Tuesday, August 23, 2011

Isu JAIS 'serbu' gereja: Refleksi sejarah silam dan pepecahan masa kini

  • Sebenarnya isu ini sudah menjajat lebih tiga minggu dan baru kali ini blog ini ingin mengulasnya. Masih tidak terlewat untuk mengulas isu tersebut; lebih-lebih lagi mengenangkan gelagat manusiawi yang sememangnya sering tergesa-gesa dalam melakukan pelbagai perkara di atas muka bumi ini.
  • Polemik JAIS 'serbu' gereja kini sudah berubah tunjangnya daripada aspek akidah kepada aspek politik. Saman-menyaman telah berlaku dan tuduh menuduh telah pun digembar-gemburkan. Situasi sebegini tidak ubah sebagaimana pada zaman Khalifah Ar-Rasyidin terakhir yang mana umat Islam berpecah-belah kerana masing-masing hendak menegakkan yang mereka lebih benar berbanding puak yang satu lagi. Sehingga timbulah ungkapan mengkafirkan sesama sahabat yang seterusnya membawa pertumpahan darah sesama umat Islam pada ketika itu.
  • Soalnya, siapakah yang lebih benar pada ketika itu?
  • Selepas Khalifah Ali KRW meninggal dunia dibunuh, runtuhlah satu sistem asli (genuine) pemerintahan kekhalifahan Islam dan bangkit pula sistem monarki Islam sungguh pun pemerintah tertinggi daulah Islamiyyah pada ketika itu menggunakan gelaran 'khalifah.' Begitulah hebatnya pertentangan idealisme umat Islam ketika itu sehingga menyebabkan runtuhnya satu paradigma asli agama Islam yang membawa kepada unsur-unsur baru menyerap masuk ke dalam sistem pemerintahan dan politik Islam.
  • Tidak berhenti setakat itu, umat Islam terus menerus menghadapi perbalahan sesama sendiri melibatkan akidah pula. Pada zaman 'keemasan' Islam, umat Islam sebenarnya menghadapi cabaran sengit dalam soal akidah pula apabila fahaman cenderung kepada dalil akal muncul. Puak ini digelar Muktazilah dan kehebatan mereka mendapat perhatian Orientalis zaman kini dalam mengiktiraf 'kemajuan umat Islam.' Nama seperti Ibn Sina, Ibn Rushd dan Al Farabi menjadi penyumbang kepada pemikiran yang pro-akal (walaupun tidaklah semestinya mereka Muktazilah) sehingga menyebabkan berlaku 'pertelingkahan' kosmologi dan teologi antara mereka dan puak sunni. Kemuncak kepada pertelingkahan hujah tersebut maka lahirlah Tahafut Al-Falasifah yang ditulis oleh Al-Ghazali.
  • Al-Ghazali, tokoh yang digelar Hujjahtul Islam seterusnya menyusun pula sebuah karya monumental yang berjudul Ihya Ulumuddin yang berhasrat mengembalikan semula pemikiran Sunni sebagai tunjang falsafah Islam. Bagaimanapun menjelang masa, Ihya juga dikritik teruk kerana terlalu banyak menggunakan hadis-hadis dhaif dan maudu' di dalamnya. Malah, terdapat juga cakap-cakap mengatakan bahawa terdapat negara Islam kini yang telah mengharamkan sama sekali Ihya kerana ada umat Islam yang melebihkannya sehingga ke tahap Al-Quran sedangkan kitab tersebut bukanlah sebuah kitab yang berautoriti dari segi hadisnya.
  • Mutakhir selepas zaman kejatuhan kerajaan Islam Uthmaniyah, muncul pula gerakan 'mengembalikan semula Islam ke asasnya' yang kini digelar fundemantalis. Tokoh seperti Ibn Taimiyah, Muhammad ibn Wahhab antara pelopor gerakan sebegini yang kemudiannya mempengaruhi sedikit sebanyak gerakan islah yang membawa kepada tokoh-tokoh seperti Jamaluddin Al-Afghani, Muhammad Abduh, Rasyid Redha dan Qutbuddin Ahmad (Shah Waliyullah Ad-Dahlawi). Bagaimanapun, gerakan sebegini pun dikritik apabila ada yang mengaitkannya sebagai gerakan anti-mazhab dan/atau selalu membidaahkan amalan tertentu yang telah diamal menjadi adat turun-temurun.
  • Kesan di Malaysia juga nyata apabila ada ulama-ulama tertentu sebelum merdeka yang pendapatnya dikatakan tidak selaras dengan mazhab Syafie; sehingga wujudlah regim yang dikatakan sebagai kaum muda (yang cenderung kepada islah dan tajdid) dan kaum tua (yang cenderung mempertahankan tradisi). Sekadar menyebut beberapa nama yang mana pendapat mereka berbeza dengan kebiasaan pada ketika itu seperti Zaaba, Syeikh Muhammad Tahir Jalaluddin dan Syed Sheikh Ahmad Al-Hadi. Pandangan Hassan Bandung (A. Hassan) dan Haji Abdul Malik Amrullah (HAMKA) juga antara pandangan yang 'digam' pada ketika itu (berkait soal fikah).
  • Oleh sebab itu, adalah tidak menghairankan sangat apabila pada masa sekarang ini, pasca tahun 2000 pun, masih ada pertelingkahan pandangan sama ada berkait akidah, fikah dan lebih-lebih lagi teristimewanya di Malaysia: politik. Mempolitikkan isu agama merupakan sesuatu tindakan yang cukup-cukup gemar dilakukan oleh ahli politik Islam Malaysia, apatag lagi apabila di Malaysia, wujud sebuah parti yang bernama parti Islam yang pandangan mereka berkaitan Islam hendaklah pada pendapat mereka perlu diraikan lebih berbanding autoriti agama lain di dalam negara.
  • Berbanding Muhammadiyah dan Nadhatul Ulama di Indonesia yang mana entiti kedua-duanya boleh dikatakan wujud tanpa terlalu banyak sangat pertelingkahan politikal, di Malaysia, ada mufti yang digelar mufti poco-poco, ada ulama yang digelar barua kerajaan dan ada tok guru yang peranannya sudah sampai ke tahap 'Mullah' apabila semua kenyataan beliau dipetik sebagai hukum belaka! Perkara sebegini merupakan sesuatu yang akan menyelinap di dalam arena keagamaan Malaysia saban hari dan saban masa.
  • Kembali kepada isu JAIS yang dikatakan 'menyerbu' sebuah gereja Methodis di Petaling Jaya, putaran isunya tetap sama. Akhirnya isu ini dipolitikkan dan wujudlah seolah-olah ada konspirasi tertentu bagi menjatuhkan pihak tertentu. Walhal, isu pokoknya adalah umat Islam cuba untuk dimurtadkan! Cubaan Kristianisasi telah berlaku dan hal ini entah macam mana diputar alamkan kepada isu politik! Alangkah anehnya umat Islam di Malaysia?
  • Kita sudah pernah mendengar ada masjid yang membuat dua jemaah Jumaat hanya kerana imam berlainan parti politik. Kita juga telah didedahkan dengan baiah andai seseorang keluar parti, akan tertalaklah si isteri dan wanita di dalam parti tersebut berasa bangga dengan baiah tersebut. Kita pun telah dengar kalau keluar parti sekian, maka nerakalah hukumnya dan dilaknat Allah Taala namun apabila masuk ke parti tersebut, akan bersihlah segala dosa sebagaimana bayi yang baru lahir. Bukankah perkara-perkara sebegini cukup-cukup menganehkan?
  • Dan apabila umat Islam di negara ini menghadapi isu Kristianisasi sebagaimana di dedahkan di dada-dada akhbar; bukannya kenyataan bersama yang hendak dikeluarkan. Sebaliknya 'jangan terpengaruh dengan muslihat parti tertentu,' atau 'ini merupakan satu sandiwara politik pihak tertentu,' atau 'eh, apa pula parti kita yang suruh, bukankah JAIS bawah pemerintahan parti itu.' Umat Islam sedang mengadapi cabaran akidah dan mereka yang berkuasa dan berpengaruh ini cenderung 'main bola;' tendang sini tendang sana isu tersebut? Apa ke hal?
  • Penulis sungguh pun mengakui bahawa seharusnya badan bertanggung jawab (jabatan agama Islam, Majlis Agama Islam, Baitul Mal, Jabatan Kebajikan Masyarakat)perlu lebih peka keperluan umat Islam yang kekurangan dari segi wang ringgit; tetapi penulis tidak akan bersikap apologikal andai benar umat Islam di Malaysia ini sedang berusaha dipesongkan akidahnya. Kalau benar kita sebagai rakyat negara 1Malaysia, mengapakah bantuan yang hendak diberikan disulami dengan pujuk-rayu dan syarat-syarat yang berkaitan dengan agama (seperti nyayian, amalan, ikrar)? Lakukanlah kebajikan tersebut atas nama rakyat Malaysia dan bukannya cuba untuk menyulami bantuan dengan mengganggu gugat kepercayaan yang dianuti oleh seseorang itu!
  • Bagi pemimpin Islam pula, ambil contoh isu murid beragama Islam disogok dengan unsur-unsur nyanyian Kristian dan bertuhankan Jesus sebagaimana yang didedahkan oleh media tempoh hari, guru yang melaporkannya merupakan seorang bukan Islam dan beliau melaporkan atas rasa tanggung jawab sebagai rakyat Malaysia. Mengapakah ada yang bukan Islam yang rasa 'lebih bertanggung jawab' mendedahkan hal tersebut sedangkan dalam isu gereja ini, umat Islam 'tidak pula lebih bertanggung jawab' untuk duduk semeja dan cuba menyelesaikan isu yang sama?
  • Oleh sebab itu, pemimpin-pemimpin Islam Malaysia seharusnya bersatu-padu bagi mencari jalan penyelesaian kepada kes-kes sebegini dan bukan hanya tunggu isu Palastin sahaja barulah hendak bergabung tenaga mengutuk Yahudi. Dalam kita mengutuk dan mencerca regim Israel dan Zionis yang menzalimi umat Islam di Palastin, adakah kita terlupa bahawa puak-puak ini satu ketika dahulu dihina dan dicerca tak bertanah air. Namun disebabkan kesepaduan antara mereka menyokong antara satu sama lain (pada masa itu) dalam mempropagandakan sistem kapitalis menyebabkan mereka kini boleh memijak-mijak kepada umat Islam dengan semudah itu?
  • Justeru, kepada PAS, tak usahlah label ini isu perangkap maut UMNO atau sandiwara BN, alangkah eloknya gunakanlah biro dakwah yang ada berdakwah kepada mereka yang memerlukan? Kononnya hendak menegakkan negara kebajikan, namun kebajikan umat Islam sendiri tak terjaga; bagaimana? Islam bukan pada ceramah keluar dalil itu ini dok tuduh orang itu gini, orang ini gitu semata-mata. Mana sifat ihsan yang seharusnya ada pada pemimpin dan pengikut kamu? Kamu dok pegang nama Islam itu pada parti kamu tapi hal-hal Islam ada saja alasan politik; apa sebenarnya perjuangan kamu? Keluar dalil beria-ia dipadankan ayat Quran dengan tindakan mereka namun tidak pernah menghayati pula walatafarraqu yang juga disebut dalam Al Quran! Ada sahaja alasan untuk tidak mahu bersama-sama parti yang satu lagi (UMNO) macamlah parti tersebut merogol kesucian Islam zaman-berzaman sedangkan PAS kini dengan tawaduknya bekerjasama dengan parti-parti yang tidak langsung meletakkan Islam sebagai asas perjuangan mereka! Bertaubatlah!
  • Dan kepada UMNO, ikhlaskanlah perjuangan memartabatkan agama Islam dan membantu umat Islam. Janganlah bila timbul isu sebegini, diajuk pula, 'ini isu PAS; berlaku di negeri PAS' Kamu pegang negara, kalau umat Islam sampai ke gereja nak mintak bantuan, apakah sudah menyeluruh usaha yang kamu dah lakukan? Perangai sebegini sama sahaja membuat blok pemisah kerjasama sesama umat Islam. Buat apalah nak saman pemimpin PAS tu sebab mereka memang tak tahu apa-apa! Lantaklah mereka hendak tuduh apa tetapi patut difikir apakah yang telah dan akan kamu lakukan bagi mengelak kejadian sebegini berulang? Mintalah info daripada mereka yang arif, yang pernah membangkitkan isu sebegini sebelum ini (seperti Sahibus Sahamah Tuan Guru Al-Alamah Tan Sri Harussani Zakaria) bagi menyelesaikan masalah gejala murtad ini. Baik sangkalah yang PAS itu sebenarnya masih jahil tak tahu nak bezakan antara isu politik dengan isu akidah. Bukan semua orang dalam PAS yang tunduk sami'na wa ato'na dengan pemimpin tertinggi mereka sebab ada yang turut serta mengambil berat isu memurtadkan umat Islam. Carilah cara atas nama dan landasan Islam bagi menyelesaikan masalah ini bersama-sama.
  • Dan kepada pihak autoriti agama (selain PAS), sudah semestinya isu sebegini akan menjadi tamparan yang maha besar apabila kamu dituduh melulu 'menyerbu' gereja tersebut. Sama ada benar atau tidak gejala kristianisasi tersebut, mencegah lebih baik daripada mengubat. Perkasakanlah kaedah penghapusan kemiskinan terutamanya kemiskinan bandar yang melanda umat Islam. Lantiklah pakar ekonomi Islam menyertai badan-badan kamu kerana mereka mampu memberikan maklumat bagaimana mengatasi masalah kemiskinan dan masalah penerima zakat. Dinamika pengurusan zakat dan baitul mal perlulah ditambah baik agar kita dapat mengurangkan sama sekali umat Islam yang fakir, miskin dan yang berkeperluan. Janganlah akaun agihan zakat itu asyik-asyik ada lebihan sebab zakat pada asalnya bukannya modal untuk dijadikan wang pusingan untuk 'lembaga' atau 'pusat.'
  • Kepada umat Islam Malaysia pula, udah-udahlah asyik hendak menghentam orang sini sana tentang siapa yang salah. Cuba tanya diri sendiri, sudahkah kita menunaikan zakat (bukannya fitrah Ramadhan sahaja; tetapi zakat harta sekali)? Sudahkah kita bersedia dengan 'sedekah jariah' yang bakal menjadi amalan yang berkekalan selepas mati? Pertingkatkanlah taraf ekonomi diri sendiri dan keluarga dan dari semasa ke semasa cuba capai keadaan ekonomi yang benar-benar ideal sebagaimana zaman Khalifah Umar Abdul Aziz (yang tulen; khalifah daulah Islamiyyah; bukannya 'khalifah celup' yang diangkat yang bernama Lim Guan Eng!) Kita hendaklah mengingati dan menginsafi firman Allah dalam Al-Quran yang mana ayat ini menjadi salah satu daripada sunnah Nabi SAW untuk dibaca semasa sembahyang Jumaat yang bermaksud 'Dan nafkahkan sebahagian daripada rezeki yang Kami berikan sebelum maut datang kepadamu, lalu kamu mengatakan "Wahai Tuhanku, mengapakah aku tidak diberikan penangguhan waktu sebentar sahaja supaya aku boleh bersekah dan menjadi orang yang soleh". Namun, Allah tidak sama sekali akan menangguhkan ajal seseorang itu apabila sudah tiba, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui akan segala apa yang kamu lakukan.' (Surah Al-Munafiqun: 63, ayat 10-11). Maka hendaklah kita beramal dengan mafhum ayat tersebut.
  • Menjelang akhir Ramadhan, marilah kita sama-sama meningkatkan amalan khusus dan umum yang kita boleh buat dan dari semasa ke semasa, tinggalkan pertelingkahan yang sebenarnya hanya membawa kerugian kepada umat Islam. Selamat beramal!

Wednesday, August 17, 2011

Mengisikannya menjelang akhir

  • Sudah setengah bulan Ramadhan berlalu dan kini kita memasuki fasa setengah yang terakhir. Disebabkan roh Islami yang semakin meningkat di kalangan umat Islam, sudah semestinya ada yang kritikal dengan sikap sesetengah umat Islam yang lantas menjadikan baki Ramadhan yang tinggal untuk dipenuhi dengan persiapan hari raya; baju raya, seluar raya, langsir raya, kuih raya, duit raya dan pelbagai raya lagi. Antara peluang mahu pun ruang, haruslah kita mengejarnya kerana yang dikejar untuk puasa itu adalah taqwa. Justeru, kalau hendak buat persediaan, buatlah (sebab itu sudah menjadi adat) namun matlamat asal puasa dan limpah kurnia rahmat dalamnya jangan pula kita lupakan semata-mata hendak menyambut Aidil Fitri yang secara syariatnya hanya disambut sehari!
  • Barang yang kurang disedari umum bahawa bulan Ramadhan ini juga merupakan bulan keampunan. Kita mungkin sudah berulang kali diperdengarkan tentang hadis yang antara lain menyebut sesiapa yang melaksanakan puasa Ramadhan dan sesiapa yang membangunkan malam bulan Ramadhan (berqiyamulail) dengan mengharapkan pahala dan kebaikannya daripadanya akan diampunkan dosa. Dalam sebuah hadis yang lain, sebaik-baik doa pada bulan Ramadhan lebih-lebih lagi apabila ketemu lailatul qadar adalah memohon keampunan (kemaafan) dengan disandarkan betapa Allah cukup suka yang pemaaf. Oleh sebab itu, selain daripada kita asyik dok menunggu hari raya baru hendak dipohon maaf, baiklah kita terlebih dahulu meminta maaf kerana sifat Allah yang sukakan orang yang memaafkan! Apatah lagi doa tersebut dibacakan pada bulan Ramadhan, maka mulakanlah maaf-bermaaf pada bulan yang mulia ini; jangan ditunggu-tunggu lagi.
  • Oleh yang demikian, dengan kombinasi amalan kita dan permohonan keampunan dan kemaafan kita sama ada kepada Khalik mahu pun makhluk, tidak hairanlah selepas Ramadhan berakhir, kita (secara teoritikalnya) akan kembali kepada fitrah; tanpa sebarang dosa kerana telah diampunkan oleh Allah dan diberi kemaafan daripada yang kita lakukan salah. Bukankah itu sebenarnya balasan yang Allah berikan kepada kita sebagaimana yang dinyatakan dalam Hadis Nabawi? Justeru kita menyambutnya pada satu hari yang dinamakan Aidil Fitri - membawa konotasi kejayaan kembali kepada fitrah.
  • Kita tinggalkan dahulu cerita tentang raya. Kembali kepada Ramadhan. Dalam pada kita melaksanakan tarawih, timbul juga isu berkaitan 'tazkirah Tarawih.' Apa yang berlaku adalah terdapat surau atau masjid tertentu yang melaksanakan 'tazkirah;' biasanya setelah empat rakaat sembahnyang sunat Tarawih. Isu ini timbul kerana ada yang berpendapat amalan tersebut merupakan bidaah yang tidak dilakukan pada zaman Nabi SAW.
  • Lebih-lebih lagi, ada tazkirah yang disampaikan berlarutan sehingga setengah jam atau lebih daripada itu yang menyebabkan niat asal 'tazkirah' sudah menjadi 'kuliah.' Sudah tentu hal yang demikian akan mengundang rasa kurang senang jemaah kerana mereka hadir untuk 'solat tarawih' dan bukannya 'mendengar kuliah.' Apa lagi andai isi di dalam 'tazkirah' tersebut yang berbaur politik; menghentam pihak-pihak tertentu kerana tidak berhukumkan Islam, menyeru jemaah untuk turut serta dalam memartabatkan 'parti Islam,' balasan buruk bagi mereka yang tidak menyertai parti Allah, menceritakan panjang lebar tentang qazaf, zina, empat orang saksi; kesemua isu ini kalau kita dengar pun kita faham ke mana hala tuju penceramah yang memberikan ceramah. Sudah tentu ada jemaah yang akan mempersoalkan (dalam hatinya) adakah acara ini sembahyang sunat tarawih disulami ceramah politik atau ceramah politik disulami sembahyang tarawih?
  • Penulis jujurnya terkena juga 'kejutan budaya' pada awala bertarawih di negeri lain yang mana bacaan zikir antara dua rakaat yang agak berbeza sedikit berbanding di masjid dan surau di Johor. Apa lagi ketika hampir sembilan tahun di Lembah Klang (semasa belajar), penulis menemui kepelbagaian dalam sembahyang tarawih di sana. Memang terkejut juga apabila secara tiba-tiba, ada pula tempat yang mana, tazkirah diselitkan di antara empat rakaat pertama tarawih. Penceramahnya memang bermacam-macam karakter, dan panjang tazkirah juga berbeza-beza. Ada yang memang hampir setengah jam bercakap dan bercerita hentam sana hentam sini. Ada yang ringkas tetapi padat dan penuh pengisian yang cukup-cukup berguna.
  • Oleh sebab itu, adakah perlu tazkirah tarawih ini diteruskan? Bagi mereka yang menyokong, mereka berhujah bahawa pada ketika inilah ramai jemaah yang hadir ke surau dan masjid, maka apalah salahnya diberi tazkirah bagi perkongsian ilmu. Bukankah menuntut ilmu itu satu ibadah? Oleh sebab itu, dengan kapasiti jemaah yang ramai, seharusnya dimanfaatkan dengan penyampaian ilmu yang sudah tentu tujuannya bagi mendapatkan keredhaan-Nya. Malah, bukankah ibadah itu juga perlu kepada ilmu agar kita dapat melaksanakan dengan sebaik mungkin dan sebetul mungkin menurut syariat dan sunnah Nabi SAW?
  • Bagi mereka agak kurang setuju pula, antara hujah yang dikemukan adalah andai tarawih itu diselitkan dengan tazkirah, nescaya Nabi SAW melakukan dahulu pada zamannya dan sahabat pula pasti menurutinya! Namun, tidak ada satu pun hadis berkaitan tarawih yang menyebut Nabi SAW ada berkuliah atau berkhutbah semasa perlaksanaan tarawih. Andai ada, sudah semestinya akan ada hadis/dalil berkenaan 'khutbah antara tarawih!' Oleh sebab itu, tazkirah antara rakaat tarawih itu boleh dikatakan bidaah. Isu ini tidak boleh disamakan dengan sembahyang tarawih berjemaah kerana ternyata memang ada dalil yang menyokong perlaksanaannya dan diperkasakan pula pada zaman pemerintahan Sayidina Umar Al-Khattab RA. Oleh sebab itu, amalan sahabat sudah menjadi sunnah (sebagaimana hadis riwayat Tirmizi: berpenganglah kepada sunnahku dan sunnah Khulafa-Al-Rasyidin Al-Mahdiyin).
  • Isu ini pasti akan dijadikan polemik walaupun isu ini sebenarnya isu furu. Apatah lagi apabila kandungan tazkirah dan masa yang diambil untuk tazkirah itu terlalu lama sehingga menyebabkan keresahan dikalangan jemaah yang hadir. Bukan hendak mengatakan bahawa yang tidak mahu mendengar itu sudah pandai, mungkin niat mereka hadir adalah bagi melaksanakan sembahyang sunat tarawih dan sudah semestinya hak itu juga perlu dipertimbangkan. Mungkin kalau ringkas dan padat, boleh diterima. Akan tetapi apabila khutbah lebih panjang daripada sembahyang, sudah tentu hal yang demikian akan menimbulkan rasa kurang senang.
  • Lantaran itu, eloklah jawatankuasa masjid dan surau yang terlibat dengan tazkirah tarawih ini mengambil kira faktor isi tazkirah itu sendiri. Tak salah hendak beri tazkirah kerana ramai jemaah, namun kalau pengisiannya terlalu panjang, atau nampak sangat kedengaran politikal, maka kita seharusnya mempertimbangkan jemaah yang lain yang mungkin bukannya hendak dengar sangat kuliah-kuliah politik ini. Lainlah kalau memang surau itu atau masjid itu memang markaz parti, barangkali terpulanglah kepada jawatankuasa masjid atau surau tersebut sebab yang hadirnya memang majoriti penyokong parti.
  • Alangkah eloknya tazkirah tarawih itu dibuat ringkas tetapi padat mencakupi topik-topik berkaitan Islam terus kepada asasnya; soal akidah, ibadah dan akhlak. Barangkali ada yang mengatakan pengisian berulang itu membosankan namun bukankah manusia itu kerap lupa. Sebab itu si penyampainya yang main peranan untuk menjadikannya lebih bermakna, dan bukannya sekadar satu cakap-cakap bual kosong yang hanya mengisi masa lapang antara rakaat tarawih. Soal berkenaan tauhid, ibadah dan akhlak merupakan isu malar segar yang seharusnya diperkukuhkan dalam hati nurani umat Islam. Lebih-lebih lagi yang berkaitan keimanan dan berlaku ihsan, topik-topik yang sebenarnya jarang mencuri perhatian dalam kuliah-kuliah di masjid yang biasanya lebih memberati hal-hal berkaitan hukum-hakam dan fiqah.
  • Pengalaman penulis dalam satu tazkirah tarawih cukup mengujakan. Si pemberi tazkirah menerangkan perkara-perkara yang kita sendiri selalu lakukan tetapi biasanya silap. Contohnya kenapa bacaan La haula wala quata illa billah hi 'ali yil azim dan bukannya 'ali yul azim sebagai mana yang selalu dibaca oleh orang ramai. Atau mengapa walad dholin itu tidak ada qalqalah (seperti yang kadang-kadang kita dengar walada-dholin..). Soal-soal sebegini walaupun kecil namun manfaatnya besar untuk membetulkan kebiasaan yang salah. Masa yang diambil pun tidak terlalu lama. Barulah tercapai maksud, 'hendak beramal mesti ada ilmu.'
  • Namun, andai tazkirah tarawih pun hendak cerita politik yang mana dengan mudahnya kita boleh baca daripada akhbar, buku, majalah, internet atau hadir ke ceramah umum yang sememangnya hampir tiap-tiap hari pun kita boleh dapat, apa lagi dengan maki hamun, fitnah-memfitnah dan 'undi ini wajib syarie, undi itu haram syarie'; sudah semestinya rasa iman dan ihtisaban itu sudah sudah semakin luntur... maka akan terampunkah dosa kita?
  • Walaupun penulis cenderung kepada 'bahawa Nabi SAW tak buat tazkirah tarawih, tetapi kita pun hendak meraikan amalan yang moga-moga membawa ke arah kebaikan sebagaimana tazkirah tersebut. Cuma itulah, kepada mereka yang hendak bertazkirah, ingat-ingatlah pada bulan mulia ini, elok sangat diperkuatkan mahabbah berbanding disemai dengan rasa perpecahan antara umat Islam. Isu akidah jauh lebih utama berbanding hendak menuduh orang itu dalang itu dan orang ini dalang ini. Sudah-sudahlah seharian bergelumang dengan politik, dalam kita beribadah hendak mendekatkan diri kepada Allah pun hendak berpolitik juga? Alangkah ruginya manusia? Alangkah ruginya!
  • Akhir kalam, menjelang penghujung Ramadhan ini, seharusnya kita lebih bersungguh-sungguh mengejar kerahmatan dan keredhaan yang terbuka luas di dalam bulan yang mulia ini. Lebih-lebih lagi, di dalamnya terkandung satu malam yang lebih baik daripada seribu bulan, maka seeloknya kita menguatkan tekad bagi menghirup kelebihan malam tersebut. Soal berkenaan bilakah malam tersebut dan apakah tanda-tandanya sudah banyak dibahaskan baik dalam buku, kitab dan terkini, internet. Apa guna kita bahas bila terjadinya malam tersebut andai kita tidak pula bersungguh-sungguh untuk mengejar malam itu?
  • Oleh sebab itu, selamatlah beribadah bagi menghabiskan hari-hari dalam Ramadhan yang tinggal dan berdoalah agar kita dapat ketemunya pada tahun-tahun akan datang...Amin.

Tuesday, August 9, 2011

Huru-hara Tottenham: Hak kebebasan suara?

  • Siapa tak kenal UK. United Kingdom; bukan Ulu Klang. Begitu banyak sekali perkara positif dan suka dijadikan contoh apabila kita berkata tentang UK. Maklumlah, terdapat rakyat di negara Malaysia ini yang begitu mengagung-agungkan segala perkara berkaitan negara asing... Negara sekian lebih demokratik, Malaysia kurang demokratik... Negara sekian taraf hidup lebih baik, Malaysia banyak ketirisan sini-sinun, negara sekian sudah maju, kita di Malaysia masih mundur... negara sekian mempunyai hak kebebasan bersuara, berkumpul, pelabur tetap datang melabur pun kalau rakyat mereka buat demo tiap-tiap hari..., kerajaan Malaysia mundur dan tak terbuka, takut dengan bayang-bayang sendiri.
  • Kembali kepada UK; dari pelbagai segi, kalau ditanyalah segenap lapisan masyarakat di Malaysia baik ahli politik, peniaga, pekerja makan gaji, pelajar dan lain-lain tentang mana lebih maju sama ada infrastruktur, budaya, etika, minda dan pendidikan; sudah semestinya banyak yang menjawab UK. Lulusan SPM cerdik pandai 'berderet A+' pun banyak yang bercita-cita hendak belajar di UK. Hendak belajar di Oxford la, Cambridge la, University of London la... Kesemua ini memperlihatkan betapa superiornya UK berbanding Malaysia yang ada UM, UKM, USM...
  • Akan tetapi, dalam meraikan kecerdikan negara Anglo-Saxon ini; peristiwa huru-hara di utara London dua tiga hari yang lepas (dan pelbagai lagi huru-hara sebelum-sebelum ini) memperlihatkan wajah sebenar UK dan Eropah (baca: BARAT) dalam memperkenalkan konsep-konsep penting yang dimomokkan kepada negara-negara dunia ketiga yang mereka katakan ketinggalan zaman. Konsep demokrasi, hak kebebasan bersuara yang begitu diterajui barat pantas sekali menikam mereka dari belakang apabila mereka sendiri tak terkawal kemarahan rakyat mereka sehingga mengakibatkan pelbagai insiden buruk yang dilaporkan di dalam media. Adakah itu yang dimaksudkan kebebasan bersuara dan tunjuk perasaan?
  • Isu yang membawa kepada keadaan huru-hara di Tottenham tidaklah mahu dibincangkan di sini namum reaksi rakyat tindak balas mereka mencerminkan betapa seaman mana pun demonstrasi yang hendak dibuat, kita tak terjangka perangai dan tingkah laku orang ramai yang mahu mengambil kesempatan daripada keadaan yang ada. Sudah tentu dalam kes Tottenham ini polis akan dipersalahkan (lebih la lagi, polis jua yang menjadi punca demonstrasi...!). Bangunan terbakar, bas terbakar, kedai dirompak; kesemuanya merupakan kesan yang diterima masyarakat setempat Tottenham setelah tunjuk perasaan itu bertukar ganas.
  • Ada pengikut tunjuk perasaan yang menyertai demonstrasi tersebut dengan suka-suka; justeru membawa kepada tindakan suka-suka juga! Andai benar polis yang hendak dipersalahkan dek kerana menembak orang tak bersenjata (antara tujuan asal tunjuk perasaan membantah tindakan tersebut), apakah kena-mengenanya tindakan membakar, merosakkan harta benda awam dan memecah masuk kedai dengan bantahan tersebut? Jawabnya tiada! Tapi adakah yang melakukan semua perkara tersebut faham isu sebenar yang diperjuangkan oleh penunjuk perasaan?
  • Ada yang mungkin sinis mengatakan sebenarnya bukan orang setempat Tottenham yang hendak membuat tunjuk perasaan, atau wilayah tersebut dihuni oleh kebanyakkannya imigran yang tidak sama etika dengan penduduk tempatan atau pelbagai lagi alasan; namun alasan tetap alasan. Dilaporkan seorang pelajar Malaysia di sana telah dirompak dalam keadaan kononnya, dia hendak dibantu. Nah, bukankah tindakan sebegini tidak jauh berbeza dengan apa yang kadang-kala berlaku di Malaysia yang kononya negara ketiga? Dalam sebuah tunjuk perasaan yang menjejah ratusan atau ribuan orang, mana nak tahu secara jelas yang orang ini datang untuk jadi pelakon, orang yang itu datang hendak memecah kedai, orang yang sekian datang untuk berprovokasi, orang yang segini datang dengan niat murni meluahkan perasaan bagi menambah baik keadaan atau orang segitu datang untuk menuntut bela, mendapatkan sokongan dan mengambil kesempatan?
  • Kejahanaman telah berlaku di Tottenham dan kini khabarnya telah merebak serata England (media hendak dipersalahkan?!?). Dalam keadaan ekonomi dunia yang semakin gawat dek krisis hutang US dan Eropah, adalah elok agar kerajaan Malaysia melihat perkembangan terkini sebagai sesuatu yang boleh diteladani bahawa sebijak mana pun manusia, belum tentu dalam keadaan seperti tunjuk perasaan dan demonstrasi jalanan mereka boleh berkelakuan rasional dan tidak menyusahkan orang lain. Kesan tersebut bukanlah hendak diberatkan pada imej negara sahaja, rakyat di sekeliling kawasan kejadian menerima tempias buruk hasil daripada kelakuan manusia-manusia yang bertindak atas nama hak kebebasan bersuara. Sedangkan mereka itu bukanlah orang yang akan membantu masyarakat sekeliling apabila berlaku kerugian yang terpaksa ditanggung hasil kerja tangan demonstrator!
  • Dan mengambil kira UK sebagai sebuah negara yang dipenuhi dengan institusi pendidikan terulung dunia, dapatlah disimpulkan bahawa hati manusia tidak semurni mana; andai ada sekelumit perasaan untuk mengambil kesempatan daripada apa yang telah berlaku. Lantaran itu, mohon dielakkan daripada berlaku di Malaysia!