Tahun baru menjelang lagi. Selain nombor terakhir dari empat digit tahun miladi dan hijri yang berubah, umur kita juga akan dan bakal berubah. Ayah Dr. Mahathir sendiri sanggup "mengalter" tarikh lahir Dr Mahathir semata-mata memudahkan persekolahan anaknya. Punyalah berfikir panjangnya orang tua-tua dahulu! Alhamdulillah juga, kedua-dua tokoh Maal Hijrah tahun ini adalah ulama besar yang banyak berjasa kepada umat Islam. Datuk Seri Harussani misalnya begitu lantang tetapi dalam lantang dan tegasnya, beliau sendiri tidak pernah memuncungkan wajahnya dan sentiasa tenang dalam apa jua keadaan. Wahbah Zuhailiy tak perlu diperkenalkan lagi dengan karya besar beliau Tafsir Al-Munir dan Fiqh Islami; kedua-dua terjemahan karya tersebut boleh diperoleh di pasaran dengan mudahnya andai mahu membuat rujukan.
Tahun berganti tahun, generasi juga berganti generasi. Kita yang tinggal adalah penggerak pada masa akan datang. Mungkin tak semua boleh jadi PM, tetapi bukan bermaksud kita tiada tanggungjawab terhadap masyarakat. Malah, sekarang ini, syarikat-syarikat besar (dan SME juga) sedang berlumba-lumba (kononnya) untuk melakukan "tanggungjawab sosial" a.k.a CSR. Sampaikan ada anugerah tertentu untuk "pencapaian" mereka dalan CSR ini. Kita juga ada tanggungjawab terhadap keluarga kita jadi penuhilah kesemua tanggungjawab kita sebagai anak, sebagai abang/kakak/adik/suami/isteri.
Tiap-tiap tahun juga ramai yang diantara kita yang ada "azam tahun baru." Saya rasa walaupun tradisi ini tidak dikenalpasti asal-usulnya; tetapi sedangkan dalam usrah tabligh "fikir terhadap iman dan amal" pun ada perkara azam, inikan pula manusia yang hendak melayari zaman setahun lagi yang akan penuh dengan pelbagai kemungkinan. Kita kena merancang, sebagaimana yang telah dijadikan contoh dalam Al-Quran tentang persediaan Nabi Yusuf A.S. dalam menghadapi kemarau pada zaman baginda A.S Azam juga boleh menjadi niat kita untuk melakukan sesuatu dan sebagaimana pandangan Imam Nawawi rah. sesungguhnya niat itu adalah satu pertiga dari Ibadah Islami.
Dah jadi macam kuliah la pulak entri ni.... Apapun, azam saya paling utama ialah membereskan semester 2 saya dengan baiknya. Walaupun saya berasal dari bidang berbeza sebelum ini, saya nak cuba betul-betul feel buat final project saya tentang loyalty tu. Saya ada dua alternatif selepas habis semester; sama ada nak terus sambung untuk amik Ph.D atau carilah kerja-kerja yang berkaitan. Tapi, kalau nak sambung pun, saya nak kena usahakan untuk dapat biasiswa/geran/seangktan dengannya sebab dah habis karang, tak payah fikir pasal bayar hutang. PTPTPu pun tak habis bayar lagi, Kah Kha Ka!
Saya betul-betul hendak usahakan untuk mengkaji pemikiran tokok-tokoh yang selalu saya baca karyanya: Sayyed Hossein Nasr, Ziauddin Sardar, Syed Hussein Alatas, Syed Muhammad Naquib Al-Attas dan HAMKA. Mungkin kita boleh cari persamaan (dari segi ilmu, atau pendekatan terhadap pandangan alam, atau budaya.... masih pending) antara mereka. Pemikiran mereka mungkin ada sedikit sebanyak perbezaan, tetapi kita boleh kaji titik persamaan antara mereka untuk membentuk satu rangka kerja baru untuk kita adaptasi dalam dunia pasca-moden ini.
Dunia pasca moden terlalu dahagakan pendekatan atau cara kerja atau paradigma baru untuk dilaksanakan kerana sudah terlalu lemah di"perkosa" dengan adegan kapitalis dan korupsi yang memusnahkan seluruh isi alamnya. Mungkin cerita-cerita seperti Terminator 2: Judgement Day atau The Day After Tomorrow atau pelbagai lagi filem pasca-moden yang wujud itu sekadar fiksyen. Namun, itulah yang bakal berlaku andai kita masih kekal dengan mentaliti dan paradigma lama. Semakin ramai yang cuba mempelajari pendekatan Islam sebagai satu alternatif kepada apa yang berlaku sekarang. Mungkin tesis Francis Fukuyama tentang berakhirnya sejarah atau Huntington dengan pertembungan tamadunada betulnya, dan ada juga khilafnya. Namun, yang lebih penting adalah apakah alternatif bagi mengatas masalah yang dihadapi sekarang? Adakah kita masih hendak menuruti lagi tamadun barat yang menyebabkan kehancuran sistem kewangan mereka sendiri atas sikap mereka yang materialistik dan kapitalis? Atau mengiakan lagi tindakan Israel dan Amerika yang sentiasa mencabul keamanan orang lain dengan serangan roket dan senjata pemusnah atas alasan keamanan dan menghancurkan paksi kejahatan?
Apa yang kita boleh buat? Cubalah kita fikirkan dan lontarkan idea bersama. Kata Kennedy, "Jangan tanya apa sumbangan negara kepada anda, tetapi tanyalah apakah sumbangan anda kepada negara." Kata-kata itu mungkin betul tetapi penuturnya mati ditembak; salah satu spekulasi pembunuhan beliau ada kaitan dengan cerut yang beliau beli daripada Cuba. Jadi; jangan hidup dalam ironi.
Itulah bebelan ku tentang tahun baru............