Thursday, June 18, 2009

Memoir Sekolah Agama Johor


"Aku ajar Geografi, PJ dan yang lebih sedap," kata seorang rakan sekuliah penulis di UM dahulu "Pendidikan Islam!"


Beliau adalah antara kalangan kami yang menceburkan diri dalam bidang pendidikan setelah tamat Ijazah Sarjana Muda Sains Biokesihatan. "Sebab ada darjah khas nilah aku kena ajar Pendidikan Islam," terangnya lagi. Nampaknya, ramai juga dikalangan rakan-rakan sekuliah penulis yang mendapat tawaran KPLI – dan sementara hendak memohon KPLI, mereka juga mengajar sebagai guru sandaran – maka matapelajaran yang pelik-pelik juga yang mereka terpaksa ajar.


Apa yang menarik perhatian penulis adalah betapa rakan penulis tadi boleh menjadi "ustazah sementara" adalah disebabkan Sijil Darjah Khas Agama (SDKA) yang beliau peroleh sebelum ini. Beliau dan penulis sendiri adalah antara pelajar-pelajar yang dapat menamatkan penuh sistem pembelajaran sekolah agama Kerajaan Negeri Johor. Sistem Sekolah Agama Johor ini bermula tahun 1918 dan berubah secara beransur-ansur sehingga ke hari ini. Kalau dahulu, kitab-kitab nipis tulisan jawi lama dijadikan sebagai panduan, kitab Mat'laal Badrain karangan Syeikh Daud Al-Fatani dijadikan rujukan, kini kitab-kitab sekolah agama telah dijilid dengan baik dan diselaraskan dengan tulisan jawi moden – dengan gambar dan lukisan bagi "membantu" pembelajaran pelajar.


Pembelajaran dahulu dahulu (zaman dahulu), dahulu (zaman penulis) dan kini (zaman sekarang) memang berbeza. Pelajar yang menyertainya juga nampaknya berbeza dari segi umur. Pada zaman penulis, pelajar memasuki darjah 1 sekolah agama ketika mereka berada sama ada darjah dua atau tiga sekolah rendah. Namun kini, melalui informasi yang penulis peroleh (daripada kenalan dan laman web http://www.johordt.gov.my/ppaj/) sistem pembelajaran kini sudah jauh berbeza. Umur pelajar darjah satu sekolah agama sudah selaras dengan darjah satu sekolah rendah i.e. 7 tahun. Daripada pemahaman penulis, ada matapelajaran yang digabungkan. Penulis tidak tahu bagaimanakah penggabungan itu dapat dibuat?!


Sekadar memoir tentang persekolahan penulis dalam sekolah agama kerajaan negeri Johor, dahulu penulis bermula tatkala penulis berumur 9 tahun iaitu darjah 3 sekolah rendah. Pada ketika itu, penulis bersekolah pada sesi petang untuk sekolah agama bermula jam 2.00 hingga 3.30. Tahap satu persekolahan sekolah agama adalah sehingga darjah tiga. Pada waktu itu juga, syarat lulus matapelajaran Al-Quran, Tauhid dan Ibadat masih diamalkan lagi untuk "naik darjah."


Penulis bermula tahap dua i.e. darjah empat ketika 12 tahun. Pada ketika itu, pembelajaran sekolah agama sudah semakin berat. Masa pun bertambah dari pukul 3.30 hingga 6.30 (3 jam). Subjek wajib Ibadat dan Tauhid sudah memasuki fasa yang lebih mendalam. Subjek Pendidikan Al-Quran (Tafsir) mula diajar. Namun, sistem pembelajaran bertambah kompleks apabila bermula darjah 5 kerana subjek-subjek seperti Muamalat, Munakahat dan Faraid diperkenalkan. Ketiga-tiga subjek fiqah ini memberi satu dimensi baru tentang pembelajaran agama pada ketika itu. Muamalat lebih dikenali sebagai "perniagaan Islam," munakahat sebagai "perkahwinan Islam," dan Faraid sebagai "urus harta si mati yang Islam." Aspek spiritual juga ditambah dengan subjek Tasauf – cabang untuk menjadi ahli sufi.


Tahun enam, ditambah lagi satu subjek iaitu Jenayat atau "undang-undang Islam." Selain daripada subjek-subjek tersebut, subjek lain seperti Tajwid, Akhlak, Tulisan jawi, Sejarah dan Bahasa Arab turut diajar hampir setiap tahun. Selepas melengkapkan darjah enam, pelajar berpeluang untuk ke darjah tertinggi dalam sistem persekolahan agama negeri Johor iaitu Darjah Khas. Pembelajaran Darjah Khas ini meliputi hampir kesemua subjek yang diajar pada sebelum ini dengan tambahan subjek Hadis dan Mushtala Hadis. Kalau zaman dahulu, seandainya seseorang sudah ada sijil Darjah Khas ini dan kelulusannya baik, bolehlah beliau bercanang-canang untuk memasuki pengajian Islam di Maahad untuk menjadi Ustaz/Ustazah.


Darjah Khas dibuat pada setiap hari Sabtu, dari jam 8.00 pagi hingga 1.00 petang. Pembelajaran kini sudah masuk ke fasa ulangkaji, serta pengukuhan terhadap apa yang dipelajar semasa pengajian darjah 1 hingga 6. Ramai di kalangan pelajar yang lulus darjah 6 akan sambung untuk mengikuti Darjah Khas. Penulis belajar Darjah Khas pada Tingkatan 3. Pada ketika itu, Bukan senang untuk membahagikan masa belajar untuk pelajaran sekolah menengah dan sekolah agama. Sembilan subjek PMR dan 12 subjek Darjah Khas; nasib baik masa peperiksaannya tidak sama. Darjah khas biasanya diadakan semasa cuti sekolah akhir tahun; selepas SPM.


Sebagaimana yang penulis tekankan pada awal tadi, pembelajaran dahulu dan kini jauh berbeza. Dahulu, penulis terpaksa bekejar-kejaran dari SMK Tasek Utara untuk pulang ke rumah (balik dalam pukul 2 petang) untuk tiba di Sekolah Agama Dato' Omar Yusuf (SADOY) pada pukul 3.30 petang. Apabila musim "sukan" sekolah menengah, ada sahaja sehari yang terpaksa penulis ponteng sekolah agama untuk menyertai aktiviti sukan sekolah yang diadakan pada waktu petang. Jadi, di situ sahaja sudah ada kompromi yang perlu dibuat.


Sewaktu Darjah Khas pula, penulis berada di Tingkatan 3. Ketika itu, kegiatan ko-kurikulum hari Sabtu pula yang menjadi kompromi. Penulis masih ingat perang "surat menyurat" antara sekolah menengah dan sekolah agama yang mengkehendaki pelajar menghadiri kelas/kegiatan ko-kurikulum. Namun, penulis tetap bertegas untuk ke sekolah agama demi menghadiri kelas Darjah Khas. Puas juga penulis dan rakan-rakan penulis (ketika itu Hisham, Hadi) pergi ke pejabat pentadbiran di sekolah menengah untuk menerangkan keadaan sebenar kepada penolong pengetua akademik. Ustazah di sekolah menengah turut memujuk dengan alasan bahawa semua yang dipelajari semasa Darjah Khas akan turut diajar kelak. Namun, pada ketika itu, penulis tidak peduli! Darjah Khas tetap Darjah Khas. Darjah Khas perlu ditamatkan juga.


Kini, kesemua itu hanya tinggal kenangan. Mungkin, disebabkan penglibatan secara langsung tentang isu pihak sekolah menengah dan sekolah agama menjadikan atau mengajar penulis menjadi kritikal. Penulis terpaksa berkompromi itu dan ini untuk mendapat apa yang penulis inginkan – pembelajaran sekolah agama. Pun begitu, dalam banyak keadaan pun, sekolah agama jugalah yang menjadi manga ponteng penulis. Kalau ada latihan drama waktu petang, maka sekolah agamalah yang menjadi mangsa. Waktu latihan sukan, sekolah agama yang turut diponteng. Begitulah adanya....


Senario sekarang sudah berubah. Sebagaimana yang diterangkan pada awal tadi, umur darjah 1 sekolah agama kerajaan Johor kini sudah diselaraskan mengikut umur sekolah rendah. Terfikir juga bagaimanakah ini akan mengubah silibus sekolah agama. Adakah pelajar darjah lima dan enam (umur 11-12 tahun) sudah bersedia untuk mempelajari hal-hal seperti "sifat ta'aluk bagi Allah" (Tauhid), wajib haji dan fardu haji (Ibadah) hal-hal berkaitan nikah kawin cerai (munakahat), hal-hal seperti mudharabah, musyarakah, baiatus salam (muamalat) dan lain-lain lagi? Penulis percaya, yakin dan berharap agar hal-hal berkaitan pedagogi ini akan mendapat perhatian Bahagian Pendidikan Jabatan Agama Johor supaya pelajar yang mempelajarinya akan benar-benar faham apa yang diajar.


Selain itu, kelangsungan sistem pendidikan sekolah agama juga harus diperhatikan. Semasa timbul isu tentang berbelas A dalam SPM disebabkan pelajaran aliran agama Sains, penulis kira model sekolah agama kerajaan negeri boleh dijadikan alternatif bagi menyelesaikan masalah tersebut. Melalui pengalaman penulis di sekolah agama, pembelajarannya jauh lebih mendalam seandainya dibandingkan dengan subjek Pendidikan Islam di sekolah menengah rendah. Penulis mempelajari hal-hal muamalat, munakahat, faraidh, jinayat, hadis, hatta perkara ibadat seperti haji, umrah, akikah, korban pada ketika Tingkatan 1,2 dan 3 lagi. Sedangkan silibus sebegini hanya akan diajar di sekolah menengah pada waktu tingkatan 4 dan 5.


Perkara seperti faraidh pula langsung tidak disentuh dalam silibus Pendidikan Islam menengah; tidak tahulah bagi mereka yang mengambil jurusan sains agama?! Sebab itulah orang Islam sekarang ini pun masih tidak memahami konsep "wasiat" dalam Islam iaitu bahagian harta si mati yang hanya boleh diterima oleh YANG BUKAN WARIS (maksimum 1/3 harta si mati). Maka, secara syarak, tidak sepatutnya wasiat harta si mati kepada sama ada anak, isteri, ibu, bapa dan ahli waris lain (sebenarnya ada perdebatan juga tentang hal wasiat harta ini; namun pendapat yang dipilih di sini ialah pendapat yang
 masyhur dalam Mazhab Syafie). Ahli waris akan mendapat pembahagian harta pusaka melalui fardu (jamak – faraidh) dan asabah yang telah ditetapkan oleh syarak melalui Al-Quran, Hadis dan ijtihad para sahabat RA. (Ditegaskan di sini kalau si mati belum siap-siap membahagikan harta i.e. menukar namanya kepada anak-pinak dan keluarga tedekat mengikut kehendaknya melalui kaedah hibah maka pendekatan faraidlah yang perlu digunakan dalam pembahagian harta pesaka).


Begitulah adanya. Penulis merasai betapa sistem pendidikan sekolah agama Johor yang pernah penulis alami dahulu merupakan template untuk pengetahuan agama yang penulis fahami. Banyak asas pengetahuan agama penulis peroleh dari situ. Dan penulis tidak merasa menyesal sedikitpun, malah merasa bersyukur ke hadrat Ilahi kerana Tuhan memberi penulis ruang dan peluang untuk menyertainya. Mungkin pengetahuan yang diperoleh tidak sebegitu banyak berbanding yang benar-benar mendalami ilmu agama (seperti yang belajar di SMKA, Maahad, Madrasah, jauh sekali hendak dibandingkan dengan yang belajar di Fakulti Islam di universiti?!) namun pada penulis, itulah asasnya kepada pengetahuan agama kita.


Zaman sudah berubah. Ibu bapa semakin sofistikated. Tidak hairanlah ada ibu bapa yang mengabaikan langsung pembelajaran agama anak-anak mereka. Tatkala kita asyik buat-buat pening kepala kenapa kebejatan sosial semakin menular; rompak, rogol, rempit, rasuah bunuh dan sebagainya; mari kita tanya diri kita sejauh manakah kita telah bersedia secara rohani bagi menghadapi zaman akan datang. Tidak dapat tidak, ajaran dan amalan agama yang akan menjadi pembenteng kita daripada hanyut ke dalam arus keduniaan. Walau dimana pun kita peroleh ilmu tersebut, selagi kita peroleh dari guru yang mursyid, maka nescaya ilmu tersebut mampu memberi manfaat kepada kita.


Demi sesungguhnya, Allah jualah yang memberikan Taufik-Nya.



Wednesday, June 17, 2009

Dari hal pati manggis

Satu kelebihan berada di rumah (i.e. tak kerja atau tak belajar) adalah masa yang boleh digunakan untuk menonton TV, lebih-lebih lagi talkshow waktu pagi. Kadang –kala informasi yang dibincangkan atau dibawa adalah sangat menarik, tidak kurang juga ada yang sekadar untuk memasarkan barangan syarikat tertentu. Namun, kita kena lihat sudut yang baik bagi satu-satu perkara. Untuk itu, memang puaslah penulis menukar-nukar siaran TV waktu pagi bagi menonton perbincangan yang memuaskan hati penulis – dari TV1 (SPM), TV3 (MHI) dan NTV7 (The Breakfast Show) – siaran-siaran TV yang mempunyai rancangan bual bicara pagi pada hari biasa.

Salah satu perbincangan yang menarik perhatian adalah pada siaran The Breakfast Show baru-baru ini yang membawa satu produk "manggis" yang dijadikan sebagai "pati manggis." Walaupun mod perbincangan ketika itu berbentuk pemasaran produk, apa yang menarik perhatian penulis adalah betapa pemasar/syarikat yang kononnya memasarkan produk pati manggis itu adalah syarikat luar negara – wakilnya yang hadir ke rancangan tersebut juga adalah orang putih! Manggis(Garcinia mangostana) yang sebetulnya adalah tumbuhan tropika yang begitu banyak ditanam di Malaysia dijadikan produk kesihatan oleh sebuah syarikat luar negara? Hebat betul buah manggis! Dan salah satu claim yang dibuat oleh mereka adalah pati manggis sebagai satu agen antipenuaan – yang secara terang-terangan adalah BENAR!

Untuk rekod, di kawasan Johor Bahru/Kulai, harga sekilo manggis boleh mencecah RM 3.00-RM4.00. Ada yang mendakwa manggis mereka berasal dari Muar, ada yang kata dari Pahang, tidak kurang juga ada yang begitu bebesar hati untuk mengaku bahawa manggis mereka dari Thailand. Namun, tidak sebagaimana belambaknya durian pada musim durian (kadang kala sampai ke tahap bayar RM 10, makanlah sepuas mana atau sebiji seringgit!!!!) harga manggis boleh dikatakan masih stabil untuk satu hasil pertanian. Setakat ini, harga tipikal adalah sekitar tiga kilo sepuluh ringgit.

Jadi, agak-agaknya, berapakah pula harga pati manggis yang dikatakan dicampur dengan kulit manggis itu? RM30 sebotol? RM 50 sebotol? RM100 sebotol? Lebih-lebih lagi, unsur "antipenuaan" yang pastinya memukau golongan-golongan yang begitu mengambil berat terhadap kesihatan dan kecantikan mereka dengan harapan bahawa mereka akan dapat melambatkan penuaan dengan pengambilan jus manggis ini. Penulis secara peribadi bersetuju dengan dakwaan antipenuaan tersebut – kulit buah manggis yang berwarna keunguan – menunjukkan ia mempunyai kandungan fitokimia(phytochemical)yang tinggi terutamanya unsur flavonoid yang berpotensi menjadi antioksidan (dalam bahasa biasanya – antipenuaan). Tapi kalau sampai nak beli pati manggis – hal ini merupakan sesuatu yang berbeza.

Sebagaimana yang pernah penulis utarakan dalam tulisan penulis sebelum ini (di bawah label kesihatan), industri kesihatan merupakan satu industri yang semakin berkembang. Andai seseorang itu pandai mencari peluang, maka setiap peluang akan membuka ruang. If there is a will, there is a way. Oleh itu, tidak salah sebenarnya orang putih menjadikan manggis sebagai pati manggis. Mereka yang sudah berusaha sampai ke situ dahulu. Maka, bilakah pula anak tempatan akan mewujudkan pati rambutan, pati ciku, pati langsat pula? Atau kita akan terus ketinggalan dek kecanggihan teknologi sehinggakan durian D24 pun diimport dari Thailand?!?! Itu yang sampai jual sebiji seringgit!!!

Selain itu, penyelidikan dan pembangunan hasil tempatan perlu diperkasakan. Penulis pernah pergi ke sebuah pameran bioteknologi yang mana antara peserta pameran tersebut yang memasarkan produk herba dari India. Produk herba ini dipercayai digunakan dalam perubatan Ayurveda dan/atau Unani Tibb. Aneh, sampai ke India kita hendak mencari produk herba sedangkan rumput-rampai belakang rumah pun masih kita tidak kaji potensinya untuk dijadikan ubatan herba?!

Penyelidikan ubatan herba terutamanya yang murah dan mudah diperoleh perlu dipergiat. Hal ini disebabkan keadaan persekitaran kita yang semakin tidak sihat – dengan jerebu, asap kenderaan dan pelbagai "radikal bebas" yang mampu menyerang badan. Kita pun sudah banyak makan makanan segera dan juga menyiram buah-buahan dan sayur mayur kita dengan racun serangga. Belum lagi dicampur dengan keduri-kendara jamuan makan yang pelbagai yang perlu kita hadiri pada kala hujung minggu atau di tempat kerja!Penyakit binatang pun sudah menyerang manusia. (selesema babi dsb..) Sudahlah penyakit bawaan binatang (seperti denggi, malaria, Chikugunya) pun, kita masih teraba-raba untuk mencari penyelesaiannya!

Oleh sebab itu, adalah sangat bermanfaat seandainya kita mengkaji potensi tumbuhan mudah diperoleh agar kita boleh manfaatkannya dengan menjadikannya sebagai teh, atau dibuat "ulam" dan sebagainya. Bagi yang ada duit, bolehlah membelinya dalam bentuk kapsul namun bagi yang tidak, boleh juga dimanfaatkan tumbuhan mudah diperolehi itu. Semua orang boleh dapat manfaat yang sama. Oleh sebab itu, kita boleh kurangkan kos ubatan dan kos rawatan.

Kesemua ini dengan harapan, tidak perlulah kita tunggu sampai orang putih sekali lagi datang ke siaran TV dan memasarkan produk mereka yang mana tumbuhan tersebut secara terang lagi bersuluh diperoleh dari negara kita dan dikatakan bahawa pati sekian sekian ini dapat merawat penyakit sekian-sekian. Dan penyelidik-penyelidik dan agen pemasaran kita tidak perlulah sampai ke India atau Vietnam, atau China untuk mencari ubatan herba untuk dipasarkan di Malaysia sedangkan banyak sekali tumbuhan herba di Malaysia yang kita sendiri tidak kaji potensinya untuk dijadikan ubat. Dan kita pula tak perlulah banyak sangat berfikir tentang wang ringgit apabila kita dan/atau orang tersayang memerlukan kos perubatan... Alternatif ada, apa salahnya kita gunakan?

Nota kaki

Menarik juga kita buat satu kajian lingusitik tentang etimologi perkataan manggis. Manggosteen – manggisteen – manggis ???

Tuesday, June 16, 2009

Membina semula dari runtuhan

Memalukan. Itu frasa yang disebut oleh Menteri Kerja Raya, Datuk Shaziman Abu Mansor terhadap kejadian bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin yang runtuh di Terengganu. Penulis turut berkongsi frasa yang sama dalam hal ini; dengan sedikit tambahan – "Menganehkan!!!"

Penulis bukan seorang jurutera; jauh sekali belajar di sekolah teknik. Namun, hal-hal seperti bangunan runtuh, bumbung runtuh, flyover retak, siling bocor, hospital berkulat kesemuanya sentiasa bermain dengan satu perkara – nyawa manusia. Sebab itu kita tidak hairan dengan kartun-kartun yang menyindir sinis tentang bumbung stadium runtuh diterbitkan dalam akhbar utama; mahupun akhbar alternatif. Sudahlah nyawa manusia menjadi kompromi, jangka masa berlakunya retak, bocor, runtuh berkulat yang sangat-sangat pendek setelah masa selesai pembinaan menimbulkan tanda tanya – apa sebenarnya yang mereka bina?

Sebagaimana biasa, tuding- menuding berlaku dan sebagaimana biasa juga, hal ini memerlukan masa yang sangat lama untuk mencari kepastian akan siapa yang seharusnya dipersalahkan. Mungkin ada pihak yang menerima kesalahan tersebut dan mungkin juga liabiliti tersebut tidak ditanggung oleh sesiapa. Kalau keadaan yang terakhir yang berlaku, siapakah yang sebenarnya hendak kita salahkan? Mother nature? Sudah sampai ajal bumbung nan setahun?

Sekali lagi, kredibiliti kerajaan sebagai kerajaan yang "dipilih rakyat" akan dipertikaikan. Oleh sebab itu, tindakan drastik seharusnya diambil oleh pihak kerajaan bagi menangani masalah sebegini daripada berlaku lagi. Bukanlah semata-mata hendak mengheret mereka yang bertanggungjawab ke muka pengadilan, langkah pencegahan juga perlu dilakukan bagi mengelakkan kejadian yang lebih buruk lagi daripada berlaku sehingga mungkin boleh meragut nyawa pula.

Pengumuman oleh YB Menteri Kerja Raya tentang hanya kontraktor A yang mempunyai pensijilan ISO sahaja yang akan diberi keutamaan untuk projek akan datang memberikan impresi yang baik terhadap kaedah yang akan digunakan bagi menentukan bakal penerima projek pada masa akan datang. Almaklumlah, ISO akan dikaitkan dengan kualiti. Semakin berISO sesebuah syarikat/jabatan/organisasi maka semakin berkualitilah syarikat/jabatan/organisasi tersebut – pada persepsi orang ramai.

Penulis pun bersetuju dengan cadangan tersebut. Namun, ISO mana yang hendak dimiliki oleh syarikat pun perlu dijelaskan. Almaklumlah juga, ISO mempunyai banyak familinya. Ada yang lebih kepada pengurusan kualiti, ada yang kepada pengurusan alam sekitar (yang berkualitilah juga!!!) ada yang pengurusan IT (berkualiti)... pendek kata banyak sekali standard ISO yang wujud dan diwujudkan di atas muka bumi ini. Jadi, standard mana yang penting pun perlu diterangkan agar kualiti yang dikehendaki itu kena pada tempatnya.

Mempunyai ISO dan mengamalkan apa yang terkandung di dalam ISO adalah dua perkara yang sangat berbeza. Sesebuah syarikat/organisasi/jabatan boleh jadi mempunyai ISO, namun amalan/perlaksanaan belum tentu berkualiti. Lebih lagi kalau pensijilan yang diperoleh adalah semata-mata bagi memenuhi kehendak kerajaan yang mengkehendaki organisasi/jabatan/syarikat tersebut mempunyai ISO – jadi "keikhlasan" sesuatu organisasi itu memperoleh pensijilan ISO boleh kita pertikaikan.

Mungkin track record yang baik juga perlu dijadikan asas kepada membuat sesuatu keputusan. Syarikat yang mempunyai track record yang baik memberikan kelebihan kepercayaan kepada syarikat tersebut. Sesebuah syarikat yang mempunyai track record yang baik seharusnya dapat mengoptimumkan sebarang sumber yang mereka ada dan dapat memenuhi janji yang mereka telah taburkan semasa hendak mebida projek tersebut. Aduan yang dilaporkan selepas projek selesai juga seharusnya minimum.

Namun, yang lebih penting adalah kerajaan sendiri perlu melakukan sesuatu bagi memberikan persepsi yang baik kepada rakyat Malaysia. Kerajaan seharusnya membuat keputusan yang betul bagi memberikan kontrak kepada mereka yang selayaknya mendapat kontrak tersebut. Projek kerajaan menelan wang rakyat. Dan jargon seperti wang rakyat, pembayar cukai dan hak rakyatlah yang akan menjadi senjata utama pihak yang berkepentingan bagi mempersoalkan ketidakcekapan kerajaan memilih syarikat yang betul untuk melaksanakan projek kerajaan.



Persepsi rakyat terbina dengan pemerhatian yang dapat mereka lakukan terhadap subjek (kerajaan). Sebagai contoh, gambar yang dilampirkan. Ada yang mungkin melihatnya sebagai muka dua orang yang saling bersetentang. Ada juga yang melihatnya seperti pasu (vase). Mereka (rakyat) bebas melihat dan menilai apakah gambar itu sebenarnya. Oleh sebab itu, kebenaran telah menjadi relatif pada mereka. Apa yang dilaporkan oleh kerajaan boleh jadi diterima atau disanggah oleh mereka. Mengambil contoh gambar dibawah, bagaimanakah kerajaan boleh meyakinkan kepada rakyat bahawa apa yang dilihat adalah pasu (vase) dan bukannya dua muka yang bersetentang? Itulah cabaran yang perlu dihadapi oleh kerajaan sekarang - Membina persepsi yang baik kepada rakyat
 


 

Nota kaki

Gambar yang digunakan dikenali sebagai "Rubin vase" yang menjadi contoh popular dalam membincangkan topik psikologi kognitif (cognitive psychology) seperti persepsi.