Tuesday, June 18, 2013

Tadabbur Kalamullah

 

Jujur penulis katakan bahawa penulis sudah hilang minat dengan politik negara kerana kelakuannya sangat tidak memberangsangkan. Politik keterlaluan yang diamalkan menyebabkan segala benda hendak dipolitikkan. Pendek kata, kalau anak jatuh terjelepuk sebab tersandung batu pun hendak kaitkan dengan politik. Tak habis dengan itu, semua orang pun pakat hendak menjadikan isu sebagai isu politik.

Kesemua ini tidak sukar untuk difahami. Apabila ada satu pihak yang tidak 'yakin' dengan keputusan yang diperoleh dan sanggup membawanya 'sehingga kejalanan,' maka kita tidak sukar untuk memahami apakah yang akan berlaku seterusnya. Mungkin keazaman politik pengikut-pengikut mereka tidak sehebat 'baju merah' dan 'baju kuning' di Thailand. Mungkin seruan merdeka dan laungan demokrasi mereka tidak sekuat di Dataran Tahrir, Mesir. Mereka mungkin tidak sehebat orang Turki yang sanggup berminggu-minggu menentang Erdogan dek hanya kerana isu pembangunan tanah. Namun, kita tidak pasti apa akan berlaku akan datang. Sedang kita pernah mendengar di Indonesia, ada orang yang menjadikan tunjuk perasaan sebagai pekerjaan!

Ditambah pula dengan kadar tindakan pihak berkuasa dalam menangani isu-isu berkaitan agama, raja dan sekali lagi, identiti bangsa Malaysia seperti lagu 'Negaraku' sekadar menjadi topik bualan dan polemik di kedai kopi, penulis sedar bahawa impian melihat Malaysia tanpa sebarang polemik politik ialah satu utopia yang mungkin tak tercapai. Maka, akhbar utama kekal memainkan isu yang sama saban hari tentang pelbagai masalah kenegaraan dan politik yang tak sudah-sudah.

Hal-hal sebegitulah yang menyebabkan penulis berputus asa hendak membincangkan hal-hal politik lagi; buat masa ini. Malah, penulis pun sudah kurang mengikuti kisah politik lagi. Dengar pun dah macam nak muntah. Malas rasanya hendak cerita atau pun baca akhbar sebab semua benda pun politik. Bola sepak Malaysia pun dah masuk main politik sampai ke 'dapur' tempat masak pun dah jadi bahan cerita dalam bola!

Justeru, penulis mengambil langkah untuk mengurangkan aktiviti membincangkan politik sama ada dalam penulisan mahupun perbincangan dengan rakan-rakan. Mereka agak kaget kerana penulis agak senyap apabila mereka berbincang mengenainya dan hanya mengeluarkan kenyataan, 'Huh, itu semua politik. Sampai bila pun macam tu!' Ada yang merasakan nada penulis nada kecewa. Macam orang merajuk. Ada juga yang menyindir, 'itu sebab BN kalah la tu monyok je. Harapan menjadi layu...' sambil menyayikan lagu kumpulan Hyperact. Akan tetapi, itu bukan soalnya. Walaupun penulis biasa difahami oleh teman rapat sebagai seorang yang memihak ke sebelah kerajaan, jujurnya penulis seorang yang apolitikal. Cuma apabila politik itu yang menjadi subjek perbincangan melampau, penulis lemas memikirkannya.

Mungkin kepada mereka yang aktif berpolitik akan sedar gejala ini bukan melanda penulis sahaja. Di US, ramai dikalangan rakyatnya yang tidak celik politik dan ramai juga dikalangan rakyatnya sudah tidak mempedulikan politik. Hidup mereka dikelilingi oleh politik. Mereka menghadapi pilihan raya saban tahun; setiap tahun. Datuk Bandar pun kena pilih, ahli majlis tempatan pun kena pilih, peguam daerah pun kena pilih, syerif pun kena pilih, gabenor negeri pun kena pilih, ahli kongres pun kena pilih, senator pun kena pilih dan sudah tentulah presiden pun perlu dipilih. Akhirnya, orang pun tak peduli siapa yang dipilih dan siapa yang kena pilih kerana mereka rimas memilih. PRU di US sering mencatatkan peratus keluar mengundi yang rendah dek kerana ketidakpedulian rakyat terhadap sistem pemerintahan.

Malah, di Malaysia pun bukannya sesuatu yang asing seandainya kita mendengar rakan kita berkata, 'aku tak peduli siapa yang menang asalkan sekian-sekian...' yang cukup menunjukkan mereka tidak peduli dengan politik. Dicampur pula dengan sifat mereka yang atas pagar dan hanya terkesan dek situasi, mereka pun mungkin tidak mengambil pusing pun apa yang berlaku.

Buruk baik itu hanya takdir yang menentukannya. Namun, sudah tentulah dalam rangka pembinaan negara bangsa, sikap tak ambil peduli secara mutlak terhadap politik hanya akan merugikan pihak pemerintah dan stakeholder (baca: parti politik) sahaja.

Maka, penulis pun cubalah mengambil inisiatif sendiri bagi memenuhkan masa dan diri dengan perkara lain pula. Masa cerita politik diisikan dengan perkara lain. Masa yang terluang tidak lagi dihabiskan dengan membuat 'analisis politik,' 'sebab-akibat,' dan sebagainya dok fikirkan nasib anak bangsa memanjang tak sudah; sedangkan anak bangsa tidak pula mempunyai inisiatif untuk memikirkan nasib sendiri. Ditambah pula dengan kerosakan laptop penulis yang agak parah juga menyebabkan penulis perlu mengisi masa terluang ini dengan sesuatu.

Arakian, Tuhan mendatangkan ilham-Nya sambil mengingatkan diri penulis untuk kembalikan kepada kitab-Nya dan sunnah rasul-Nya. Moga-moga bermanfaat kepada diri sendiri. Masa-masa itulah yang digunakan untuk penulis tadabbur Al-Quran kembali merenung kepada firman-firman-Nya. Dan, penulis dapat rasakan bahawa usaha ini setidak-tidaknya memenuhkan kembali jiwa penulis yang satu ketika menjadi kosong dek kerana politik memanjang!

Tafsir Al-Azhar oleh Prof Dr Hamka

Sebab akhirnya segalanya adalah kehendak Dia, tiada Tuhan lain yang selayaknya disembah melainkan-Nya, Yang Maha Esa lagi Maha Tempat Bergantung Harap; yang tiada beranak dan diperanakkan dan tiada sesuatu yang sama setara dengan Dia yang Satu.