Tuesday, September 10, 2013

Syiah: Kedudukannya di sisi kerajaan sunni Malaysia

  • Syiah di bumi Malaysia bukanlah perkara yang baru. Malah, kehadiran pengaruh Syiah dikatakan sudah mendahului pengaruh Sunni dalam konteks penyebaran Islam di Kepulauan Melayu sejak dahulu lagi. Menurut Mahayuddin Yahya (2001, 165), pengaruh Syiah sudah mula bertapak di Kepulauan Melayu melalui Kerajaan Perlak dan Kerajaan Pasai-Samudera. Menurutnya lagi, fakta ini turut diperkuatkan dengan penemuan manuskrip ajaran Syiah seperti Bahru Lahut yang lebih tua daripada Kitab Aqaid Al-Nasafi yang dikatakan sebagai kitab tasauf berorientasikan Sunni (Mahayuddin Yahya, 2001, 43-54). Dalam sepucuk surat memorandum kepada DYMM Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong, yang tidak dapat penulis disahkan kebenarannya, pengarang surat menegaskan bahawa sememangnya pengaruh Syiah terlebih dahulu tiba di Kepuauan Melayu; malah turut menyatakan dengan terang bahawa amalan-amalan keagamaan tertentu dalam masyarakat Melayu kini sebenarnya diadaptasi   daripada amalan Syiah seperti membaca tahlil arwah, barzanji, maulid dan memakai songkok (Boleh carian Google tentang memorandum ini pada tahun 2011).

 

  • Akan tetapi, dalam konteks kerajaan dan pentadbiran agama negara masa kini, secara jelas telah ditetapkan bahawa umat Islam di Malaysia mengamalkan paradigma Ahli Sunnah wal Jamaah dengan majoritinya beramal dengan Mazhab Syafie. Perkara ini telah dikanunkan oleh Jawatan kuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia pada 5 Mei 1996 dan hampir keseluruhan enakmen syariah negeri di Malaysia.  Justeru, dengan keadaan yang sudah menjadi berfatwa-fatwa, sudah tentulah soal Syiah bukanlah satu soal yang boleh dipandang ringan oleh masyarakat Islam Malaysia.

 

  • Syiah ialah manifestasi ketidakpuasan pengikut-pengikut Sayidina Ali r.a. atas kematian beliau dan sentimen itu bertambah lagi dengan pembunuhan anak beliau, Hussein di Karbala. Kebanyakkan sumber Sunni akan mengaitkan kewujudan Syiah didalangi oleh Abdullah bin Saba,’ seorang Yahudi yang masuk Islam, namun mempunyai rencana yang jahat untuk memecah-belahkan umat Islam. Sedangkan bagi pihak Syiah, mereka menafikan sama sekali kewujudan watak Abdullah bin Saba’ kerana berpendapat watak tersebut sekadar ciptaan pihak-pihak tertentu untuk memburuk-burukkan imej mereka dan mengaitkan fahaman mereka dengan Yahudi. Gerakan Syiah pada awalnya lebih berbentuk sokongan dan pembelaan terhadap Sayidina Ali dan Ahli Bait, namun berubah kepada gerakan politik dan ideologi selepas kematian Sayidina Ali.

 

  • Dalam konteks Malaysia, ajaran Syiah sering diperihalkan sebagai satu ajaran yang sesat dan membahayakan akidah umat Islam. Bagaimanapun, sebagaimana seputar isu-isu yang lain, isu Syiah sekadar menyinggah di laman-laman media cetak ketika panas dan akan menjadi suam kuku menjelang masa. Putaran sebegini akan berterusan tanpa akhir, daripada satu generasi pemimpin ke generasi pemimpin yang lain. Seolah-olah kesan kepada isu sebegini sekadar dibincangkan dalam persidangan atau seminar sahaja, sedangkan penganutnya semakin bertambah lantaran kekurangan tindakan yang konkrit bagi menyelesaikan masalah tersebut.

 

  • Tidaklah dinafikan bahawa kerajaan telah berbuat sesuatu, namun adakah tindakan itu sudah mencukupi? Mengapakan mereka tidak bertindak sebagaimana yang dikenakan kepada kumpulan Al-Arqam yang ditahan beramai-ramai dan diberikan program pemulihan akidah agar mereka kembali kepada akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah? Mungkinkah Syiah merupakan masalah yang lebih global sehingga melibatkan pengaruh hubungan diplomatik dengan negara-negara tertentu sehingga pihak berkuasa tidak dapat bertindak sebagaimana tindakan mereka kepada ajaran-ajaran sesat yang lain? Persoalan sebegini bermain di minda-minda rakyat golongan awam kerana mereka juga inginkan agar ada kata putus dan tindakan yang tampak (tangible) dalam usaha membendung fahaman yang mendominasi mazhab akidah di Iran dan Iraq ini.

 

  • Malah, dikatakan bahawa pemimpin parti politik tertentu menyokong gerakan Syiah di Malaysia sambil membenarkan ahlinya dikalangan gerakan tersebut. Hal ini sudah tentulah akan menimbulkan persoalan, Islam jenis apakah yang diperjuangkan oleh parti politik itu? Kalau Syiah pun diberikan ruang, apa kurangnya Ayah Pin, Al-Arqam dan ajaran-ajaran sesat yang lain? Al-maklumlah, mereka turut mengakui bahawa mereka memperjuangkan kalimah Tuhan Yang Maha Esa dan menyeru manusia agar selamat dunia- akhirat! Pada masa yang sama juga, terdapat pula pertengkaran ‘manja’ sesama ulama kelompok Sunni sendiri yang promazhab dengan yang Salafi/Wahabi dalam mendepani isu Syiah sambil berlaku tuduh- menuduh antara satu sama lain. Hal sebegini sudah pasti akan  mengelirukan sama sekali orang awam yang kemungkinan besar akan menyebabkan mereka berasa bosan dan enggan lagi sama sekali untuk ambil tahu sebarang permasalahan dan isu akidah yang melanda umat Islam Malaysia.

 

  • Cukup-cukuplah kita bercerita tentang politik kerana isu akidah sebegini lebih berat berbanding politik. Sebab kadang-kala orang politik sanggup membuat apa sahaja untuk mencapai apa yang dihajatkan. Kini, sudah tiba masanya hala tuju dan perhatian ulama-ulama dan cendekiawan kita menghala ke arah pembentukan kesatuan ummah dalam menghadapi kebejatan akidah di kalangan umat Islam dalam negara ini. Dan apabila menyebut tentang kenegaraan dalam konteks Syiah, perkara ini bukanlah membawa konotasi nasionalisme, bukan pula membawa konotasi patriotisme. Sebaliknya, kita sedang berhadapan dengan permasalahan akidah yang menuntut tok-tok guru kita berganding bahu menyelesaikannya bersama-sama.
    Moga-moga tok-tok guru kita memahami perkara tersebut hendak-Nya.

 

Rujukan

Mahayudin Haji Yahya (2001) Islam di Alam Melayu, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Saturday, September 7, 2013

Duhai sasterawanku

 

Penulis pernah membaca novel tulisannya, membayangkan sebuah pantai yang berhadapan dengan sebuah pulau, maka tajuk dikulit bukunya itu pun 'Di Hadapan Pulau.' Konflik kemanusian buruk lantaran Perang Dunia ke-2 dipaparkan dalam novel terbabit sehinggakan klimaks ceritanya, ada watak (Namanya Kapten Hebat) yang terpaksa makan seekor monyet belaan (bernama Mokmeng) mentah-mentah mungkin disebabkan kelaparan.

Bukan karya ini sahaja yang sinonim dengan empunya badan ini. Novelnya yang berjudul Salina diangkat sebagai magnum opus karyanya dan drama pentas Lantai T. Pinkie turut menjadi karya yang dibincang dan dianalisis dalam bidang kesusasteraan. Sumbangan terbesar kelahiran Melaka ini dalam kesusasteraan Islam mungkin boleh ditonjolkan lewat Puisi Panjang Al-Amin.

Itu sekadar beberapa tajuk-tajuk penting yang menjadi batu tanda terhadap pencapaiannya. Tidak hairanlah beliau diangkat sebagai Sasterawan Negara (SN) sebagai gelaran tertinggi dan terulung yang diberikan kepada seorang sasterawan dalam negara ini. Bagaimanapun, penampilannya yang begitu 'zuhud' dengan membiarkan rambut panjangnya, misai dan janggutnya nak putih menjadi imej yang mudah diingati. Akan tetapi, tidak semegah gelarannya yang digandingkan dengan perkataan ‘Negara,’ kini beliau seumpama penyair jalanan yang menuntut itu dan ini dalam rangka membawa idealisme yang baru untuk ditanamkan dalam masyarakat Malaysia.

Itulah agaknya bendera negara pun dia nak tukar yang baru!

Bukanlah sesuatu yang asing bagi seorang sasterawan, apatah lagi yang diangkat sebagai Sasterawan Negara untuk berkarya dan memperlihatkan kecenderungannya kepada pihak pembangkang. Sebelum ini, SN Dato' Dr Shahnon Ahmad turut berkarya menonjolkan kecenderungannya kepada pembangkang, malah suatu ketika beliau sendiri merupakan ahli yang bergiat aktif dalam jawatankuasa pusat parti. Banyak karya-karyanya dan sasterawan lain yang turut memperlihatkan sisi tersirat yang cunderung kepada satira politik negara dan secara tidak langsung menyindir parti pemerintah seperti Shit, Naratif Ogonshoto dan Kawin Kawin.

Tak terkecuali SN Dato' A. Samad Said. Bermula daripada peristiwa perarakan Keranda Mac 2009 (diambil nama sempena kejadian Keranda 152 yang turut disertai dan dijadikan puisi oleh Allahyarham SN Dato' Usman Awang), arah kecenderungan A. Samad Said bolehlah dilihat memihak kepada para pembangkang. Apa yang dihairankan pula ialah, apabila dasar PPSMI dimansukhkan, tidak pula dibuat perarakkan keraian keranda PPSMI! Kemudian, daripada semasa ke semasa, A. Samad Said melibatkan diri secara aktif dalam politik sebagai penaja Bersih dan mungkin kini, penaja bendera baharu Malaysia.

Kalau di bawah kerajaan semasa ini pun beliau mendapat gelaran Sasterawan Negara, maunya kalau pihak yang disokongnya menang pilihan raya dapat gelaran ‘Mahasastera’ gamaknya.

Tidak salah sebenarnya sasterawan-sasterawan mengemukakan karya yang bersifat kritikal kepada kerajaan pemerintah. Malah, perkara ini memang merupakan corak penerimaan komuniti kesusasteraan yang lebih gemar karya-karya yang bersifat 'anti-establishment' dan kritikal. Jarang benarlah kalau karya itu dilihat sebagai mengipas punggung pemerintah akan diangkat sebagai karya sastera hebat (atau sebenarnya tak ada langsung).

Namun, untuk seseorang yang bergelar SN terlibat sama dalam agenda tukar bendera negara kepada yang baru dicipta (ada orang yang mengaku bahawa dialah yang mencipta bendera tersebut) ialah satu tindakan murahan dan mencacatkan sama sekali gelaran yang diterimanya. Tak hairanlah kalau pak menteri pun ada menyatakan bahawa kemungkinan beliau mengalami masalah kemurungan. Dah habis isu ke A. Samad Said sampaikan bendera negara pun beliau nak tukar? Perlukah tukar bendera untuk tukar sama sekali idealisme dalam memerintah negara? Mesti tukar benderakah barulah negara ini dikatakan Bersih? Adakah pembangkang yang menaungi tindak tanduknya akan melaksanakan agenda tukar bendera seandainya berjaya Tukar Kerajaan?

Nasib baiklah pembangkang di luar negara tidak berfikiran sebagaimana pembangkang Malaysia sebab kalau tidak, pening jugalah kepada otak kita hendak ingat bendera baru negara tersebut setelah mereka menang pilihan raya. Maunya Jepun ada bendera baharu semasa DPJ memerintah satu ketika dahulu, atau Indonesia mengeluarkan bendera baharu selepas regim Suharto, atau Thailand tampil dengan bendera baharu setiap kali ‘baju berlainan warna’ berjaya memerintah negara tersebut!

Dan seharusnya A Samad Said, yang begitu lantang mengutarakan persoalan krisis peperangan, kesukaran semasa zaman penjajahan dan kesan buruk keadaan huru-hara dek perang dalam karya-karyanya lebih mengetahui dan memahami hal tersebut. Bendera menunjukkan bangsa dan negara dan seandainya dengan mudah sahaja hendak ditukar-tukar hanya kerana ‘nampak macam bendera Amerika,’ maka apakah yang tinggal pada bangsa dan negara? Mungkin umum perlu diberitahu bahawa meskipun sekali pandang macam ada dengan bendera negara Uncle Sam itu, spesifikasinya cukup berbeza dan takrifan kepada segala simbol pada bendera itu turut berbeza.

Mungkin akhirnya A Samad Said tidak lagi di kenang sebagai sasterawan yang terus-menerus memperjuangkan genre sastera dalam masyarakat kita. Yalah, nak tulis pasal penjajahan Jepun je memanjang, siapa nak baca; sedangkan Jepun pun sudah mara ke hadapan untuk bangkit daripada Hiroshima dan Nagasaki. Sebaliknya, beliau mungkin mahu dikenang sebagai sasterawan yang terjun dalam bidang politik dan mungkin berjaya mengubah bendera Malaysia kepada bendera yang mirip Indonesia dan Singapura. Beliau mungkin mahu dikenang sebagai Pengerusi Bersih dan penyair jalanan yang ingin membersihkan politik Malaysia yang kotor – tak kira mana pihak pun..

Maka alangkah ruginya dunia sastera kita....

Wednesday, September 4, 2013

Kursus yang berguna untuk siswa?

 

Musim kemasukan baharu pelajar ke IPTA kembali lagi dan sudah semestinya harapan yang besar diletakkan kepada pelajar-pelajar ini untuk keluar dengan ilmu yang dikehendaki dan kemahiran insaniah yang diperlukan. Akhbar harian hari ini sampaikan menayangkan gambar bakal-bakal siswi dengan anak patung besar (teddy bear/teddy rabbit) masing-masing sebagai peneman mereka kelak di kolej kediaman dalam mengharungi cabaran sebagai seorang pelajar IPT. Biasanya nada yang disampaikan dalam berita-berita sebegini ialah berkenaan dengan 'bakal-bakal siswa harapan bangsa,' moga-moga mereka akan mencapai segulung ijazah setelah bergelumang dalam alam akademik selepas beberapa tahun di universiti.

Bagaimana pun, apa yang berlaku selepas tempoh masa tersebut tidaklah seindah yang disangka. Ada yang berjaya dalam perjalanan memanfaatkan sepenuhnya apa yang diajar ketika berkuliah bersama pensyarah-pensyarah mereka, dan tidak kurang juga jenis yang berakhir dengan belajar engineering tapi akhirnya menjadi tauke perniagaan di internet buat kek cawan. Ataupun mula-mula kerja sebagai doktor namun akhirnya bertukar kerjaya sebagai pengusaha pemasaran pelbagai aras atau dalam bahasa mudahnya 'multi-level marketing.'

Saban hari kita mendengar rintihan daripada belia yang tidak mendapat sebarang pekerjaan yang releven dengan apa yang dipelajari di institusi pengajian tinggi. Pak-pak menteri juga turut menggesa agar bakal-bakal siswa memilih 'dengan betul' sebarang kursus yang hendak diambil kelak di universiti agar mereka mendapat kerja selepas mereka tamat pengajian di menara gading. Dalam banyak keadaan, pihak pelajarlah yang biasanya dipersalahkan kerana tidak melengkapkan diri mereka dengan kemahiran insaniah yang berkesan bagi menghadapi cabaran semasa memburu pekerjaan. Siswa yang keluar daripada IPT dikatakan tidak memiliki 'skil kerja’ yang dikehendaki oleh pasaran yang menyebabkan mereka tidak mendapat kerja di pasaran.

Kendatipun, seandainya seseorang itu berjaya medapatkan pekerjaan dalam hidang yang dipelajarinya, bukanlah bermakna seseorang itu gagal dalam pembelajarannya di universiti atau gagal mengaplikasikan apa yang dipelajari semasa di IPT. Sebaliknya, peluang untuknya dalam bidang yang dipelajari di institusi itu sendiri yang tidak mencukupi. Akhirnya, disebabkan dia sendiri terdesak untuk mencari kerja dan mendapatkan pendapatan untuk membiaya diri, maka akhirnya dia akan berkeja juga dalam bidang yang dipelajarinya. Pada masa yang sama, kalau pun seseorang itu berjaya mendapatkan kerja dalam bidang yang dipelajarinya di universiti namun terjebak dalam peluang yang lain untuk 'meningkatkan potensi diri' dan memperoleh gaji yang lebih tinggi maka sudah tentulah pembabitannya dalam tugas yang lagi satu itu akan menjadi pilihan. Bayangkanlah kalau buat ‘part time’ pun sudah memperoleh pendapatan yang memuaskan hati, apatah lagi kalau bekerja sepenuh masa! Mestilah pendapatan lebih 'masyuk.'

Adakah ini satu kegagalan?

Persoalan ini sebenarnya terlalu retorik untuk ditanya. Kerana gagal apakah jika seseorang itu berjaya kerja dalam kerjaya yang memberikan pendapatan untuk dirinnya? Sedangkan daripada satu segi, bidang yang dipilihnya itulah yang gagal memberikan kerja kepadanya. Mungkin disebabkan lambakan calon yang telah menyertai bidang terbabit. Atau mungkin disebabkan nic pasaran bagi bidang tersebut lebih kecil daripada yang lain. Atau mungkin juga memang si calon itu sendiri yang tidak mempunyai 'kemahiran' yang diperlukan untuk menyertai bidang terbabit. Bagaimanapun, dia tetap mempunyai pekerjaan yang memberinya pendapatan yang memuaskan.

Akhirnya, kita kembali semula kepada saranan menteri dan orang-orang besar yang menggesa untuk bakal siswa untuk memilih kursus yang terbaik untuk pasaran kerja, maka kursus apa yang terbaik untuk pasaran kerja yang dimaksudkan itu? Kalau ditanya kepada pakar akademik pun nescaya mereka tidak mampu untuk memberi jawapan yang tepat bagi persoalan ini. Pasaran kerja; sebagaimana pasaran saham tidak akan mampu diterangkan secara tepat akan fenomenanya yang berlaku oleh pakar apa pun. Persoalan sebegini berbentuk multifaktor yang tidak mungkin dapat diterangkan dengan satu sebab sahaja.

Tambahan pula, dengan kejadian 'boom,' 'gelembung' serta 'letupan' ICT yang berlaku pada awal alaf ke-21 yang menyebabkan begitu ramai pelajar yang mengambil jurusan berkaitan ICT. Kesannya ialah 'lambakan' graduan ICT pada suatu ketika sehinggakan menimbulkan isu keberkesanan dan keperluan jurusan tersebut dikekalkan. (Penulis perlu akui bahawa situasi ini lebih kepada persepsi berbanding fakta kerana ada dikalangan kenalan penulis yang menafikan sama sekali ‘lambakan graduan ICT’ sambil menegaskan bahawa graduan jurusan itulah yang paling marketable.)

Begitu juga dengan beberapa kursus-kursus lain yang keperluannya menjadi samar lantaran keadaan semula jadi kursus tersebut. Misalnya perguruan yang begitu enigma kerana berlaku lambakan lepasan jurusan pendidikan sehingga terpaksa menunggu beberapa tahun untuk mula berkhidmat sedangkan pada masa yang sama, berlaku pula kekurangan guru di sekolah-sekolah tertentu menyebabkan kelas tergendala dan pihak sekolah terpaksa menggaji guru tak terlatih. Hal-hal sebegini hanya mereka yang mahir tentangnya sahaja yang faham mengapa perkara ini berlaku.

Justeru, soal pemilihan jurusan oleh pelajar pada masa sekarang ini masih lagi boleh dikatakan sebagai sesuatu yang kabur (fuzzy). Sama ada seseorang itu berjaya atau tidak dalam mengaplikasikannya dalam kehidupan dan pekerjaan terletaklah pada beberapa faktor, dan takdir, waktu dan keadaan memainkan peranan yang besar dalam perkiraan tersebut. Lebih-lebih lagi jurusan separa teknikal, separa akademikal dan separa business driven seperti sains tulen dan sains gunaan akan tertakluk kepada kecenderungan, keadaan, peluang dan ruang untuk pelajar itu benar-benar menggunakan apa yang dipelajari di dewan kuliah dan makmal.

Akhirnya, terkenang kembali apa yang pernah pensyarah penulis katakan dalam kuliahnya sebagai selingan, jika anda benar-benar ingin menggunakan apa yang dipelajari, maka jadilah seorang pensyarah! (If you really want to use what you’ve have learnt, then be a lecturer!)