Saturday, October 22, 2011

Nusantara satu.... Hah, tak ada? Habis tu apa yang ada?

 

  • Sebagai lelaki, adalah sesuatu yang tidak menghairankan untuk dikelilingi rakan-rakan yang merokok.
  • Malah, wanita kini sudah sebaris lelaki dalam menghisap rokok. Maklumlah, kini wanita pun hendak duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan lelaki, kalau lelaki jadi CEO, wanita pun kena jadi CEO, kalau lelaki main bola sepak, wanita pun perlu bermain bola sepak dan kalau lelaki hisap rokok, wanita pun lebihlah lagi perlu diberi hak menghisap rokok!
  • Tulisan kali ini bukan berniat untuk membincangkan gender dan rokok... Di atas tadi sekadar menyebut realiti yang berlaku.
  • Langkah kerajaan Malaysia untuk tidak menaikkan cukai rokok (baca: harga rokok) merupakan sesuatu yang amat-amat memeranjatkan pemerhati ekonomi; lebih-lebih lagi pakar cukai. Adakah ini taktik pilihan raya PM Najib?
  • Masa pilihan raya, industri rokok merupakan antara yang paling banyak menerima tempias faedahnya.
  • Sama ada puak kerajaan mahupun pembangkang, rokok merupakan insentif yang cukup popular untuk dibekalkan kepada pekerja-pekerja pilihan raya.
  • Daripada peraih undinya, tukang pasang bendera dan kain rentangnya, pengiring orang kenamaannya, semuanya sudah tentu menginginkan sedikit habuan; maklumlah, ada yang cuti tanpa gaji, ada yang cuti sakit, ada yang memang kerjanya begitu; tunggu pilihan raya, adalah kerja lepas itu menganggur.
  • Habuan paling popular (bagi lelaki) sebagai 'tanda mata' ialah rokok. Sekurang-kurangnya jimat duit rokok seminggu. Tak gitu?
  • Tak payah tunggu pilihan raya, kalau dalam majlis rewang pun tentu ada tuan rumah yang menaja rokok. Daripada menyiang sampailah siap hidang di meja buffet, mestilah nak juga habuan rokok. Sekali lagi - biasanya lelaki la...
  • Apabila kerajaan tidak naikkan harga rokok, dan ditanya pula kepada PM Najib merangkap Menteri Kewangan I, apa jawapannya? 'Oh, kita kena pertimbangkan harganya sudah sampai ke satu tahap yang tinggi. Kerajaan perlu pertimbangkan hal itu. Sekarang ini yang lebih kita concern ialah yang seludup.' Begitulah lebih kurang jawapan beliau.
  • Begitu perihatin kerajaan Malaysia kerana takut rakyatnya tidak mampu beli rokok. Dan sekarang, dengan harga yang tinggi, kena fikir pula pasal rokok seludup.
  • Sedangkan daripada satu segi, ekonomi bawah tanah, dalam konteks rokok telah lama berlaku. Penulis berkenalan dengan jenama bawah tanah terpilih terutamanya kretek sedari harga rokok premium Dunhill 20' sekitar RM5 lagi.
  • Ialah, harga jenama bawah tanah Gud**g *aram Sur*a[1] pun baru sekitar RM2.50.
  • Setelah itu, kenaikan rokok berlaku dengan drastik sehingga harga Duhill menjejak lebih RM8.00 sekotak. Kretek tetap naik juga namun tidaklah sedrastik rokok sah. Kini, harga minimum rokok sah di Malaysia ialah RM7.00, Gud**g *aram masih dalam lingkungan RM5.00-RM5.50.
  • Namun, bukan itu sahaja jenama rokok kretek lari cukai yang ada di Malaysia; apa lagi adik-adik jenama utama Sur*a yang jauh lebih murah dan kononnya lebih 'mild' berbanding kretek kuat contohnya Nusan*a*a, St*rm*ld dan Sampoerna Indonesia.
  • Tahun berganti tahun, semasa peningkatan harga rokok di pasaran, munculah jenama rokok tempatan yang dijual dengan harga yang jauh lebih rendah berbanding jenama yang kukuh (established).
  • Nama seperti rokok John, Promax, dan yang terbaharu (yang penulis sedang jual) Manchester pada asalnya dijual cuma sekitar RM3.00-RM4.00 sekotak.
  • Sedangkan pada masa yang sama juga, kemasukan ‘rokok putih’ seludup juga berleluasa. Jenama seperti N*x, rokok bola, dan Ra*; semua diseludup dan dijual pada harga yang sangat-sangatlah murah.
  • Walau bagaimanapun, dikri kerjaan merubah segala-galanya kononnya harga minimum rokok sah Malaysia ditetapkan pada kadar RM7.00. Justeru membawa kepada peningkatan harga rokok sah buatan/jenama Malaysia kepada RM7.00. Kononnya bagi menghalang budak sekolah membeli dan mengurangkan penghisap rokok yang baru.
  • Pada ketika itu, pihak pembuat dan syarikat masih curi-curi menjual harga rokok tersebut dengan RM4.00. Mereka berpakat dengan penjual supaya pembelian satu karton dapat satu karton.
  • Kaedah sedemikian tidak mampu bertahan lama. Akhirnya mereka tunduk kepada desakan kerajaan untuk menjual pada harga minimum yang dibenarkan. Kalau tidak, lagilah tiada bisnes![2]
  • Akan tetapi, jenama seludup tetap kekal dengan harga yang lebih rendah. Masih ada peruncit yang berjaya mendapatkan bekalan untuk menjual rokok seludup kendatipun saban hari, ada sahaja laporan dalam akhbar tentang tangkapan besar-besaran rokok seludup.
  • Terimalah hakikat. Margin keuntungan rokok seludup sungguhpun tidak besar, namun lebih besar berbanding menjual rokok sah yang untung bagi sepuluh kotak rokok 20' ialah sekotak rokok! Untung sekotak rokok pula hanya sebatang rokok.
  • Sebaliknya, dengan harga yang lebih 'kompetetif,' rokok seludup lebih banyak dicari orang, lebih cepat habis dijual, lebih murah dan lebih tinggi pula nilai keuntungan kepada peruncit[3].
  • Sedangkan penyeludupan rokok lebih kepada soal penguatkuasaan, keaktifan pihak penguat kuasa mencari 'lobang yang ditebuk' sehingga membolehkan produk tersebut terlepas ke pasaran Malaysia dan sudah semestinya soal wujudkah unsur rasuah yang membolehkan penyeludupan berlaku?
  • Apakah kaitan rokok seludup dengan kenaikan harga rokok sah kalau kerajaan berjaya mengekang kemasukan rokok seludup dengan cekap dan berkesan? Kalau kita berjaya mengawal dengan sehabis mungkin rokok seludup sehingga harganya daripada semurah-murahnya hingga menjadi harga yang sama atau lebih mahal daripada rokok sah, sudah tentu isu rokok seludup tidak akan timbul!
  • Malangnya, hal yang inilah yang kekal menjadi enigma kepada kerajaan, penjual dan pembeli rokok seludup.
  • Kalau peruncit tidak mendapat sumber rokok seludup, sudah tentu dia tidak akan dapat menjualnya. Kalau tidak dapat jual, sudah tentu pembeli akan; mungkin pada awalnya mencari sehingga dapat tetapi akhirnya kalau semua sudah tiada, bagaimanakah dia hendak beli[4]?
  • Memanglah selagi ada permintaan, akan ada penawaranan. Tetapi kalau secara ‘idealnya,’ andai sesuatu produk atau perkhidmatan itu sudah dibekukan pengeluarannya atau dalam konteks rokok seludup, sudah ditangani habis-habisan tanpa sebarang ‘ketirisan’ daripada pihak berwajib, sudah semestinya rokok seludup semakin sukar diperoleh. Harganya mungkin akan melambung tinggi kerana kenadirannya dan andai tiba tahap artikulasi pembeli memikirkan harganya sama dengan jualan rokok sah, sudah semestinya rokok R*y diganti rokok Malaysia yang lebih murah.
  • Oleh yang demikian, adalah menjadi pilihan dan bergantung kepada keputusan kerajaan untuk benar-benar memerangi rokok seludup[5].
  • Kalau sepakat fatwa melalui Majlis Fatwa Kerajaan mengiktiraf rokok sebagai haram; lagi bagus[6]. Pastilah wujud soal lesen dan lebih-lebih lagi, hanya bukan muslim sahaja yang boleh membelinya; akan memberikan sinar baru tahap kesihatan rakyat Malaysia dan dapat mengurangkan kemunafikan manusia yang beria-ia berteriak ‘boikot Yahudi’ dan ‘kerajaan ada kaitan dengan Apco ejen Yahudi’ tetapi rokok hisap berbatang-batang. Yang rokok tu bukan produk Yahudi ka[7]?
  • Dari hal itu, bersama-samalah pihak pengilang rokok Malaysia, perokok dan penguatkuasa menggembleng usaha bagi membanteras kegiatan rokok seludup ini.
  • Penulis masukkan pengilang rokok Malaysia (sama ada rokok Malaysia atau rokok yang dipasarkan di Malaysia seperti BAT, PM, JTI) kerana merekalah pihak yang paling berkepentingan dalam isu rokok ini. Kos rokok sangat rendah berbanding harga jualan dan perkara sebegini sebenarnya disebabkan oleh cukai kerajaan. Jadi, mereka harus bersatu menekan kerajaan dan pihak berkuasa melunyaikan sama sekali perniagaan bawah tanah ini. Malah mereka yang akan mendapat untung andai pembeli beralih arah membeli rokok mereka.
  • Atau sebenarnya kerajaan kita dan pihak-pihak berkepentingan tersebut yang mempunyai pergantungan dengan ekonomi bawah tanah yang secara tidak langsung memacu ekonomi negara dan memberikan peluang pekerjaan[8]?
  • Kita tidak mahu menuduh sedemikian dan kita lebih beratkan yang masalah rokok seludup timbul kerana kekurangan sumber penguatkuasaan atau ‘masalah’ berkaitan ‘kuasa.’
  • Maka, buktikanlah bahawa masalah ini boleh diselesaikan[9]!

Nota hujung


[1]Nama rokok seludup atau bawah tanah atau pasaran gelap tidak akan disiarkan penuh. Siapa yang tahu, faham-faham sahajalah! Selain nama-nama yang disebut sini, banyak lagi jenama lain rokok seludup.Bukan niat penulis untuk membuat promosi rokok seludup.

[2] Misalnya syarikat pembuat Manchester telah mendapat kata dua daripada kerajaan supaya meningkatkan harga jualan mereka dan akhirnya mereka terpaksa akur (mungkin sebab takut lesen digantung, tindakan saman dan sebagainya. Maklumlah, ‘mat pot’ dalam isu sebegini sudah tentulah pesaing mereka yang menjual pada harga minimum yang ditetapkan oleh kerajaan.

[3] Maksudnya rokok seludup lebih berdaya saing dalam pasaran berbanding rokok sah ialah kerana harga yang lebih murah. Kualiti rokok kadang-kala berbeza antara penghisap rokok. Ada rakan penulis yang mengatakan Marlboro sebagai rokok ‘kuat’ namun tidak kurang yang mengatakan Dunhill sebagai rokok yang lebih ‘kuat.’ Namun semua sepakat bahawa Benson merupakan ‘rokok orang tua.’ Akan tetapi, dalam banyak keadaan, sekiranya rokok itu murah dan dapat memenuhi citarasanya, jenama biasanya ditolak ke tepi.

[4] Contoh kes ini pernah berlaku apabila rokok Dunhill menukarkan penampilannya yang baru. Pada waktu itu, terdapat ramai pelanggan Dunhill yang beria-ia hendak mencari Dunhill pek lama kononnya yang baru ‘tidak sedap.’ Sebaliknya Dunhill bertegas dengan pek baru itu dan akhirnya, pelanggan setia akan menerima juga seadanya sebab pek lama sudah tiada.

[5] Penulis pernah berhadapan dengan pelanggan yang membeli rokok seludup namu berungut bahawa harga rokok yang penulis jual mahal dan beliau mengugut untuk memberi tahu pihak Kastam. Apa yang menghairankan ialah beliau sendiri adalah seorang penjawat kerajaan; apa ke jadahnya hendak mencari rokok seludup? Sudah masuk dua penulis tidak lagi menjual rokok seludup di kedai penulis namun sehingga sekarang pun, makhluk ini tidak segan silu pula akan bertanya tentang rokok seludup kepada penulis acap kali tempat pembelian biasanya ketiadaan barang!

[6] Negeri Perak dan Selangor telah mewartakan keharaman rokok namun pengalaman penulis di Selangor, begitu ramai rakyatnya yang lelaki, wanita dan tidak ketinggalan tok imam bilal yang berdosa besar kerana tidak mengendahkan fatwa ini. Penulis pernah utarakan perbincangan ini dalam tajuk Halal-haram: Antara hukum, perlaksanaan dan implikasi.

[7] Hal ini merupakan satu paradoks yang sangat-sangat menghairankan. Sering kita lihat penyokong-penyokong kegiatan boikot ini begitu lantang bersuara dalam usaha mendakyahkan amalan boikot mereka namun mereka sendiri menghisap rokok yang merupakan salah satu dakyah Yahudi yang mereka perangi.

[8] Memetik laporan Buehn dan Schneider 2009, Malaysia mempunyai 31.9 peratus GDP yang berasaskan ekonomi bayangan atau ‘pasaran gelap.’ Lihat A. Buehn dan F. Schneider, Corruption dan The Shadow Economy: A Structural Economy Approach. Discussion Paper No. 4182,Institute for Study of Labor (IZA), May 2009. Boleh diakses melalui http://ftp.iza.org/dp4182.pdf

[9] Penulisan ini tidak bermaksud bahawa penulis menyokong kegiatan merokok; bagaimanapun cara untuk membanterasnya adalah terus ke akar umbi. Tidak perlulah beri alasan ‘ekonomi’ atau ‘pekerjaan’ atau pelbagai lagi alasan lain kerana ternyata akan keharaman rokok itu. Namun, mungkin langkah pertama untuk mengatasi masalah ialah dengan menyekat secara keseluruhan lambakan rokok murah seperti rokok seludup. Harga rokok seludup yang sangat-sangat murah menyebabkan perokok sanggup mencari ke mana sahaja jenis rokok tersebut.

Friday, October 21, 2011

They sound like us, the look like us, but they are not us!

  • Setelah KM Pulau Pinang persis Khalifah Agung Saidina Umar Abdul Aziz, Lim Guan Eng menimbulkan isu Johor tidak selamat untuk warga Singapura, media 'negara kepulauan tanam' itu heboh dengan isu keselamatan warganya untuk datang ke Johor.
  • Seorang kaki golf warga negara terbabit telah menerima nasib malang apabila kenderaannya dicuri ketika beliau dan rakan-rakannya sedang menikmati makan malam di Permas Jaya lantas mendapat liputan besar-besaran daripada pemilik Channel NewsAsia iaitu Mediacorp yang ditunjangi oleh golongan pro-kerajaan republik tersebut.
  • 'Habislah, memang tak selamat warga Singapura datang ke Malaysia lebih-lebih lagi ke Johor Bahru.' Atau, 'Keselamatan warga Singapura pasti akan terancam andai ke Johor Bahru.' Seolah-olah itulah yang cuba ditonjolkan oleh media sana sambil memetik angka-angka statistik jenayah yang melibatkan warganya sebagai mangsa, sekadar 0.4 peratus.
  • 'Kereta telah berkunci, segala langkah keselamatan telah dibuat, tetapi masih dicuri! Polis kata, kereta saya jangan haraplah nak jumpa balik. Saya cukup kecewa (dengan tahap keselamatan di sini)... Tak apalah, saya tetap akan datang ke Johor (walaupun saya tahu tidak selamat),' begitulah wawancara yang disiarkan sama ada di Saluran Cina (Ch8), Saluran Cina II (ChU), Saluran Inggeris (Ch5) dan Saluran Melayu (Suria). Saluran India, minta maaf, penulis tak faham sebab tak belajar Tamil. (ayat dalam kurungan bercorak condong adalah tafsiran penulis).  
  • Anehnya, apabila kenderaan telah dijumpai kembali, tidak pula pemiliknya mahu datang ke sini mengambilnya sebaliknya diperintahkan pula kereta itu 'diekstradisi' ke polis Singapura? Banyak besar awak punya lagak! Kehilangan berlaku di Malaysia, sudah jumpa balik, datanglah Malaysia ambil hak awak! Kalau kereta orang Malaysia kena curi di Singapura, apakah menjadi tanggung jawab Singapura untuk pulang semula kereta tu ke Malaysia?
  • Tapi penulis percaya, isu ini akan selesai. Namun, bukan ucapan 'syabas' yang ikhlas yang akan diberikan kepada pihak polis Malaysia melainkan nada sinis betapa keselamatan rakyat Singapura di Malaysia sentiasa terancam; begitulah yang mungkin akan dibuat oleh media republik tersebut.
  • Aneh juga apabila kita melihat perilaku sedemikian kerana saban bulan, media mereka akan mengetengahkan jenayah di Singapura sendiri lewat siri majalah televisyen Crime Watch (dalam bahasa Melayunya - ('Jejak Jenayah') namun nuansanya tidak pula menggambarkan betapa tidak selamatnya rakyatnya di negara sendiri! Sebaliknya siri tersebut menunjukkan betapa cekapnya pasukan polis di sana dan betapa benarnya frasa 'jenayah membawa padah' persis rancangan 999 di TV3 (untuk rekod, Crime Watch ialah siri yang lebih dahulu ditayangkan; lama sebelum kewujudan 999 di TV3).
  • Moralnya, janganlah kita wujudkan ketegangan persepsi antara rakyat negara ini dan negara lain seolah-olah hubungan kita tidak pernah harmoni. Sedangkan berapa banyak orang di Singapura yang berkacuk dengan orang Malaysia dan begitu juga sebaliknya. Berapa ramai rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura; dan berapa ramai rakyat Singapuran yang datang ke Malaysia untuk berbelanja dan menemui sanak-saudara.
  • Kita tidak mahu 'hubungan' antara kedua-dua negara ini menjadi tegang hanya kerana media memutarkan cerita sensasi membabitkan warga negara sekian-sekian menjadi mangsa jenayah. Sedangkan rakyatnya saling menerima antara satu sama lain.
  • Usahlah dibangkitkan isu keselamatan 'warga Singapura' sedangkan polis di mana-mana negara pun mempunyai tanggung jawab yang sama untuk menjaga keselamatan orang yang berada di negara tersebut. Sebab kalau yang demikian, seolah-olah membuat tuntutan supaya warga Singapura yang datang ke Malaysia diiringi oleh polis negara ini untuk mengelak daripada berlaku jenayah!
  • Jenayah tidak mengenal warga negara dan hal ini terbukti dengan penahanan 44 rakyat Singapura di Johor untuk sabitan kes 39B, Akta Dadah Berbahaya (Harian Metro 21/10/2011). Isnin lalu, dua orang rakyat Singapura dijatuhi hukuman mati mandatori atas sabitan kes yang sama.
  • Justeru, adakah wajar media kita mewar-warkan dengan memukulrata kes-kes tersebut dengan kenyataan 'warga Singapura yang banyak mengedar dadah di Malaysia' atau 'kebanyakan penjenayah di Johor merupakan orang Singapura; jadi rakyat Johor Bahru tak selamat sebab kehadiran mereka?' Atau lebih radikal lagi, ‘Apalah kerajaan Singapura, rakyat ketika dalam negara alim bagai malaikat, tetapi apabila keluar negara terutamanya Malaysia, perangai umpama pelesit dizahirkan pula!’ Sudah tentu tidak patut media kita berbuat demikian!.
  • Untuk rekod, kedua-dua Malaysia dan Singapura mempunyai hukuman yang sama untuk 'pengedar dadah' iaitu mati mandatori.
  • Sebagai penutup, hubungan Malaysia-Singapura semenagnya penuh dengan pancaroba; malah kewujudan Republik Singapura pada 1965 pun menjadi bukti pemikiran pemimpin pada ketika itu berlainan kutub. Namun di peringkat rakyat, bukan semua yang membenci antara satu sama lain, atau mempunyai sentimen 'tidak suka' dengan yang lagi satu.
  • Oleh yang demikian, media janganlah hendak 'simbah petrol ke tempat yang terbakar' dengan memperbesarkan cerita kecil yang menyakitkan hati di pihak lain. Kita perlu akui bahawa jenayah boleh berlaku di mana-mana ke atas sesiapa pun tanpa mengira kewarganegaraan. Jadi, peranan media menjadi perantara yang berkesan untuk mengeratkan hubungan, bukannya merenggangkannya.
  • Lagi pun Malaysia melalui kerajaan BN pun tak pernah buat bantahan terhadap laporan dan cerminan yang nyata berat sebelah daripada media Singapura terutamanya berkaitan politik kerana memang nyata, terang lagi bersuluh bahawa laporan mereka lebih memihak kepada pembangkang Malaysia. Kita pun faham al-maklumlah, pembangkang di negara sendiri memang sudah lama hidup segan, mati tak mahu, jadi kalau ditayang cerita pembangkang Malaysia, bolehlah menarik perhatian rakyatnya untuk bangkit menyokong pembangkang bagi mengubah status quo betapa kuatnya PAP di negara tersebut.... Kita faham.
  • Namun, janganlah sampai jadi macam cerita Tomorrow Never Dies lakonan Pierce Brosnan dan Datuk Michelle Yeoh yang mana orang jahatnya ingin menakluki dunia dengan menggunakan peranan berita dan media.
  • Mohon dijauhkan!

Thursday, October 20, 2011

Pengenalan Pengajian S&T


  • Kali ini, blog ini hendak bincangkan sesuatu yang lain sedikit daripada biasa iaitu berkaitan pengajian sains dan teknologi.

  • Epistimologi - takrifan termudah yang dibuat oleh pensyarah penulis lewat kuliah Sejarah dan Falsafah Sains (di UM)  ialah ilmu yang mengkaji ilmu. Memang memeningkan kepala kita apabila takrifan tersebut mengandungi unsur ganda dua - ilmu kaji ilmu - sudah menjadi ilmu2!?!

  • Bagaimanapun, bidang sejarah dan falsafah sains atau pengajian sains ini merupakan bidang yang tidaklah diraikan sehebat bidang sains gunaan lain seperti kejuruteraan, biokimia, bioteknologi, kedoktoran, astronomi dan sebagainya.

  • Buktinya mudah, lebih banyak dan lebih popular untuk kita mendengar biasiswa yang menanggung bidang-bidang tadi berbanding sejarah dan falsafah sains.

  • Pernahkah kita dengar 'Oh, anak saya dapat biasiswa belajar sosiologi sains,' atau 'kerajaan telah mengumumkan biasiswa 1Malaysia-Otak untuk siswazah bidang kajian pemikiran logik?'

  • Lebih teruk lagi, bidang pengajian sains ini kadang-kala digelar sebagai 'sastera dalam sains' yang tidak meletakkannya ke taraf sains. Mereka yang membincangkannya dikatakan sebagai 'orang bercakap kosong' kerana tiada manfaat secara terus daripada apa yang diperkatakan terhadap sains itu sendiri.

  • Prof Diraja Ungku Abdul Aziz pernah menyarankan supaya pelajar sains didedahkan dengan sejarah dan falsafah sains itu sendiri supaya pelajar mendapat kefahaman yang lebih mengenai asas kepada kewujudan sains itu sendiri.

  • Dan sebagai pelajar sains pula, haruslah diterima bahawa ilmu sains itu sama sahaja dengan ilmu lain. Tiada istimewanya ilmu sains itu.

  • Malangnya, kerajaan kita pun lebih menitik beratkan ilmu sains berbanding yang lain. Sebabnya mudah - ilmu sains kalau hasilnya berjaya dikomersialkan, nescaya mendapat pulangan. Apatah lagi bidang kejuruteraanlah yang menjadi tunjang kepada ekonomi industri di Malaysia seperti petrokimia, pembuatan dan kenderaan.

  • Oleh sebab itu, terjadilah keadaan apabila kita memperkatakan soal etika sains dan teknologi secara berasingan dengan sains dan teknologi itu sendiri.

  • Balik kepada persoalan asal, apabila ilmuan dahulu hendak mengkaji sains daripada perspektif ilmu dan sosial, timbul satu masalah besar.

  • Bagaimanakah hendak mengkaji sesuatu yang ulung (iaitu sains) dengan menggunakan ilmu yang tidak ulung (iaitu seperti sejarah, sosiologi dan budaya)? Sedangkan sains itu sendiri merupakan satu ilmu yang berteraskan pembuktian empirikal, justeru memerlukan kaedah yang 'lebih empirikal daripada empirikal.'

  • Lantaran ada dikalangan ahli sosiologi sendiri yang enggan meletakkan sains itu sebagai ilmu yang sama dengan ilmu-ilmu yang lain. Sains itu 'suci' kerana mereka yang terlibat dengannya mengkaji alam semulajadi yang tidak boleh dimanipulasikan hasilnya. Misalnya kalau A bercampur dengan B, jadilah C; maka hasil A bercampur dengan B itu akan selama-lamanya C.

  • Lalu bagi merasionalkan lagi keunggulan sains, Merton (1942) telah menggariskan empat prinsip atau norma sains yang perlu wujud, andai sesuatu ilmu itu hendak digelar 'sains' iaitu Commensurable, Universalism, Disinterestedness dan Organized Skepticism secara Melayunya ialah  perkongsian, kesejagatan, tidak berkepentingan dan skeptik yang tersusun.

  • Keempat-empat prinsip/norma sains ini diakronimkan sebagai CUDOS dan merupa tunjang kepada keobjektifan sains itu sendiri. CUDOS inilah yang menjadikan sains dikatakan sebagai unggul kerana hasilnya dikongsi bersama-sama tanpa ada tembok pemisah, mempunyai kesaksamaan nilai antara satu sama lain tanpa mengira sempadan geografi dan sosial, tidak mempunyai pengaruh keuntungan dan berjaya mengharungi kritikan daripada rakan-rakan.

  • Prinsip-prinsip tersebut sekali imbas membuatkan sains terletak pada kelasnya tersendiri lebih tinggi daripada ilmu lain. Buktinya, di Malaysia misalnya kita pun lebih meraikan graduan sains daripada graduan sastera atau sains sosial. Lebih banyak dana yang disumbangkan untuk pembelajaran dan penyelidikan sains berbanding yang lain. Malah, pelajar-pelajar cemerlang dalam peperiksaan awam rendah (seperti PMR) disarankan (atau dimasukkan) ke kelas sains tulen. Jarang sangatlah kalau kita dengar biasiswa untuk Ijazah Sarjana Muda Kesenian mahupun Kajian Sastera. Gaji 'pegawai sains' lebih tinggi berbanding 'pegawai sains sosial.' Begitulah tingginya nilai martabat sains.

  • Namun, benarkah dogma bahawa sains lebih tinggi martabatnya berbanding ilmu lain? Betulkah sains mempunyai unsur-unsur CUDOS yang dicadangkan oleh Merton? Atau perlukah masyarakat mengekalkan pandangan keunggulan ilmu sains selama-lamanya?

  • Blog ini akan cuba merungkai persoalan-persoalan tersebut, Insya-Allah, dalam tulisan-tulisan pada masa akan datang......

  • Selamat datang ke terbitan Pengajian S&T Wadah!