Saturday, August 18, 2012

Meraikan Raya

 

Syawal menjelang lagi menandakan tamatlah sudah bulan penuh barakah dan lubuk pahala untuk tahun ini. Kehadiran tanggal pertama Syawal dinanti-nantikan oleh segenap lapisan umat Islam bagi meraikan Aidil Fitri bersama-sama yang tersayang.

Umat Islam Malaysia biasanya menyambut Hari Raya dengan berkunjung ke rumah sanak-saudara dan sahabat handai. Kuih raya dibuat dan masakan tradisi disajikan daripada ketupat, lemang, rendang, kari dan lain-lain. Kesemua masakan tersebut mempunyai nilai kalori yang tinggi dan diharapkan kita dapat berpada-padalah dengan makanan tersebut.

Pada masa yang sama, kita juga akan dapati sebahagian daripada kita yang menyambut Hari Raya dengan suasana yang hiba. Media turut memainkan peranan menyedihkan keadaan dengan menayangkan cerita-cerita tragedi atau sedih di kaca televisyen dan memutarkan lagu-lagu yang hiba di corong radio. Irama yang mendayu-dayu kedengaran menyebabkan linangan air mata dek kerana mengenangkan kesedihan melodi, lagu dan seni kata.

Barangkali yang tak dapat pulang ke kampung, seni kata berikut akan menggamit perasaan:

Hanya ku sampaikan doa dan kiriman tulus ikhlas

Dari jauh ku pohonkan ampun maaf

Dan bagi yang terkenangkan pemergian yang tersayang, bait-bait berikut mungkin menjadikannya terkedu:

Tiada bisikan, lembut yang ku dengar, hanya suara azan sayup bergema,

Masih ku rasakan hangat tangan mu, di pagi raya bersalam dengan ku...

Ditambah pula dengan takbir raya Malaysia yang berirama 'balada' menambahkan lagi rasa sebak di dada mengenangkan perasaan kesunyian dan kesedihan.

Sedangkan hari raya sepatutnya (dan disyariatkan) untuk kita bergembira dan menzahirkan kegembiraan itu dengan harapan optimis dan amal ibadat. Kita bertakbir menandakan kemenangan dan kejayaan kembali kepada fitrah selepas mengharungi tarbiah Ramadan.

Kalaulah Ramadan itu sebuah institusi pendidikan, maka Aidil Fitri merupakan hari konvokesyennya. Jadi, adakah orang menangis kesedihan pada 'hari konvonya'?

Kegembiraan yang disambut sepatutnya seiring dengan syariat. Bukannya buat pesta tak tentu pasal, bagai orang hendak menyambut Tahun Baru!

Takbir dilaungkan seharusnya bersemangat bagi menzahirkan kesediaan kita untuk menjejaki masa 'luar Ramadan' dengan dikekalkan seboleh dan semampu mungkin apa yang telah kita alami dalam bulan barakah itu. Tetapi, sebab melodi balada takbir Raya kita sudah sebegitu, rasa semangat bertukar menjadi hiba. Bukanlah hendak mengata yang ini tak boleh, yang itu tak boleh, namun bertakbir asalnya adalah untuk membesarkan Allah, jadi sebutan dan laungan pun mestilah tegas, menggambarkan kita membesarkan-Nya.

Selain itu, kegembiraan kita juga terpancar dengan menghadiri solat sunat Aidil Fitri, mendengar khutbah sempenanya dan kemudian menziarahi keluarga dan sahabat handai. Kita sama-sama mendoakan agar segala amalan kita dan doa yang dipanjatkan akan dimakbulkan.

Cuma kadang-kala apa yang berlaku adalah sebaliknya. Ada dikalangan kita, apabila pulang ke kampung bertemu saudara-mara, menarik muka masam dek kerana dendam kesumat dan ketakpuashatian yang lama. Macam-macam yang menjadi penyebabnya; pasal tanahlah, pasal hartalah, pasal pesakalah pasal itu dan ini sehingga menyebabkan ceria menjadi duka, senang hati menjadi sakit hati.

Oleh yang demikian, diharapkan budaya bergaduh sesama keluarga pada hari raya dapatlah dielakkan. Hari raya untuk kita bergembira, bukannya bertepuk-tampar sesama kita.

Lebihlah lagi budaya raya di negara kita dikaitkan dengan saling-memaafkan, maka seharusnya kita memaafkan dan memohon maaf kepada orang lain. Budaya sebegini menjadi nilai tambah dalam sambutan raya agar kita sering berfikiran positif untuk memberikan dan meminta kemaafan pada hari yang mulia.

Kalau nak diikutkan, maaf-memaafkan sebenarnya bukan tertakluk pada hari raya sahaja. Namun, mungkin disebabkan kegembiraan menyambut raya itu mungkin memudahkan untuk orang memaafkan, maka agenda meminta maaf menjadi budaya pada hari tersebut. Justeru, memang wajarlah pada hari raya kita bergembira agar pintu kemaafan lebih mudah dibuka!

Akhir kata, Aidil Fitri menjadi satu sambutan yang sewajarnya dijadikan ibadat berbanding adat. Syawal juga memberi peluang kepada umat Islam melaksanakan ibadah puasa sunat yang dijanjikan pahala setahun gamaknya[1]! Sama ada berturutan atau tidak itu terpulang, dan soal niat serentak yang sunat dengan yang qada' pun sebenarnya khilaf[2]. Bolehlah tanya yang berilmu.

Apa yang penting, pembelajaran dalam pusat tarbiyah Ramadan memberi kesan kepada umat Islam selepas mengharunginya dan meraikan Aidil Fitri agar tercapailah maksud kepada ibadah puasa itu sendiri iaitu 'moga-moga kamu bertakwa!'


[1] Sebagaimana yang diriwayatkan oleh Muslim daripada Abu Ayyub r.a. yang bermaksud ‘Barangsiapa yang berpuasa Ramadan kemudian diikuti dengan puasa enam daripada Syawal maka seolah-olah dia telah berpuasa selama setahun.’ Rujukan hadis misalnya dalam An-Nawawi, Yahya bin Syaraf, Ringkasan Riyadhus Solihin diringkaskan oleh Syaikh Yusuf Al-Nabhani, terj. Abu Khodijah Ibn Abdurrohim (KL: Telaga Biru, 2010), 228.

[2] Salah satu pendapat yang pernah penulis baca ialah daripada Almarhum Syed Abdillah Ahmad Al-Jufri ialah tidak boleh disatukan niat puasa enam Syawal dan qada’ dan haruslah didahulukan yang qada’ sebelum yang sunat. Wallau‘alam.

Thursday, August 16, 2012

Dari hal Olimpik kita




Kebetulan Sukan Olimpik tahun ini berada dalam bulan yang mulia dan penuh barakah, maka perihalnya sudah tentulah akan diperkatakan juga oleh segenap lapisan masyarakat kita.

Kalau tak silap penulis, Olimpik punya pasal, ada mufti yang mengeluarkan fatwa bahawa peserta muslim boleh tangguh puasa kerana menjaga kesihatan dan kecergasan; berjuang demi nama negara – gamaknya! Teringat penulis ketika Piala Dunia 2002 di Korea/Jepun tatkala ulama di Senegal mengeluarkan fatwa bolehnya tangguh sembahyang Jumaat bagi rakyatnya menonton perlawanan bola sepak pada waktu Jumaat; sampai begitu sekali!

Mungkin ada juga yang mengeluarkan pendapat peserta tersebut sebenarnya sedang bermusafir, maka harus untuknya tidak berpuasa – terpulanglah kepada tafsiran ulama tersebut kerana hal-hal furu’ ini seeloknya mereka yang benar-benar mahir sahaja yang boleh menjawabnya.

Selain daripada atlet yang pergi ke London untuk berolimpik, pegawai pengiring juga turut ke sana. Cuma kadang-kala kita pun naik hairan juga kalau atlet yang dihantar untuk satu acara sekadar dua tiga orang, tetapi yang pengiringnya itu sudah taraf buat rombongan pula. Duit rombongan itu datang daripada mana?

Negara jiran kita Singapura sudah sah bergelar China Asia Tenggara sebab wakil mereka yang berjaya memenangi gangsa sukan ping pong pun berasal daripada negara Tembok Besar juga. Nampaknya sindrom Malaysia melanda negara Singa apabila hanya ping pong sahaja yang mampu memberi sinar pingat kepada mereka – itupun melalui proses ‘pembelian pemain daripada China.’ (Kalau Malaysia, badminton sahaja yang boleh bagi pingat; tetapi kali ini, dapat jugalah sebutir gangsa hasil sukan terjun!)

Barangkali negara kita tidak sampai ke tahap itu namun kalau difikirkan, ada pro kontranya neutralisasi pemain luar menjadi rakyat Malaysia. Bukannya kita tidak pernah ada atlet yang begitu.... namun  kalau difikirkan sebenarnya yang baiknya kalau begitu (beli pemain luar) kerana kita memberikan peluang kepada atlet yang memang sudah sedia berbakat pada tahap yang tinggi untuk bersaing di peringkat antarabangsa; kerana mungkin kekangan di negara sendiri tidak memberi peluang kepada mereka untuk berbuat demikian. Jadi, wang untuk latihan dan sebagainya dapatlah dijimatkan dan tinggal ‘touch up’ sahaja! – Kalau dipandang secara logik akalnya.....

Kendatipun, disebabkan harga diri dan peluang terpendam di kalangan rakyat sendiri, sudah tentu proses beli pemain luar untuk jadi warganegara merupakan proses yang bertentangan dengan semangat patriotisme yang terkandung dalam rakyat kita.

Pada masa yang sama juga, elok juga Olimpik kali ini tidak dimenangi oleh atlit muslim negara kita kerana bukan nak cakap apa, rekaan pingatnya itu terlalu menonjolkan sangat mitos kedewaan zaman Yunani satu ketika dahulu; dari satu sudut, tak elok kalau hendak menyimpan benda-benda yang ada rekaan ketuhanan agama yang lain. Tak gitu?


Andai mengambil topik sukan secara per se, nyatalah Olimpik membuktikan kepada kita bahawa jurang sukan antara Asia Tenggara berbanding rantau dunia yang lain (hatta Afrika sekali pun) sangat-sangatlah jauh ibarat langit dan bumi. Walaupun Asia Tenggara boleh berbangga dengan Sukan SEA dan kita pun berteriak yang kita menang pingat emas bola sepak sukan tersebut, sebenarnya rantau ASEAN sudah semakin jauh ketinggalan dalam bidang sukan berbanding rantau yang lain.

Tengok sahajalah pungutan pingat negara-negara ASEAN, semua pun lebih kurang sama sahaja. Kalaulah Sukan Olimpik dibuat secara merentas sub-benua, (Asia Tenggara, Asia Timur, Amerika Utara, Amerika Selatan dsb) alamatnya yang paling corot sekali ialah negara-negara ASEANlah jawabnya!!!

Justeru perkara sedemikian membangkitkan persoalan apakah rasionalnya kita beria-ia hendak buat Sukan SEA. Juara lumba lari 100 meter Sukan SEA pun tak mampu hendak menjadi wakil Asia Tenggara di peringkat Olimpik, jadi apa yang hendak dibanggakan sangat???

Jadi, tok sah lah sangat hendak menganjurkan sukan pelbagai acara (multiple events) sangat sebab pulangannya belum tentu dan impak kepada sukan dalam negara itu sendiri belum terbukti. Apa yang penting, budaya sukan itu sendiri yang dipupuk di peringkat sekolah, dan yang dimaksudkan budaya sukan itu termasuklah kepelbagaian jenis sukan yang membolehkan pelajar menyertainya. Sudah tentulah peralatan dan tenaga pengajarnya perlu profesional (guru PJK) yang benar-benar boleh membawa kepada matlamat 1Murid 1Sukan dan PENDIDIKAN JASMANI DAN KESIHATAN.

Artikel berkaitan

Mengoptimumkan PJK: Nasi lemak dan kesihatan

Wednesday, August 15, 2012

17 Ramadan


17 Ramadan                                       

Bagi umat Islam di Malaysia, 17 Ramadan bukan sahaja menandakan mereka telah berpuasa 17 hari, malah turut mencerminkan tinggal lebih kurang 13 hari sahaja lagi hendak beraya.

Bagi mereka yang Islamik sedikit, 17 Ramadan dikenang sebagai hari Nuzul Al-Quran iaitu peristiwa turunnya wahyu Allah ke langit bumi. Untuk menambahkan lagi seri sambutan tersebut, beberapa buah negeri di tanah air mengisytiharkan cuti negeri sempena hari tersebut.

Namun perlu diingat bahawa cuti atau tidak seseorang itu tidak ada kaitan dengan 'keimanan' dan 'pengharapan' seseorang dalam berpuasa[1].

HAMKA turut mengaitkan 17 Ramadan dengan peristiwa Badar Al-Kubra yang menjadi titik tolak perjuangan mempertahankan agama secara peperangan.[2] Justeru terngiang-ngiang doa Nabi SAW yang dipanjatkan kepada Allah Taala untuk memberikan kemenangan kepada pasukannya kerana andai tidak, tiada lagi manusia di atas muka bumi ini yang akan menyembah-Nya!

Bagi mereka yang lebih peka terhadap sunnah barangkali 17 Ramadan menjadi isyarat yang semakin jelas untuk melipatgandakan amalan mereka kerana sepuluh yang terakhir itu semakin hampir. Lagilah seandainya ditakdirkan Ramadan sekadar 29 hari, sepuluh yang terakhir itu bermula pada 19 haribulan, dan bukannya 20!

Jadi, usaha untuk mendapatkan yang 'lebih baik daripada seribu bulan' itu perlulah ditingkatkan kerana alamatnya telah dikhabarkan oleh Nabi SAW sedemikian[3].

Begitulah adanya, tidak ketinggalan bagi mereka yang mengikut trend semasa maka 17 Ramadan menandakan hari raya semakin hampir. Medium jualan misalnya, jangankan pada akhir Ramadan, berminggu-minggu sebelum puasa pun sudah mengadakan 'jualan sempena raya' bagi meraikan keuntungan berlipat kali ganda sempena menyambut lebaran. Puasa pun belum lagi, dah nak sambut raya!

Ada yang sanggup berhutang sini sana asalkan dapat benda raya; langsir raya, kereta raya, sofa raya. Tak masuk lagi benda-benda yang secara tradisinya dirayakan seperti baju raya, kasut raya dan kuih raya!

Ramadan seharusnya mengajar kita berhemah dalam berbelanja, sebab yang lebih utama ialah menahan diri daripada hawa nafsu. Namun, kalau yang 'raya' itu terlalu dilebihkan, sudah tentu objektif 'moga bertakwa' tidak dapat dicapai.

Selain daripada berpuasa, zakat juga merupakan satu ibadah yang dikaitkan dengan Ramadan; namanya fitrah. Tetapi, alangkah eloknya seandainya ibadah zakat itu secara keseluruhannya diperkasakan; bukan sahaja daripada segi zakat harta dan fitrah, malah agihan zakat itu sendiri hendaklah diperkasakan supaya rancangan seperti 'Bersamamu' itu tidak perlu ditayangkan lagi.

Akhir kata, 17 Ramadan bukanlah sekadar satu lagi tarikh untuk kita bercuti atau mengenang turunnya Al-Quran, sebaliknya harus menjadi penanda aras sejauh mana kita mengamalkan apa yang diturunkan oleh-Nya kepada kita. Betapa umat Islam Malaysia begitu gah dalam bertaranum dan berqiraat sehingga kita tidak pula memahami apa yang kita bacakan! Pak Arab naik hairan betapa lunak dan sedapnya orang kita baca Quran tapi rupanya tak faham apa yang dibaca!

Dan kalau sudah tidak faham, masakan untuk beramal dengannya? 







[1] Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim daripada Abu Hurairah r.a. yang bermaksud ‘Barang siapa yang berpuasa Ramadan kerana keimanan dan pengharapan kepada Allah maka diampunkan segala dosa-dosanya yang telah lalu. Rujukan hadis boleh dilihat misalnya dalam An-Nawawi, Yahya bin Syaraf, Ringkasan Riyadh us Solihin disusun semula Syaikh Yusuf Al-Nabhani (KL: Telaga Biru, 2010) m.s. 223.


[2] Hamka, Tujuh Belas Ramadan dlm .  Kesepaduan Iman & Amal Salih (Shah Alam: Pustaka Dini, 2003) m.s. 191-198. Bab ini dikatakan sebagai artikel terakhir sebelum beliau pulang ke rahmatullah.


[3] Majoriti perbahasan berkenaan sepuluh malam terakhir bermula malam ke-20 dalam usaha mendapatkan Lailatul-qadr.  Sebenarnya Lailatul-qadr merupakan misteri yang diberikan isyarat namun untuk mendapatkannya kesungguhan seharusnya bermula seawal malam pertama Ramadan.