, mukmin dan muhsin itu ramai dan kesedaran ini sudah pasti akan membangkitkan roh Islami yang lebih kuat bagi menjadi ikutan kepada yang lain.
  • Bagi mencapai hasrat tersebut, tidak dapat tidak, usaha ke arah memartabatkan Islam penting untuk dilaksanakan. Soal halal-haram terutamanya terhadap perkara-perkara baru (pasca-zaman Nabi SAW dan Sahabat) jangan cuma di meja rundingan sahaja sebaliknya hendaklah ditunjuk kenapa halal dan kenapa haram. Perlu dizahirkan kenapa haram? Umat Islam perlu menghormatinya kerana itu adalah hukum. Barulah wujud sebuah masyarakat Islam yang benar-benar menjaga batas halal-haramnya, terhindar dari syubhahnya dan bukan sekadar beria-ia hendak minta fatwa tetapi selepas dikeluarkan, fatwa itu dipandang sepi. Tatkala masyarakat terhindar daripada yang haram atau pun syubhah, barulah kesucian hati itu akan dapat dikembalikan dan Insya Allah, akan berkurang juga masalah sosial, masalah kepimpinan dan pelbagai lagi masalah yang berkait urusan duniawi dan ukhrawi.
  • Akhir kalam, adalah penting untuk umat Islam masa kini kembali semula ke paradigma Islam yang sebenar (berlainan dengan membuat anjakan paradigma sebab kalau nak dianjak, nak anjak ke mana?) kerana Islam itu lengkap[5]. Usaha pengukuhan ekonomi Islam adalah langkah yang baik kerana melalui ekonomi jualah kita mendapat sumber makan minum kita. Kita perlu berdikit-dikit dahulu dalam memperkasakan institusi Islam yang lain seperti mahkamah syariah (jangan asyik dok tangguh kes aja!), majlis fatwa, baitul mal dan pelbagai lagi institusi dengan berterusan supaya hasrat kita mencapai negara yang baik dan maju dengan acuan Islam (baldatun toyyibatun) akan tercapai.
Nota hujung
1. Lebih-lebih lagi, dalam keadaan negara yang hendak mencapai status hub-halal, maka tidaklah seharusnya semua benda yang telah terdahulu haram hendak dibuat jadi halal dengan mengubah asal benda tersebut. Takut-takut satu hari nanti akan dikeluarkan pula produk 'daging babi halal' yang diperbuat daripada daging bukan babi tetapi berperisa babi. Walaupun hukumnya halal, kelihatan seolah-olah umat Islam hendakkan sangat (kemaruk) merasa perkara yang haram dengan cara dihalalkan sedangkan begitu banyak sekali makanan dan minuman di atas muka bumi ini yang halal dan berkhasiat!
2. Dua negeri tersebut ialah Selangor pada 1995 dan Pulau Pinang pada 2004. Rujuk Fatwa Negeri-Negeri Yang Diwartakan, Jabatan Kemajuam Islam Malaysia, 2007, m.s. 133 dan 139.
3. Hadis yang diriwayatkan oleh Muslim menyebut, barangsiapa yang melihat kemungkaran maka hendaklah dia mengubahnya dengan tanggannya, andai tidak mampu hendaklah dengan lisan dan seandai tidak mampu, hendaklah dengan hatinya. Itulah selemah-lemah iman.
4. Firman Allah Taala dalam Surah Ali Imran, ayat 132 bermaksud, Dan taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasul, mudah-mudahan kamu beroleh rahmat.
5. Perkataan paradigma (paradigm) adalah berasal daripada latar belakang pengajian sains yang bermaksud weltanchuung atau pandangan alam. Oleh sebab itu, "anjakan paradigma" adalah perubahan pemikiran sesebuah masyarakat saintifik daripada satu pandangan alam ke pandangan alam yang lain. Perkataan ini telah dipopularkan oleh Thomas S. Kuhn dalam The Structure of Scientific Revolutions (1962) dalam menerangkan mengapakah berlaku perubahan pemikiran masyarakat saintifik terhadap sesuatu isu. Sebagai contoh, perubahan pandangan astronomi geosentrik (bumi sebagai pusat cakerawala) kepada pandangan heliosentrik (matahari sebagai pusat cakerawala). Walaubagaimana pun, andai paradigma itu disifatkan sebagai satu pandangan alam, maka Islam itu sendiri merupakan satu pandangan alam kerana mempunyai sistem, struktur dan organisasinya yang tersendiri yang meliputi kesemua aspek dari segi sains, sosial, pendidikan, ekonomi, politik dan juga hal-hal berkaitan keagamaan. Keterwujudan pandangan alam ini adalah sudah sedia ada dan apa yang penting adalah untuk kita kembali kepada pandangan tersebut sebagaimana firman-Nya, Maka apabila berlaku perbalahan di antara kamu, hendaklah kamu kembali kepada Allah (Al-Quran) dan Rasul (Sunnahnya); jika kamu beriman kepada Allah dan hari Akhirat. Yang demikian itu lebih baik dan lebih elok pula kesudahannya. (Surah An-Nisa', ayat 59).

Sunday, July 24, 2011

TBH: Sampai bila ?

  • Begitu istimewanya kes ini sehingga ada suruhanjaya siasatan diraja yang ditubuhkan; semuanya bagi memenuhi kehendak waris dan mereka yang beria-ia benar menuntut 'keadilan.' Mereka laungkan yang 'rakyat berhak tahu apa yang berlaku.' Walaupun penulis sebagai rakyat tak lah nak berapa tahu tetapi sebab gravitinya asyik bertambah saban hari: jadi buat-buat ambil tahu la juga. Tapi, hendak ambil tahu bukan sebab hendak semata-mata tahu, sebaliknya, nak juga tahu duit pembayar cukai diperhabiskan macam mana bagi memenuhi tuntutan itu dan ini.
  • Apabila kesimpulan/keputusan suruhanjaya siasatan diraja kematian Teoh Beng Hock (TBH) dikeluarkan, bukanlah sesuatu yang menghairankan andai pihak yang beria-ia sangat mahukan suruhanjaya diraja ditubuhkan tidak menerima kesimpulan yang dibuat oleh suruhanjaya terbabit. Seolah-olah bagi mereka, "Bunuh diri? Mana mungkin bunuh diri? SPRM berpakat untuk membunuh TBH. TBH dibunuh. Period." Tak kiralah sama ada wujud bukti TBH dibunuh atau tidak, pokok pangkalnya, keputusan yang hendak mereka dengar adalah TBH dibunuh.
  • Malangnya, bukti-bukti sedia ada setakat ini tidak dapat mengaitkan TBH dibunuh dan hal yang sebeginilah yang tidak boleh mereka terima. Ada yang hendak menambahkan perasa dalam "gulai" isu TBH ini dengan menuntut agar Hishamuddin Hussein harus bertanggungjawab terhadap kematian dan beliau selaku Menteri Dalam Negeri harus dibicarakan . Kita pun tak faham kenapa hendak heret Hishamuddin dalam cerita ini sedangkan isu sebenar adalah sebab kematian TBH dan prosedur SPRM.
  • Dan pihak berkepentingan dalam isu TBH ini (lebih-lebih lagi berkepentingan politik) akan dengan tegar menuntut pembunuh TBH dihukum sungguhpun dalam siasatan, kesimpulan adalah bunuh diri. Mereka akan menjaja serata negara, menulis kalimah-kalimah nista bagi memburukkan kerajaan kerana kerajaan kejam membunuh rakyatnya yang tidak bersalah. Gambar TBH akan dibawa ke mana-mana bagi meraih simpati terhadap ketidakadilan yang berlaku. Tidak hairanlah kalau berlaku dalam PRU13 nanti.
  • Anehnya, pihak yang sepatutnya kita siasat yang menyebabkan TBH berada di pejabat SPRM pada awalnya (baca: DAP) asyik dok sibuk nak menyalahkan orang lain sebab kematian TBH. Sedangkan mereka inilah yang sepatutnya dipersoalkan terlebih dahulu kerana kes rasuah YB daripada parti mereka yang menyebabkan TBH ke pejabat SPRM bagi membantu siasatan. Kes yang asalnya merupakan kes rasuah kini berjaya diputaralamkan kepada kes bunuh TBH dengan jayanya. Begitulah hebatnya putar alam mereka ini berbelit-belit tanpa rasa segan dan silu, tanpa rasa bersalah kepada mendiang dan tanpa rasa bertanggungjawab. Lalu, juak-juak mereka sentiasa menyokong mereka dan sentiasa merasionalkan apa yang tak rasional. Seolah-olah SPRM ada motif hendak membunuh TBH. Macamlah Hishamuddin ada sebab menyuruh pegawai bawahannya membunuh TBH. Macamlah TBH sebenarnya bukannya pembantu khas YB Ean Yong tapi sebenarnya pembantu khas Hishamuddin yang agaknya tahu banyak pekung Hishamuddin sampai Hishamuddin arahkan SPRM bunuh beliau. Begitulah konotasi daripada apa yang mereka cuba perjelaskan.
  • Pihak yang sana cukup suka menggunakan kenyataan Dr Pornthip dari Thailand yang merupakan pakar forensik jemputan Kerajaan Selangor yang mengatakan bahawa TBH mati dibunuh. Pakar dari Thailand yang penuh kontroversi itu membuat kesimpulan dengan hanya melihat gambar foto! Hebatnya! Kalau macam itu, membazirlah masa (dan perhabis duit) polis di seluruh dunia hendak sediakan jabatan forensik sebab kita sebenarnya boleh tahu sebab kematian (COD) dengan melihat gambar foto sahaja!
    Kita sebenarnya faham yang keluarga TBH tidak dapat menerima yang TBH mati membunuh diri. Siapa yang boleh terima ahli keluarganya mati bunuh diri? Dan kita sangat-sangat pasti bahawa kes ini akan terus disensasikan dan akan terus dijadikan modal politik disebalik seharusnya dikhatamkan kerana keputusan suruhanjaya siasatan diraja telah dikeluarkan. Tetapi, realitinya bukan semua kehendak kita boleh dipenuhi. Bukti setakat ini memberikan kepada kita kesimpulan bunuh diri. Pihak yang berkepentingan, tolonglah buat laporan polis atau buatlah semakan kehakiman atau buatlah saman itu dan ini dengan dikemukakan bukti bagi menidakkan keputusan tersebut. Jangan hanya pandai kutuk-kritik di internet, sebarkan khabar angin itu dan ini tetapi haram tak berani kemukakan bukti!
  • Kalau sudah tidak percaya sangat pihak berkuasa di Malaysia, boleh pergi ke UN ka, mana ka... tetapi selagi cerita-ceriti sekadar berani di Malaysiakini, blog ini dan itu, tak payahlah hendak wujudkan suasana tak harmoni di negara ini.

Tuesday, July 19, 2011

BERSIH yang bersih: Kebanggan negara

  • Tunjuk perasaan 9 Julai telah berlalu dan sangat-sangat banyak isu yang dibangkitkan oleh pelbagai pihak sama ada daripada pihak BERSIH, pihak pro-Bersih (sokong je Bersih membuak-buak tapi haram tak ikut turun pun tunjuk perasaan tu), anti-Bersih, pro-anti Bersih (satu lagi spesies yang sama dengan adik-beradik tiri mereka yang pro-Bersih), pihak kerajaan, pihak polis, pihak peniaga, pihak penjaja, drebar bas, drebar teksi dan pelbagai golongan yang terlibat secara langsung atau tidak langsung; sama ada rela atau tak rela terlibat dengan kejadian hari tersebut.
  • BERSIH masih tegar dengan tuntutan mereka yang mahukan pilihan raya yang lebih bersih. Walaupun tuntutan mereka yang selama ini mereka proklamasikan adalah tuntutan pilihan raya, ada juga dikalangan penyokong mereka sendiri yang secara terang lebih mengharapkan yang perhimpunan tersebut menjadi titik tolak ke arah menumbangkan kerajaan yang sedia ada. (ada dikalangan penyokong, bukan semua penyokong...)
  • SPR pula masih dengan nada asal bahawa BERSIH sudah lari daripada matlamat asal mereka dan sudah ada agenda tersirat. Bukan SPR sahaja, kerajaan pun terus menerus memberikan persepsi kepada rakyat bahawa BERSIH berniat untuk mewujudkan rusuhan dan akhirnya berniat menjatuhkan kerajaan, menjadikan imej negara buruk di mata negara asing seterusnya memberi kesan kepada sistem politik dan ekonomi negara.
  • Dalam beberapa perkara, tuntutan BERSIH seharusnya wajar diteliti oleh pihak pelaksana kerana tuntutan tersebut masih boleh dikatakan sebagai 'valid.' Soal penambahbaikan memang soal yang sentiasa segar dan patut ditingkatkan. Bersihkan senarai undi, kukuhkan institusi awam, hentikan rasuah dan politik kotor; kesemua rasanya bukan BERSIH sahaja yang menuntut, yang bukan-BERSIH pun menuntut sama.
  • Akan tetapi, dalam menyatakan perincian kepada tuntutan itulah yang kadang-kala kita lebih sudu daripada kuah. Rasuah misalnya, usahkan dalam pilihan raya, luar pilihan raya pun harus dibanteras. Kalau ada parti yang lakukan rasuah, maka seharusnya dilaporkan kepada pihak berkuasa. Soalnya, pernah dilapor atau tidak? Kalau tidak masakan hendak dituduhi berlaku rasuah? Kita sudah bisa menggunakan pelbagai peralatan teknologi yang boleh dijadikan bahan bukti (tapi PAS pun bukannya boleh terima teknologi sebagai bahan bukti...), jadi buktikan. Hah, sekian-sekian calon bagi sekian ringgitan kepada sekian orang. Pihak yang penyokong BERSIH perlulah berlapang dada kalau orang tuduh Tuan Guru Sahibus Samahah Dato' Nik Aziz Nik Mat bagi rasuah politik semasa pilihan raya kecil Galas yang lalu lantaran dengan jelas nyata wang diberikan kepada pengundi tatkala hari berkempen dan kejadian ini dirakam. Tapi tidak, sudah pasti penyokong PAS akan keluarkan dalil naqli dan aqli bahawa pemberian itu bukannya rasuah politik melainkan sedekah kerajaan negeri kepada pengundi. Kerajaan negeri menginfakkan harta untuk membantu rakyatnya masakan hendak dituduhi sebagai rasuah politik?
  • Tuntutan BERSIH untuk senarai pengundi dibersihkan juga sangat wajar. Sebab itulah SPR hendak gunakan biometrik. Lantas cadangan biometrik ini sama sekali ditolak mentah-mentah penyokong-penyokong BERSIH dengan menuntut dakwat kekallah yang harus digunakan. Bukankah mereka ini jualah yang pada 2008 begitu tegar sekali membantah menggunakan dakwat kekal semasa SPR hendak memperkenalkannya? Kononnya penipuan bisa dilakukan lantaran pengundi yang kurang faham tentang persyaratan dakwat tersebut dan mudah dimanipulasi oleh pihak kerajaan kononnya bagi menghalang orang keluar mengundi. Nampaknya mereka buat U-turn tiba-tiba menuntut agar dakwat itu digunakan? Dan kini kata mereka biometrik lebih mudah dimanipulasi! Kalau ikutkan kepala mereka, apa yang tidak bisa dimanipulasi? Semua bisa dimanipulasi sama sekali! Sebab itu mereka kalah. Sebab mereka termakan manipulasi pihak lain! Justeru mereka mahu supaya cadangan mereka yang sungguhpun boleh dimanipulasi dilaksanakan agar mereka tahu manipulasi mana yang mereka kena manipulasi!
  • Tak usah kita cerita tentang institusi awam hendak diperkasakan kerana sedari awal lagi, penyokong BERSIH ini tidak percaya sama sekali dengan institusi awam. Yang mereka percaya cuma institusi awam pihak mereka sahaja (baca: kerajaan negeri PR) sebab didirikan atas kemenangan mereka. Makanya, kerajaan mereka lebih telus berbanding kerajaan yang lain kerana hanya yang didirikan atas nama mereka sahaja yang bagi mereka lebih baik. Tak kisah kalau ada krisis, kekurangan, ketirisan, kegagalan, keberatsebelahan apa sekalipun yang berlaku dalam kerajaan mereka, yang nyata bagi mereka kerajaan mereka lebih baik berbanding kerajaan yang lain.
  • Nampak benar yang disebalik kesaksamaan dan keadilan, ada juga sebenarnya sifat berat sebelah penyokong BERSIH ini dan bukannya semata-mata impartial. Sungguhpun tulisan ini kalau dibaca menghentam BERSIH, bukan bermaksud idealisme pokok yang hendak dibawa BERSIH itu tidak disokong 100%. Kita perlu insaf bahawa dalam kita mencapai matlamat, mestilah ada cara. Kalau guna cara yang salah, sungguhpun matlamat asal bersih, caranya tetap dianggap salah. Satu lagi prinsip ialah setiap amal itu adalah dengan niat dan setiap orang mendapat mengikut apa yang diniatkan. Tetapi, cara mesti betul untuk mencapai niat tersebut.
  • Mungkin untuk BERSIH lebih bersih, mereka mestilah terlebih dahulu membuktikan mereka bersih. Contohnya penglibatan parti politik; nampak sangat BERSIH itu memihak pembangkang. Macam mana hendak dikatakan bahawa BERSIH itu tidak memihak (impartial)? Sudahlah ahli gabungan pun memihak, ada ahli gabungan yang sibuk hendakkan pilihan raya bersih, sedangkan pemilihan parti sendiri pun tak bersih? Bukankah kita ikutkan kepimpinnan ikut teladan. Bagaimana yang bengkok hendak mengajar supaya yang lain ikutnya cara lurus?
  • BERSIH juga perlu membuktikan keikhlasan mereka berjuang memang untuk menuntut penambahbaikan pilihan raya. Buatlah forum, atau perbincangan dengan SPR. Tunjuklah perasaan secara aman; ahli perseorangan dalam gabungan itu perlu bersih jiwanya dulu. Jangan tuduh polis laku kekasaran sedangkan diri sendiri selalu buat provokasi. Manusia memang begini, kalau berlaku jenayah, disalahkan polis, kalau rumah kena rompak, polis yang salah, orang kena bunuh pun polis yang salah, penjenayah terlepas, polis yang salah, penjenayah ditembak mati pun polis jugak yang salah! Insaflah bukan semua polis di Malaysia ini yang menyokong BN. Begitu ramai sekali polis yang menyokong bukan-BN dan kalaulah mereka hargai sokongan tersebut, mungkin lebih mudah untuk mereka memberikan kerjasama.
  • Akhir kalam, tahniah kepada BERSIH kerana mereka berjaya menganjurkan sebuah perhimpunan yang banyak sekali menyusahkan orang lain. Sebab rasa penting diri sendiri BERSIH yang begitu tertonjol dengan tak habis-habis menyalahkan orang lain itulah yang memberi pengajaran kepada kita rakyat Malaysia yang kalaulah "parti gabungan BERSIH" menang, kita akan mendapat kerajaan yang bakal "menyalahkan segala kekurangan yang sedia ada kepada kerajaan sebelum ini." Kejayaan BERSIH ini mendapat liputan luar biasa daripada media luar terutamanya Channel NewsAsia yang begitu kagum dengan pencapaian yang BERSIH kecapi. Nyata sekali, disebalik kegagalan BERSIH meroboh tembok pagar hendak masuk ke Stadium Merdeka (atau sebagaimana yang mereka rancangkan) mereka berjaya meletakkan nama Malaysia ke mata dunia. Syabas!