Sunday, September 1, 2013

Sejak bila penjenayah menggunakan SOP???

 

Apabila salah seorang timbalan menteri meluahkan rasa ketidakpuasan hatinya lantaran kes polis menyerbu dan menembak mati sekumpulan ahli kongsi gelap di Pulau Pinang, apa yang bermain di fikiran penulis ialah 'Wow, kini penjenayah pun mempunyai hak untuk diambil tindakan menurut SOP!' Soal timbalan menteri itu mewakili ras mana bukanlah satu isu kerana pak timbalan menteri dan orang ramai mesti faham dan tahu, bahawa jenayah tidak sama sekali mengenal warna kulit. Tiadalah perompak itu mempertimbangkan akan ras semasa dia hendak merompak. Tiadalah seseorang penyamun itu walaupun mereka Melayu akan mempertimbangkan 'hak istimewa orang Melayu' tatkala hendak melakukan samun.

Apa yang berlaku pada situasi sebegini bolehlah dikaitkan dengan kecenderungan ahli politik dan mereka yang berkepentingan untuk mempolitikkan sebarang tindakan oleh kerajaan demi meraih perhatian rakyat bahawa mereka ialah 'pejuang rakyat.' Kebetulan pula sesebuah 'pertubuhan' jenayah itu melibatkan satu kaum sahaja, lantas dijadikan sebagai isu besar dan berbaur perkauman seandainya pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap kumpulan tersebut. Sedangkan pada asalnya kegiatan jenayah tidak mengira bangsa apakah mangsa dan pemangsa dan tiada sebarang prosedur standard semasa si pelakunya melakukan kerja terkutuk itu. Jadi, mengapakah polis perlu melakukan operasi standard untuk berhadapan dengan situasi tak standard?

Polis kini mudah sahaja dikambing-hitamkan untuk sebarang kegiatan jenayah dan penjenayah. Sekiranya berlaku peningkatan jenayah, polis dituduh sebagai tidak cekap dan berkesan dalam menjalankan tanggung jawab dan 'makan gaji buta.' Apabila terdapat seorang dua anggota yang terlibat dalam jenayah, keluarlah pula skrip 'dah kalau polis pun yang jahat, macam mana pula dia orang nak tangkap penjahat!' Apabila penjahat terlepas, polis dituduh sebagai tak menjalankan tugas dengan baik. Apabila polis membuat sekatan jalan, terkeluarlah dialog, 'dah tak de kerja lain ke dia orang ni? Dia punya pasal dah tak pasal traffic jam berjam-jam. Tak ada otak ke?' Apabila penjenayah menembak mati polis, polis akan dituduh sebagai tidak efisyen dan ketinggalan zaman. Apabila polis terlibat dalam mempertahankan kedaulatan negara daripada pencerobohan, mereka berkata 'ini ialah sandiwara yang maha dahsyat, nampak sangat nak mengejar mileage politik!' Dan kini apabila polis membuat operasi terhadap penjenayah sehingga penjenayah tertangkap atau mati, polis pula dituduh tidak ikut prosedur operasi standard!

Oleh hal yang demikian, hanya masa sahaja yang menentukan sekiranya penjenayah tampil membuat tunjuk perasaan untuk menuntut hak untuk melakukan jenayah. Hal ini dikatakan demikian kerana sudah ada timbalan menteri yang mempersoalkan operasi standard yang diambil oleh polis, maka tidak hairan nanti kesemua tindak-tanduk polis akan dipersoalkan agar hak mendapatkan keadilan bagi pihak penjenayah. Ingat, seseorang tidak boleh dikatakan penjenayah selagi MAHKAMAH tidak menetapkan seseorang itu sebagai penjenayah dan sekiranya dia disabitkan sebagai penjenayah, dia masih berhak untuk merayu di mahkamah yang lebih tinggi terhadap pertuduhannya.

Akhirnya, kita sebenarnya boleh menilai hala tuju politik dalam negara ini untuk mewujudkan real politic ala-anarki. Kebenaran hanya dicapai sekiranya pihak tertentu sahaja yang mengiktirafnya. Mereka mahukan golongan mereka terpelihara walau apa cara sekali pun untuk menjamin pengaruh dan kelangsungan politik mereka. Politik 'asal boleh' ini membahayakan masyarakat kerana akhirnya ketenteraman tidak akan mampu ditegakkan. Biarkanlah isu keselamatan negara tidak dijadikan sebagai alat untuk mendapat kemasyhuran politik kerana soal keselamatan terlalu penting untuk dijadikan isu politik. Habiskanlah cerita politik sekadar dalam kisah-kisah parti, idealisme perjuangan, 'aku nak sangat jadi PM sebab kalau aku jadi PM maka selesai masalah dunia.'

Takkanlah apabila ada dikalangan kenalan baik kita, atau mungkin keluarga kita yang menjadi mangsa jenayah, maka perkara pertama yang kita akan bangkitkan ialah, 'adakah mereka melakukan jenayah mengikut SOP? Sebab kalau ikut SOP, maka kita tak boleh buat apa-apa?!?’

Saturday, August 31, 2013

Merdeka ini untuk siapa?

 

Seretorik soalan ini dikemukakan, begitulah juga jawapan yang didambakan. Namun, retorik bukan bermakna sekadar bersifat idealistik. Capaian kepada persoalan ini mencakup apa yang telah, sedang dan akan berlaku -persoalan merdeka dan maksudnya dalam pembentukan negara bangsa. Ramai yang apabila ditanya tentang erti kemerdekaan mengaitkannya dengan kebebasan daripada penjajah. Pun begitu, dalam konteks Malaysia, bukan semua negeri atau wilayah di dalam negara ini yang benar-benar menerima 'penjajahan' daripada pihak imperialis.

Barangkali perlu diingat tentang kekhilafan pimpinan masyarakat yang terdahulu, daripada raja-raja Melayu dan pembesar-pembesarnya dan ketua puak dan suku kaum yang membolehkan kuasa imperialis bertapak di Tanah Melayu dan Kepulauan Borneo. Disebabkan pertelingkahan sesama mereka, pihak Barat berjaya meyakinkan pemimpin tempatan menerima pengaruh mereka dan akhirnya terlibat secara langsung dalam pentadbiran dan pemerintahan tempatan di dalam negara ini. Justeru penerimaan campur tangan pihak luar dalam pentadbiran dan pemerintahan negara adalah disebabkan kelemahan penduduk tempatan itu sendiri.

Bagaimanapun, sejarah bukanlah untuk kita menghukum siapa yang benar dan siapa yang salah, selanjutnya dijadikan sebagai asas untuk seseorang mencorak cereka sejarah, apabila dia berkuasa kelak. Kalau begitulah jadinya, maka sejarah sesebuah negara tidak akan pernah statik lantaran pihak berkepentingan akan menjadikannya sebagai alatan propaganda untuk menegakkan atau menaikkan nama dan pihak yang digemarinya. Nescaya akan ada sambutan merdeka daripada pemerintahan sekian kerana kini negara diperintah oleh parti sekian dan kelak, kalau parti itu pula yang lingkup, maka sambutan akan menjurus kepada merdeka daripada parti si nun. Ibaratnya Obama mengumumkan sambutan hari merdeka kerana berjaya ‘memerdekakan Amerika Syarikat daripada pihak George Bush dan Republikan’ kepada pemerintahannya dan Demokrat.

Kalau begitulah kesnya, maka umat samawi tentulah akan melaknat dan menghukum Nabi Adam a.s. kerana telah menyebabkan terkeluarnya manusia daripada syurga. Citra tentangnya menjadi betapa Nabi Adam ialah insan yang harus dibenci sebab bagindalah, maka manusia tercampak di bumi ini dan perlu menjalani kehidupan bertanggung jawab dan menghadapi ujian dan cabaran; terputus sama sekali daripada nikmat maknawi dalam keindahan syurga dan kini bisa merasa hidup dan mati dan kelak dihisab pula amalan diri. Sebaliknya pengkisahan dan pensejarahan Adam a.s. menjurus kepada betapa itulah sifat manusia, diberi nikmat, melakukan kesilapan dan perlu bertaubat kepada Penciptanya dan menggalas urusan sebagai khalifah di bumi. Oleh hal yang demikian, sesiapa dikalangan keturunannya yang berbuat baik dan menyembah Penciptanya akan dibalas dengan kebaikan sementara bagi yang tidak berbuat demikian maka Tuhan jualah yang membalasnya.

Dari hal yang itu, citra sambutan kemerdekaan mestilah sebaik-baiknya tepat meski dipandang oleh siapa. Biarkan yang ahli sahaja yang mencorak citra kemerdekaan walaupun nyata sukar diterima oleh kesemua pihak. Memang ada persoalan yang sukar untuk disepakati tapi titik temunya mesti ada! Apa lagi kita ini yang bernama manusia, mesti hendak akan keamanan, kedamaian dan kenyamanan. Tidak kira regim mana yang menjadi teraju, yang penting rakyat aman dan sentosa tanpa banyak huru-hara dan ketidakstabilan.

Akhir kata, persoalan merdeka ini untuk siapa harus dijawab oleh setiap rakyat Malaysia. Pastinya makna merdeka itu relatif pada siapa yang mentakrifkannya. Akan tetapi, untuk siapa harus dirinya dan bangsanya merdeka, pasti cabangnya akan tercantum jua.

Selamat menyambut hari kemerdekaan Malaysia ke-56.

Tuesday, June 18, 2013

Tadabbur Kalamullah

 

Jujur penulis katakan bahawa penulis sudah hilang minat dengan politik negara kerana kelakuannya sangat tidak memberangsangkan. Politik keterlaluan yang diamalkan menyebabkan segala benda hendak dipolitikkan. Pendek kata, kalau anak jatuh terjelepuk sebab tersandung batu pun hendak kaitkan dengan politik. Tak habis dengan itu, semua orang pun pakat hendak menjadikan isu sebagai isu politik.

Kesemua ini tidak sukar untuk difahami. Apabila ada satu pihak yang tidak 'yakin' dengan keputusan yang diperoleh dan sanggup membawanya 'sehingga kejalanan,' maka kita tidak sukar untuk memahami apakah yang akan berlaku seterusnya. Mungkin keazaman politik pengikut-pengikut mereka tidak sehebat 'baju merah' dan 'baju kuning' di Thailand. Mungkin seruan merdeka dan laungan demokrasi mereka tidak sekuat di Dataran Tahrir, Mesir. Mereka mungkin tidak sehebat orang Turki yang sanggup berminggu-minggu menentang Erdogan dek hanya kerana isu pembangunan tanah. Namun, kita tidak pasti apa akan berlaku akan datang. Sedang kita pernah mendengar di Indonesia, ada orang yang menjadikan tunjuk perasaan sebagai pekerjaan!

Ditambah pula dengan kadar tindakan pihak berkuasa dalam menangani isu-isu berkaitan agama, raja dan sekali lagi, identiti bangsa Malaysia seperti lagu 'Negaraku' sekadar menjadi topik bualan dan polemik di kedai kopi, penulis sedar bahawa impian melihat Malaysia tanpa sebarang polemik politik ialah satu utopia yang mungkin tak tercapai. Maka, akhbar utama kekal memainkan isu yang sama saban hari tentang pelbagai masalah kenegaraan dan politik yang tak sudah-sudah.

Hal-hal sebegitulah yang menyebabkan penulis berputus asa hendak membincangkan hal-hal politik lagi; buat masa ini. Malah, penulis pun sudah kurang mengikuti kisah politik lagi. Dengar pun dah macam nak muntah. Malas rasanya hendak cerita atau pun baca akhbar sebab semua benda pun politik. Bola sepak Malaysia pun dah masuk main politik sampai ke 'dapur' tempat masak pun dah jadi bahan cerita dalam bola!

Justeru, penulis mengambil langkah untuk mengurangkan aktiviti membincangkan politik sama ada dalam penulisan mahupun perbincangan dengan rakan-rakan. Mereka agak kaget kerana penulis agak senyap apabila mereka berbincang mengenainya dan hanya mengeluarkan kenyataan, 'Huh, itu semua politik. Sampai bila pun macam tu!' Ada yang merasakan nada penulis nada kecewa. Macam orang merajuk. Ada juga yang menyindir, 'itu sebab BN kalah la tu monyok je. Harapan menjadi layu...' sambil menyayikan lagu kumpulan Hyperact. Akan tetapi, itu bukan soalnya. Walaupun penulis biasa difahami oleh teman rapat sebagai seorang yang memihak ke sebelah kerajaan, jujurnya penulis seorang yang apolitikal. Cuma apabila politik itu yang menjadi subjek perbincangan melampau, penulis lemas memikirkannya.

Mungkin kepada mereka yang aktif berpolitik akan sedar gejala ini bukan melanda penulis sahaja. Di US, ramai dikalangan rakyatnya yang tidak celik politik dan ramai juga dikalangan rakyatnya sudah tidak mempedulikan politik. Hidup mereka dikelilingi oleh politik. Mereka menghadapi pilihan raya saban tahun; setiap tahun. Datuk Bandar pun kena pilih, ahli majlis tempatan pun kena pilih, peguam daerah pun kena pilih, syerif pun kena pilih, gabenor negeri pun kena pilih, ahli kongres pun kena pilih, senator pun kena pilih dan sudah tentulah presiden pun perlu dipilih. Akhirnya, orang pun tak peduli siapa yang dipilih dan siapa yang kena pilih kerana mereka rimas memilih. PRU di US sering mencatatkan peratus keluar mengundi yang rendah dek kerana ketidakpedulian rakyat terhadap sistem pemerintahan.

Malah, di Malaysia pun bukannya sesuatu yang asing seandainya kita mendengar rakan kita berkata, 'aku tak peduli siapa yang menang asalkan sekian-sekian...' yang cukup menunjukkan mereka tidak peduli dengan politik. Dicampur pula dengan sifat mereka yang atas pagar dan hanya terkesan dek situasi, mereka pun mungkin tidak mengambil pusing pun apa yang berlaku.

Buruk baik itu hanya takdir yang menentukannya. Namun, sudah tentulah dalam rangka pembinaan negara bangsa, sikap tak ambil peduli secara mutlak terhadap politik hanya akan merugikan pihak pemerintah dan stakeholder (baca: parti politik) sahaja.

Maka, penulis pun cubalah mengambil inisiatif sendiri bagi memenuhkan masa dan diri dengan perkara lain pula. Masa cerita politik diisikan dengan perkara lain. Masa yang terluang tidak lagi dihabiskan dengan membuat 'analisis politik,' 'sebab-akibat,' dan sebagainya dok fikirkan nasib anak bangsa memanjang tak sudah; sedangkan anak bangsa tidak pula mempunyai inisiatif untuk memikirkan nasib sendiri. Ditambah pula dengan kerosakan laptop penulis yang agak parah juga menyebabkan penulis perlu mengisi masa terluang ini dengan sesuatu.

Arakian, Tuhan mendatangkan ilham-Nya sambil mengingatkan diri penulis untuk kembalikan kepada kitab-Nya dan sunnah rasul-Nya. Moga-moga bermanfaat kepada diri sendiri. Masa-masa itulah yang digunakan untuk penulis tadabbur Al-Quran kembali merenung kepada firman-firman-Nya. Dan, penulis dapat rasakan bahawa usaha ini setidak-tidaknya memenuhkan kembali jiwa penulis yang satu ketika menjadi kosong dek kerana politik memanjang!

Tafsir Al-Azhar oleh Prof Dr Hamka

Sebab akhirnya segalanya adalah kehendak Dia, tiada Tuhan lain yang selayaknya disembah melainkan-Nya, Yang Maha Esa lagi Maha Tempat Bergantung Harap; yang tiada beranak dan diperanakkan dan tiada sesuatu yang sama setara dengan Dia yang Satu.