Jumaat lalu (30 Julai 2010) akhbar perdana melaporkan Tun Dr Ling Liong Sik, mantan Menteri Pengangkutan telah dihadapkan ke mahkamah atas pertuduhan memperdayakan Jemaah Menteri dalam hal berkaitan skandal Zon Bebas Perlabuhan Klang (PKFZ). Skandal ini telah dicanang oleh pihak tertentu terutamanya dari parti DAP sebagai skandal yang cukup besar dan memberi kerugian besar kepada negara. Lim Kit Siang misalnya menulis sebuah buku khusus bertajuk "The mother of all scandal" (ibu segala skandal) bagi menunjukkan graviti sebenar skandal tersebut.
Skandal PKFZ merupakan salah satu daripada pelbagai pertuduhan ketidakcekapan dan amalan rasuah di kalangan ahli politik kerajaan BN. Skandal ini telah dicanang sebaik mungkin, bagaikan kek yang diadun sebati dengan mengunakan kuantiti tepung, gula, mentega, serbuk penaik dan telur dengan begitu teliti dan cermat. Kek itu tadi telah dibakar pada suhu yang optimum bagi menghasilkan sebuah juadah yang begitu enak dimakan. Analogi inilah yang boleh kita buat terhadap skandal PKFZ. Kejayaan menghasilkan kek yang sedap adalah sebagaimana berjayanya pihak tertentu mencanang isu ini menjadi isu MCA dan akhirnya mewujudkan pepecahan besar dalam kem MCA. Memang benar skandal ini boleh digelar skandal segala skandal.
Namun, bukanlah pertuduhan tersebut sahaja yang boleh menarik perhatian kita melainkan orang yang menjadi mangsa tipu itu pun cukup-cukup mengujakan kita. Siapa yang ditipu dalam kes ini? KABINET! Kabinetlah yang tertipu dalam hal ini. Pertuduhan itu antara lain menyebut perkara berkaitan "memperdayakan Jemaah Menteri." Bukan calang-calang orang yang diperdayakan/ditipu/dibohongi. JEMAAH MENTERI!
Konotasi bagi kenyataan tersebut adalah Jemaah Menteri Malaysia kena tipu. Jemaah Menteri yang terdiri daripada orang-orang hebat, berpelajaran tinggi, mempunyai kepakaran rundingan dan begitu hebat dalam politik ditipu bulat-bulat! Bukannya seorang dua, tetapi berbelas-belas orang! (Malaysia merupakan antara negara yang paling ramai menteri andai dibandingkan dengan saiznya). Maksudnya, berbelas-belas orang yang kita letakkan harapan, kita sanjung ini nampaknya kena tipu! Bukankah hal ini sesuatu yang menganehkan?
Maka yang paling besar kena tipu pastilah ketua kabinet itu sendiri, siapa lagi kalau bukan PM. PM pun kena tipu juga. Isu PKFZ ini telah bertukar daripada penghabisan wang rakyat kepada isu tipu-menipun. Begitulah adanya skandal ini.
Sama ada orang-orang yang dituduh itu benar menipu atau tidak, biarlah mahkamah yang menentukan. Sama ada salah atau tidak salah mereka yang terlibat, kabinet Malaysia tetap dipalit dengan isu ditipu. Bukankah hal ini secara tidak langsung mencemarkan imej cabang Eksekutif negara? Maka seharusnya sesiapa yang bersalah dibawa ke muka pengadilan dan dijatuhi hukuman kerana kalau Jemaah Menteri pun ditipu, maka sudah pastilah rakyat, penyokong dan pengundi akan turut tertipu dek skandal ini.
Sesungguhnya hal ini bukanlah kali pertama berlakunya rasuah/salah guna kuasa cara penipuan (fraud). Sebelum ini pun, sudah banyak organisasi berkait kerajaan menghadapi masalah yang sama. Dari TH Plantation (anak syarikat Tabung Haji), Bank Islam, BBMB dan pelbagai lagi yang menjadi pemegang amanah (trustee) kepada rakyat. Baru-baru ini, konglomerat perladangan terbesar dunia, Sime Darby juga disyakki mengalami kerugian akibat kelemahan (flawed) pengurusan. Dalam hal sebegini, pastilah bukan seorang dua yang terlibat. Seharusnya mereka-mereka yang terlibat khususnya secara langsung hendaklah bertanggungjawab (accountable) dengan apa yang mereka telah lakukan. Dalam pada kerajaan ingin memupuk kembali semangat percaya kepada mereka, mereka sendiri hendaklah mencari orang-orang yang benar-benar boleh dipercayai bagi mengelak daripada terpalit dek lumpur-lumpur yang meranapkan kesucian mereka.
Apatah lagi, kepercayaan itu merupakan kunci yang utama memancing semula hati rakyatnya bak kata pujangga Inggeris, George MacDonald, "to be trusted is a greater compliment than being loved." Maka kembalikanlah kepercayaan itu.....
No comments:
Post a Comment