Saturday, August 31, 2013

Merdeka ini untuk siapa?

 

Seretorik soalan ini dikemukakan, begitulah juga jawapan yang didambakan. Namun, retorik bukan bermakna sekadar bersifat idealistik. Capaian kepada persoalan ini mencakup apa yang telah, sedang dan akan berlaku -persoalan merdeka dan maksudnya dalam pembentukan negara bangsa. Ramai yang apabila ditanya tentang erti kemerdekaan mengaitkannya dengan kebebasan daripada penjajah. Pun begitu, dalam konteks Malaysia, bukan semua negeri atau wilayah di dalam negara ini yang benar-benar menerima 'penjajahan' daripada pihak imperialis.

Barangkali perlu diingat tentang kekhilafan pimpinan masyarakat yang terdahulu, daripada raja-raja Melayu dan pembesar-pembesarnya dan ketua puak dan suku kaum yang membolehkan kuasa imperialis bertapak di Tanah Melayu dan Kepulauan Borneo. Disebabkan pertelingkahan sesama mereka, pihak Barat berjaya meyakinkan pemimpin tempatan menerima pengaruh mereka dan akhirnya terlibat secara langsung dalam pentadbiran dan pemerintahan tempatan di dalam negara ini. Justeru penerimaan campur tangan pihak luar dalam pentadbiran dan pemerintahan negara adalah disebabkan kelemahan penduduk tempatan itu sendiri.

Bagaimanapun, sejarah bukanlah untuk kita menghukum siapa yang benar dan siapa yang salah, selanjutnya dijadikan sebagai asas untuk seseorang mencorak cereka sejarah, apabila dia berkuasa kelak. Kalau begitulah jadinya, maka sejarah sesebuah negara tidak akan pernah statik lantaran pihak berkepentingan akan menjadikannya sebagai alatan propaganda untuk menegakkan atau menaikkan nama dan pihak yang digemarinya. Nescaya akan ada sambutan merdeka daripada pemerintahan sekian kerana kini negara diperintah oleh parti sekian dan kelak, kalau parti itu pula yang lingkup, maka sambutan akan menjurus kepada merdeka daripada parti si nun. Ibaratnya Obama mengumumkan sambutan hari merdeka kerana berjaya ‘memerdekakan Amerika Syarikat daripada pihak George Bush dan Republikan’ kepada pemerintahannya dan Demokrat.

Kalau begitulah kesnya, maka umat samawi tentulah akan melaknat dan menghukum Nabi Adam a.s. kerana telah menyebabkan terkeluarnya manusia daripada syurga. Citra tentangnya menjadi betapa Nabi Adam ialah insan yang harus dibenci sebab bagindalah, maka manusia tercampak di bumi ini dan perlu menjalani kehidupan bertanggung jawab dan menghadapi ujian dan cabaran; terputus sama sekali daripada nikmat maknawi dalam keindahan syurga dan kini bisa merasa hidup dan mati dan kelak dihisab pula amalan diri. Sebaliknya pengkisahan dan pensejarahan Adam a.s. menjurus kepada betapa itulah sifat manusia, diberi nikmat, melakukan kesilapan dan perlu bertaubat kepada Penciptanya dan menggalas urusan sebagai khalifah di bumi. Oleh hal yang demikian, sesiapa dikalangan keturunannya yang berbuat baik dan menyembah Penciptanya akan dibalas dengan kebaikan sementara bagi yang tidak berbuat demikian maka Tuhan jualah yang membalasnya.

Dari hal yang itu, citra sambutan kemerdekaan mestilah sebaik-baiknya tepat meski dipandang oleh siapa. Biarkan yang ahli sahaja yang mencorak citra kemerdekaan walaupun nyata sukar diterima oleh kesemua pihak. Memang ada persoalan yang sukar untuk disepakati tapi titik temunya mesti ada! Apa lagi kita ini yang bernama manusia, mesti hendak akan keamanan, kedamaian dan kenyamanan. Tidak kira regim mana yang menjadi teraju, yang penting rakyat aman dan sentosa tanpa banyak huru-hara dan ketidakstabilan.

Akhir kata, persoalan merdeka ini untuk siapa harus dijawab oleh setiap rakyat Malaysia. Pastinya makna merdeka itu relatif pada siapa yang mentakrifkannya. Akan tetapi, untuk siapa harus dirinya dan bangsanya merdeka, pasti cabangnya akan tercantum jua.

Selamat menyambut hari kemerdekaan Malaysia ke-56.

No comments: