- Tunjuk perasaan 9 Julai telah berlalu dan sangat-sangat banyak isu yang dibangkitkan oleh pelbagai pihak sama ada daripada pihak BERSIH, pihak pro-Bersih (sokong je Bersih membuak-buak tapi haram tak ikut turun pun tunjuk perasaan tu), anti-Bersih, pro-anti Bersih (satu lagi spesies yang sama dengan adik-beradik tiri mereka yang pro-Bersih), pihak kerajaan, pihak polis, pihak peniaga, pihak penjaja, drebar bas, drebar teksi dan pelbagai golongan yang terlibat secara langsung atau tidak langsung; sama ada rela atau tak rela terlibat dengan kejadian hari tersebut.
- BERSIH masih tegar dengan tuntutan mereka yang mahukan pilihan raya yang lebih bersih. Walaupun tuntutan mereka yang selama ini mereka proklamasikan adalah tuntutan pilihan raya, ada juga dikalangan penyokong mereka sendiri yang secara terang lebih mengharapkan yang perhimpunan tersebut menjadi titik tolak ke arah menumbangkan kerajaan yang sedia ada. (ada dikalangan penyokong, bukan semua penyokong...)
- SPR pula masih dengan nada asal bahawa BERSIH sudah lari daripada matlamat asal mereka dan sudah ada agenda tersirat. Bukan SPR sahaja, kerajaan pun terus menerus memberikan persepsi kepada rakyat bahawa BERSIH berniat untuk mewujudkan rusuhan dan akhirnya berniat menjatuhkan kerajaan, menjadikan imej negara buruk di mata negara asing seterusnya memberi kesan kepada sistem politik dan ekonomi negara.
- Dalam beberapa perkara, tuntutan BERSIH seharusnya wajar diteliti oleh pihak pelaksana kerana tuntutan tersebut masih boleh dikatakan sebagai 'valid.' Soal penambahbaikan memang soal yang sentiasa segar dan patut ditingkatkan. Bersihkan senarai undi, kukuhkan institusi awam, hentikan rasuah dan politik kotor; kesemua rasanya bukan BERSIH sahaja yang menuntut, yang bukan-BERSIH pun menuntut sama.
- Akan tetapi, dalam menyatakan perincian kepada tuntutan itulah yang kadang-kala kita lebih sudu daripada kuah. Rasuah misalnya, usahkan dalam pilihan raya, luar pilihan raya pun harus dibanteras. Kalau ada parti yang lakukan rasuah, maka seharusnya dilaporkan kepada pihak berkuasa. Soalnya, pernah dilapor atau tidak? Kalau tidak masakan hendak dituduhi berlaku rasuah? Kita sudah bisa menggunakan pelbagai peralatan teknologi yang boleh dijadikan bahan bukti (tapi PAS pun bukannya boleh terima teknologi sebagai bahan bukti...), jadi buktikan. Hah, sekian-sekian calon bagi sekian ringgitan kepada sekian orang. Pihak yang penyokong BERSIH perlulah berlapang dada kalau orang tuduh Tuan Guru Sahibus Samahah Dato' Nik Aziz Nik Mat bagi rasuah politik semasa pilihan raya kecil Galas yang lalu lantaran dengan jelas nyata wang diberikan kepada pengundi tatkala hari berkempen dan kejadian ini dirakam. Tapi tidak, sudah pasti penyokong PAS akan keluarkan dalil naqli dan aqli bahawa pemberian itu bukannya rasuah politik melainkan sedekah kerajaan negeri kepada pengundi. Kerajaan negeri menginfakkan harta untuk membantu rakyatnya masakan hendak dituduhi sebagai rasuah politik?
- Tuntutan BERSIH untuk senarai pengundi dibersihkan juga sangat wajar. Sebab itulah SPR hendak gunakan biometrik. Lantas cadangan biometrik ini sama sekali ditolak mentah-mentah penyokong-penyokong BERSIH dengan menuntut dakwat kekallah yang harus digunakan. Bukankah mereka ini jualah yang pada 2008 begitu tegar sekali membantah menggunakan dakwat kekal semasa SPR hendak memperkenalkannya? Kononnya penipuan bisa dilakukan lantaran pengundi yang kurang faham tentang persyaratan dakwat tersebut dan mudah dimanipulasi oleh pihak kerajaan kononnya bagi menghalang orang keluar mengundi. Nampaknya mereka buat U-turn tiba-tiba menuntut agar dakwat itu digunakan? Dan kini kata mereka biometrik lebih mudah dimanipulasi! Kalau ikutkan kepala mereka, apa yang tidak bisa dimanipulasi? Semua bisa dimanipulasi sama sekali! Sebab itu mereka kalah. Sebab mereka termakan manipulasi pihak lain! Justeru mereka mahu supaya cadangan mereka yang sungguhpun boleh dimanipulasi dilaksanakan agar mereka tahu manipulasi mana yang mereka kena manipulasi!
- Tak usah kita cerita tentang institusi awam hendak diperkasakan kerana sedari awal lagi, penyokong BERSIH ini tidak percaya sama sekali dengan institusi awam. Yang mereka percaya cuma institusi awam pihak mereka sahaja (baca: kerajaan negeri PR) sebab didirikan atas kemenangan mereka. Makanya, kerajaan mereka lebih telus berbanding kerajaan yang lain kerana hanya yang didirikan atas nama mereka sahaja yang bagi mereka lebih baik. Tak kisah kalau ada krisis, kekurangan, ketirisan, kegagalan, keberatsebelahan apa sekalipun yang berlaku dalam kerajaan mereka, yang nyata bagi mereka kerajaan mereka lebih baik berbanding kerajaan yang lain.
- Nampak benar yang disebalik kesaksamaan dan keadilan, ada juga sebenarnya sifat berat sebelah penyokong BERSIH ini dan bukannya semata-mata impartial. Sungguhpun tulisan ini kalau dibaca menghentam BERSIH, bukan bermaksud idealisme pokok yang hendak dibawa BERSIH itu tidak disokong 100%. Kita perlu insaf bahawa dalam kita mencapai matlamat, mestilah ada cara. Kalau guna cara yang salah, sungguhpun matlamat asal bersih, caranya tetap dianggap salah. Satu lagi prinsip ialah setiap amal itu adalah dengan niat dan setiap orang mendapat mengikut apa yang diniatkan. Tetapi, cara mesti betul untuk mencapai niat tersebut.
- Mungkin untuk BERSIH lebih bersih, mereka mestilah terlebih dahulu membuktikan mereka bersih. Contohnya penglibatan parti politik; nampak sangat BERSIH itu memihak pembangkang. Macam mana hendak dikatakan bahawa BERSIH itu tidak memihak (impartial)? Sudahlah ahli gabungan pun memihak, ada ahli gabungan yang sibuk hendakkan pilihan raya bersih, sedangkan pemilihan parti sendiri pun tak bersih? Bukankah kita ikutkan kepimpinnan ikut teladan. Bagaimana yang bengkok hendak mengajar supaya yang lain ikutnya cara lurus?
- BERSIH juga perlu membuktikan keikhlasan mereka berjuang memang untuk menuntut penambahbaikan pilihan raya. Buatlah forum, atau perbincangan dengan SPR. Tunjuklah perasaan secara aman; ahli perseorangan dalam gabungan itu perlu bersih jiwanya dulu. Jangan tuduh polis laku kekasaran sedangkan diri sendiri selalu buat provokasi. Manusia memang begini, kalau berlaku jenayah, disalahkan polis, kalau rumah kena rompak, polis yang salah, orang kena bunuh pun polis yang salah, penjenayah terlepas, polis yang salah, penjenayah ditembak mati pun polis jugak yang salah! Insaflah bukan semua polis di Malaysia ini yang menyokong BN. Begitu ramai sekali polis yang menyokong bukan-BN dan kalaulah mereka hargai sokongan tersebut, mungkin lebih mudah untuk mereka memberikan kerjasama.
- Akhir kalam, tahniah kepada BERSIH kerana mereka berjaya menganjurkan sebuah perhimpunan yang banyak sekali menyusahkan orang lain. Sebab rasa penting diri sendiri BERSIH yang begitu tertonjol dengan tak habis-habis menyalahkan orang lain itulah yang memberi pengajaran kepada kita rakyat Malaysia yang kalaulah "parti gabungan BERSIH" menang, kita akan mendapat kerajaan yang bakal "menyalahkan segala kekurangan yang sedia ada kepada kerajaan sebelum ini." Kejayaan BERSIH ini mendapat liputan luar biasa daripada media luar terutamanya Channel NewsAsia yang begitu kagum dengan pencapaian yang BERSIH kecapi. Nyata sekali, disebalik kegagalan BERSIH meroboh tembok pagar hendak masuk ke Stadium Merdeka (atau sebagaimana yang mereka rancangkan) mereka berjaya meletakkan nama Malaysia ke mata dunia. Syabas!
PERINGATAN: Semua artikel yang ditulis oleh penulis adalah nukilan penulis sendiri melainkan telah dinyatakan sumbernya dan TIDAK mewakili organisasi yang telah/sedang penulis sertai. Tulisan bukan bermaksud membangkitkan sebarang sentimen yang menyebabkan perasaan kurang selesa kepada pembaca. Andai pembaca yang mendapati terdapat tulisan yang bersifat demikian, sila beri komen untuk tindakan selanjutnya. Terima kasih
Tuesday, July 19, 2011
BERSIH yang bersih: Kebanggan negara
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment