PERINGATAN: Semua artikel yang ditulis oleh penulis adalah nukilan penulis sendiri melainkan telah dinyatakan sumbernya dan TIDAK mewakili organisasi yang telah/sedang penulis sertai. Tulisan bukan bermaksud membangkitkan sebarang sentimen yang menyebabkan perasaan kurang selesa kepada pembaca. Andai pembaca yang mendapati terdapat tulisan yang bersifat demikian, sila beri komen untuk tindakan selanjutnya. Terima kasih
Thursday, January 29, 2009
Aku dan Birokrat
Namun, menurut rakan penulis (belajar Kejuruteraan di UTM, sekarang ini pensyarah di Universiti Malaysia Pahang, sedang buat Master UKM) "ape ke hal (pekejadah) pula gasket tebakar?" Ibarat kata orang Pahang, "Pede'oh je tu" Namun, nasihat yang paling penting yang penulis peroleh ialah "Kok ye pun nak betulkan kereta", kata sahabat penulis, Martin, "jangan betulkan lagi kat bengkel busat tu...,Wayar signal terputus, dikatanya wiring satu kereta problem...!"
Sesudah fed up dengan perangai enjin lama, penulis mengambil keputusan untuk menukar enjin, upgrade dengan 850. Semuanya penulis buat semasa cuti semester di Kulai. Mencari enjin bukan problemnya, tetapi mendapat kelulusan JPJ; itulah masalah besarnya. Selepas dipasang enjin tersebut, kereta perlu dihantar ke Puspakom. Memanglah terang-terang dicop tak lulus - setelah sehari suntuk menunggu di Puspakom. Petukaran enjin dari cc rendah ke cc tinggi perlu mendapat kelulusan JPJ Putrajaya!
Penulis pergilah ke Putrajaya. Sebesar-besar Putrajaya yang dimegahkan itu, tempat parking awam punyalah sedikit. Tetapi, hendak buat macam mana? Parking sahaja mana-mana tempat boleh parking. Penulis masuk ke bahagian teknikal JPJ dan dengan naifnya bertanya dengan pegawai di kaunter bahagian tersebut tentang prosedur yang diperlukan untuk mendapat kelulusan pihak JPJ. Dengan muncungnya, pegawai tersebut memberikan borang kepada penulis. Penulis bertanya, bilakah keputusan permohonan tersebut boleh diketahui, lantas pegawai tersebut berkata "Ini kes pegawai tinggi ni, kurang-kurang sebulan ni!" Penulis bertanya, "Tak boleh cepat sikitkah? Kereta saya hendak berulang dari Damansara ke PJ." "Masalahnya," kata pegawai tersebut, "pegawai yang berkenaan bukannya senang. Banyak kena pergi mesyuarat. Hari ini pun dia tak ada. Memang lama sikit."
Setelah penerangan hendak tak hendak oleh pegawai tadi, beliau memberikan kepada penulis satu kad sebagai kad feedback yang perlu dibawa untuk menuntut surat kelulusan JPJ. Kad tersebut lengkap dengan tarikh hari tersebut (misalnya 12 hb) dan nombor siri. Sebulan selepas itu, penulis ke JPJ Putrajaya lagi untuk mendapatkan surat kelulusan tersebut. Sayangnya, kaunter JPJ bahagian teknikal tatkala itu tiada orang. Dikhabarkan bahawa masa urusan telah tamat (tamat sebelum pukul 5.00 petang) Dengan hampa dan kecewanya, penulis terpaksa pulang tangan kosong. Penulis terpaksa hadir sekali lagi untuk mendapatkan surat tersebut pada hari-hari berikutnya.
Menariknya, tarikh pada surat yang dikeluarkan pada surat tersebut tercatat tarikh sehari sebelum penulis datang ke JPJ Putrajaya! (dalam kes ini, 11 hb!) Bukankah sesuatu yang aneh apabila surat rasmi yang dikeluarkan bagi kelulusan tersebut dikeluarkan sehari sebelum pelanggan memohon kelulusan? Hebat bukan? Kuasa psikik apakah yang digunakan oleh JPJ untuk mengetahui kehendak pelanggan sebelum pelanggan tiba di JPJ Putrajaya? Lebih aneh lagi, surat yang telah "dikeluarkan" sehari sebelum penulis datang ke JPJ Putrajaya kali pertama tersebut perlu mengalami proses satu bulan sebelum boleh tiba di tangan penulis.
Mungkin pegawai tersebut perlu meneliti dengan sebaik-baiknya huruf dan tatabahasa dalam surat yang bakal diberikan kepada penulis. Atau mungkin terlalu banyak sangat permohonan tukar enjin sebelum penulis menyebabkan pegawai tersebut terpaksa membereskan satu persatu dahulu masalah mereka sebelum membolehkan surat tersebut diletakkan di bahagian kaunter untuk penulis kutip sendiri. Proses-proses tersebut memakan masa sebulan lamanya ! Atau mungkin pegawai yang bertanggungjawab menaip surat tersebut terpaksa menaip satu perkataan satu hari selama sebulan sebelum surat tersebut lengkap!
Itulah pengalaman penulis dengan birokrat. Sebagaimana kata Datuk Dr. Salleh Mohd Nor, the bureaucracy is killing the country. Mungkin sudah tiba masanya INTAN atau agensi berkaitan benar-benar mengajar pegawai kerajaan yang dilatih mereka untuk memasukkan kecepatan masa sebagai salah satu indikator kualiti dalam sesuatu perkhidmatan. Kepuasan pelanggan terhadap mereka adalah salah satu indikator kepada kepuasan rakyat terhadap kerajaan.
Thursday, January 22, 2009
Belajar daripada Vietnam
Penulis bukannya seorang yang ahli dalam sukan, inikan pula bola sepak. Main bola tendang tonjol; main badminton pun suka-suka sahaja (smash angin !). Main boling masuk longkang. Namun penulis ikuti juga perkembangan sukan negara, lebih-lebih lagi bola sepak; sukan nombor satu negara. Keruduman prestasi skuad bola sepak negara tidak perlu diperkenalkan lagi. Negara kita kemarau kejuaraan dalam bola sepak setelah skuad 1989 menjuarai pingat emas Sukan SEA.
Ya, kita pernah berjaya pada Pesta Bola Merdeka beberapa tahun lepas namun kejohanan yang tidak disertai penuh oleh rakan serantau seperti Singapura, Thailand, Indonesia dan Vietnam tidak boleh menjadi ukuran kepada kedudukan bola sepak negara di rantau Asia Tenggara. Baru-baru ini, sasaran ke separuh akhir kejohanan bola sepak ASEAN pun tidak mampu dipenuhi. Terkini, dibelasah oleh UAE 5-0 untuk kelayakan Piala Asia. Betapa rendahnya reputasi bola sepak negara sehingga akhbar Harian Metro pada ruangan sukan utama meletakkan gambar LIMA biji telur![1] Apakah sebenar-benarnya berlaku dalam bola sepak Malaysia?
Malah, jurulatih kebangsaan menuntut peminat bersikap realistik kerana pemain dalam Liga Malaysia tidak dapat memenuhi tuntutan antarabangsa! [2] Menurut beliau lagi, pemain negara kurang cergas dan tidak mampu menyaingi lawan bagi perlawanan tersebut.[3] Satu pernyataan yang agak pelik memandangkan Liga Malaysia merupakan sebuah liga profesional dan daripada sejumlah pemain yang bermain di liga tempatan (kini, kesemuanya adalah pemain tempatan), kita tidak mampu mencari 22 orang pemain yang cergas? Liga apakah yang berada di muka bumi Malaysia ini?
Kalau dikatakan kerani bank atau pak guard bermain bola sepak liga tempatan tidak mempunyai kecergasan; boleh diterima akal sebab beliau terpaksa bekerja pada waktu siang. Namun, kalau dikatakan seorang pemain bola sepak yang secara dasarnya bermain bola sepak sebagai pekerjaan, pakar bermain bola sepak dan mendapat gaji daripada pemainan bola sepak (pemain profesional), sesuatu yang aneh lagi pelik kalau beliau tidak cergas. Selain bermain bola sepak, apakah beliau sebenarnya bekerja tugasan lain bagi menyara hidup? Ataupun beliau mempunyai masalah gajikah? Atau tidak mendapat elaunkah?
Satu perkara yang menarik perhatian penulis tentang bola sepak adalah peningkatan Vietnam. Sepuluh tahun dahulu, Vietnam bukan lawan untuk Malaysia. Namun, kini skuad Vietnam telah meningkat untuk menjadi juara bagi kejohanan Bola Sepak ASEAN yang lalu dengan menundukkan lawan yang jauh “lebih berpengalaman” dalam arena bola sepak antarabangsa. Mereka telah menewaskan Singapura untuk ke perlawanan akhir di tempat lawan dan berjaya menewaskan Thailand di arena sendiri bagi merangkul Piala Suzuki. Penulis sempat menonton perlawanan kedua bagi separuh akhir dan akhir dan satu frasa yang dapat menyimpulkan cara mereka bermain adalah “jangan berputus asa.”
Semasa skuad Vietnam bertamu di Singapura untuk separuh akhir kedua, mereka diserang habis-habisan oleh Singapura. Singapura menggunakan sepenuh kelebihan mereka sebagai tuan rumah untuk menguasai perlawanan tersebut terutamanya pada separuh masa kedua. Vietnam hanya mempunyai satu peluang; dan satu peluang itulah yang digunakan sepenuhnya untuk menyumbatkan gol. Gol counter attack itulah yang membawa mereka ke final. Lain hal pula semasa perlawanan kedua final di tempat sendiri. Walaupun Thailand berjaya menyamakan aggreget pada separuh masa pertama, mereka tidak berputus asa dan membuat asakan demi asakan. Hasilnya, gol melalui sepakan percuma pada minit-minit akhir perlawanan yang memberikan mereka kejuaraan pertama Asia Tenggara.
Mungkin ada dua perkara yang wujud pada skuad Vietnam yang perlu digilap habis-habisan oleh skuad Malaysia:
• Kecergasan total. Amat aneh skuad negara (yang profesional) tidak mampu mempunyai kecergasan maksimum untuk satu perlawanan penuh bola sepak selama 90 minit. Namun, berbanding atribut lain, kecergasan sebenarnya boleh digilap dari semasa ke semasa. Hal inilah yang menjadi tugasan badan-badan sukan yang bertanggung jawab untuk meningkatkannya Tidak ada makna kalau mempunyai liga profesional andai pemain-pemain di dalamnya tidak pula secara profesional mempunyai kecergasan yang diperlukan untuk bermain bola sepak. Cari punca mengapakah pemain tidak mampu mempunyai kecergasan untuk satu perlawanan 90 minit yang biasa. Kalau memang tidak cergas, perlulah ditingkatkan kecergasan pemain dengan menyeluruh.
• Persediaan mental. Semangat enggan mengaku kalah bukannya mudah untuk dikekalkan. Malah, juara dunia pun belum tentu mampu mempunyai semangat yang sedemikian dalam satu kadar masa yang panjang. Hal inilah yang menjadi tugas pakar motivasi kita yang selama ini banyak memberikan sumbangan terhadap masalah kerja, atau rumah tangga, atau percintaan dan lain-lain masalah yang berkaitan motivasi. Pihak yang berkenaan (seperti FAM atau MSN atau ISN) mungkin boleh menggaji pakar motivasi untuk memberikan semangat kepada pemain agar tidak mudah menyerah kalah dan berjuang sehingga ke saat terakhir. Gunakan sepenuhnya tenaga motivasi yang banyak di Malaysia kini bagi membentuk minda positif kepada pemain negara. Alangkan pertandingan realiti nyanyian di televisyen pun ada pakar motivasi masing-masing, inikan pula bola sepak yang sememangnya semakin kurang bermotivasi!
Dapat dilihat, kedua-dua faktor ini merupakan faktor yang menjadi kekurangan (lacking factors) buat skuad negara. Sebaliknya, kedua-dua faktor itulah yang menjadi ramuan utama yang membawa kepada kejayaan buat Vietnam. Mereka bersungguh-sungguh sepanjang masa perlawanan dengan kedua-dua pasukan kompetetif dan kesungguhan itu menjelmakan sebuah pasukan yang mantap dan berjaya menjadi juara. Pastinya kesungguhan yang ditonjolkan oleh skuad juara Vietnam datang daripada kecergasan yang mantap dan mentality yang positif sepanjang perlawanan.
Kita sebetulnya mempunyai pemain yang berbakat; malah sekarang sudah ada beberapa rancangan realiti untuk mencari bakat dalam bola sepak. Skil pemain kita sebenarnya hebat-hebat. Ada yang "lebih Ronaldo daripada Cristiano Ronaldo." Namun, bakat dan skil semata-mata tidak boleh memberikan kejuaraan kepada negara. Penulis malas hendak mengulas tentang kepincangan pengurusan FAM, pemilihan pengurus atau jurulatatih, hal-hal birokrasi dan politik dalam FAM, atau pemain tak dapat gaji, atau tak dapat elaun – hal-hal ini pun sudah banyak diutarakan. Maklumlah, orang yang kaki bangku mana boleh ulas pasal bola! Namun ingat, bangku jugalah yang menjadi tempat duduk jurulatih kita dan pemain simpanan dalam satu-satu perlawanan !…
Nota hujung
[1] Harian Metro, 22 Januari 2009.
[2] Ahmad Khawari Isa dan Mohd Fadzrie Hazis, Bersikap realistiklah: Ligatidak penuhi tuntutan antarabangsa: Sathia, dlm. Berita Harian, 22 Januari 2009, p 46.
[3] Ibid.
Monday, January 19, 2009
Adakah rakyat sudah bersedia?
Sudah dua pilihan raya kecil yang di adakan pasca 8 Mac 2008. Kedua-duanya dimenangi oleh Pakatan Rakyat. Terbaru, di Kuala Terengganu apabila calon Pas menewaskan calon BN dengan lebih daripada 2000 undi majoriti; satu pencapaian yang cukup bererti andai dikatakan bahawa kawasan tersebut adalah kawasan "panas". Kemenangan calon Pas cukup jelas; bukan samar-samar; tidak diwakili oleh sentimen salah kira atau majoriti kecil dan sebagainya. Malah, andai dibandingkan dengan pilihan raya umum dahulu, majoriti 2000 adalah majoriti yang cukup significant. Rakyat di Terengganu lebih menyukai Pas berbanding BN pada pilihan kali ini.
Bayangkan, dengan pelbagai cara kempen menggunakan media massa perdana; hatta media swasta juga secara tidak langsung membantu kempen mereka; PM dan TPM yang turun padang; malah TPM berkampung di Kuala Terengganu; lebih 2000 orang penggundi masih tidak tertarik untuk memilih BN. Pelbagai bantuan semasa kempen yang dicanang juga tidak mampu menarik minat lebih 2000 orang tadi untuk memilih BN. Sebaliknya, berbekalkan seorang orator yang paling mantap dalam sejarah politik tanah air, Pas berjaya meraih lebih 2000 undi majoriti tersebut. Hal inilah yang berlaku di Kuala Terengganu.
Sebagaimana biasa, apabila kekalahan yang significant berlaku, terdengarlah suara-suara pasca-pilihan raya daripada kem BN bahawa kekalahan sebenarnya sudah dijangka! [1] Malah, pengundi-pengundi bukan Melayu di Kualan Terengganu juga dikatakan memilih Pas kerana kempen agresif DAP berbanding komponen BN! [2] Hal ini seakan-akan membenarkan kata-kata Presiden Gerakan bahawa pengundi cina terutamanya yang muda lebih cenderung ke arah pembangkang, beberapa hari sebelum hari pengundian. Menurut satu sumber lagi, dari segi rating, calon Pas telah mendahului BN sekitar 3000 undi sejak awal lagi dan jentera kempen Barisan Nasional seakan-akan tidak belajar dari kesilapan yang lalu dan lemah dari segi perang saraf untuk memancing undi.[3]
Apa yang menarik adalah andaian/cadangan (assumption) bahawa kaum bukan Melayu di Kuala Terengganu mempunyai kecenderungan memilih pembangkang dan dalam kes kali ini ialah Pas. Walaupun BN menggunakan taktik tipikal membangkitkan isu hudud sehingga berlaku cabar-mencabar antara pemimpin komponen BN kepada DAP lalu membawa kepada kata dua oleh Karpal Singh kepada Pas, pengundi bukan Melayu nampaknya sudah dari awal-awal lagi dilihat tetap menyokong Pas. Jika benar andaian/cadangan ini, maka benarlah Malaysia telah memasuki fasa baru; buku baru dalam arena politik apabila "kesediaan orang bukan Melayu berkompromi dengan parti tradisional Islam yang sentiasa memperjuangkan hukum dan negara Islam."
Kenyataan ini penting. Pengundi kini sudah tidak tertarik dengan isu nasional yang dibawa oleh Barisan Nasional. 2000 orang di Kuala Terengganu tidak percaya bahawa isu nasional yang dibawa oleh Barisan Nasional menjadi dorongan kepada mereka menggundi BN. Ditambah pula dengan andaian tadi, bermaksud pengundi bukan Melayu akan sanggup berkompromi dengan Pas demi untuk tidak menyokong BN. Andai kecenderungan ini berterusan, hal ini memberi implikasi besar kepada pilihan raya yang akan datang dan ada kemungkinan besar BN akan tumbang walaupun pucuk pimpinan mereka telah ditukar.
Soal hudud atau tidak selepas terbentuknya kerajaan sudah tidak penting pada pengundi bukan Melayu. Mereka lebih yakin dan lebih mengkehendaki kerajaan alternatif yang diharapkan mampu mengubah senario politik serta kepimpinan negara yang sedikit sebanyak dapat membela kehendak dan kemahuan mereka. Mungkin mereka mengkehendaki kerajaan yang kurang birokrasi atau kurang pilih kasih dalam menjalankan tanggung jawab dan dasar di dalam negara. Itulah matlamat mereka andai benar andaian tersebut. Mereka mahukan perubahan.
Mereka tahu bahawa dengan memilih BN, sudah pasti terjamin isu hudud tidak akan dimainkan oleh komponen BN (terutamanya dalam UMNO) dan mereka tahu risiko mereka memilih Pas (yang memperjuangkan hudud). Namun mereka sanggup mengambil risiko tersebut semata-mata untuk menyuarakan isi hati mereka yang inginkan perubahan. Kesemua ini adalah interpretasi terhadap apa yang sedang berlaku sekarang ANDAI benar pngundi bukan Melayu sudah rela memilih Pas pada pilihan raya yang lepas.
Mungkin pilihan mereka ini terdorong dengan logiknya bahawa Pas tidak mungkin akan dapat mendirikan hudud yang dicanang-canang oleh mereka kerana mereka memerlukan DAP dan PKR untuk menjadi kerajaan. PKR melalui Anwar Ibrahim masih menjadi mediator kepada kedua-dua parti ekstream antara Pas dan DAP. DAP sudah pasti tidak akan menyokon istilah hudud dalam undang-undang, namun mereka dapat berkompromi kerana PKR menjadi orang tengah antara mereka dan Pas. Dan wajah keadilan dan keIslaman Anwar masih lagi menjadi tarikan Pas untuk bersekutu dengan PKR dan DAP kerana Anwar dilihat sebagai pemimpin Islami yang dinamik dan boleh menegakkan Islam [4]. Sekali lagi, andai benar pengundi bukan Melayu sudah bersedia memilih Pas, bermaksud mereka sudah bersedia berkompromi bagi mendapatkan kerajaan alternatif walau apa cara sekalipun. Hal ini juga membawa maksud, rakyat Malaysia sudah bersedia menerima alternatif kepada kerajaan BN sekarang ini pada masa hadapan.
Kini, pilihan raya kecil pun sudah tamat. Keputusan pun sudah diketahui. Maka diharapkan kesemua pihak yang terlibat dalam pilihan raya kali ini benar-benar insaf bahawa pilihan raya bukannya satu mesyuarat agung untuk mencar populariti antara calon. Pilihan raya adalah satu tempat untuk memilih calon untuk berkhidmat untuk rakyat. Kuala Terengganu telah memilih pemimpin mereka dan seharusnya kita hormati pilihan mereka-mereka.
Nota hujung
1 Awang Selamat, Mingguan Malaysia, 18 Januari 2009. Kononnya penduduk lebih mengenali calon Pas yang lebih popular.
2 Ibid.
3 Zulkiflee Bakar, Faktor kekalahan Barisan Nasional, dlm Minggua Malaysia, 18 Januari 2009.
4 Malah, Anwar Ibrahim sebelum memasuki UMNO dilihat sebagai calon yang paling layak untuk memimpin Pas. Namun, segala-galanya menjadi sejarah apabila Mahathir berjaya menarik beliau memasuki UMNO. Kini, yang menjadi tanda tanya adalah mengapakah Anwar yang terkenal dengan sifat keIslaman beliau sanggup menubuhkan parti yang multi-bangsa dan multi-agama berbanding memasuki terus Pas selepas beliau dipecat? Sudah pasti kerana beliau sendiri sedar bahawa untuk membentuk kerajaan, pastilah beliau memerlukan sokongan yang bukan Melayu sekali. Oleh itu, jalan selamat daripada memasuki DAP (yang pastinya menjatuhkan kepercayaan orang Melayu terhadapnya) dan Pas (yang pastinya menjauhkan beliau daripada sokongan bukan Melayu) beliau menubuhkan sebuah parti yang menyuarakan satu idea yang sama dan boleh digabungkan antara yang Melayu dan bukan Melayu iaitu keadilan.