Friday, August 31, 2012

Menepati janji

 

Sebagaimana setiap tahun Hari Kemerdekaan Negara mempunyai tema atau 'cogan katanya' sendiri, tahun ini masih meneruskan tradisi yang sama. Sekadar rekod, terdapat beberapa tahun pada akhir pemerintahan Tun Dr. Mahathir yang mengekalkan tema 'Keranamu Malaysia.'

Tahun ini, tema yang digunakan pula agak kontroversi kerana mempunyai persamaan dengan cogan kata kempen politik BN iaitu 'Janji Ditepati.' Dan kita perlulah jujur sejujur-jujurnya dapat membuat perbandingan betapa sama sebiji sebentuknya tema itu dengan 'cogan kata' kempen tak rasmi BN itu.

Malah, BN juga menggunakan frasa yang sama semasa membuat jelajah ala-Jom Heboh dengan pimpinan tertinggi mereka iaitu PM dan TPM sebagai pemberi kata-kata aluan dan ucapan politik. Bolehlah dikatakan juga yang kempen BN kini telah beralih ke fasa baru setelah ungkapan 1Malaysia: Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan menjadi 'wirid' di bibir-bibir pemimpin politik BN.

Penggunaan frasa 'Janji Ditepati' tidak boleh dianggap luar biasa. Malah, frasa tersebut bolehlah dikatakan tepat pada masa dan keadaan yang memihak kepada mereka (opportunist).

Apabila Pakatan Rakyat (PR) berjaya merendahkan majoriti kerusi BN, dan memenangi beberapa buah negeri yang cukup bererti (baca: maju dan kaya), mereka terperangkap denga segala janji yang dibuat pada manifesto yang pernah mereka kemukakan. Janji-janji tersebut indah-indah belaka dan ada yang dapat dipenuhi, ada juga yang tidak. Contohnya, air percuma, setiap kelahiran dikurniakan keraian, setiap anak yang ke IPT diberikan sagu hati, WiFi percuma dan bantuan ibu tunggal; begitulah hebatnya manifesto mereka. Lunak dan muluk kalau didengar.

Sebaliknya, setelah beberapa; atau banyak sekali perkara yang tidak dapat dipenuhi, mereka mula mencari helah baru untuk menutup keaiban dan kecelaan diri. Perlembagaan, isu ketelusan pilihan raya dan korupsi menjadi inti pendinding kepada kelemahan dan kekurangan mereka. Malah, secara tiba-tiba pula, isu pendidikan tinggi percuma pula dimanipulasikan (atas kegagalan mereka menyediakannya di negeri-negeri yang ditadbir oleh mereka) dan menjadi tuntutan pula. Begitulah liciknya permainan politik PR tapi, kita tak perlulah menghairankannya...

Kesemua itulah yang mendorong kepada penciptaan slogan 'Janji Ditepati' kerana ternyata pihak PR tidak mampu mengotakan janji mereka. Malah, kini pimpinan tertinggi yang berkuasa di negeri (bukannya ketua pembangkang) terpaksa mengakui bahawa apa yang dimanifestokan pada PRU12 bukanlah janji-perjanjian! Kesemuanya hanya akan berlaku kalau itu dan ini!!!

Maknanya, kalaulah mereka berjaya memerintah dan tidak mampu melaksanakan manifesto mereka, maka semuanya bukan salah mereka, tapi kekangan itu dan ini. Bukannya mereka tak nak tunaikan, tapi mereka tak boleh nak tunaikan sebab BN! Itu sahaja sebabnya. Hanyasanya boleh ditunaikan kalau BN sudah tidak wujud sebab lepas itu, sudah tak boleh tuding jari kepada orang lain lagi dah.....Artis bertudung pun boleh dapat job lebih kalau PR memerintah! Siapa tak mahu?

Tidak hairanlah kalau BN dan PM Najib menggunakan lompong berkisar janji sebagai satu senjata menyerang PR. Janji muluk, lunak dan manis bak madu itu tidak mampu ditunaikan oleh pihak yang sana. Isunya ialah menunaikan janji, bukannya alasan kenapa tak boleh tunaikan janji. Kalau sudah tahu yang janji itu tidak boleh ditunaikan, kenapa berani untuk berjanji pada asalnya?

Namun, andai diperhatikan kepada BN sendiri pun, adakah mereka telah menunaikan janji?

Perkara inilah yang menjadi satu persoalan yang perlu dikaji sedalam-dalamnya;. kerana apakah janji-janji tersebut dan tertunaikah kesemuanya sehingga mereka boleh 'menyindir' lawan mereka daripada pihak PR sampaikan tema Hari Merdeka pun hendak dikaitkan?

Kerajaan BN dalam banyak keadaan sebenarnya agak terselindung dalam isu ini kerana mereka tidak pernah mengisytiharkan sesuatu yang nyata dalam manifesto mereka. Malah, perlulah diakui manifesto PRU 12 milik mereka pun kita tidak hafal. Kesemua ini disebabkan mereka selalunya bermain selamat untuk tidak menjanjikan bulan dan bintang kerana tidak mahu dipersoalkan sebagaimana pihak PR.

Oleh sebab itu, janji mereka lebih bersifat umum (general) dan tidak terlalu spesifik seperti 'orang segini akan dapat segitu.' Atau mungkin 'kemudahan ini akan dapat percuma pada penggunaan sekian.' Janji mereka (manifesto mereka) lebih kepada 'kurangkan kadar jenayah,' 'rakyat hidup sejahtera' dan pelbagai lagi ungkapan-ungkapan yang besar maknanya dan luas interpretasinya.

Justeru, janji apakah yang telah ditepati itu? Kebanyakan yang dikatakan ditepati terdiri daripada perkara-perkara yang ditimbulkan oleh PM Najib dalam ucapan-ucapannya. Sama ada ucapan itu berbentuk politik, atau atas kapasiti beliau sebagai PM atau sebagai perasmi program itu dan ini, maka itulah yang menjadi neraca timbangan perkara yang 'ditepati' itu. Bukanlah janji yang dibuat ketika mereka mengarang manifesto ketika pilihan raya.

Misalnya Bantuan Rakyat 1Malaysia, Baucer Buku 1Malaysia dan lain-lain yang dicap bersama-samanya '1Malaysia' kesemuanya hadir ketika ucapan Belanjawan tahunan. Durian runtuh Felda diumumkan pada program berkaitan Felda dan baucer tayar untuk pemandu teksi pun diumumkan pada waktu PM berhimpun bersama-sama pemandu teksi. Jadi, adakah tepat setepatnya untuk mengatakan perkara-perkara tersebut 'dijanjikan' pada awal manifesto pilihan raya dan boleh dibandingkan dengan janji-janji pihak PR?

Pada hemat penulis, adalah tidak setara untuk membandingkan antara kedua-duanya kerana 'janji' politik PR hadir sejurus sebelum pilihan raya sementara 'janji yang ditepati' oleh BN hadir selepas menang pilihan raya dan adakalanya sangat-sangat kelihatan ad hoc. Janji PR lebih kepada daya penarik untuk rakyat menyokong mereka sementara janji BN pula ialah desakan untuk berbuat sesuatu untuk menunjukkan mereka membuat kerja.

Oleh sebab itu, walaupun BN boleh mendabik dada yang mereka menepati janji, sebenarnya graviti janji mereka cukup berbeza berbanding PR. BN memenuhi 'janji spesifik selepas pilihan raya;' namun tidaklah pula secara spesifik menyatakan langkah-langkah yang dilaksanakan ketika manifesto pilihan raya.

Kini, timbullah pula isu adakah langkah-langkah ad hoc yang 'ditepati' oleh BN itu mampu diulangi pada tahun-tahun akan datang. Apatah lagi ketepatan janji itu ialah pada tahun akhir sebelum pilihan raya; sudah semestinya membawa kepada persoalan bolehkah langkah sama diulang lagi?

Tambahan, sasaran bantuan kerajaan yang diberikan kepada golongan 'berpendapatan rendah,' sudah semestinya mereka yang berada ditengah-tengah berasa terpinggir. Sedangkan mereka inilah pembayar cukai teramai dan mungkin tidak merasa sebarang apa pun daripada benda-benda 1Malaysia.

Tuntas kata, janji yang ditepati oleh BN bolehlah dipuji. Akan tetapi lebih elok kalau ‘mengajar orang untuk memancing berbanding memberi orang ikan untuk dimakan’. Lebih-lebih lagi dengan persoalan daripada manakah datangnya wujudnya dana-dana 1Malaysia yang membolehkan pemberian tunai/baucer itu dibuat. Kita tidak mahulah seandainya segala insentif-insentif itu sekadar bermusim; kerana pilihan raya. Juga cakupan agihan tersebut janganlah sekadar berlegar di paras miskin bandar sahaja . Berilah insentif kepada pembayar cukai kerana mereka juga menyumbang kepada pembangunan negara.

Pada masa yang sama, tingkatkanlah produktiviti, kualiti dan inovasi dalam perkhidmatan awam secara keseluruhannya (bukannya ikut negeri, daerah, parlimen...) kerana mereka ialah pemudahcara urusan rakyat; dan bukannya batu penghalang atau pengutip cukai/denda sahaja sebagai hasil-mahsul negara!

Wednesday, August 29, 2012

Hah, tu la BNM ni! Budak kecil pun tau.

 

“Bang nak tukar duit,” pinta seorang anak kecil kepada penulis. Maklumlah, sebab raya, jadi banyaklah dikalangan mereka ini yang mempunyai ‘duit raya’ yang banyak.

“Hah, berapa yang hendak tukar?” tanya penulis kembali.

“Entahlah, tak kira lagi.”

“Mari abang kirakan,” dan sebagaimana yang sudah dijangka, nota seringgit baharu yang diperbuat daripada plastik. Disebabkan ‘kebaharuan’ dan ‘kecanggihan duit tersebut, terkial-kial juga penulis untuk mengiranya dengan gerakan jari lantaran kelicinan duit tersebut.

Budak tersebut pun tersengih bagai kerang busuk sambil berkata, “Tu lah. Duit baru ni tak best. Nak kira pun melekat-lekat.”

“Hah, tu lah Bank Negara! Budak kecil pun tau (susah nak kira duit plastik). Kata dah buat kajian la, hapa ke bagai!” tiba-tiba terkeluarlah kata-kata tersebut daripada mulut penulis (geram juga sebab lenguh tangan....).

Bukanlah kali pertama nota wang yang dikeluarkan Bank Negara Malaysia menerima rungutan. Setelah mereka memperkenalkan wang plastik lima ringgit (RM 5), kini mereka memperkenalkan juga bahan yang sama digunakan untuk nilai seringgit. Dan sungguhpun secanggih mana wang lima ringgit yang dikeluarkan itu, kecanggihannya sekadar pada rupa dan nama sahaja.

Wang plastik lima ringgit itulah yang paling senang ‘terkoyak,’ terkelepet dan ‘rapuh’ serta paling payah untuk dikira dengan tangan. Sudah semestinya dikalangan peniaga-peniaga kecil jugalah yang paling banyak mengeluh kerana mereka terpaksa membuat kerja lebih untuk menampal semula wang yang sudah terkoyak dua dan mengira dengan lebih berhati-hati kerana bahan yang digunakan untuk duit tersebut mudah melekat antara satu sama lain. Daya elektrostatik plastik mungkin sangat ketara pada wang plastik!

Dan kini, bukan sahaja nota berwarna hijau itu sahaja yang perlukan kerja lebih, nota seringgit pun sama! Sedangkan legaran wang seringgit ialah yang paling banyak di dalam transaksi peniaga kecil!!!

Setelah BNM memperkenalkan syiling baru, sudah ada respon negatif yang mengatakan duit tersebut sukar dibezakan terutamanya bagi syiling lima sen dan sepuluh sen. Namun, BNM bingkas mempertahankan reka bentuk mereka dengan alasan ‘telah membuat kajian pemasaran’ sebelum mengambil keputusan mencetaknya. Kini, kandungan logam lima sen dan sepuluh sen yang terbaharu nyata sekali lebih murah berbanding yang lama kerana menggunakan besi.

Pengeluaran reka bentuk baru syiling mendatangkan masalah pula kepada mesin automatik (vendor machine) seperti mesin air, mainan kanak-kanak dan mesin tiket; sama ada tiket perkhidmatan awam (LRT, Komuter) atau tempat letak kereta. Penyedia perkhidmatan terpaksa menyediakan mesin yang dapat memenuhi keperluan bentuk yang baharu bagi membolehkan kitaran wang berlaku dan wang baru pun ‘laku.’ Sudah semestinya hal ini mendatangkan lagi satu ‘kerja tambahan’ bukan sahaja kepada penyedia perkhidmatan, malah kepada orang ramai sendiri.

Kemudian, BNM mengeluarkan pula siri wang kertas baru yang dikatakan lebih tahan itu dan ini dan lebih ‘kebal.’ Sedangkan kalau hendak dikatakan kebal macam mana pun, terbukti bahawa wang kertas terdahulu yang dikatakan kebal daripada sebelumnya; pun pernah dipalsukan. Apalah ertinya kebal pada wang kertas siri baru ini???

Sama ada sedar atau tidak, nilai wang kertas itu sendiri sudah semakin berkurang. Satu ketika dahulu orang berdagang dengan logam berharga, kemudian digantikan pula dengan pengganti logam iaitu duit kertas[1]. Duit kertas yang satu ketika dahulu disandarkan kepada simpanan emas telah bertukar status menjadi komoditi apabila masyarakat dunia telah dipaksa menerima konsep wang fiat yang diperkenalkan oleh US pada 1971[2].

Selepas itu, bahan pembuatan duit pun mula mengalami perubahan sehinggalah wang plastik diperkenalkan. Setiap kali perubahan berlaku, ketika itulah nilai wang itu secara sendirinya menjadi lebih rendah daripada sebelumnya[3].

Kita pun faham mengapa bahan tersebut ditukar. Kesemuanya disebabkan kos. Kos plastik mungkin lebih murah daripada kos kertas. Maka, kita harus kaitkannya dengan istilah fiat itu sendiri yakni sesuatu yang menjadi wang kerana kita percaya yang benda itu wang. Maksudnya, kita kini percaya dan yakin bahawa duit kertas yang tak bernilai itu sebenarnya ada nilai wang.

Sebab itulah orang boleh membuat spekulasi terhadap nilai mata wang. Kita percaya kertas/plastik itu wang, tetapi orang lain boleh pula menggugat kepercayaan tersebut dengan membuat spekulasi pasaran penawaran dan permintaan wang tersebut. Maka, yang kita percaya wang itu walaupun termaktub di atasnya RM10lah katakan, nilai sebenarnya belum tentu RM10 kerana nilai yang sama tahun ini belum tentu boleh membeli jumlah barang yang sama pada tahun hadapan.

Sebaliknya, sebagaimana contoh klasik yang dikemukakan oleh saudagar emas, satu dinar zaman Nabi SAW boleh digunakan untuk membeli seekor kambing, maka seekor kambing jugalah boleh dibeli dengan satu dinar pada masa sekarang ini! Perkara inilah yang menunjukkan ‘perantaraan wang’ (i.e. emas) itu stabil dan mampu mengekang kesan inflasi.

Sebagai tambahan, pelaburan emas akan memberikan pulangan kerana harga emas akan meningkat ketika penurunan nilai mata wang dolar US, peningkatan inflasi dan peningkatan harga petroleum[4]. Negara seperti India dan China telah bersedia dengan pembelian emas dan menggalakkan rakyatnya menyimpan emas bagi kerana nilainya yang lebih baik berbanding wang tunai.

Sama ada negara kita mampu mewujudkan mata wang dinar emas, terpulanglah kepada pemerintah kita kerana mereka yang berkuasa. Namun, secara realitinya kita pun tak mampu berbuat apa-apa melainkan ada negara lain di dalam dunia ini yang turut serta membuat langkah yang sama dan mampu menampung kelompangan ekonomi kita.

Berpijaklah di bumi nyata; kebergantungan kita kepada negara yang sangat-sangat gemar mengamalkan budaya ekonomi bebas dan kapitalisme terlalu besar sehinggakan kalau mereka melabel minyak sawit kita tak mesra alam pun kita sudah gelabah dan gabra takut-takut harga CPO kita jatuh mendadak. Tak laku pulalah nilai saham mega mewah (blue chips) dan hal ini pastinya mengundang kebahayaan yang besar dalam ekonomi kita...!

Justeru, apa yang kita dapat perhatikan kini ialah penyahnilai wang kita dari semasa ke semasa. Kini, dengan kepesatan transaksi internet, nilai yang dahulunya disandarkan ke atas sekeping kertas kini menjadi maya. Masyarakat Barat misalnya lebih banyak berbelanja secara elektronik berbanding secara fizikal dan budaya ini semakin menjalar dan diterima di seluruh dunia. Sudah tentu kelak kita boleh mempersoalkan, apalah nilai sebenar duit nan berkeping itu!


[1] Idea resit simpanan emas dan barang menjadi asas kepada kewujudan wang kertas. Rujukan berillustrasi boleh dilihat dalam Wolfe, L. et al., Easy Economy, A visual Guide to What You Need to Know (New Jersey: John Wiley and Sons, 2012), 11-41. Rujukan ini ada menerangkan daripada permulaan konsep pertukaran barang (barter) sehinggalah kepada kewujudan sistem pembelian elektronik.

[2] Perkara ini disebabkan perubahan dalam Sistem Bretton Woods yang pada mulanya menyandarkan wang kertas dengan nilai emas di Fort Knox kepada sistem penawaran dan permintaan ketika pemerintahan Nixon. Lihat Korten, D. C. ‘The Money Game,’ dlm Korten, D. C. When Corporation Rule the World, 2nd Ed. (Sterling, VA: Kumarian Press, 2001), 177-185. Rujukan Bahasa Melayu misalnya dalam Zaharuddin Abdul Rahman, Riba dan Isu Kewangan Semasa (Kuala Lumpur: Telaga Biru, 2010), 58-71. Rujukan ini merupakan rujukan yang baik dalam memahami isu penciptaan wang kertas dan kesan-kesan disebaliknya.

[3] Hal ini dibincangkan secara panjang dalam Korten, When Corporation Rule the World, 179-181.

[4] Lihat Salleh Majid, 101 Saranan Salleh (KL: Utusan Publication and Distribution, 2012), 149-150. Malah dalam buku ini juga disertakan beberapa artikel yang menggesa agar rakyat Malaysia terutamanya orang Melayu melabur dalam portfolio emas sama ada fizikal mahupun secara akaun dan melebihkan pelaburan emas tulen (999) berbanding emas barang kemas (916).

Friday, August 24, 2012

Hah, beratur-beratur untuk ditalak!

 

Cerita-cerita yang ditayangkan sempena lebaran kadang-kala memberi pengajaran, ada yang sekadar hiburan dan ada juga yang mencampurkan hiburan dan pengajaran.

Semasa pulang ke kampung tempoh hari, setelah tiba, penulis tertonton sebuah filem yang dilakonkan oleh seorang pelakon komedi yang satu ketika dahulu meletup-letup dengan lakonannya yang dikatakan kelakar. Plot ceritanya diringkaskan, dua orang kembar seiras diwasiatkan untuk berkahwin empat untuk melayakkan mereka mewarisi harta peninggalan ayahnya yang cukup-cukup besar (boleh beli Boeing 747 gamaknya!). Namun, pada akhir cerita tersebut, salah seorang daripadanya terpaksa menceraikan tiga isterinya kerana desakan mereka dan memberikan mereka sejuta sebagai memenuhi janji sebab perkahwinan tersebut (hendak memenuhi wasiat untuk mendapat harta pesaka).

Jadi, sebab kepada perkahwinan tersebut ialah kerana semata-mata harta pesaka. Kemudian, dilakonkanlah dialog antara lawak dan antara tidak agar isteri-isteri lelaki tadi beratur untuk diceraikan. Selepas itu, satu persatu diceraikanlah isteri tersebut talak satu melainkan yang terakhir yang berloghat Kelantan iaitu dengan talak dua kerana menipu. Moral cerita itu ialah poligami boleh membawa kebaikan kalau kena gayanya dan poligami tidak akan berjaya seandai tidak ‘ditakdirkan’ oleh-Nya.

Penulis tidaklah mahu mengulas isu takdir kerana isu tersebut mengundang perbahasan yang perlu diperincikan; apatah lagi melibatkan akidah dan kepercayaan. Akan tetapi, apa yang menarik perhatian penulis ialah betapa mudahnya pakatan untuk nikah-ceraikan isteri lantaran memperoleh habuan harta pesaka daripada suami selepas wasiat bapa mentua dipenuhi. Kalaulah semudah itu untuk kahwin cerai, apatah lagi poligami bagi mencapai hasrat harta, maka alangkah mudahnya sesuatu perkahwinan itu didirikan dan diceraikan![1]

“Pada aku, itu cuma cerita je la... Untuk hiburan sahaja,” kata kawan penulis ketika kami berbual-bual.

“Masalahnya, dia (cerita itu) menggunakan isu talak sebagai sesuatu yang nak diambil ringan. Macam main-main sedangkan soal talak ni bukannya boleh dibuat main!” terang penulis pula.

Lalu penulis bertanyakan beliau apa pendapat beliau (daripada apa yang telah beliau pelajari dan fahami) tentang seseorang yang bergurau dengan si isteri dan menceraikan isterinya ketika bergurau?

“Eh, jatuh talak kalau macam tu![2]” jawab beliau dengan tegas.

“Sebab itu soal-soal sebegini tak boleh dibuat main. Kita sudah ada pemikiran yang ustaz cuma halau hantu, macam mana pula dengan isu nikah cerai dengan senang-lenang?” penulis membalas sambil mengaitkan soal cinta dan kasih-sayang yang membawa kepada perkahwinan itu sebenarnya datang daripada Tuhan, adakah kita hendak mempermainkannya dengan mewujudkan kisah nikah-cerai dengan sebegitu mudah sekali sebabnya?

Sama ada hiburan boleh dijadikan medium dakwah itu masih lagi menjadi khilafiyah. Ada yang mengatakan boleh, ada juga yang dengan mudah berhujah, ‘kalaulah dengan menyanyi (dan berlakon) itu merupakan satu cara yang baik untuk dakwah, nescaya Nabi SAW telah melakukannya terlebih dahulu.’ Masing-masing punya alasan yang tersendiri sama ada terlalu longgar atau terlalu ketat (rigid).

Bagaimanapun, jika kita lihat plot penceritaan yang hendak dikaitkan dengan agama pun kadang-kala terlalu tipikal. Sama ada cerita hantu, nikah-kahwin dan soal kehidupan yang menceritakan seseorang itu terlalu ekstream meninggalkan agamanya dengan digelumangi dosa dan akhirnya sama ada bertaubat atau menerima balasan buruk; bukanlah sesuatu yang segar dalam erti kata uslub dakwah pun. Adakah semua manusia seekstream sebegitu?

Namun, apabila kita menggunakan perkara-perkara keagamaan dalam karya kita, maka kita sebenarnya bertanggungjawab terhadap karya tersebut dan kemungkinan-kemungkinan yang timbul daripada karya itu. Seandainya ada dikalangan Dato’- Dato’ orang kaya yang tiba-tiba terasa hendak meniru wasiat untuk kahwin empat, bagaimana? Implikasi agama juga akan timbul apabila wasiat tersebut memerlukan seseorang melakukan sesuatu yang belum tentu dirinya mampu, walaupun perkahwinan itu sesuatu yang boleh diwasiatkan.

Kesan negatif lain ialah seolah-olah mencerminkan begitu mudahnya kita berhelah dengan menggunakan poligami apabila ada yang berkahwin kerana hendakkan harta semata-mata lantas boleh pula bercerai selepas harta itu diperloleh. Sedangkan ikatan perkahwinan itu ialah sesuatu yang suci dan menjadi pendinding kepada masalah sosial; tetapi kini digunakan sebagai satu helah yang mudah untuk keperluan duniawi semata-mata!

Bukanlah hendak menulis yang negatif sahaja, sebab soal wasiat, perkahwinan, persefahaman suami-isteri-isteri dan tolak ansur mencerminkan sesuatu tuntutan agama yang murni. Cuma cara diakhirinya cerita itu dengan ‘beratur untuk diceraikan’ tidak melambangkan sikap dan kemurnian dalam perkahwinan dan poligami dan barangkali memberi persepsi buruk kepada yang tidak faham.

Soal sama ada penonton boleh fikir ke tidak, sebenarnya tidak timbul. Kita tidak boleh menganggap kesemua penonton mempunyai laras pemikiran yang sama. Tambahan pula, judul komedi bukan sahaja ditonton oleh yang dewasa, malah kanak-kanak pun turut serta menontonnya. Oleh yang demikian, seharusnya filem-filem sebegini mempunyai klasifikasi PG 13 agar yang dewasa boleh memberi didikan kepada yang kecil.

Isu berkaitan filem Islamik atau yang mengaitkan unsur-unsur hukum-hakam Islam patut dibincangkan secara panjang-lebar oleh mereka yang berkepentingan (jabatan agama, ulama, pemerintah etc.). Kita tidak mahu sama sekali industri hiburan kita menjadi sebagaimana di Barat yang berlandaskan your taboo is not my taboo; sanggup melacurkan prinsip-prinsip agama untuk kepentingan wang ringgit dan atas nama kebebasan bersuara.

Ada filem dan drama daripada sana yang terang-terangan menghina agama dalam dialognya[3]; tetapi atas nama lakonan dan hiburan, perkara tersebut tidak diendahkan. Maka, usahlah kita hendak ikutkan sangat cara mereka memperguna dan memainkan sentimen agama dalam plot cerita, walaupun yang cuba kita mainkan itu sekadar sekelumit sahaja daripada agama!


[1] Menurut Hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim daripada Abu Hurairah r.a. bermaksud seorang wanita dinikahi kerana empat perkara: hartanya keturunannya, kecantikannya dan agamanya. Kahwinlah wanita yang berpegang kepada agama, nescaya kamu bahagia. Rujukan hadis misalnya dalam Alawi Abbas Al-Maliki et al, Ibanah Al-Ahkam Syarah Bulugh Al-Maram jil. 3, terj. Nor Hasanuddin H. M. Fauzi (KL: Hidayah Publication, 2011), 335.

[2] Menurut Hadis riwayat Abu Daud, Tirmizi dan Ibnu Majah daripada Abu Hurairah r.a. Rasulullah SAW bersabda dengan maksud, ‘Ada tiga perkara yang andai dikatakan bersungguh-sungguh, menjadi sah dan seandainya dikatakan secara bergurau juga sah, iaitu kahwin, talak dan rujuk.’ Mengikut mazhab Syafie dan Hanafi, jatuh talak terhadap si isteri seandainya si suami melafazkannya secara bergurau, Lihat perbahasannya dalam Al-Maliki et al., Ibanah Al-Ahkam Syarah Bulugh Al-Maram, jil. 3, 502-504. Hadis yang sama disyarahkan oleh Syeikh Muhammad Idris Al-Marbawi sambil menukilkan beberapa contoh dan keadaan. Menurutnya lagi, seandainya suami yang mentalak isterinya dengan bergurau itu masih bersama dengan isterinya sehingga menyebabkan kelahiran seorang anak, jadilah anak tersebut anak luar nikah. Rujuk Muhammad Idris Al-Marbawi, Bahru Madzi, jil. 9, (KL: Al-Hidayah Publication, 2006), 31-34.

[3] Seperti dialog ‘I don’t believe in God and He hates me’ menunjukkan betapa Tuhan sendiri dipermain-mainkan. Perkara sebegini membuktikan bahawa dunia Barat begitu sekular sehingga hal berkaitan Tuhan pun boleh dipersenda. Beginilah sebenar-benarnya yang dikatakan sebagai ‘agama suku, dunia suku.’ Konteks sekular dan kesekularan perlulah dilihat daripada asal kewujudannya kerana tradisi tersebut bukannya daripada pandangan alam dan kebudayaan Timur, apatah lagi Islam.