Tuesday, December 13, 2011

Kalau betul, sila dedahkan

 

Kata-kata Tun Dr Mahathir berkenaan penguasaan Yahudi di US dan pengaruh mereka dalam melancarkan gerakan 'pendemokrasian kerajaan' di negara-negara yang tidak menyokong mereka merupakan satu kata-kata tipikal daripadanya. Bukanlah sesuatu yang rahsia Dr M merupakan seorang pejuang keamanan dan dalam banyak ucapannya dan tulisannya, sering mengaitkan keganasan dan peperangan dengan pengaruh Yahudi di US.

Bagaimanapun, masalah timbul apabila beliau sendiri tidak dapat mendedahkan sebarang nama mereka yang terlibat dalam gerakan tersebut di Malaysia sebagaimana yang dilaporkan oleh Berita Harian (12/12/11, m.s. 2) walaupun beliau mengaitkannya dengan kerja NGO, Majlis Peguam dan pembangkang. Penulis tidak ada masalah untuk memahami mengapa beliau beranggapan demikian. Nama ketua pembangkang memang biasanya digunakan dalam hal-hal berkaitan dengan unsur Yahudi dan 'kawan rapatnya' Paul Wolfowitz. Bagaimanapun, permasalahan timbul apabila pihak Dr M dan penyokong citra tersebut kelihatan seolah-olah gagal untuk menjelaskan modus operandi kepada proses pengaruh keyahudian tersebut dengan bukti yang bersifat konkrit dan bukan sekadar 'circumtancial' sahaja.

Benarlah kawan kepada pembuat minyak wangi akan terkena tempias wanginya minyak yang dihasilkan dan yang bersahabat dengan tukang besi pasti akan terkena percikan api serpihan besi, namun perkara tersebut tidak pantas untuk mengatakan seseorang itu menganut ideologi kedua-dua kawannya itu. Kita pasti, sekiranga betul dan wujud dalil konkrit yang Anwar itu bersahabat baik dengan orang Yahudi, sudah semestinya ada puak-puak tertentu yang tetap akan membelanya. Sirah nabawi akan digunakan bagi merasionalkan mengapa beliau boleh berkawan dengan Yahudi. Dalil Al-Quran akan digunakan bagi membela hubungan Anwar Ibrahim dengan Yahudi ini. Hal-hal sebegini ialah sesuatu yang pasti. Alangkan Tuan Guru Sohibus Samahah Datuk Setia DiRaja Nik Aziz pun diakui tarafnya Nabi oleh seorang ustaz mengaku budak - pun dikatakan betul dan sohih, inikan pula sekadar Anwar Ibrahim berkawan dengan Yahudi! penakluk dunia!

Nampak sekali bahawa usaha dalam membuktikan sumber besar yang diterima oleh Anwar Ibrahim dan ''NGO-NGO' tertentu yang ingin menghuru-harakan Malaysia masih lagi di tahap yang cetek. Selagi bukti jelas dan nyata tidak mampu dikemukakan oleh golongan antikonspirasi Yahudi, selagi itulah juga konspirasi tersebut masih bersifat spekulatif. Hal yang sama juga yang dimainkan oleh Anwar Ibrahim dalam merasionalkan betapa beliau merupakan seorang yang dizalimi sedari beliau memasuki dunia politik lagi. Kezaliman terhadap beliau akan terus dijadikan sebagai senjata yang ampuh untuk pihak pembangkang meraih sokongan daripada rakyat dan sekiranya mereka memenangi PRU, seluruh landskap politik, sejarah, ekonomi dan pendidikan boleh sahaja diubah bagi menyokong perjuangan mereka memerdekakan tanah air! Mereka boleh mengisytiharkan hari cuti baru iaitu kemerdekaan daripada kezaliman BN. Perkara sebegini boleh dilakukan!

Justeru, usaha 'mengantoikan' Anwar Ibrahim, Majlis Peguam dan NGO-NGO tertentu ini perlulah dilakukan dengan betul-betul cermat dan bersungguh-sungguh kerana andai tidak, berita itu sekadar menjadi satu spekulasi yang bermain di dalam nuansa politik; tetapi terlalu sedikit kesannya dalam melunturkan sokongan terhadap mereka. Jelasnya, kalau betullah mereka ini terlibat sebagai ejen US dalam menggulingkan kerajaan, bukti perlu dikemukakan. Dedahkan sumber kewangan. Dedahkan masa perjumpaan. Peranan media massa sangat penting dalam hal ini jadi, bersediakah media massa melakukannya?

Sebab medialah yang boleh mencanang sesuatu dalam perspektif buruk dan baik untuk ditayangkan kepada penonton dan menunjangi persepsi mereka. Umpama Channel NewsAsia yang begitu beria-ia menayangkan banjir kilat di Kajang, seolah-olah betapa teruknya keadaan di Malaysia ketika itu, sedangkan berminggu-minggu lamanya sebelum itu, kota Singa dilanda dengan banjir kilat juga, tenggelam juga premis-premis tertentu; langsung tidak dihebahkan dalam berita mereka (tetapi terkantoi jua dalam internet).

Media menanamkan persepsi penonton terhadap isu semasa; dan Dr M pun perlu sedar keperluan tersebut!

Friday, December 9, 2011

Apa yang beria Ph.D?

 

Terbitan kali ini hendak membincangkan himpunan dan ulasan berkenaan Ph.D; sekadar muntahan persepsi penulis setelah menghadapi sebuah kursus berkaitan kaedah penyelidikan. Ph.D (ejaan yang betul Ph titik, D) ialah ijazah tertinggi yang boleh diperoleh daripada sesebuah universiti. Walaubagaimanapun, hal ini hanya benar dalam dunia pembelajaran akademik seseorang kerana pihak universiti pun biasanya akan lebih meraikan penganugerahan Ijazah Doktor Kehormat kerana jasa seseorang itu kepada negara; walaupun beliau tidak mendapat pendidikan rasmi sebagai Ph.D. Dalam beberapa buah negara, wujud juga ijazah yang lebih tinggi daripada Ph.D yang menggunakan huruf D dihadapannya (seperti DSc.) bagi kajian yang disifatkan sebagai sangat-sangat tinggi mutunya.

Dengan namanya sahaja, sudah semestinya orang akan mengaitkannya dengan ‘falsafah.’ Jujur penulis akui bahawa apabila kita mendengar perkataan Doktor Falsafah, sudah semestinya kefalsafahan itu akan bermain di minda kita. Kalau doktor biasa, merawat pesakit maka Doktor Falsafah, sudah tentu akan berfalsafah. Falsafah ialah berkaitan kebijaksanaan dalam keilmuan. Ahli falsafah pula dikaitkan sebagai penggemar hikmah. Malah, tidak kurang juga yang mengaitkannya dengan istilah ‘sufi’ sendiri kerana ahli tasauf satu ketika dahulu cukup gemar membahaskan falsafah-falsafah berkaitan ketuhanan. Sehinggakan Imam Al-Ghazali menulis karya pentingnya iaitu Tahafut-Al-Falasifah – juga berkaitan berdebatan falsafah (kecelaruan falsafah).

Namun, dalam konteks akademik, lebih-lebih lagi dalam bidang sains, kajian atau penyelidikan yang dikemukakan bagi tujuan Ph.D tidaklah sehingga seseorang calon itu boleh memfalsafahkan sesuatu bidang. Seorang yang memiliki Ph.D dalam bidang sains perubatan misalnya belum tentu dapat berfalsafah mengenai sebab kewujudan sesuatu ubat atau penyakit. Yang biasa mereka kerjakan ialah hendak mencari sesuatu yang ‘baru’ dalam bidang perubatan. Falsafah mengenai perubatan belum tentu disentuh dalam penulisan disertasinya. Pemegang Ph.D dalam ekonomi juga belum tentu dapat membahaskan falsafah ekonomi dunia ini sehingga membawa kepada jatuh bangun sesebuah tamadun bangsa. Pendek katanya, walaupun dikaitkan dengan gelaran falsafah; Ph.D yang dikerjakan bukanlah untuk menyelesaikan masalah dunia!

Jadi, apakah sebenarnya yang dibuat oleh calon Ph.D atau apakah yang diperlukan untuk mendapatkan Ph.D itu sendiri?

Bolehlah dikatakan bahawa jangkaan kepada pemegang ijazah tinggi seperti Ph.D ini seharusnya direndahkan kembali sebagai seseorang yang telah mendapat sesuatu yang lebih tinggi berbanding sebelumnya. Dia bukannya ahli falsafah. Berpijaklah di bumi yang nyata. Belum tiba tahapnya untuk memfalsafahkan sesuatu. Belum lagi dia boleh dikatakan sebagai seorang penggemar hikmah. Malah, dalam banyak keadaan pun, bicara orang yang berPh.D kadang-kala tidak menggambarkan yang dia berilmu; apatah lagi hendak mengatakan dia penggemar hikmah!

Kita dapati bidang ilmu berkembang dengan pesat dan perkara inilah yang menjadi cabaran kepada keertian dalam hasil kajian Ph.D itu sendiri. Hasil kajian pada hari ini mungkin akan menjadi sejarah pada hari esok. Kepesatan ini bukan hanya disebabkan betapa ramainya orang yang berkepinginan untuk membuat Ph.D, malah ditambah pula dengan betapa mudahnya manusia mencapai maklumat bagi melaksanakan kajian dan penyelidikan dalam sesuatu bidang. Malangnya, maklumat dan ilmu bukanlah segala-galanya dalam kajian seseorang apabila faktor material seperti kewangan dan peralatan/pekakasan/subjek bahan pun perlu diambil kira oleh seseorang pengkaji. Mereka yang gemar melaksanakan kajian in vivo (iaitu secara bahasa mudahnya, menggunakan makhluk contohnya tikus, mencit) misalnya mungkin akan menemui jalan yang sukar andai dilaksanakan di sesebuah negara yang begitu menyanjungi hak haiwan, sementara alatan canggih yang berjuta-juta mungkin menjadi hambatan kepada mereka yang memerlukannya.

Pada masa yang sama, pelajar yang mengaji Ph.D juga dikaitkan dengan cabaran dirinya sendiri untuk menyiapkan segala kerjanya. Pelajar tersebut akan menghadapi pengalaman dan kerenah yang berbeza-beza berbanding rakan-rakannya yang lain kerana tidak akan ada di kalangan mereka yang akan membuat tajuk yang sama! Pada ketika inilah perangai dan fiil manusia akan terpancar terang dan tertonjol kepada persekitarannya. Mana yang sebenarnya hasad akan tertampaklah hasadnya itu. Mana dikalangan mereka yang suka mengambil kesempatan, akan muncullah dengan jelas dan nyata perangai oppurtunisnya kepada kita. Hubungan penyelia-pelajar juga mungkin akan menjadi apa yang dikatakan sebagai pahit-manis. Lain orang lain perasaan dan kesannya. Apa yang penting ialah kemandirian seseorang itu dalam menghadapi sebarang cabaran daripada segenap pelusok arah sama ada berkaitan kajiannya ataupun pengaruh luar. Bak kata iklan Grey’s Anatomy – ‘change is literally the only constant!’ (perubahan ialah satu-satunya yang malar; dipercayai sebagai mempunyai unsur falsafah Heraclitus).

Secara rangkumanya, Ph.D ialah sekeping sijil dan tidak lebih daripada itu. Tiada orang boleh berbangga bahawa dia sudah mempunyai Ph.D kerana kini, begitu ramai juga yang mempunyai Ph.D. Lebih mencabar lagi, begitu ramai juga mereka yang kaya-raya namun ijazah am pun tidak lepas! Secara falsafahnya, Ph.D ialah satu langkah untuk membolehkan seseorang itu diiktiraf sebagai berkebolehan melaksanakan kajiannya sendiri. Namun, tidak semestinya dengannya sahajalah sesebuah kajian itu boleh dilaksanakan. Ambillah contoh Edison, cuba 2000 kali untuk mencari mentol lampu dan selepas itu, barulah beliau berjaya. Daripada satu segi, keraian dalam bidang keilmuan itu sendiri bukanlah sesuatu yang diperhebahkan apatah lagi dalam suasana masyarakat pada hari ini. Dengan tuntutan pengkomersialan, bidang penyelidikan kini bukan sahaja untuk memberikan sumbangan kepada keilmuan, malah merupakan satu cara untuk menjana pendapatan yang lumayan.

Sama ada perkara sebegini akan menyebabkan pencabulan kepada prinsip-prinsip sains yang unggul sebagaimana yang diteorikan oleh Merton, adalah menarik untuk sama-sama merenungkannya. Apa yang pasti, tidak dapat tidak, norma-norma Merton akan menghadapi cabaran yang sengit dalam mempertahankan dirinya sendiri!

Thursday, December 8, 2011

Ekonomi? Apa benda nak bincang tentang ekonomi?

 

Ruangan Rencana dalam Berita Harian (8/12/11) menarik perhatian penulis apabila mengemukakan permasalahan berkaitan perbahasan usul ekonomi dalam Perhimpunan Agung UMNO 2011 yang lepas. Antara ulasan yang diberikan oleh pengarangnya, Anwar Patho Rohman ialah betapa 'rendahnya' mutu perbahasan berkaitan isu ekonomi dalam perhimpunan tersebut dan pembahas yang kebanyakannya hanyut dek aura hendak meletakkan CEO GLC daripada kalangan orang UMNO.

Pembahas seolah-olah sekadar menyanjung tinggi segala usaha Presiden mereka tanpa secara kritikal memberikan input yang berguna kepada persidangan yang disertai oleh mereka. Seolah-olah mereka sekadar memuntahkan kembali apa yang kerajaan sedang lakukan tanpa memberikan cadangan yang bernas dalam aspek penambahbaikan ataupun mencambahkan idea baru. Jarang yang diperkatakan berkaitan peranan UMNO dalam membangkitkan kuasa ekonomi orang Melayu secara menyeluruh terutamanya mereka yang berada di luar bandar, apatah lagi di bandar.

Sekali lagi, dikotomi bandar-luar bandar itu wujud kembali kerana secara dasarnya, keperluan kedua-dua sektor adalah cukup berbeza. Misalnya bagi kawasan luar bandar, kerajaan boleh 'pajakkan' tanah suruh orang bertani, berternak namun di bandar, jangankan hendak bercucuk tanam, menanam pokok hiasan pun kadang-kala tiada tempat lantaran tinggal di flat. Harga barang, makanan dan rumah yang kadang-kala tidak masuk akal menyebabkan kehidupan mereka berada dalam tekanan walaupun mungkin mempunyai gaji yang melebihi RM3000. Hal inilah yang jarang diperkatakan oleh UMNO dan orang UMNO.

Program usahawan juga kini tidak boleh hanya tertakluk kepada luar bandar sahaja. Kini, sudah tiba masanya kerajaan memberikan tumpuan khusus bagi pembangunan usahawan bandar juga. Kita perlu memahami bahawa apabila bercakap mengenai perniagaan, situasi di bandar dan luar bandar cukup berbeza. Mungkin imej dan persepsi seseorang tauke di kampung-kampung tidak menjadi permasalahan sangat; ada dikalangan mereka yang boleh berjaya tetapi kekal menggunakan Waja atau Pesona. Di bandar, lain pula ceritanya. Disebabkan kegiatan mereka jauh lebih kompleks, mereka memerlukan sesuatu yang lebih kerana mungkin terpaksa berurusan secara niaga-ke-niaga (B2B). Jadi, adakah pelanggan mahu menjalinkan kerjasama ataupun urusan perniagaan dengan si tauke hanya memakai MyVi atau ViVa? Imej dan persepsi memainkan peranan penting dalam hal ini walaupun bukan jaminan kejayaan sesuatu peniagaan.

Semua orang bercakap tentang harga perumahan yang telah meningkat tinggi dan usaha kerajaan bagi membantu rakyat yang berpendapatan rendah dan sederhana untuk memiliki rumah. Namun, pada masa yang sama, jarang orang memperkatakan projek perumahan yang mewah dengan harga yang tidak masuk akal; tetapi tetap dibeli oleh orang. Hal ini membuktikan bahawa marginisasi antara yang kaya dan yang miskin sebenarnya semakin meluas. Apabila perumahan yang menelan harga hampir jutaan ringgit seunit masih mempunyai ramai pembeli atau habis dijual, sudah semestinya perkara sedemikian membuktikan kewujudan orang kaya Malaysia yang mampu untuk membelinya. Namun, pada masa yang sama, begitu ramai juga rakyat Malaysia yang begitu sukar untuk memiliki rumah sendiri dan perkara sebegini memberikan gambaran betapa wujudnya juga permasalahan pemilikan rumah bagi mereka yang berpendapatan sederhana. Andai kita mengambil kira komposisi mereka yang pendapatan sederhana jauh lebih besar berbanding yang kaya, sudah tentu perkara ini amat merisaukan kerana jurang antara yang kaya dan yang sederhana sebenarnya bertambah. Tiba ke satu tahap, kewujudan golongan berpendapatan sederhana akan menjadi 'pupus' dek kerana ada yang mungkin mampu menghala ke kategori berpendapatan tinggi sedangkan begitu ramai yang tidak mampu akan jatuh semula ke kategori berpendapatan rendah.

Oleh yang demikian, isu miskin bandar sebeginilah yang seharusnya cuba diselesaikan oleh pihak kerajaan bertunjangkan UMNO kerana mereka yang mempunyai kuasa. Dan orang UMNO ataupun pihak daripada Pakatan perlulah sedar akan kewujudan masalah sebegini kerana tampak sangat akan kurangnya idealisme dan hala tuju bagi menyelesaikan permasalahan ini. Lebih-lebih lagi, dalam konteks ekonomi, perkara sebeginilah yang harusnya diutarakan dalam perbahasan seperti dalam Perhimpunan Agung UMNO kerana membabitkan kepentingan golongan bumiputera yang banyak tergolong dalam kategori sederhana. Sehingga kini, konsep kemiskinan bandar masih lagi dibiarkan dalam keadaan samar sedangkan kewujudnya tidak boleh dinafikan. Sebagai parti yang menunjangi perjuangan orang Melayu, isu ini tidak boleh dipandang sepi kerana kelak akan menjadi duri dalam daging sokongan terhadap UMNO sendiri.

Sebab kepada permasalah ini mungkin berpunca kepada sumber atau maklumat terhadap ekonomi itu sendiri. Sebagaimana yang pernah penulis pernah utarakan, sumber berkaitan ekonomi yang dalam Bahasa Melayu sendiri sangatlah kurang sedangkan yang hendak membincangkannya ialah 'orang UMNO.' Sedangkan minat orang awam tentang ekonomi juga bukanlah berada pada tahap yang baik. Melihat kepada akhbar Bahasa Melayu tempatan sahaja kita boleh nampak betapa sedikitnya ruang yang diberikan kepada sektor ekonomi berbanding yang lain. Malah, cerita artis pun boleh mendapat satu sisipan khas pada hari minggu; tidak termasuk sisipan mini harian tentang mereka. Cerita wartawan hiburan tak dapat jemputan kahwin lebih diraikan berbanding kisah betapa ramainya rakyat Malaysia yang muflis angkara kad kredit. Kesemua itu menunjukkan tahap minda masyarakat Melayu yang tampak masih kurang peka terhadap isu ekonomi.

Hendak salahkan pihak akhbar pun tidak boleh juga kerana mereka pun hendak buat untung. Mengapa hendak sediakan ruang yang banyak kepada isu yang jarang dibaca? Justeru, melainkan anjakan paradigma berlaku dalam keseluruhan masyarakat Melayu, kita pun sebenarnya boleh ramalkan, apakah intipati usul ekonomi dalam Perhimpunan Agung UMNO akan datang - puji Perdana Menteri, salahkan pula GLC!