Showing posts with label Sosiologi Sains dan Teknologi. Show all posts
Showing posts with label Sosiologi Sains dan Teknologi. Show all posts

Friday, December 9, 2011

Apa yang beria Ph.D?

 

Terbitan kali ini hendak membincangkan himpunan dan ulasan berkenaan Ph.D; sekadar muntahan persepsi penulis setelah menghadapi sebuah kursus berkaitan kaedah penyelidikan. Ph.D (ejaan yang betul Ph titik, D) ialah ijazah tertinggi yang boleh diperoleh daripada sesebuah universiti. Walaubagaimanapun, hal ini hanya benar dalam dunia pembelajaran akademik seseorang kerana pihak universiti pun biasanya akan lebih meraikan penganugerahan Ijazah Doktor Kehormat kerana jasa seseorang itu kepada negara; walaupun beliau tidak mendapat pendidikan rasmi sebagai Ph.D. Dalam beberapa buah negara, wujud juga ijazah yang lebih tinggi daripada Ph.D yang menggunakan huruf D dihadapannya (seperti DSc.) bagi kajian yang disifatkan sebagai sangat-sangat tinggi mutunya.

Dengan namanya sahaja, sudah semestinya orang akan mengaitkannya dengan ‘falsafah.’ Jujur penulis akui bahawa apabila kita mendengar perkataan Doktor Falsafah, sudah semestinya kefalsafahan itu akan bermain di minda kita. Kalau doktor biasa, merawat pesakit maka Doktor Falsafah, sudah tentu akan berfalsafah. Falsafah ialah berkaitan kebijaksanaan dalam keilmuan. Ahli falsafah pula dikaitkan sebagai penggemar hikmah. Malah, tidak kurang juga yang mengaitkannya dengan istilah ‘sufi’ sendiri kerana ahli tasauf satu ketika dahulu cukup gemar membahaskan falsafah-falsafah berkaitan ketuhanan. Sehinggakan Imam Al-Ghazali menulis karya pentingnya iaitu Tahafut-Al-Falasifah – juga berkaitan berdebatan falsafah (kecelaruan falsafah).

Namun, dalam konteks akademik, lebih-lebih lagi dalam bidang sains, kajian atau penyelidikan yang dikemukakan bagi tujuan Ph.D tidaklah sehingga seseorang calon itu boleh memfalsafahkan sesuatu bidang. Seorang yang memiliki Ph.D dalam bidang sains perubatan misalnya belum tentu dapat berfalsafah mengenai sebab kewujudan sesuatu ubat atau penyakit. Yang biasa mereka kerjakan ialah hendak mencari sesuatu yang ‘baru’ dalam bidang perubatan. Falsafah mengenai perubatan belum tentu disentuh dalam penulisan disertasinya. Pemegang Ph.D dalam ekonomi juga belum tentu dapat membahaskan falsafah ekonomi dunia ini sehingga membawa kepada jatuh bangun sesebuah tamadun bangsa. Pendek katanya, walaupun dikaitkan dengan gelaran falsafah; Ph.D yang dikerjakan bukanlah untuk menyelesaikan masalah dunia!

Jadi, apakah sebenarnya yang dibuat oleh calon Ph.D atau apakah yang diperlukan untuk mendapatkan Ph.D itu sendiri?

Bolehlah dikatakan bahawa jangkaan kepada pemegang ijazah tinggi seperti Ph.D ini seharusnya direndahkan kembali sebagai seseorang yang telah mendapat sesuatu yang lebih tinggi berbanding sebelumnya. Dia bukannya ahli falsafah. Berpijaklah di bumi yang nyata. Belum tiba tahapnya untuk memfalsafahkan sesuatu. Belum lagi dia boleh dikatakan sebagai seorang penggemar hikmah. Malah, dalam banyak keadaan pun, bicara orang yang berPh.D kadang-kala tidak menggambarkan yang dia berilmu; apatah lagi hendak mengatakan dia penggemar hikmah!

Kita dapati bidang ilmu berkembang dengan pesat dan perkara inilah yang menjadi cabaran kepada keertian dalam hasil kajian Ph.D itu sendiri. Hasil kajian pada hari ini mungkin akan menjadi sejarah pada hari esok. Kepesatan ini bukan hanya disebabkan betapa ramainya orang yang berkepinginan untuk membuat Ph.D, malah ditambah pula dengan betapa mudahnya manusia mencapai maklumat bagi melaksanakan kajian dan penyelidikan dalam sesuatu bidang. Malangnya, maklumat dan ilmu bukanlah segala-galanya dalam kajian seseorang apabila faktor material seperti kewangan dan peralatan/pekakasan/subjek bahan pun perlu diambil kira oleh seseorang pengkaji. Mereka yang gemar melaksanakan kajian in vivo (iaitu secara bahasa mudahnya, menggunakan makhluk contohnya tikus, mencit) misalnya mungkin akan menemui jalan yang sukar andai dilaksanakan di sesebuah negara yang begitu menyanjungi hak haiwan, sementara alatan canggih yang berjuta-juta mungkin menjadi hambatan kepada mereka yang memerlukannya.

Pada masa yang sama, pelajar yang mengaji Ph.D juga dikaitkan dengan cabaran dirinya sendiri untuk menyiapkan segala kerjanya. Pelajar tersebut akan menghadapi pengalaman dan kerenah yang berbeza-beza berbanding rakan-rakannya yang lain kerana tidak akan ada di kalangan mereka yang akan membuat tajuk yang sama! Pada ketika inilah perangai dan fiil manusia akan terpancar terang dan tertonjol kepada persekitarannya. Mana yang sebenarnya hasad akan tertampaklah hasadnya itu. Mana dikalangan mereka yang suka mengambil kesempatan, akan muncullah dengan jelas dan nyata perangai oppurtunisnya kepada kita. Hubungan penyelia-pelajar juga mungkin akan menjadi apa yang dikatakan sebagai pahit-manis. Lain orang lain perasaan dan kesannya. Apa yang penting ialah kemandirian seseorang itu dalam menghadapi sebarang cabaran daripada segenap pelusok arah sama ada berkaitan kajiannya ataupun pengaruh luar. Bak kata iklan Grey’s Anatomy – ‘change is literally the only constant!’ (perubahan ialah satu-satunya yang malar; dipercayai sebagai mempunyai unsur falsafah Heraclitus).

Secara rangkumanya, Ph.D ialah sekeping sijil dan tidak lebih daripada itu. Tiada orang boleh berbangga bahawa dia sudah mempunyai Ph.D kerana kini, begitu ramai juga yang mempunyai Ph.D. Lebih mencabar lagi, begitu ramai juga mereka yang kaya-raya namun ijazah am pun tidak lepas! Secara falsafahnya, Ph.D ialah satu langkah untuk membolehkan seseorang itu diiktiraf sebagai berkebolehan melaksanakan kajiannya sendiri. Namun, tidak semestinya dengannya sahajalah sesebuah kajian itu boleh dilaksanakan. Ambillah contoh Edison, cuba 2000 kali untuk mencari mentol lampu dan selepas itu, barulah beliau berjaya. Daripada satu segi, keraian dalam bidang keilmuan itu sendiri bukanlah sesuatu yang diperhebahkan apatah lagi dalam suasana masyarakat pada hari ini. Dengan tuntutan pengkomersialan, bidang penyelidikan kini bukan sahaja untuk memberikan sumbangan kepada keilmuan, malah merupakan satu cara untuk menjana pendapatan yang lumayan.

Sama ada perkara sebegini akan menyebabkan pencabulan kepada prinsip-prinsip sains yang unggul sebagaimana yang diteorikan oleh Merton, adalah menarik untuk sama-sama merenungkannya. Apa yang pasti, tidak dapat tidak, norma-norma Merton akan menghadapi cabaran yang sengit dalam mempertahankan dirinya sendiri!

Friday, November 11, 2011

Jurnal ‘Berwasit’ vs Jurnal ‘Terindeks’: Yang tak sama dan tak serupa

 
Dunia akademik institusi pengajian tinggi masa kini heboh memperkenalkan dasar-dasar yang bertujuan untuk meningkatkan kualiti atau nama universiti ke persada dunia. Setelah timbulnya pelbagai senarai itu dan ini di peringkat antarabangsa yang memberi kedudukan kepada universiti, maka rancangan universiti di Malaysia untuk turut serta meraikan senarai tersebut bukanlah sesuatu yang mengejutkan. Apatah lagi Universiti Malaya yang pada senarai sulung terbitan THES-QS yang berjaya meletakkan dirinya di kalangan 100 universiti terbaik (dan kita semua pun tahu sebab kepada kejayaan tersebut...) namun merudum tak timbul-timbul selepas daripada kejayaan monumental tersebut.


Salah satu pemberat yang begitu diraikan dalam penyenaraian sebegini ialah terbitan artikel (makalah) dalam jurnal terindeks. Jurnal-jurnal yang terindeks ialah yang disenaraikan dalam pangkalan data atau senarai indeks bibliografi tertentu bagi membolehkan rujukan atau/dan petikan dilakukan terhadapnya. Contoh yang paling popular dan ‘bertaraf tinggi’ ialah oleh Thomson ISI oleh Thomson-Reuters – salah sebuah koglomerat media terbesar dunia yang melalukan kerja-kerja menilai sejauh mana jurnal-jurnal akademik yang sedia ada itu dipetik oleh orang lain (biasanya kefahaman ahli akademik sekarang menjurus kepada senarai ISI). Semakin tinggi kadar ‘petikan’ jurnal tersebut, semakin besar jugalah markah yang diperolehi jurnal tersebut. Kemuncak kepada pengindeksan jurnal-jurnal ini ialah senarai yang digelar sebagai faktor impak (impact factor) iaitu semakin tinggi faktor impak sesebuah jurnal, maka semakin ramailah penyelidik yang telah membaca artikel di dalamnya yang membawa kepada semakin tinggi jugalah ‘prestij’ jurnal tersebut.


Ramai di kalangan ahli akademik sendiri yang begitu teruja untuk memasukkan artikel mereka ke dalam jurnal-jurnal yang terindeks ini. Kemasukan artikel ke dalam jurnal terindeks ini seolah-olah sebagai satu pencapaian yang begitu membanggakan kerana bukannya mudah untuk menyertai satu senarai yang berprestij ini. Maka, mereka pun berkerja siang-malam, didorong oleh kehendak golongan pentadbir universiti seperti NC yang menyeru supaya mereka berusaha melakukan penerbitan artikel di dalam jurnal-jurnal terindeks ini. Untuk rekod, dua pangkalan data yang paling diraikan oleh universiti-universiti di Malaysia bagi senarai jurnal terindeks ini ialah ISI (sekarang dijenamakan dengan nama korporatnya, Thomson ISI) dan SCOPUS. Barangkali atas alasan berbayar, kemudian ‘berprestij,’ maka sebab itulah mereka begitu berusaha menerobos masuk ke dalam jurnal-jurnal yang tersenarai dalam pangkalan data sebegitu. Kalau masuk yang percuma punya, umpama PubMed, PubChem atau Google Scholar sekali pun, belum tentu serinya itu ada apatah lagi keindeksannya tidak seprestij Thomson-ISI.


Namun, sama ada sedar atau tidak, bukan semua jurnal yang terindeks yang sebenarnya tidak pula menjadi jurnal yang berwasit. Apakah pula jurnal yang berwasit? Istilah 'wasit' ini penulis kali pertama membacanya dalam buku karya Naib Canselor UTM, Prof Dato’ Dr. Zaini Ujang yang membincangkan soal kedudukan universiti. Secara istilahnya, jurnal yang berwasit ini ialah jurnal yang artikel di dalamnya mengalami proses pembacaan dan kritikan oleh komuniti saintifik bagi menentukan sama ada layak atau tidak artikel tersebut diterbitkan. Secara mudahnya, dalam istilah Inggeris disebut: peer reviewed journals.


Oleh sebab itu, jurnal berwasit ini biasanya dikaitkan dengan jurnal akademik, jurnal yang penuh dengan tulisan, warna hitam putih, sangat kurang gambar rajah dan kalau pun ada carta/graf, sangat-sangatlah tidak menarik sama sekali. Jurnal ini mempunyai pengarangnya sendiri (dalam maksud ‘editor’), dan penilai dalaman serta penilai luaran. Kewujudan sistem penilaian inilah yang menyebabkan jurnal berwasit ini mempunyai kredibilitinya tersendiri kerana setiap terbitan artikel di dalamnya telah dinilai oleh organisasi penerbit dan juga penilai luaran yang turut serta memberikan pandangan terhadap artikel tersebut. Misalnya jurnal A yang diterbitkan oleh Universiti A, dinilai oleh pengarang A dan juga pengarang B daripada Universiti B. Disebabkan proses yang begitu lama, biasanya penerbitan jurnal berwasit ini memerlukan masa yang lebih panjang dan wujud senarai menunggu yang sudah pun beratur untuk diterbitkan.


Jadi, berbalik kepada persoalan tadi iaitu jurnal-jurnal yang terindeks dalam kumpulan yang berprestij tadi bukan semuanya tergolong dalam kategori jurnal berwasit. Malah, majalah mingguan pun masuk di dalam senarai jurnal terindeks itu. Maka, di manakah keobjektifan kita sebagai pengguna untuk meletakkan pemberat mana yang diperlukan oleh kita? Kalau di lihat daripada senarai Thomson ISI Social Science (misalnya bersumberkan laman internet pkukmweb) yang begitu ‘berprestij’ itu dan kita akan dapati di dalamnya ada tajuk-tajuk seperti Forbes dan Fortune yang secara teknikalnya merupakan ‘majalah mingguan.’ Tajuk New Scientist dalam senarai petikan ISI-Science pun sebenarnya secara teknikalnya sebuah ‘majalah.’ Mungkin tidak banyak majalah mingguan yang boleh menembusi senarai Thomson ini namun hakikatnya majalah tetap majalah.
Begitu juga Harvard Business Review yang begitu diraikan oleh banyak ahli akademik bidang perniagaan; pada hakikatnya merupakan (bertaraf) sebuah majalah walaupun berbentuk jurnal klasik. Hal ini disebabkan Harvard Business Review bukanlah sebuah jurnal berwasit, malah tidak menyertakan sebarang rujukan (bibliografi) pun untuk setiap artikel yang dikeluarkan! Sedangkan dalam kajian pemasaran seperti ‘kesetiaan pelanggan’ misalnya, salah satu artikel dalam jurnal tersebut telah mendakwa bahawa firma akan mampu mendapat keuntungan sehingga 80 peratus andai mampu mengekalkan hanya sekitar lima peratus daripada pelanggan mereka – seterusnya menyebabkan ‘kegilaan luar biasa’ dalam kajian berkaitan kesetiaan pelanggan (Keiningham et al., Loyalty Myth, John Wiley, 2005 yang memetik Harvard Business School, 1990, no. 5)! Adakah sebab namanya ada perkataan ‘Harvard’ maka prestijnya meningkat tanpa mengira sumber dapatannya?


Isu-isu berkaitan jurnal berprestij berasaskan indeks dan wasit memberikan cabaran kepada epistimologi keilmuan kerana kedua-duanya mempunyai pro dan kontra masing-masing. Namun ada ketikanya komuniti keilmuan terlampau memberatkan sangat sehinggakan kedua-duanyalah seperti ‘segala-galanya’ dalam erti kata akademik. Adakah nilai tulisan (artikel) Prof Abu yang bergelar Prof Ulung atau Prof Diraja lebih rendah jika diterbitkan di dalam akhbar berbanding di jurnal? Bagaimana pula kalau Prof Abu ini seorang yang lebih gemar menulis buku-buku teknikal dan umum yang memungkinkan lebih ramai kumpulan sasarnya berbanding tulisan di jurnal yang kadang-kala terlalu ekslusif untuk diperoleh (dengan fakta banyak pangkalan data jurnal dan jurnal yang ‘berprestij’ berbayar). Akan tetapi, isu kesahihan terhadap apa yang disampaikan juga akan timbul andai tiada siapa yang memantau penulisan; kerana orang boleh menulis apa sahaja yang dia sukakan, mengemuka dan mempromosikan teori mereka sendiri dengan sewenang-wenangnya tanpa sebarang kepustakaan, kajian empirikal ataupun kajian lapangan.


Namun, pada akhirnya sifat keobjektifan sesuatu ilmu pengetahuan sentiasa menjadi pertikaian seandainya prestij jurnal sahaja yang dijadikan sebagai penanda aras keabsahan dapatan kajian. Hal ini sekali gus memberi tamparan hebat kepada norma-norma Merton seperti perkongsian (Communalism), kesegatan (Universalism) dan Tiada berkepentingan (Disinterestedness). Jurnal yang hebat tidak semestinya boleh dibaca oleh orang ramai (kerana capaiannya bukannya percuma) dan perkara ini sudah melanggar konsep perkongsian. Aspek universalisme pengetahuan juga tidak diamalkan kerana majoriti yang terindeks ialah senarai jurnal berbahasa Inggeris dan terbitan Barat. Apabila nilai ilmu itu diletakkan pula sama ada diterbitkan dalam jurnal berprestij ataupun tidak, sudah semestinya akan boleh mencalar norma tiada kepentingan kerana nyata sekali, wujud kepentingan tertentu yang menyebabkan komuniti saintifik itu (baca: Universiti) cuba untuk menerbitkan artikel di dalam jurnal berprestij (agar dapat markah lebih baik dalam senarai kedudukan universiti). Norma Skeptikisme tersusun (Organized Skepticism) juga mungkin boleh dipertikaikan untuk jurnal-jurnal yang termasuk di dalam senarai prestij terindeks namun tidak pula mengalami proses wasit.


Beginilah salah satu cara ketidakpatuhan/ketidakakuran noram-norma Merton dengan menggunakan contoh jurnal berwasit dan jurnal terindeks....

Thursday, October 20, 2011

Pengenalan Pengajian S&T


  • Kali ini, blog ini hendak bincangkan sesuatu yang lain sedikit daripada biasa iaitu berkaitan pengajian sains dan teknologi.

  • Epistimologi - takrifan termudah yang dibuat oleh pensyarah penulis lewat kuliah Sejarah dan Falsafah Sains (di UM)  ialah ilmu yang mengkaji ilmu. Memang memeningkan kepala kita apabila takrifan tersebut mengandungi unsur ganda dua - ilmu kaji ilmu - sudah menjadi ilmu2!?!

  • Bagaimanapun, bidang sejarah dan falsafah sains atau pengajian sains ini merupakan bidang yang tidaklah diraikan sehebat bidang sains gunaan lain seperti kejuruteraan, biokimia, bioteknologi, kedoktoran, astronomi dan sebagainya.

  • Buktinya mudah, lebih banyak dan lebih popular untuk kita mendengar biasiswa yang menanggung bidang-bidang tadi berbanding sejarah dan falsafah sains.

  • Pernahkah kita dengar 'Oh, anak saya dapat biasiswa belajar sosiologi sains,' atau 'kerajaan telah mengumumkan biasiswa 1Malaysia-Otak untuk siswazah bidang kajian pemikiran logik?'

  • Lebih teruk lagi, bidang pengajian sains ini kadang-kala digelar sebagai 'sastera dalam sains' yang tidak meletakkannya ke taraf sains. Mereka yang membincangkannya dikatakan sebagai 'orang bercakap kosong' kerana tiada manfaat secara terus daripada apa yang diperkatakan terhadap sains itu sendiri.

  • Prof Diraja Ungku Abdul Aziz pernah menyarankan supaya pelajar sains didedahkan dengan sejarah dan falsafah sains itu sendiri supaya pelajar mendapat kefahaman yang lebih mengenai asas kepada kewujudan sains itu sendiri.

  • Dan sebagai pelajar sains pula, haruslah diterima bahawa ilmu sains itu sama sahaja dengan ilmu lain. Tiada istimewanya ilmu sains itu.

  • Malangnya, kerajaan kita pun lebih menitik beratkan ilmu sains berbanding yang lain. Sebabnya mudah - ilmu sains kalau hasilnya berjaya dikomersialkan, nescaya mendapat pulangan. Apatah lagi bidang kejuruteraanlah yang menjadi tunjang kepada ekonomi industri di Malaysia seperti petrokimia, pembuatan dan kenderaan.

  • Oleh sebab itu, terjadilah keadaan apabila kita memperkatakan soal etika sains dan teknologi secara berasingan dengan sains dan teknologi itu sendiri.

  • Balik kepada persoalan asal, apabila ilmuan dahulu hendak mengkaji sains daripada perspektif ilmu dan sosial, timbul satu masalah besar.

  • Bagaimanakah hendak mengkaji sesuatu yang ulung (iaitu sains) dengan menggunakan ilmu yang tidak ulung (iaitu seperti sejarah, sosiologi dan budaya)? Sedangkan sains itu sendiri merupakan satu ilmu yang berteraskan pembuktian empirikal, justeru memerlukan kaedah yang 'lebih empirikal daripada empirikal.'

  • Lantaran ada dikalangan ahli sosiologi sendiri yang enggan meletakkan sains itu sebagai ilmu yang sama dengan ilmu-ilmu yang lain. Sains itu 'suci' kerana mereka yang terlibat dengannya mengkaji alam semulajadi yang tidak boleh dimanipulasikan hasilnya. Misalnya kalau A bercampur dengan B, jadilah C; maka hasil A bercampur dengan B itu akan selama-lamanya C.

  • Lalu bagi merasionalkan lagi keunggulan sains, Merton (1942) telah menggariskan empat prinsip atau norma sains yang perlu wujud, andai sesuatu ilmu itu hendak digelar 'sains' iaitu Commensurable, Universalism, Disinterestedness dan Organized Skepticism secara Melayunya ialah  perkongsian, kesejagatan, tidak berkepentingan dan skeptik yang tersusun.

  • Keempat-empat prinsip/norma sains ini diakronimkan sebagai CUDOS dan merupa tunjang kepada keobjektifan sains itu sendiri. CUDOS inilah yang menjadikan sains dikatakan sebagai unggul kerana hasilnya dikongsi bersama-sama tanpa ada tembok pemisah, mempunyai kesaksamaan nilai antara satu sama lain tanpa mengira sempadan geografi dan sosial, tidak mempunyai pengaruh keuntungan dan berjaya mengharungi kritikan daripada rakan-rakan.

  • Prinsip-prinsip tersebut sekali imbas membuatkan sains terletak pada kelasnya tersendiri lebih tinggi daripada ilmu lain. Buktinya, di Malaysia misalnya kita pun lebih meraikan graduan sains daripada graduan sastera atau sains sosial. Lebih banyak dana yang disumbangkan untuk pembelajaran dan penyelidikan sains berbanding yang lain. Malah, pelajar-pelajar cemerlang dalam peperiksaan awam rendah (seperti PMR) disarankan (atau dimasukkan) ke kelas sains tulen. Jarang sangatlah kalau kita dengar biasiswa untuk Ijazah Sarjana Muda Kesenian mahupun Kajian Sastera. Gaji 'pegawai sains' lebih tinggi berbanding 'pegawai sains sosial.' Begitulah tingginya nilai martabat sains.

  • Namun, benarkah dogma bahawa sains lebih tinggi martabatnya berbanding ilmu lain? Betulkah sains mempunyai unsur-unsur CUDOS yang dicadangkan oleh Merton? Atau perlukah masyarakat mengekalkan pandangan keunggulan ilmu sains selama-lamanya?

  • Blog ini akan cuba merungkai persoalan-persoalan tersebut, Insya-Allah, dalam tulisan-tulisan pada masa akan datang......

  • Selamat datang ke terbitan Pengajian S&T Wadah!