Tuesday, November 15, 2011

Setelah 20 tahun, kilang haram pun terbakar

 

Berita-berita sebegini memberikan nuansa berbeza untuk pembaca menafsirkannya. Pertamanya kilang tersebut ialah kilang lama, sudah berusia dua dasawarsa. Kalau kita bandingkan dengan anak orang, dua puluh tahun bermaksud dia sudah melewati usia remaja. Barangkali ada yang sudah bekerja dan barangkali ada yang telah berumah tangga. Dua puluh tahun bukanlah satu jangka masa yang pendek andai kita melihat secara mikro.

Namun, selama dua puluh tahun juga, tidak ada inisiatif yang diambil sama ada daripada pihak berkuasa mahupun pihak pengilang untuk membuat sesuatu agar status haram itu bertukar halal atau dilesenkan. Dua puluh tahun juga kilang tersebut menikmati hasil tanpa sebarang kos yang perlu dibayar kepada pihak penguatkuasaan. Sedangkan pihak penguat kuasa suka sangat pergi meneroka premis-premis perniagaan yang sah dan mengeluarkan notis itu dan ini, saman itu dan ini serta gertak itu dan ini lantaran perniagaan yang dijalankan adalah perniagaan yang sah!

Perkara ini memusykilkan ialah mengapakah selama dua puluh tahun lamanya kilang haram itu boleh beroperasi tanpa dikesan oleh Majlis Bandaran (dalam konteks berita tadi, MBJB). Maknanya, kalau tidak terbakarlah kilang tersebut, maka kerja-kerja pembuatan dan perniagaan akan berjalan seperti biasa tanpa sebarang masalah dan mungkin boleh bertahan dalam dua puluh tahun lagi! Tanpa lesen, tanpa sebarang tindakan. Hebat!

Tetapi, kalau ada pula penguatkuasaan dilakukan, timbul pula isu kerajaan kejam. Mahu memusnahkan sesuatu yang telah seadanya wujud semenjak dua puluh tahun. Ibarat sekumpulan masyarakat yang duduk di sebuah kawasan setinggan, dan telah beranak-pinak kerana tinggal di kawasan tersebut dengan kadar yang sangat lama. Tentu sahaja dengan merobohkan premis haram dengan cara begitu akan ditonjolkan sebagai kejam, tidak berperikemanusiaan sedangkan itulah punca rezeki. Wang telah banyak dilabur untuk kelangsungan perniagaan tetapi diganggu oleh birokrat yang menuntut itu dan ini. Alangkah ruginya!

Apa yang pasti, tempoh selama itu menunjukkan betapa kadang-kala pihak berkuasa memilih bulu juga dalam melaksanakan penguatkuasaan. Mereka lebih mudah menguatkuasakan yang telah terkuat kuasa sebaliknya yang belum terkuat kuasa tidak pula mahu dikuatkuasakan. Sedangkan, sepatutnya yang boleh dilesenkan harus diutamakan terlebih dahulu bagi memastikan masalah berkaitan lesen. Bukan setakat majlis bandaran/PBT, malah seharusnya agensi-agensi kerajaan yang lain turut terlibat sebagai 'pemudah cara' rakyat. Namun, kadang-kala yang sudah berlesen yang dengan mudahnya dipersoal itu dan ini kerana kononnya melanggar ‘kontrak lesen.’

Kini, seperti apa yang di Bukit Kempas tempoh hari; sudah terbakar, atau ditimpa celaka barulah hendak diisytiharkan yang kilang itu kilang haram. Dan pada ketika itu, nak minta bayar cukai atau disuruh buat lesen pun sudah tak guna!

Monday, November 14, 2011

Pengkid bersalin di Lombok


Begitulah tajuk berita yang disiarkan di Harian Metro pada Isnin 14 November 2011. Menurut laporan tersebut, seorang perempuan yang baru berumur 17 tahun (tahapnya pelajar) telah pun melahirkan anak hasil perkahwinannya dengan seorang lelaki yang berasal daripada Lombok dan kini menetap di sana. Pada usia sedemikian, sewajarnya beliau sedang menduduki peperiksaan SPM pada tarikh tersebut namun kini, beliau sudah menjadi seorang isteri dan ibu kepada seorang anak.

Untuk rekod, bukanlah kali pertama kita dijaja dengan cerita berkenaan anak perempuan orang dilarikan oleh lelaki Lombok ke pulau tersebut dan seperti cerita 'Keldai Dadah,' isu dan permasalahan demikian mempunyai cakupan yang meluas lantaran perbincangan yang ekstensif mengenainya dan sering digembar-gemburkan oleh media massa. Soalnya, mengapakah keadaan sedemikian masih terus berlaku dan acap kali dilaporkan di dalam warta berita? Bukankah capaian maklumat sudah semakin canggih dan penyebarannya semakin menyeluruh, maka seharusnya rakyat sudah semakin peka dan berhati-hati dengan gejala yang berlaku.

Tetapi hal ini nampaknya tidak berlaku bagi kes perempuan lari ke Lombok. Masih ramai wanita yang menyerahkan diri mereka kepada lelaki Lombok, sanggup meninggalkan ibu bapa dan keluarga tanpa berfikir tentang kesan sosialnya, kesan keluarganya dan lain-lain. Apa yang hendak difikirkan kalau gelora cinta Lombok lebih penting berbanding yang lain!

Kemudian, setelah berbulan-bulan bermadu kasih di Lombok, menikmati keharuman sebagai pengantin baru, dan sudah beranak pinak, timbul pula isu duit tak cukup, penyakit kronik, kekurangan makanan dan pelbagai lagi. Digagahi juga diri menebalkan muka dengan kini, berloghat Lombok untuk menelefon ibu bapa meminta wang untuk memenuhi sara diri. Apa kes? Lalu merayu-rayu menangis barangkali ingin menzahirkan kekesalan dan kesakitan zahir dan batin kerana dalam kesempitan hidup di Lombok kerana suami yang tiada kerja dan diri sendiri duduk di rumah terkontang-kanting tiada tempat bergantung. Buat apa? Ada difikir perkara tersebut sebelum menguatkan kaki langkah ke Lombok demi secebis cinta?

Tidak!

Kini, Pergerakan Pemuda UMNO merupakan antara pergerakan yang aktif untuk membawa pulang semula gadis-gadis Lombok ini kembali. Pelbagai usaha dibuat dan sememangnya bukanlah mudah dan memerlukan begitu banyak wang dan masa untuk dilaburkan untuk tujuan itu. Tetapi digagahi juga mungkin atas dasar demi bangsa dan negara. Atau mungkin untuk melakukan tanggung jawab sosial, atau mungkin sebab memang sudah tiada yang lain yang boleh diminta pertolongan. Sama ada berbaloi atau tidak usaha-usaha ini biarlah masa dan Tuhan sahaja yang menentukannya kerana yang tampak kini hanya mereka sahaja yang beria-ia melakukan kerja mengembalikan anak gadis Malaysia yang lari ke Lombok.

Tetapi, timbul juga persoalan, sampai bila? Kita pun tidak tahu sama ada usaha sedemikian boleh diteruskan seandainya BN tumbang pada PRU 13. Mungkin Angkatan Muda Keadilan atau Dewan Pemuda PAS pada ketika itu perlu memainkan peranan kerana pada ketika itu, sejelepok dana kewangan menjadi milik mereka dan mungkin mereka akan perlu melakukan sesuatu untuk membawa kembali anak gadis kita yang berada di Lombok untuk pulang ke Malaysia. Lebih-lebih lagi PAS yang perlu sama sekali melaksanakan tuntutan dakwah kepada mereka ini (seperti peranan Muslimat PAS) agar dapat melaksanakan langkah intervensi bagi mencegah sebarang kegiatan subang yang menyebabkan golongan hawa begitu tertarik untuk bersama membina mahligai bahagia bersama lelaki yang tidak diketahui asal-usulnya.

Itu kerja politik. Namun, yang lebih penting ialah bagaimana pula peranan orang kuat wanita dalam hal ini? Agenda Lombok jarang dizahirkan oleh pimpinan wanita sebaliknya hanya kerap menjuruskan usaha untuk pengiktirafan wanita; sedangkan isu ini juga melibatkan wanita. Keldai dadah, pelacuran dan lari Lombok kesemuanya isu berkaitan wanita. Wanita Malaysia cair dek renungan mata Pak Hitam, sanggup berbuat apa sahaja demi memenuhi kehendak Pak Afrika. Sedangkan si hitam gelap warga Negro pun dapat menyangkut cinta hati wanita Malaysia, masakan pula jejaka Lombok yang gagah perkasa di luar namun pandai bermain kata-kata dan menzahir budi baik laksana lelaki ‘dunia’ yang terakhir!

Oleh sebab itu, usaha dalam mencegah kelibat warga Lombok melarikan perempuan Malaysia tidak boleh dilihat sebagai sesuatu yang kini sudah menjadi ‘kebiasaan’ kerana kebiasaan ini tidak sihat; malah menyebabkan kerugian yang besar kepada ‘sumber tenaga profesional wanita’ di Malaysia. Ada di kalangan yang lari ke sana merupakan pelajar yang mempunyai potensi besar, bijak laksana dan cerdik pandai. Tetapi, apabila terkena panahan asmara lelaki Lombok yang tidak bertanggung jawab, terus terlekat dengan jejaka tersebut lantas tidak dapat menggunakan akal fikiran yang cerdik pandai itu untuk menginsafi diri dan kesan kepada keluarga.

Atau kalau sudah tidak dapat berbuat apa-apa, apa salahnya Malaysia dan wilayah Lombok itu diwujudkan satu hubungan diplomatik istimewa lantaran begitu ramai wanita kita yang tertarik dengan lelaki sana. Tidak ada masalah! Orang Lombok pun dapat faedah, wanita Malaysia pun memperoleh calon suami yang diidamkan. Tak ada kerja di sana, balik sahaja Malaysia. Kita seterusnya boleh mengawal pengambilan warga asing untuk bekerja di Malaysia dengan memberikan keutamaan kepada warga Lombok untuk bekerja di Malaysia. Selesai masalah lari Lombok.

Mungkin ada yang sinis, apa pula peranan lelaki Malaysia? Mereka nampaknya tidak boleh menyaingi ‘kumpulan tidak profesional’ seperti orang Lombok! Nampak sangat tidak romantiknya lelaki di Malaysia. Apa susah. Kalau wanita boleh ke Lombok, lelaki bolehlah cari wanita yang lain! Yang sama fiil ketakromantikan lelaki di Malaysia. Itu baru keadilan. Itu baru kesaksamaan.

Pendek ceritanya, kalau usaha mengelak daripada wanita lari ke Lombok tidak berjaya dibuat kerana ini dan itu; tidak dapat sokongan ini dan itu, kita halalkan sahaja! Bukankah ini juga ‘hak asasi manusia’ dan ‘hak wanita!’ Sampai ke tahap sedemikian, tibalah ke tahap kepelbagaian jenis kaum di Malaysia, yang Melayu, yang Cina, yang India, yang Negro dan yang Lombok!      

Sunday, November 13, 2011

Kisah artis kita (dan wartawan mereka)

Kita cerita pasal artis kali ini sebab dunia hiburan dan artis bolehlah dikatakan sebagai penanda aras tahap kesosialan sesebuah masyarakat atau negara. Kegiatan sosial, penampilan, perangai dan cara berfesyen kini lebih menjadi tumpuan masyarakat berbanding dunia lain hatta dibandingkan dengan politik pun. Sebab itulah satu ketika dahulu Raihan mengambil inisiatif untuk membuat filem 'Syukur 21' (walaupun impaknya tidak seperti yang diharapkan) kerana percaya keberkesanan masej melalui medium hiburan seperti filem dan movie.

Melihat kepada perkembangan semasa, tidak hairanlah andai dunia artis menjadi rujukan kepada tahap permasalahan sosial negara kerana kalau sudah ada artis yang berkelakuan segini-segini sehingga boleh diketahui umum, tidak hairanlah kalau orang awam lain pun melakukan segini-segini juga. Mereka menonjolkan citra kehidupan 'aristokrat' sama ada mereka berduit ataupun tidak. Terutamanya bagi yang wanita pula, gambar mereka sama ada dirakam untuk tujuan terbitan rasmi mahupun dicuri rakam. Kadang-kala, gambar tak cukup kain atau pakai baju adik ini mendapat reaksi yang cukup negatif di kalangan masyarakat. Tetapi, gambar-gambar sedemikian tetap wujud saban hari dengan gaya yang mengiurkan; tangan terangkat, peha ditayang, punggung ditonggek.


Ditambah pula dengan artis ini bergambar depan botol arak, sudah semestinya artis tersebut berada dalam majlis arak. Artis dan parti liar merupakan sesuatu yang paradoks; sungguhpun bukan semua artis yang berparti dan berjoget di kelab malam tetapi kaitan artis dan kelab malam merupakan sesuatu yang tidak boleh dinafikan. Mungkin dek tekanan hidup hendak menjadi golongan elit dan sosialit, mereka pun mengeksesais sikap dan perangai yang menonjolkan kesosialitan mereka.


Artis-artis juga saban hari kahwin dan cerai. Yang kahwin lama dan stabil jarang dihebahkan sehari-harian berbanding kahwin-konflik-cerai. Orang kedua, ketiga dan keempat menjadi punca kepada penceraian tersebut dan hal-hal yang demikianlah yang menjadikan cerita artis itu lebih 'berjus.' Ditambah pula dengan poster menonggeng yang sudah semetinya menambahkan lagi impak terhadap terbitan media hiburan dengan pelbagai cerita dan cereka mengenai dunia artis, sama ada mereka membuka pekung artis atau artis itu sendiri membuka pekung sendiri. Keseronokan mengumpat pasal artis ialah semumpama makan nasi goreng USA!

Kita pun tidak tahu sama ada semasa sebarang sesi fotografi, artis itu dituntut untuk menggayakan lentik badan persis gimnas (kalau tidak, dikatakan sebagai tidak beretika) atau memang kehendak artis itu hendak melentikkan badannya. Wartawan pun sememangnya membuat provokasi untuk membolehkan maklumat-maklumat penting daripada artis tersebut. Terkeluarlah pula cerita dan ceriti.

Akan tetapi, kalau artis itu sudah berubah ke ‘jalan kebenaran’ (misalnya daripada menjadi seorang sosialit kepada yang bertudung, atau rockers kepada gaya ustaz) , lain pula ceritanya. Sekurang-kurang kurang gosip bekenaan keburukan itu dan ini pada satu tahap. Soalan-soalan yang dikemukakan pun sudah tidak sepanas dahulu, atau sekurang-kurangnya tidak ada soal nampak seksi ka, atau dengan perempuan simpanan ka. Pada masa yang sama artis-artis ini juga akan mendapat perhatian secara tidak langsung kerana pergaulan mereka juga diperhatikan; manalah tahu kopiah/ketayap atau tudung di kepala tidak sepadan dengan kelakuan mereka. Justeru bagi yang terkantoi sudah tentu terpaksa berapologia mengakui kesilapan dan cuba membetulkan keadaan. Juga, kepada yang berjaya menjaga adab sopannya akan secara beransur-ansur hilang seri gosip mengenainya. Maklumlah, sudah tiada benda hendak dicerita!


Apa yang pasti ialah betapa pengaruh dunia hiburan di dalam masyarakat dunia sampaikan rancangan keagamaan pun hendak dimodenkan persis rancangan realiti hiburan. Sama ada elok atau tidak keadaan begitu terpulanglah kepada tafsiran masing-masing, akan tetapi sebagaimana biasa, kesan dan kepopularan rancangan-rancangan Islami sedemikian mungkin tidak sehebat dan sebesar rancangan realiti hiburan. Lebih memeningkan ialah apabila budak-budak bawah umur pun sudah mempunyai rancangan masing-masing, anak muda remaja sudah menjadi superstar dan tidak perlulah fikirkan sangat tentang pelajaran sebab fulus sudah masyuk. Sama ada trend ini menjadi ikutan, hanya masa sahaja yang menetukannya.


Tatkala hiburan menjadi segala-galanya, hedonisme pun membiak-biak dan pada ketika itu, yang biasa akan menjadi tidak biasa dan tidak biasa menjadi biasa!