- Tun Dr Mahathir telah membuat satu komen yang menggemparkan dunia seni Malaysia - negara banyak sangat cerita hantu sedangkan cerita hantu memberikan pengaruh negatif kepada minda masyarakat Malaysia (Berita Harian 2 Oktober 2011).
- Sudah ada pandangan yang mengatakan cerita-cerita hantu ini mencerminkan imej negatif kepada agama, tidak kurang juga memantulkan nuansa yang salah terhadap ustaz-ustaz alim ulama yang seolah-olah kerja mereka yang hakiki ialah sebagai penghalau hantu dan jin!
- Selain daripada itu, filem-filem seram banyak menonjolkan kelakuan khurafat yang sebenarnya sangat-sangat ditegah dalam agama. Wajarkah filem menonjolkan kisah pemujaan kononnya untuk menyedarkan masyarakat tentang betapa salahnya perlakuan memuja sedangkan penonjolan cara-cara memuja tersebut sudah seolah-olah mempromosi pemujaan?
- Bagi pembikin filem, mereka akan betah dengan mengatakan setiap filem yang dibuat adalah untuk menyampaikan pengajaran kepada penonton dan bukannya untuk mempromosikan perlakuan khurafat, syirik mahupun idealisme takut kepada hantu.
- Malah, setiap cerita yang dibuat akan mengangkat seseorang sebagai pembimbing menuju jalan hidayah atau menjadi pengamal yang menggunakan ajaran agama untuk menewaskan kejahatan. Wujud kalimah-kalimah zikir, doa dan ayat Al-Quran yang digunakan sekali gus menjadi medium penyebaran amalan Islam menentang makhluk halus yang jahat.
- Penerimaan penonton juga harus diraikan. Bukan semua filem hantu yang berjaya pecah panggung, dan kalau berjaya pun bukannya ke mana hasil keuntungan cerita tersebut pergi melainkan ke industri perfileman kita juga. Penonton Malaysia mempunyai cita yang berbeza berbeza dengan penonton luar negara justeru kita perlu penuhi cita rasa mereka. Industeri perfileman kita jauh lebih kecil saiznya kalau hendak dibanding dengan Hollywood atau Bollywood atau hatta filem Indonesia sekali pun!
- Salah satu lagi hujah pendukung filem seram adalah betapa penonton bukannya 'tolol, bahlul dan bodoh' untuk tidak dapat menilai mana yang baik dan mana yang buruk. Sungguhpun sejuta dua yang menonton filem hantu, bukannya semua yang balik daripada panggung bertukar percaya kepada hantu, pergi berjumpa pawang-pawang untuk menyembah jin atau mempelajari ilmu hitam. Penonton Malaysia masih waras dan mereka telah terpelajar dan mereka sebenarnya masih tahu, sedar dan faham yang mana buruk dan yang mana baik.
- Begitulah hujah-hujah mereka yang menyokong. Ada pojok dalam tabliod hiburan pada hari minggu yang begitu mempertahankan industri hantu-hiburan dan bertindak mengecam seorang negarawan seperti Dr M. Biarlah orang hendak buat cerita hantu, sedangkan industri hiburan Malaysia pun bukannya untung sangat pun meski ada cerita yang berjaya mengaut kutipan berjuta-juta ringgit.
- Pada hemat penulis, memang benar industri hiburan kita sebenarnya mengharapkan sangat cerita hantu sebab penonton kita memang ramai yang gemar tengok cerita hantu. Namun kita juga mesti faham bahawa corak dan pemikiran minda masyarakat juga bergantung kepada apa yang ditonjolkan melalui media mereka di hadapan mata. Persis budak terjun bangunan kerana hendak menjadi Superman. Atau orang bakar mayat demi menghapuskan DNA dan menutup jenayah; kesemuanya mungkin berasal daripada apa yang ditonton!
- Kita mungkin asalnya tak tahu atau tak faham amalan sekian-sekian, kenapa boleh jadi khurafat atau syirik, namun mestikah kita dihidangkan dengan berpuluh-puluh siri cerita berkaitan ilmu hitam dan soal bercakap dengan jin dan jembalang baru kita faham dan tahu apa yang dimaksudkan dengan 'khurafat' dan 'syirik?'
- Sama ada penonton yang hendak tengok cerita hantu atau cerita hantu yang sebenarnya mencari pasaran menemui penonton merupakan satu persoalan yang paradoks; ayam dengan telur; yang mana keluar dulu? Dua-dua sebenarnya berperanan dalam menjayakan satu kerangka model permintaan dan pembelian kerana pada akhirnya, jenama juga yang menjadi faktor pemilihan penonton terhadap cerita yang ditonton.
- Namun penghibur misalnya tidak boleh menidakkan pengaruh mereka kepada masyarakat. Pembikin filem tidak boleh mengatakan bahawa dengan penayangan adegan lucah atau membunuh orang dengan perantaraan jin misalnya tidak memberi sebarang kesan psikologi kepada penonton.
- Bukan semua orang yang datang menonton memberi tumpuan kepada nilai dan pengajaran; andai benar, nescaya filem dakwahlah yang menjadi rekod box office sepanjang zaman. Bagaimanakah mereka yang hadir kerana hendak berhibur? Seyugia diingatkan sehingga kini pun tiada kajian yang konklusif tentang tahap minda penonton pascatayangan justeru hubungan antara kelakuan penonton dan apa yang ditonton tidak semestinya tiada.
- Oleh yang demikian, saranan Dr M harus dilihat secara holistik, bukannya sekadar daripada perspektif 'pemimpin menghentam cerita seram' sahaja. Itulah satu luahan negarawan yang mengambil berat permasalahan pemikiran dikalangan masyarakat Malaysia dan seharusnya kita raikan. Kalau tidak setuju, buktikan yang beliau tidak benar. Buatlah sedikit penyelidikan bagi membuktikan kesilapan tersebut. Atau cubalah berusaha bagi menghidupkan genre baru yang mampu menyaingi cerita hantu lantaran pembuat filem jualah yang mula-mula sekali yang mempromosikan cerita bergenre seram!
- Dari hal itu, usahlah pembuat filem melatah tak tentu pasal dan terlalu bersikap defensif/mempertahankan diri dengan segenap bicara apabila isu tersebut ditimbulkan. Bagaimana kalau mereka bekerjasama dengan pengamal perubatan Islam, ahli bidang media & masyarakat dan ahli hukum bagi menyelesaikan masalah tersebut.
- Kendati kita melihat daripada aspek pengamal cereka dan kerajaan, pada akhirnya kesemua berkait dengan penonton juga. Sudah memang musimnya orang Malaysia suka tengok cerita hantu. Justeru penonton sendiri juga perlu menilai adakah wang mereka berbaloi untuk dikeluarkan untuk menonton cerita bercakap dengan hantu atau pun tidak. Sebab motif orang menonton berbeza-beza dan perbezaan itulah yang menjadi cabaran kepada ahli kaji sosial dan pemasaran untuk merasionalkan corak pemikiran penonton memilih menonton cerita hantu dan apakah kesan sosialnya kepada masyarakat.
- Bukan hantu itu yang perlu ditakuti, melainkan kesannya ke dalam minda masyarakat kita!
PERINGATAN: Semua artikel yang ditulis oleh penulis adalah nukilan penulis sendiri melainkan telah dinyatakan sumbernya dan TIDAK mewakili organisasi yang telah/sedang penulis sertai. Tulisan bukan bermaksud membangkitkan sebarang sentimen yang menyebabkan perasaan kurang selesa kepada pembaca. Andai pembaca yang mendapati terdapat tulisan yang bersifat demikian, sila beri komen untuk tindakan selanjutnya. Terima kasih
Wednesday, October 19, 2011
Hantu Bunjamin pulang balik kotak nasi
Tuesday, October 18, 2011
Tengok budak kena gelek macam ayam kena gelek
- Nauzubillah... mohon dijauhkan situasi tersebut di Malaysia yang menampakkan sangat betapa kurangnya nilai manusiawi yang tinggal dalam segenap insan di dunia.
- Andai dilihat sekali imbas video tersebut dalam Youtube (misalnya dimuat naik oleh delatroy) memperlihatkan masyarakat di sana melihat seolah-olah sudah biasa melihat anak orang digelek kenderaan. Macam sudah biasa sahaja. Tidak perlu usaha mungkin hendak alihkan badannya, atau mungkin hendak diajak orang lain untuk membantu membawa si mangsa ke hospital. Tiada !
- Dikhabarkan berbelas-belas orang telah melewati jalan tersebut yang sekadar menjadi penonton termasuklah seorang ibu yang memimpin anaknya sebelum budak tersebut dialihkan oleh seorang wanita (kelihatan seperti sedang membuang sampah). Anehnya, kalau yang menunggang sekadar cuba mengelak barangkali ke ke kanan atau ke kiri. Yang berjalan seolah-olah sedang melihat objek biasa yang digelek kenderaan. Tak ada apa-apa?
- Atau sebenarnya orang yang lalu-lalang di lorong pasar di wilayah Guandong, China itu terlalu sibuk dek kesempitan hidup dan perlu memenuhi keperluan tanpa perlu menghiraukan yang lain. Mungkin kerana terlalu berfikir implikasi seandainya dialihkan badan budak tersebut, lalu badannya tercabut, mungkin ibu bapa budak tersebut akan menyamannya kerana tindakan kecemasan yang silap.
- Mungkin ada yang akan berhujah, di Malaysia teruk lagi ! Bayi baru lahir di dilempar daripada tingkat atas bangunan ke bawah. Ada yang mungkin disumbat dalam tandas dan cuba di'flush.' Ada budak disimbah asid sampai hancur muka. Ada isteri yang dibakar hidup-hidup ketika mandi. Apalah sangat hendak dibandingkan dengan insiden van dan lori menggelek budak tetapi tidak dihirau?!?!
- Dengan keadaan masyarakat dunia yang semakin berkembang, nilai kemanusiaan sebenarnya sesuatu yang amat sukar hendak dipertahankan kerana individualisme semakin menjadi sifat yang dianuti oleh manusia. Semua ada masalah masing-masing dan semua tidak mahu menanggung risiko yang mungkin berlaku.
- Justeru timbul tanda tanya sama ada wujud atau tidak sebenar-benarnya rasa prihatin, ingin membantu, rasa kasihan kepada sesama manusia tanpa mengira orang itu orang tua, muda, budak, belia, lelaki mahupun wanita.
- Kejadian di China itu dirakam oleh CCTV; sama seperti kejadian pelajar Malaysia di Britain yang dirompak oleh sekumpulan remaja yang mana ada dikalangan mereka yang berpura-pura hendak membantunya. Kita pun tidak tahu berapa banyak kejadian malang yang berlaku yang tidak dirakam sehingga dimuat naik di dalam internet. Hanya kerana dirakam sahajalah kita dapat didedahkan dengan kejengkelan makhluk bernama manusia. Kalau tidak, memang betullah selama ini kita hanya jadi penonton yang seolah-olah tak ambil pusing kecelakaan dan kemudaratan yang berlaku kepada orang lain!
- Namun, kejadian-kejadian tersebut cukup untuk membuktikan betapa 'nilai baik' manusiawi yang meningkatkan martabat insan melebihi tahap binatang sebenarnya hanya sekadar fatamorgana. Sikap dan sifat manusia sebenarnya kadang-kala lebih teruk daripada binatang kerana manusia dikurniakan akal fikiran.
- Sudahnya, sendiri mau ingatlah kalau apa-apa berlaku kepada kita kelak.
- Selain daripada itu, ibu bapa perlulah lebih peka ke mana anak-anak mereka pergi. Aneh juga bagaimana seorang budak yang dikatakan hanya berumur dua tahun dibiar berjalan-jalan tanpa pemantauan penjaga. Alangkan budak darjah tiga atau empat pun kadang-kala ada yang diculik, dilanggar-lari atau menghilangkan diri, inikan pula budak dua tahun?!
- Hendak salahkan sesiapa pun sebenarnya tiada guna. Kemalangan tersebut telah pun berlaku dan penayangannya di internet sepatutnya menjadi pengajaran kepada segenap lapisan masyarakat yang pernah menontonnya.
- Mungkin dunia semakin maju sehingga keadaan sedemikian pun boleh dirakam dan dimuat naik. Akan tetapi, apabila perkiraan diri lebih diutamakan daripada segala-galanya, apa kita hendak hairan apabila suatu hari nanti, sungguh pun negara berada dalam keadaan aman, mayat-mayat manusia bergelimpangan kerana manusia sendiri tidak menghormati dan merasai tanggung jawab kemanusiaan. Siapa tahu kelak?
- Dan kejadian sebegini sebenarnya memberikan cabaran kepada manusia dalam mentakrifkan nilai kemanusiaan yang sebenarnya. Kalau ditanya, semua mengaku dirinya suka akan baik-baik dan mengaku diri suka berbuat baik. Tapi, kata-kata adalah murah. Buatnya belum tentu!
- Sekali lagi, mohon dijauhkan sikap tersebut daripada diri kita.....!
Thursday, October 13, 2011
Pilihan raya semakin dekat, kamik nak daftar mengundi
- Angin pilihan raya semakin kedengaran. Sudah ada ramalan-ramalan 'nakal' yang mengaitkan PRU dengan angka sebelas (11) lantaran kegemaran PM Najib terhadap nombor itu. 11/11/11 antara nombor yang dicanang; namun ada juga penganalisis yang melihat tarikh tersebut tidak sesuai kerana 'Hari Jumaat.'
- Tak tahu apa kaitan Hari Jumaat dengan pembubaran parlimen namun sebagaimana yang telah dibangkitkan sebelum ini, negeri-negeri di bawah Pakatan Rakyat tidak terikat untuk membubarkan DUN masing-masing seandaingan BN membubarkan parlimen dan DUN mereka.
- Taklimat persediaan mengadapi PRU juga telah dibuat oleh Pengerusi SPR; menandakan gerak kerja PRU sudah dijalankan.
- PM Najib pun telah saban minggu mengadakan lawatan negeri sini dan situ, dengan tumpuan yang begitu kuat untuk Negeri Selangor dan Wilayah Persekutuan. Apatah lagi dengan begitu banyak insentif melalui belanjawan yang sehinggakan PR pun mempertikaikan keterwujudan duit untuk dileburkan.
- Walaupun penulis tak ambil pusing sangat tentang khabar angin-khabar angin bilakah PRU, penulis yakin yang PRU kali ini sememangnya cukup sengit dek kerana situasi 'hendakkan Putrajaya' oleh kedua-dua pihak kerajaan dan pembangkang.
- Malangnya, sungguhpun kedua-dua bercanang membantu rakyat, kadang-kala soal hentam yang lagi satu lebih kuat kedengaran berbanding khidmat bakti mereka yang sepatutnya membantu rakyat. Nanti, apabila menang, rakyat ke mana, kuasa ke mana; kita pun tidak tahu.
- Ada benarnya bahawa berdasarkan situasi politik semasa, PM Najib dikatakan patut mengadakan pilihan raya pada waktu sekarang, lebih-lebih lagi partinya telah pun menangguhkan pemilihan parti yang sepatutnya diadakan tahun ini untuk tempoh 18 bulan. Hal ini juga bermaksud PM Najib yang dipilih pun sebenarnya menggunakan penangguhan tersebut bagi 'mengukuhkan parti.' Untuk rekod, pemilihan agung UMNO pada akan datang akan membuka lembaran baru apabila kaedah pemilihan ditukar bagi membolehkan lebih ramai ahli mengundi untuk pemimpin tertinggi. Keadaan semasa memperlihatkan terdapat beberapa isu penting yang lebih memihak BN berbanding gabungan PR.
- Namun, penting juga untuk diamalkan politik gaya baru yang mengelak daripada terlalu politikal pada pilihan raya pada masa akan datang. Janganlah disebabkan berlainan kutub menyebabkan penyokong dan pemimpin main pukul canang sahaja buat isu, kempen berapi-api tetapi lepas daripada PRU, berapi-api dalam ceramah saja!
- Sebagaimana biasa, seandainya BN menang lagi PRU, maka PRU kita memang tidak akan diiktiraf sebagai bersih dan adil. Namun kalau yang lagi satu menang, maka rakyat sudah semakin matang, sistem pilihan raya telah berevolusi dan pelbagai lagi pujian melangit.
- Harap juga kerajaan yang baru pada masa akan datang lebih stabil berbanding sekarang. Kalau boleh, menanglah lebih 2/3 supaya lebih stabil kerajaan Malaysia. Sedangkan Jepun yang kena tsunami politik pun tak boleh tahan dengan seorang PM, harapnya apabila Malaysia terkena tsunami politik yang lebih besar, PM itu boleh membawa kestabilan kepada politik negara. Bukanlah kata Najib tak boleh bawa kestabilan, atau bawah Anwar Ibrahim lebih stabil. Kuasa PM itu besar, siapa jadi PM, janganlah hanyut dek mimpi menjadi kenyataan sahaja!
- Dasar luar negara merupakan antara cabaran kerajaan akan datang terutamanya hubungan dengan Singapura dan Indonesia. Maklumlah, hubungan Singapura dan Malaysia biasanya bitter-sweet sementara sesetengah rakyat di Indonesia memang pekerjaan mereka yang tetap adalah membuat tunjuk perasaan di kedutaan Malaysia di Jakarta. Penulis yakin kalau pembangkang menang, tidak akan jadi masalah isu ini sebab bakal PM Anwar Ibrahim mempunyai rapport yang jauh lebih baik berbanding Najib. Atau seharusnya beliaulah yang menjadi menteri luar sebab negara luar lebih menghargai beliau berbanding Malaysia !
- Angin perubahan telah bertiup kencang tetapi kita pun tak tahu ke manakah tiupan badai tersebut sama ada menghala ke dacing atau ke bulan/roket dan ( ) [tak tau nak gelar apa, mata ke, bulan sabit dua ke...]
- Akan tetapi, besar harapan penulis agar 'jawatan kuasa penambahbaikkan pilihan raya' yang beria-ia ditubuhkan dapat melaksanakan kerjanya lalu dapat menglaksanakan pembaharuannya terlebih dahulu sebelun PRU berlangsung. Dan hal yang demikian, pastilah akan menidakkan PRU diadakan dalam masa terdekat. Akan tetapi, kebarangkalian berlaku perkara tersebut semakin pudar apabia PM Najib sendiri sudah mengaku yang 'semboyan PRU' semakin jelas kedengaran.....
- Bersedialah kita menghadapi PRU yang kononnya semakin hampir...
Subscribe to:
Posts (Atom)