Showing posts with label HAMKA. Show all posts
Showing posts with label HAMKA. Show all posts

Saturday, November 26, 2011

Wasatiyah: Ganti Islam Hadhari?

 

Semasa pemerintahan Pak Lah, beliau memperkenalkan sebuah konsep yang begitu gah yang dinamai Islam Hadhari. Pelbagai acara dilaksanakan bagi meraikan konseptual Islam Hadhari ini seperti terbitan buku-buku dan makalah, anugerah dan tidak ketinggalan sebuah institut yang didedikasikan dengan nama tersebut. Perbincangan dan kritikan juga dilemparkan kepada konsep tersebut daripada namanya sehinggalah ke unsur-unsur yang dikatakan sebagai menunjangi gagasan tersebut. Di pihak pembangkang juga berlegar berkenaan nama konsep tersebut dan gambaran yang begitu menakjubkan iaitu Islam Hadhari sebagai sebuah ‘mazhab baharu yang diwujudkan oleh Pak Lah!’ Konsep Islam Hadhari begitu dicanang ke peringkat antarabangsa sehingga menyebabkan kononnya negara-negara Islam begitu menerima falsafah yang dikemukakan oleh Pak Lah ini dan dijadikan sebagai subjek bandingan apabila membincangkan berkaitan pemerintahan Islam dan agama.

Itu semuanya cerita dahulu. Zaman Pak Lah sudah beredar. Setelah Pak Lah tidak lagi berkuasa, lompong yang ditinggalkan beliau terhadap Islam Hadhari begitu mendalam. Seolah-olah kesinambungan konsep dan gagasan Islam Hadhari ini terhenti begitu sahaja. Jadilah usaha tersebut bersifat politikal sahaja apabila kita sudah tidak kedengaran lagi ulasan dan cemuhan sama ada menyokong atau membantah konsep tersebut. Seolah-olah berlakulah noktah terhadap perbincangan mengenainya. Malah, pihak Pak Menteri (dalam Kabinet Najib) yang bertanggung jawab mengenai hal ehwal Islam pun tampak tidak membuat sesuatu yang menggambarkan usaha ke arah memperkukuhkan konsep tersebut; malah beliau menjanjikan Islam Hadhari akan dikaji! Semarak berkenaan Islam Hadhari seperti tiba-tiba menemui jalan buntu dan tidak boleh mara ke hadapan lagi. Dan dalam keadaan diam inilah, muncul sebuah konsep Islam yang baharu yang dicanang oleh PM Najib. Konsep itu bernama wasatiyah.

Jarang yang mengetahui atau mengingati bahawa penglibatan PM Najib dengan 'ajaran' wasatiyah ini sebenarnya sudah muncul ketika beliau menjadi Menteri Pendidikan lagi. Penulis masih mengingati ketika Tingkatan 1, pelajar didedahkan dengan beberapa topik baru yang masih belum dimasukkan ke dalam silibus buku teks pada ketika itu dan antaranya ialah konsep wasatiyah ini. Ketika itu, Najib menyandang jawatan Menteri Pendidikan di bawah regim Tun Dr Mahathir. Ustazah yang mengajar kami ketika itu pun mengakui bahawa topik wasatiyah ialah antara topik yang baru diperkenalkan dan 'nota hanya boleh diperoleh melalui papan hitam' (masa itu, guru di sekolah penulis pakai kapur lagi).

Nyata di sini konsep wasatiyah yang diperkenalkan oleh PM Najib bukanlah satu konsep yang baharu[1] kerana semasa beliau mengepalai Kementerian Pendidikan (sekarang Kementerian Pelajaran), subjek berkenaannya telah pun diperkenalkan. Perkara ini berlaku hampir 15 tahun yang lepas. Oleh yang demikian, beliau sekadar menghidupkan kembali satu konsep yang satu ketika dahulu diperkenalkan olehnya sendiri. Konsep ini berlandaskan tuntutan untuk menjadi umat pertengahan dan melalui sebuah riwayat yang membawa maksud besederhana dalam melakukan sesuatu perkara.[2]

Secara asasnya, wasatiyah mengambil konsep umat pertengahan yang telah disebut di dalam Al-Quran.[3] Menurut pendapat Ibn Kathir semasa mentafsirkan ayat ini, wasat yang menjadi akar kepada perkataan wasata dalam bermaksud yang terbaik dan yang terpuji.[4] Seterusnya, beliau memetik sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad daripada Abu Said yang antara inti sarinya bermaksud, 'wasat itu bermaksud adil. Kamu semua akan diminta untuk menyaksikan bahawa Nuh a.s telah menyampaikan (risalahnya) dan kemudian aku (Nabi Muhammad SAW) akan mepersaksikan kesaksianmu.'[5]

Sementara Hamka dalam mentafsirkan ayat sama mengenai umat pertengahan ini membawa perspektif berkenaan kaum Yahudi yang terlalu cenderung kepada keduniaan sehingga sanggup mengeksploitasi sistem ekonomi dan politik untuk kepentingan mereka. Manakala kaum Nasrani terlalu berat kepada akhirat sehingga mengamalkan kebiaraan dan meninggalkan sama sekali hal-hal keduniaan. Namun Islam dilihat sebagai umat pertengahan kerana memilih pertengahan melalui ibadah diri sendiri (melalui sembahyang) dan kepada orang lain (melalui zakat). Mana mungkin boleh membayar zakat kalau tidak mencari harta di dunia ini?[6] Idea wasatiyah daripada perspektif ini ialah besederhana dalam melakukan tuntutan duniawi dan ukhrawi. Dan Tafsir Mubin memberikan penjelasan pertengahan sebagai besederhana dalam segala pembawaannya dan tidak melampau-lampau atau keterlaluan dalam menganut kepercayaan dan besederhana dalam akhlak dan amalannya.[7]

Dan kini, menjelang Perhimpunan Agung UMNO, kefahaman mengenai wasatiyah menjadi salah satu agenda yang jadualkan untuk diperkenal dan diperbahaskan. Seminar mengenainya telah diadakan dan tidaklah menghairankan seandainya akan wujud seminar atau simposium susulan berkenaannya. Terbitan berkenaannya akan diwujudkan bagi mengembangkan gagasan wasatiyah yang dipelopori oleh Malaysia ke mata dunia; sebagaimana dahulu yang cuba dilakukan oleh Pak Lah terhadap Islam Hadhari. Malah, warga dunia lebih dahulu diperkenalkan dengan konsep wasatiyah-Najib ini lantaran pelancaran Gerakan Kesederhanaan Global yang dicanang oleh PM Najib ini sebelum konsep tersebut diperbahaskan dalam ‘Seminar Wasatiyah’ Pra-Perhimpunan Agung UMNO. Jelas sekali di sini bahawa paksi pendekatan Islami kini telah berubah daripada pemikiran ‘Hadhari’ kepada ‘Wasatiyah.’

Apa yang pasti ialah hanya menjelang masa sahaja perbahasan mengenai wasatiyah ini digemburkan sama ada daripada perspektif keilmuan, ekonomi, politik, sosial dan pendidikan. Tidak mengejutkan seandainya selepas ini konsep wasatiyah ini popular, akan ada buku dan makalah yang menyokongnya, dan tidak kurang juga ada daripada pihak tertentu yang akan menonjolkan konsep mereka pula berkenaan wasatiyah yang lebih betul dan lebih Islamik. Dana wasatiyah, anugerah wasatiyah dan institut wasatiyah mungkin akan diwujudkan bagi mendukung perihal yang berkaitan dengannya sekali gus menjadikan perbincangan wasatiyah ditonjolkan sebagai satu perbincangan yang penting dan bermanfaat untuk pihak awam. Bagaimanapun, berbeza pula dengan Islam Hadhari yang tidak diketahui nasibnya dan pengakhirnya. Adakah berkubur Islam Hadhari tanpa sebarang nisan? Atau segala yang berkait rapat dengannya hanya akan menjadi ‘perkara atau pendekatan yang pernah wujud’ sebelum ini? Dan Institut Islam Hadhari dan segala program berkaitan Islam Hadhari akan secara tiba-tiba terputus daripada pandangan dan penglibatan orang ramai?

Sama ada berkesan atau tidak, hanya masa dan Tuhan sahaja yang menentukannya. Bagaimanapun, apa yang lebih penting ialah sebenarnya penyatuan umat Islam sedunia dalam satu manhaj yang sama dan bertoleransi dalam menerima pendapat yang bertentangan dengan prinsip kita. Sesungguhnya, mencapai satu modus vivendi lebih penting berbanding pertelingkahan untuk menegakkan idea bahawa pandangannya lebih betul daripada yang lain. Apa yang lebih mengejutkan ialah umat Islam yang sering berteriak betapa mereka ialah penganut yang besejahtera, bertoleransi, berlapang dada, berpandangan terbuka dan mungkin kini ‘berwasatiyah,’ namun begitu banyak gejala keretakan dan pertelingkahan sesama sendiri yang berlaku di negara-negara yang didominasi oleh umat Islam itu sendiri. Cukuplah umat Islam bersifat apologikal dan lebih mempraktikkan dasar Islam yang menuntut kesejahteraan itu sendiri.

Sebab akhirnya, jatuh bangun sesebuah tamadun bangsa bukan lantaran citra pemikirannya, bukan kerana gagasan konseptualnya dan bukan kerana kewujudan ulama besarnya, sebaliknya bergantung kepada penghargaan, pengiktirafan dan penghayatan gagasan itu tadi melalui amal yang dilaksanakan. Kerana pendapat ulama mengenai amalan niat ialah ‘separuh atau sepertiga’ daripada Islam[8], namun sekadar menjalankan niat semata-mata, tak sah juga amalannya!

Nota hujung


[1] Dalam konteks penghebahan luas ke media massa; penulis bukan bermaksud PM Najiblah orang pertama yang mencipta istilah ataupun konsep wasatiyah.

[2] Status ungkapan ‘sebaik-baik perkara ialah yang pertengahan’ diragui sama ada sebuah hadis mahupun bukan kerana tidak kurang tiga pendapat tentang kata-kata tersebut iaitu sebagai sebuah Hadis Nabi SAW riwayat Ahmad, kata-kata Umar Al-Khattab ataupun kata-kata hukama. Bagaimanapun, sememangnya wujud beberapa hadis yang secara tidak langsung menuntut kesederhanaan dalam melakukan ibadah misalnya Imam Nawawi yang didedikasikan sebuah babdaripada Riyadh Salihin. Lihat contohnya Muhyiddin Yahya Syaraf An-Nawawi, Ringkasan Riyadh Salihin susunan Syaikh Yusuf Al-Nabhani terj.Abu Khodijah Abdulrrohim (Kuala Lumpur: Telaga Biru, 2010), 245-261.

[3] Surah Al-Baqarah: 2, ayat 143.

[4] Rujukan penulis ialah Imam Ibn Kathir, Tafsir Ibn Kathir Edisi Inggeris, dimuat turun daripada http://www.quran4u.com/Tafsir%20Ibn%20Kathir/Index.htm., 419.

[5] Ibid., 421.

[6] Hamka, Tafsir Al-Azhar, cet. ke-5, jil.1(Singapura: Pustaka Nasional, 2003), 332.

[7] Salahuddin Abdullah dan Omar Khalid, Tafsir Mubin (Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 2009), 108.

[8] Pendapat sebegini dikemukan dalam mensyarahkan hadis Nabi SAW berkaitan, ‘Setiap amalan itu adalah dengan niat.’ Seandainya idea atau citra itu dibandingkan dengan niat, maka masih tidak sempuran lagi sesebuah idea itu kerana baru sahaja memenuhi sebahagian daripada keperluannya sebaliknya amalan terhadap idea itu juga penting sebagaimana idea itu sendiri. Amalam masih tidak lengkap kalau setakat berniat sahaja (walaupun diberi pahala) begitu juga idea masih tidak lengkap kalau pelaksanaannya tiada!

Saturday, November 12, 2011

Dua tokoh: Sisi yang jarang diperkatakan (Hamka dan Za‘ba)

 

Apabila kita menyebut nama Hamka, sudah tentu selayaknya kita kaitkan beliau sebagai seorang ulama yang begitu mendalam ilmu agamanya, sebagai tokoh pejuang Islam dengan mata pena dan tutur kata serta penyusun tafsir Al-Quran dalam Bahasa Melayu yang sehingga kini pun tiada tolok bandingannya. Hamka mempunyai pelbagai karya daripada pelajaran tauhid, tasauf, soal-jawab fiqh, tafsir dan sejarah Islam. Suka diingatkan bahawa Tafsir Al-Azharnya merupakan karya magnum opusnya yang meletakkan beliau sebagai penanda aras kepada penulisan tafsir besar di alam Melayu. Malah, bingkisan Sejarah Umat Islamnya juga menjadi penanda aras kepada penulisan sejarah Islam yang bermula daripada perspektif seawal ketamadunan dunia Arab pra-Islam sehinggalah kehadiran Islam di Asia Tenggara.

Dan apabila kita menyebut nama Za‘ba, sudah tentu selayaknya kita kaitkan beliu dengan dunia persuratan dan bahasa. Za‘ba merupakan penyumbang terbesar dalam penulisan Melayu daripada tatabahasanya sehinggalah bidang kesusasateraan. Sama ada orang suka atau tidak memperkatakannya, beliau ialah salah seorang penggubal piagam UMNO pada ketika awal kewujudan parti tersebut untuk menentang Malayan Union. Usahanya dalam penterjemahan, mengarang rencana dan menjalankan usaha memartabatkan bahasa. Tidak syak lagi Za‘ba sebagai seorang yang memperjuangkan kelangsungan Bahasa Melayu dan Nahu Bahasa Melayu yang seterusnya membawa kepada gelaran Pendita kepada beliau lantaran usahanya dalam memartabatkan Bahasa Melayu di Malaysia.

Akan tetapi, untuk kedua-dua orang pengkarya dan pengarang yang ulung tadi, terdapat sisi lain yang jarang-jarang diperkatakan mengenai mereka sama ada kerana masyarakat tidak peka terhadap sisi tersebut; jarangnya ‘jasa-jasa’ kedua-duanya dibincangkan dalam konteks yang berbeza ataupun sebenarnya disebabkan pengaruh besar mereka dalam bidang yang utama menenggelamkan sama sekali usaha mereka dalam bidang yang satu lagi yang turut mendatangkan kesan yang bererti dan berguna dalam masyarakat di Malaysia dan dunia Melayu. Apa yang dimaksudkan ialah Hamka sebagai seorang sasterawan dan Za‘ba sebagai seorang ilmuan/pemikir Islam. Sisi-sisi yang sebegini jarang sekali diketengahkan kepada masyarakat umum sedangkan mereka berdua meninggalkan buah tangan yang cukup bermakna dalam bidang yang satu lagi!

Hamka mula berkarya dalam bidang kesusasteraan atau novel keIslaman bermula lewat tahun 1920-an seperti si Sabariyah kemudian diikuti dengan sedekad yang produktif dalam karya cerita berunsur Islam seperti Di Bawah Lindungan Kaabah (1936), Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck (1938), Di Dalam Lembah Kehidupan (1939), Tuan Direktur (1939), Keadilan Ilahi (1939) dan Merantau ke Deli (1940). Selepas peristiwa Proklamasi Kemerdekaan Indonesia, beliau mengarang pula autobiografi seperti Kenangan-kenangan Hidup (1950), Ayahku (1950) dan Empat Bulan di Amerika (1953). Barangkali, ada di kalangan nama-nama karyanya yang disebut tadi yang sudah tidak diterbitkan lagi, ataupun sudah tiada di pasaran. Namun, dengan usaha Pustaka Dini di Malaysia telah membolehkan sebahagian karya-karya novelnya diketengahkan semula, mungkin memandangkan peluang dan ruang pada masa kini tatkala novel-novel yang berteraskan Islami (atau lebih tepat, novel cinta saduran keIslaman) mendapat sambutan di pasaran lewat penembusan karya Habibur Rahman El-Shirazi di Malaysia.

Begitu juga perspektif karya-karya pemikiran KeIslaman yang dibawa oleh Pendeta Za‘ba yang memberikan input-input yang begitu kritikal terhadap orang Melayu-Islam di Malaysia. Karyanya Falsafah Takdir (1932) merupakan antara karya awal beliau berbentuk naskah buku yang mengkritik secara ilmiah dan Islamiyah akan perangai orang Islam pada ketika itu sehingga menimbulkan gempar yang luar biasa yang membawa kepada pengharaman buku tersebut di Perak. Nyata dalam karyanya ini, beliau mengaplikasikan teknik penterjemahan dan disadurkan dengan penerangan tambahan bagi membolehkan terjemahan tersebut lebih terperinci dan lebih baik untuk pembaca menghayatinya berbanding karya asal. Kemudian munculah pula Asuhan Budi (1958) dan Perangai Bergantung kepada Diri Sendiri (sekitar 1962) yang dikatakan sebagai sambungan kepada Falsafah Takdir. Kedua-dua naskah Falsafah Takdir dan Perangai Begantung kepada Diri Sendiri yang nipis namun padat dengan ilmu-ilmu keIslaman terutamanya dalam bidang akhlak dan ‘Rukun Iman Qada’ dan Qadar’ telah dicetak semula oleh DBP masing-masing pada 1982. Suka disebutkan disini antara karya lain Za‘ba dalam bidang Islam yang diterbitkan oleh DBP ialah Mencapai Ketinggian Dunia Akhirat (1989) dan Mencapai Keluhuran Budi (1989).

Jelas sekali usaha-usaha terkini daripada pihak tertentu untuk menerbitkan sekali lagi karya-karya kedua-dua orang tokoh sarjana Islam amat-amatlah didambakan. Pustaka Dini misalnya telah menerbitkan edisi baru judul-judul seperti Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck, Tuan Direktur, Kenangan-kenangan Hidup, Merantau ke Deli dan lain-lain (sekadar menyebut beberapa judul yang penulis perasan dan ingat di jual di pasaran) merupakan usaha yang sangat baik dan murni bagi memperkenalkan sisi lain Buya Hamka. Karya-karya sebegini barangkali boleh dibandingkan dengan penulisan kesusateraan Islam moden di Malaysia seperti Imam oleh Abdullah Hussein dan karya-karya Shahnon Ahmad. Sama ada kritikan dan kajian kesusasteraan di sini mengambil kira sumbangan Hamka masihlah belum dapat dipastikan kewujudannya namun apabila ada penyelidik yang mengeluarkan ayat-ayat seumpana ‘novel-novel tulisan Hamka tidak boleh dipandang sepi dalam bidang kesusteraan,’seolah-olah telah pun menunjukkan kurangnya perhatian dan penghargaan terhadap usaha Almarhum di dalam bidang sastera.

Bagi Pendita Za‘ba, usaha ke arah memperkenalkan pemikiran Islamnya semakin tampak; namun ditambah pula dengan pelbagai kekangan yang melanda DBP sendiri yang memungkinkan usaha tersebut tidak boleh disandarkan kepada badan tersebut semata-mata. Kendatipun, berbanding Hamka yang berasal daripada Indonesia (meskipun tidak dinafikan sama sekali karya dan tulisan beliau merentas negara terutamanya Malaysia dan Singapura), Za‘ba merupakan penulis Melayu Malaysia dan tidak ada sebarang alasan sebenarnya untuk tidak mengetengahkan, membincangkan dan menghebahkan idea-idea berbentuk Islami kepada rakyat di Malaysia khususnya orang Melayu. Justeru apabila berbincang tentang dilema Melayu, pemikiran Melayu dan peribadi Melayu, wajar sekali tulisan Za‘ba dijadikan sebagai rujukan bagi mengetengahkan idea-idea kritikannya yang mendahului zaman dan sampai sekarang pun masih lagi menjadi bual pertikaian sesama umat Melayu Islam.

Pendek kata, selain daripada kedua-dua nama besar ini menggunakan huruf pertama nama mereka untuk menjadi identiti mereka (HAMKA –Haji Abdul Malik Karim Amrullah; Za‘ba – Zainal Abidin bin Ahmad) dan kedua-duanya diberikan gelaran yang muluk-muluk iaitu Prof Dr. Hamka dan Pendita Za‘ba, kedua-duanya mempunyai sumbangan besar dalam fikrah Islami dengan acuan tempatan iaitu dunia Melayu. Sepanjang pembacaan penulis, belum ketemu lagi titik pertemuan yang seorang itu memetik yang seorang lagi namun bukanlah bermakna idealisme kedua-duanya tiada persamaan langsung. Pembaharuan, pemurnian dan kemajuan pemikiran merupakan tema-tema yang wujud dalam penulisan kedua-dua orang tokoh ini. Cuma daripada satu seginya, sumbangan mereka berdua dalam penulisan berkaitan Islam tidak boleh sama sekali dibiarkan tanpa sebarang usaha untuk diperkenalkan dan disebarkan barang yang baik daripada mereka berdua.