Sunday, October 13, 2013

PRK Sungai Limau: Apa yang boleh UMNO permudahkan

 

Kematian Al-Allamah Al-Ustaz Tan Sri Azizan Abdul Razak membawa kepada PRK Sungai Limau di Kedah. Negeri Jelapang Padi itu kini kembali kepada kuasa UMNO/BN setelah lima tahun diperintah oleh PAS/Pakatan Rakyat yang diterajui oleh Allahyarham. Beliau disifatkan sebagai seorang yang tenang, cukup ramah dan mudah didekati. Malah, dalam beberapa makalah terbitan akhbar utama (prokerajaan), beliau dikatakan sebagai cenderung kepada perpaduan antara UMNO-PAS sehingga membawa kepada beberapa siri cubaan untuk pemberontakan untuk peralihan kuasa di Kedah, lantaran tidak setuju dengan hala tuju pentadbirannya di negeri itu.

Apabila membaca beberapa memoir berkenaan Al-Ustaz Azizan di akhbar utama, penulis terasa seperti dunia telah berubah. Secara tiba-tiba, beliau disifatkan persona grata untuk UMNO dan persona non grata untuk partinya sendiri. lmej yang ditampilkan untuk Al-Ustaz nyata cukup berbeza antara sebelum kematiannya dan sesudah kematiannya. Ada di antara frasa-frasa yang sangat berlainan antara semasa pentadbiran beliau dan selepas kematian beliau bagai langit dan bumi. Beliau digambarkan sebagai seorang Menteri Besar berjiwa rakyat, merendah diri, cekap mentadbir, berlaku adil dan cuba menyelesaikan segala masalah yang melanda rakyat Kedah yang dibangkitkan oleh pihak anti-Pakatan. Kini, beliau ialah penghubung kepada perpaduan antara UMNO dan PAS. Ironi sungguh keadaan ini!

Antara isu yang sering dikaitkan dengan ketidakcekapan semasa pentadbiran Allahyarham ialah isu Kolej Insaniah. Ketika itu, beliau dibidas dengan teruk seolah-olah tiada langsung berusaha untuk membetulkan keadaan. Beliau turut disifatkan sebagai tidak cekap menguruskan isu kolej milik kerajaan negeri tersebut dan disebabkan ketakcekapan itu, kolej tersebut menghadapi masalah demi masalah yang terus timbul, sehinggalah ke masalah akreditasi kursus. Puak UMNO tampil mengambil kesempatan dengan sepenuhnya isu itu dengan menawarkan pekerjaan kepada graduan-graduan yang terlibat. Keadaan itu memperlihatkan seolah-olah betapa tidak upayanya Allahyarham untuk menyelesaikan masalah yang berbangkit.

Begitu juga dengan pelbagai lagi masalah lain di negeri Kedah seperti pembalakan, masalah perumahan dan pekerjaan; seolah-olah beliau bukanlah seorang MB yang berkesan. Kegagalan beliau sebagai seorang MB telah menyebabkan beliau dikritik hebat dan terus-menerus dianggap sebagai MB yang lemah, tunduk pada desakan orang lain dan tidak dihormati oleh rakan Pakatan sendiri. Usaha ini agak berjaya kerana meskipun beliau kekal memenangi kembali kerusi DUN Sungai Limau pada PRU ke-13 yang lalu, negeri Kedah ditawan kembali oleh UMNO/BN sambil anak bekas PM, Dato' Mukhriz Tun Mahathir dilantik sebagai MB baharu.

Kini, selepas pemergian Allahyarham ke rahmatullah, beliau diangkat pula sebagai seorang pemimpin ulung yang barangkali yang kurang 'digemari' oleh parti sendiri pula. Malah, dalam komentar dan memoir perjalanan hidup dan politiknya yang disiarkan di akhbar utama, beliau dianggap pula sebagai penyatu antara Pro-PAS dan Pro-UMNO. Jadi, tindakan dan usaha beliau ke arah itu dianggap sebagai ancaman untuk golongan tertentu dalam PAS sehingga membawa kepada usaha untuk menjatuhkannya daripada kerusi MB pada ketika itu. Secara tiba-tiba, beliau diangkat sebagai hero pula oleh UMNO. Seolah-olah usaha beliau selama ini ialah untuk kesejahteraan rakyat berjaya pula, dan yang cuba menggagalkannya sebenarnya orang PAS sendiri! Memanglah perihal yang cuba diterjemahkan ini cukup aneh dan ganjil.

Justeru, sempena mengenang jasa-jasa yang telah dicurahkan oleh Allahyarham kepada negeri Kedah dan baktinya di DUN yang sama selama lima penggal berturut-turut, adalah seeloknya untuk UMNO/BN untuk tidak bertanding di sana dan memberikan sahaja kemenangan kepada calon PAS. Begitulah hadiah terbaik untuk orang yang begitu berjasa di negeri tersebut dan setidak-tidaknya menjadi penghormatan besar oleh UMNO untuk diberikan kepada seorang penyatu ummah yang ulung ini. Lagipun, untuk apa perlu untuk UMN/BN bertanding di sana kerana tidak memberikan sebarangkan faedah pun kepada mana-mana pihak? Bukannya kerajaan negeri akan bertambah kuat pun seandainya mereka menang dan bukannya kuasa Mukriz bertambah besar pun sekirnya mereka berjaya! Tambahan pula, kerusi DUN terbabit ialah kerusi kuat PAS, jadi UMNO bolehlah menjimatkan dana parti untuk bertanding seterusnya akan menjimatkan wang rakyat daripada digunakan oleh SPR untuk menganjurkan pilihan raya kecil yang menelan belanja jutaan ringgit.

Duit itu bolehlah dibuat untuk peruntukan lain seperti biometrik kah, atau dakwat kekal tahap inai kah, atau kemas kini daftar pengundi hantu kah, ataupun menggaji peguam untuk mengambil tindakan sivil terhadap pemfitnah 40 000 Bangla. Terutamanya perkara yang terakhir, SPR masih terus membisu tanpa sebarang tindakan konkrit bagi menafikan kewujudan kes terbabit sehinggakan kumpulan tertentu terpaksa mendesak supaya SPR mengambil tindakan mahkamah, sebaliknya SPR tetap tidak mengambil sebarang langkah yang lebih bererti untuk membela diri. Hal ini seolah-olah mengiakan tuduhan bahawa memang 40 000 warga Bangla hadir ke Malaysia untuk membuang undi kepada BN!

Oleh hal yang demikian, perkara termudah yang boleh dilakukan oleh UMNO/BN khusus untuk memperingati jasa dan bakti Allahyarham Al-Allamah Al-Ustaz Tan Sri Azizan Abdul Razak adalah untuk tidak bertanding dalam PRK ini kelak. Berikanlah sahaja kemenangan percuma kepada PAS yang bukan sahaja sebagai usaha mengenang jasa Allahyarham dan memudahkan kerja semua orang, malah dapat menjimatkan wang rakyat yang terpaksa dilaburkan untuk PRK kali ini. Kita pun tidak mahulah nanti apabila tempoh kempen berlangsung, keadaan berubah pula dengan keburukan dan kelemahan Allahyarham pula yang dijaja untuk meraih undi, setelah pujian menggunung diberikan kepadanya sebelum ini. Dalam politik, apa sahaja kaedah boleh digunapakai untuk meraih keuntungan dan hal ini dapat dibuktikan dalam beberapa siri pilihan raya yang berlaku di Malaysia. Kempen memburukkan kerajaan PAS terdahulu pasti terlepas juga daripada mulut-mulut peraih undi UMNO/BN dan secara tidak langsung, hal ini turut boleh dikatakan sebagai memperkecilkan usaha yang telah dilaksanakan oleh Allahyarham Al-Allamah Al-Ustaz Azizan Abdul Razak tempoh hari.

Maka, untuk memudahkan keadaan, mengekalkan keharmonian dan menjimatkan wang, tenaga dan masa, tak perlulah UMNO/BN untuk bertanding dalam PRK Sungai Limau bagi mengurangkan politiking daripada asyik menular dalam masyarakat kita. Apatah lagi Nabi SAW turut bersabda, 'permudahkanlah, janganlah menyusahkan,' jadi, bukankah sekaranglah masanya untuk mengamalkan sunnah itu?

Wednesday, October 9, 2013

Demo terlebih demokrasi

 

Bukanlah kali pertama Amerika Syarikat (US) menghadapi kesan terpaksa menaikkan siling hutang mereka untuk membayar gaji pekerja perkhidmatan awam. Dan bukanlah kali pertama juga dalam sejarah pentadbiran kewangan, US terpaksa berhadapan dengan keadaan 'penutupan kerajaan' (government shutdown) yang menyebabkan penutupan berbagai-bagai agensi kerajaan lantaran tidak mempunyai dana untuk membayar gaji pekerja mereka. Oleh sebab itu, tidak hairanlah sekiranya kejadian yang sama berlaku lagi saban tahun kerana negara ekonomi terbesar dunia itu sebenarnya mempunyai tanggungan hutang yang sangat besar.

 

Kredit Kartun: Juragan,Harian Metro

 

Barangkali ramai yang tidak perasan keadaan politik di negara Uncle Sam itu sebenarnya mempunyai ciri-ciri yang tersendiri berbanding di Malaysia. Jika Presiden berasal daripada satu parti, Kongres (istilah yang sama dengan Parlimen di sini) tidak semestinya dikuasai oleh proparti si Presiden. Pemilihan presiden dan Ahli Kongres (setara Ahli Parlimen) atau Senator ialah dua perkara yang berbeza. Setiap empat tahun, pemilihan presiden dan Ahli Kongres dan Senator akan diadakan secara bersama-sama, namun dalam pertandingan berasingan. Jadi, boleh sahaja berlaku (dan sering juga berlaku) presiden yang dilantik tidak mewakili suara majoriti di dalam Dewan Perwakilan dan/atau Senat kerana berbeza parti. Misalnya pada masa kini, presiden US ialah seorang ahli Demokrat namun Dewan Perwakilan dikuasai oleh golongan Republikan.

Tambahan pula, dalam satu penggal pemerintahan seseorang presiden (empat tahun), akan ada sebuah pilihan raya pertengahan penggal (midterm, biasanya pada tahun kedua) yang mempertandingkan seluruh kerusi Dewan Perwakilan dan sebahagian kerusi Senat. Keadaan ini menambahkan lagi dinamika perwakilan dalam dewan yang mungkin berubah setiap dua tahun sekali. Oleh sebab itu, kejadian keengganan Dewan Perwakilan untuk meluluskan sebarang rang undang-undang yang memerlukan sokongan majoriti ahli dewan sentiasa boleh berlaku sekiranya ketua kerajaannya tidak sekepala dengan majoriti ahli dewan. Ataupun disebabkan kuasa presiden yang paling tinggi yang berhak untuk meveto sebarang keputusan yang dibuat oleh Senat dan Dewan Perwakilan yang menyebabkan sebarang rang undang-undang perlu mengikut kehendak si presiden seandainya mahu diluluskan.

Keadaan yang berlaku di US sekarang ini banyak dipengaruhi oleh keadaan perbezaan pandangan politik yang bertentangan antara kumpulan prokonservatif daripada Republikan dan proliberal daripada Demokrat. Malah, nama timangan kaukus prokonservatif daripada puak Republikan turut dikaitkan daripada kejadian Jamuan Teh Boston, yang merupakan pencetus kepada Revolusi Amerika Utara sebelum kewujudan Amerika Syarikat. Maka, atas dasar itulah nama kaukus Parti Teh (Tea Party). Ada juga mengaitkannya dengan kata-kata Tax Enough Already yang merujuk kepada terlalu banyak cukai yang dikenakan oleh kerajaan US kepada penduduknya.

Untuk rekod, masalah presiden yang tidak sekepala dengan majoriti Ahli Kongres pernah berlaku sebelum ini. Misalnya janji Bekas Presiden George H. Bush yang satu ketika dahulu popular dengan frasa 'Read my lips,' yang membawa konotasi untuk tidak mengenakan sebarang cukai lagi kepada rakyat US semasa kempennya untuk menjadi calon presiden pada 1988. Pun begitu, beliau sendiri terpaksa tunduk untuk meningkatkan cukai dalam usaha mengurangkan defisit dalam suasana Dewan Perwakilan dikuasai Demokrat. Akhirnya, beliau gagal mempertahankan jawatan beliau untuk penggal kedua pada 1992 untuk memberikan kemenangan pertama kepada Bill Clinton.

Malah, Bill Clinton turut menghadapi masalah sokongan Ahli Kongres pada 1996 apabila majoriti ahli dewan pada ketika itu dimiliki oleh Republikan tidak sebulu dengan Presiden Clinton yang memperjuang aspirasi Demokrat. Secara dasarnya, kegagalan Kerajaan US dalam meluluskan belanjawan tahunan (nama sebenar rang undang-undang perbekalan) sebenarnya disebabkan oleh Presiden Clinton telah meveto belanjawan yang telah diluluskan oleh kongres. Hal ini berlaku kerana dewan yang dikuasai oleh Republikan enggan menambah perbelanjaan untuk menampung keperluan seperti dalam aspek pendidikan, alam sekitar dan kesihatan awam yang diperjuangkan oleh Clinton. Keadaan ketika itu turut menyebabkan penutupan kerajaan dan berlaku dalam dua fasa iaitu akhir tahun 1995 dan awal tahun 1996.

Kegagalan Kongres dan presiden untuk menyelesaikan masalah tersebut turut menyebabkan gangguan periuk nasi penjawat awam yang terpaksa untuk bercuti lantaran tidak dibayar gaji oleh kerajaan, masalah kebajikan veteran tentera, pemberhentian operasi Pusat Kawalan Penyakit, dan penutupan Taman Negara dan Pusat Perlancongan serta lain-lain lagi gangguan kepada jabatan kerajaan. Bagaimanapun, krisis tersebut berakhir apabila persetujuan dicapai antara Presiden Clinton dengan pemimpin Republikan ketika itu, Speaker Dewan Perwakilan Newt Gingrich untuk menamatkan ketaktentuan yang berlaku. Sungguhpun berlainan ideologi politik, kesediaan kedua-dua pemimpin untuk berbincang berjaya untuk menamatkan penutupan kerajaan yang jumlah harinya seperti bulan Februari. Akan tetapi, kesan politik yang diterima oleh Republikan tidak memberangsangkan apabila mereka gagal memenangi kerusi presiden pada pemilihan 1996 dengan persepsi sebagai pencetus masalah kepada negara, sementara Clinton pula dipilih semula sebagai Presiden US untuk penggal kedua kerana dianggap sebagai hero.

Kembali kepada keadaan sekarang, sebagai bandingan, menurut makalah CNN, situasi yang dihadapi oleh US kali ini berbeza dengan apa yang berlaku pada 1995-1996 dalam beberapa keadaan. Paling ketara ialah hubungan antara Presiden Obama dan Speaker Dewan Perwakilan, John Boehner yang dikatakan sebagai cukup berbeza dengan keadaan ketika Clinton dan Gingrich. Perbincangan antara Obama dan Boehner diibaratkan sangat dingin, tidak sebagaimana krisis terakhir sebelum ini. Oleh hal yang demikian, kesediaan Obama dan pihak Republikan untuk menyelesaikan masalah yang berbangkit diragui lantaran sikap pemimpin mereka yang berhati keras macam batu.

Tambahan pula, suasana ekonomi semasa bagi kedua-dua kejadian juga turut berbeza iaitu era Clinton ialah era yang jauh lebih stabil berbanding dengan keadaan sekarang yang memperlihatkan US dan dunia baru sahaja dalam usaha pemulihan ekonomi. Kesan yang bakal (atau sedang dirasai) pastilah jauh lebih besar berbanding dengan apa yang pernah US rasai satu ketika dahulu dan bertambah teruk sekiranya situasi semasa berlanjutan dalam jangka masa yang lama. Keengganan kerjasama politik antara pihak Demokrat dan Republikan akan menyebabkan kegagalan kerajaan secara total hanya kerana masing-masing merasakan bahawa mereka lebih betul untuk merancang masa depan rakyat mereka.

Kejadian kegagalan kerajaan US sekali lagi sebenarnya memberi tamparan hebat kepada sistem demokrasi secara umumnya dan sistem demokrasi US secara khususnya kerana keengganan ahli politiknya untuk menyelesaikan perbezaan pendapat sesama mereka. Pihak yang benar-benar terkesan bukanlah ahli-ahli politik yang menyebabkan masalah, sebaliknya rakyatlah yang menanggung derita. Betapa banyak urusan rakyat yang tergendala akibat sikap keras hati kedua-dua belah pihak Demokrat dan Republikan. Walaupun wakil US di luar negara mengisyaratkan penutupan kerajaan itu sebagai satu tanda positif terhadap 'kesuburan demokrasi,' tiada yang dapat menikmati suburnya demokrasi itu melainkan 'demokrasi' itu sendiri. Kesuburan demokrasi sebegini tidak dapat memberikan manfaat kepada rakyat dan dalam konteks penutupan kerajaan, tiada siapa pun yang sebenarnya menikmati kelebihan melainkan musuh-musuh luar dan domestik.

Justeru, tiada satu pun jaminan bahawa demokrasi akan menyelesaikan segala masalah yang muncul dalam dunia ini. Malah, kejadian yang melanda US yang dikatakan sebagai negara bebas yang paling demokratik tidak langsung memperlihatkan sisi kebaikan demokrasi, sebaliknya memperlihatkan bahawa demokrasi ala-Barat membawa kepada persoalan yang tidak mampu diselesaikan walaupun seseorang itu mempunyai kuasa. Akhirnya, sudah pastilah persoalan apakah locus standi US untuk menyerang negara orang untuk menegakkan demokrasi?

Dalam keadaan presiden yang berhaluan lain sedangkan majoriti wakil rakyat berhaluan lain, tidak sukar untuk melihhat dan memahami keadaan ketaktentuan ini sering berlaku di US. Maka, pemenang sebenar negara yang terlebih demokrasi itu ialah perjalanan politik seseorang itu sendiri, sama ada semakin baik atau semakin buruk. Rakyat hanya boleh melihat sahaja gelagat-gelagat ahli demokrasi yang mereka pilih, sedang memperjudikan nasib rakyat dan negara.

 

Glosari terjemahan sistem perundangan US

Kongres - (US Congress) - Istilah untuk cabang legislatif US yang berbentuk dwidewan (bicameral) iaitu Dewan Perwakilan dan Dewan Senat yang setara dengan ‘Parlimen Malaysia.’

Dewan Perwakilan – (House of Representative/ the House) – Istilah untuk dewan rendah bagi sistem dwidewan Kongres US, yang setara dengan Dewan Rakyat.

Ahli Kongres - (Congressmen) – Istilah untuk ahli kepada Dewan Perwakilan yang setara sebagai Ahli Parlimen. Justeru, sungguhpun ahli bagi Dewan Senat juga ialah ahli kepada kongres, istilah Ahli Kongres (Congressmen) hanya ekslusif kepada ahli Dewan Perwakilan sahaja. Keadaan ini mirip di Malaysia apabila walaupun Ahli Dewan Negara ialah ahli kepada Parlimen Malaysia, istilah ‘Ahli Parlimen’ biasanya hanya cucuk untuk Ahli Dewan Rakyat sahaja.

Dewan Senat – (US Senate) – Istilah untuk dewan tinggi bagi sistem dwidewan Kongres US yang setara dengan Dewan Negara; bagaimanapun mempunyai kuasa tertentu yang secara relatifnya lebih istimewa/berkuasa berbanding Dewan Perwakilan dan berbanding Dewan Negara Malaysia.

Senator - (Senator) – Istilah untuk ahli kepada Dewan Senat.

Monday, October 7, 2013

Risalah Tauhid

 

Selain daripada Idaman Penuntut, nama Abdul Ghani Yahya turut muncul dalam sebuah lagi kitab bertajuk Risalah At-Tauhid yang digunakan sebagai salah satu daripada teks rujukan untuk sistem persekolahan agama Kerajaan Johor bersama-sama seorang lagi nama penyusun iaitu Omar Yusof. Kitab ini merupakan suntingan kepada terjemahan asal oleh Yang Dipertua Jabatan Agama Johor Dato' Abdullah Abdul Rahman daripada sebuah kitab tauhid dari Mesir. Matlamat asal penyuntingan semula kitab ini oleh kedua-dua penyunting/penyusun ialah untuk menambahbaikkan aspek bahasa Melayu dalam naskhah terjemahan asal yang telah digunakan sebagai silibus pengajaran dan pembelajaran tauhid sejak tahun 1907. Susunan/suntingan baru telah diterbitkan pada 1953 sebagai membaiki jalan bahasa yang digunakan agar lebih mirip kepada lenggok bahasa Melayu dalam tulisan jawi.

Kini, kitab ini telah diterbitkan oleh Al-Hidayah Publications dengan alih tulisan daripada jawi ke rumi dan setidak-tidaknya telah diulang cetak semula pada 2012. Dalam konteks makalah ini juga, penulis merujuk kepada edisi rumi Al-Hidayah terbabit dalam mengulas isi kandungannya.

 

Gambar Muka Hadapan Kitab Risalah At-Tauhid Al-Hidayah Publication

 

 

Secara umumnya, Risalah At-Tauhid ialah sebuah kitab yang membincangkan akidah Asya’riyah dan Al-Maturidiyah yang lebih mudah dicirikan sebagai iktikad sifat 20. Sesuai dengan doktrin Asya’riyah dan Al-Maturidiyah, hampir separuh daripada kandungan di dalam kitab ini membahaskan tentang sifat wajib, pembahagian sifat-sifat tersebut dan selebihnya berkaitan rukun-rukun iman yang lain. Topik-topik berkaitan sifat Allah meliputi sifat 20 yang wajib dan mustahil, sifat harus, sifat nafsiyah, salbiyah, maa'ni dan maknawiyah, sifat taa'luk dan dua kategori sifat istighna dan sifat iftiqar.

Kesemua topik-topik berkaitan sifat Allah dan rukun-rukun iman yang lain akan disimpulkan sebagai akaidul iman yang terkandung dalam kalimah 'la ilahaillallah Muhammad ar-rasulullah' dengan paling sedikit iaitu 50 dan paling banyak iaitu 68. Sebab itulah juga antara gelaran yang diberikan kepada iktikad ini ialah Tauhid 50 atau Tauhid 68. Dan sebagai maklumat tambahan, kesemua pelajaran yang wujud dalam Risalah At-Tauhid masih lagi menjadi topik-topik pengajaran dalam silibus baru sepanjang pembelajaran penulis dalam sistem sekolah agama Kerajaan Johor daripada tahun 1994 hingga tahun 2000.

Kebanyakan topik-topik awal di dalam perbahasan sifat 20 sebenarnya masih mudah dihadam sehinggalah pelajar berhadapan dengan persoalan taaluk sifat Allah. Perbincangan topik ini memerlukan seseorang itu benar-benar memahami konsep taaluk sifat Allah yang agak samar. Penulis harus akui cabaran aqliah untuk memahami konsep taaluk ini semasa belajar dan sehingga kini pun penulis masih kurang jelas tentang natijahnya.

Kewujudan konsep Al-Uluhiyah dalam perbincangan Risalah At-Tauhid meletakkannya sebagai iktikad hibrid dengan jalur Salafi/Wahabi. Kumpulan Salafi/Wahabi mempunyai tiga konsep tauhid yang dianuti dan salah satunya ialah Tauhid Al-Uluhiyah. Dua lagi konsep tauhid ialah Tauhid Ar-Rububiyah dan Tauhid Al-Asma wa Al-Saffat. Seingat penulis, ketiga-tiga pembahagian tauhid itu turut disentuh dalam pembelajaran subjek Tauhid semasa penulis masih bersekolah di sekolah agama, namun apa yang penulis faham ialah konsep Al-Asma Wa Al-Saffat Al-Asya’riyah/Al-Maturidiyah berbeza dengan Salafiyah/Wahabiyah.

Apa yang difahami tentang Al-Asma wa Al-Saffat dalam konteks Al-Asya’riyah/Al-Maturidiyah ialah persoalan-persoalan sifat 20 dan huraian panjang lebar tentangnya (sifat salbiyah, taaluk dsb), dan nama-nama Allah yang 99 sebagaimana tersenarai dalam hadis riwayat Tirmizi. Sementara itu, kumpulan Salafiyah/Wahabiyah tidak dapat menerima bahawa sifat yang wajib bagi Allah itu hanya 20, mendakwa bahawa sifat wajib 20 walaupun mempunyai asas pendalilan daripada Al-Quran, namun konsepnya lebih kepada mantik/akal, dan enggan memuktamadkan senarai 99 nama Allah menurut apa yang disebutkan dalam riwayat At-Tirmizi; kerana mendakwa hadis berkenaannya ialah hadis dhaif.

Kitab Risalah At-Tauhid turut mengemukakan pendapat yang agak bertentangan dengan iktikad masyhur bagi Asya’riyah/Maturidiyah pada sifat Allah yang disebut dalam Al-Quran yang mempunyai maksud yang sama dengan anggota manusia, misalnya tangan dan muka. Khusus bagi kedua-dua anggota tadi, kitab ini menyatakan terdapat dua pendapat berkenaannya dalam topik perbahasan mukhalafatuhu taala lilhawadis (m.s. 31-32). Pertama ialah pendapat ulama mutaqaddimin (sahabat, tabiin dan tabi at-tabiin) yang beriktikad bahawa kedua-duanya sabit secara yang layak kepada Allah, mensucikan Allah daripada sifat yang baharu dan menyerahkannya kepada pengetahuan Allah jua tentang bagaimanakah ia. Pendapat kedua ialah pendapat ulama mutaakhirin dengan mentakwilkan sifat tersebut kepada maksud lain, misalnya tangan ditakwilkan sebagai kuasa Allah. Kitab ini menyatakan bahawa pandangan mutaqaddiminlah yang lebih selamat (i.e. sentosa).

Pandangan yang mengisyaratkan bahawa kaedah mutaqaddimin lebih baik, jelas bertentangan dengan pendapat masyhur pendukung Asya’riyah/Maturidiyah yang sering menggunakan kaedah mentakwil sifat-sifat anggota bagi Allah kepada maksud yang lain. Dalam pendapat yang masyhur di kalangan mereka yang mengaku berpegang kepada Asya’riyah/Maturidiyah, mengatakan 'tangan Allah' sebagai tangan Allah telah menjisimkan dan menyamakan Allah dengan makhluk, sekali gus bersalahan dengan sifat mukhalafatuhu taala lil hawadis (bersalahan Allah dengan makhluk). Sebab itulah mereka lebih gemar mentakwilkan tangan Allah dengan 'kuasa Allah' supaya penyamaan sifat Allah dengan makhluk-Nya tidak berlaku.

Oleh hal yang demikian, bolehkah dikatakan walaupun isi kitab Risalah Tauhid ialah cenderung kepada pandangan Asya’riyah/Maturidiyah dalam soal sifat Allah, pengaruh fahaman lain yang mengunggulkan pemikiran Salaf tetap ada, kalaupun tidak semua. Penulis kurang arif tentang pembelajaran subjek Tauhid sebelum silibus baharu diperkenalkan pada 1994. Tetapi pada hemat penulis, sekiranya hanya isi kitab ini sahaja yang digunakan sepenuhnya dalam pembelajaran ilmu tauhid sehingga Darjah Khas, nescaya silibus yang penulis gunakan itu lebih lengkap kerana ditambahi dengan topik-topik tentang sejarah dan ciri-ciri ajaran sesat dan mengelirukan seperti Syiah, Khawarij dan Muktazilah, ajaran Bahaiyah, Ahmadaniyah dan lain-lain. Topik Syiah misalnya diajar dua kali pada darjah lima dan enam. Selain itu, soal-soal berkenaan takdir As-sami'yat, Rasul, Kitab, akhirat, juga mempunyai ulasan yang lebih panjang.

Bagaimanapun, hal ini sama sekali tidak mengurangkan kelebihan Risalah At-Tauhid sebagai rujukan penting dalam ilmu berkaitan dengan akidah. Pembaikan bahasa yang dijadikan sebagai matlamat utama tampak tercapai, walaupun perlu diakui juga, mungkin boleh diperbaik lagi. Potensi menjadikannya sebuah kitab yang lebih baik boleh dibuat dengan menambahkan syarah atau penerangan yang releven pada topik-topik yang mencabar pemikiran dan pemahaman. Paling istimewa ialah dengan teks sedia ada, perkaitan antara akaid 50 dan 68 sebenarnya tampak jelas pada penutup kitab bagi menjelaskan kalimah la ilaha illallah dan Muhammad Rasulullah sebagai senarai yang perlu diimani oleh seseorang yang mengaku sebagai pendukung fahaman Asya’riyah dan Abu Mansur Al-Maturidi.