Sunday, October 25, 2009

Dari hal sejadah berdiri

Seharusnya isu ini tak perlu diulas. Namun, setelah melihat kepada kesan yang mungkin yang lebih besar seandainya perkara-perkara hocus pocus ini tidak diselesaikan, maka semakin banyak lagilah sejadah duduk lah, batu nama Allah lah, air suci dari batu lah, kayu menunjuk kalimah Allah lah, pokok ayat Al-Quran dan lain-lain keajaiban yang suka digembar-gemburkan oleh media. Kesannya, ada pula makhluk menurun ekor apabila berhadapan dengan "keajaiban" sedemikian!!!

Beberapa perkara perlu dipertegas. Mukjizat adalah milik Nabi-nabi. Karamah adalah milik Wali-wali. Makbul doa adalah milik Allah. Semua yang terjadi adalah dengan izin Allah. Maka, seandainya ada sejadah yang berdiri/duduk antara dua sujud/sujud dan sudah terang lagi nyata bahawa sejadah sedemikian tersusun dalam satu kawasan /surau/masjid, maka tidak lain dan tidak bukan perkara tersebut adalah kerja-kerja budak yang nakal atau orang yang hendak mengambil kesempatan hendak mendapat keuntungan atau hendak menjadi popular sebentar. Tercapailah hasrat pihak-pihak yang berkepentingan tersebut apabila stesen televisyen termakan dengan kesensasian sejadah berdiri tersebut!!!

Pihak media juga memainkan peranan penting untuk sejadah pelbagai bentuk yang dihebah-hebahkan. Kalaulah tiada liputan media untuk sejadah duduk antara dua sujud, maka pastilah tidak pula orang memperdulikannya. Akan tetapi, dek kerana taksub dengan keuntungan, maka sejadah sujud pun menjadi berita utama di dada-dada akhbar. Penulis akui, tidak boleh menyalahkan media 100 peratus namun TIDAK PULA media tidak boleh dipersalahkan!!! Kesan sinergistik antara tayangan media dan perasaan ingin tahu pembaca dan penonton memberikan kesan besar terhadap bagaimana sesuatu isu itu digarap.

Pendek kata, masyarakat Malaysia masih lagi terpengaruh dengan cerita-cerita tahyul yang seharusnya tidak diperbesarkan. Cerita-cerita seperti ini seharusnya tidak perlu diterbitkan dalam media utama dan sebaiknya diulas panjang lebar dalam majalah berbentuk misteri dan mistik yang banyak di pasaran. Dunia ini masih penuh dengan keajaiban yang benar-benar wujud (seperti kewujudan langit dan bumi, sifat-sifat air, cahaya – gelombang atau jirim? Serta pelbagai lagi keajaiaban ciptaan Ilahi) untuk kita kaji berbanding dengan sejadah yang direnyukbentukkan!!!

Thursday, October 22, 2009

Begitulah Mentaliti Kelas Ketiga...

GST... Apa benda tu!!!

Perbentangan belanjawan 2010 sangat-sangat dinantikan oleh mereka yang mengambil berat tentang perbelanjaan negara dan pekerja kerajaan yang mengharapkan agar dikurniakan bonus. Menyentuh isu bonus, terdapat cakap-cakap bahawa antara sebab prestasi BN begitu teruk adalah kerana pekerja perkhidmatan awam begitu terkilan kerana tidak diberi bonus pada tahun 2009. Hal yang demikian menyebabkan mereka berasa tidak dihargai dan bertindak untuk meluahkan ketidakpuasan hati di atas kertas undi (Penulis secara peribadi pernah berbual dengan golongan sebegini...!)

Berbalik semula kepada Belanjawan 2010, belanjawan ini merupakan belanjawan yang cukup bermakna kepada YAB Perdana Menteri kerana inilah kali pertama, beliau sebagai PM baru akan membentangkannya. Disebabkan tradisi Menteri Kewangan tiba-tiba berubah, maka PM kini turut memegang portfolio Kewangan (perkara ini mula berlaku setelah pemecatan Anwar Ibrahim daripada Kebinet dan BN). Dan kali ini, pastilah Najib Tun Razak akan membentangkan satu belanjawan yang sedap didengar di telinga bagi memikat rakyat Malaysia dalam menjayakan slogan 1Malaysia; Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.

Maka, penulis tidak ketinggalan untuk mendengar perbincangan yang diadakan di kaca televisyen tentang apakah yang diharapkan di dalam belanjawan kali ini (di TV1). Pihak stesen penyiaran telah menjemput individu-individu yang berkaliber dari pakar ekonomi ke ahli akademik bagi membincangkan apakah yang mereka ramalkan dan harapkan untuk diucap oleh PM. Pelbagai andaian dan cadangan yang diusulkan kepada penonton bagi memberikan gambaran tentang belanjawan tersebut. Penulis secara peribadi pun kurang fasih dengan istilah-istilah seperti fiscal, belanjawan defisit, GST dan sebagainya.

Cuma yang menarik untuk dibincangkan ialah tentang cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang kononnya sepatutnya dilaksanakan sedari tahun 2005 lagi (namun ditangguhkan..). Terdapat salah seorang ahli penel bual bicara yang menegaskan betapa kerajaan semakin lambat untuk memperkenalkannya; maka dalam masa yang sama juga, semakin sukar untuk melaksanakannya. Hal ini disebabkan idea asas kepada GST adalah "sesiapa yang mengguna lebih, maka dia perlulah bayar lebih." Maka mahu tidak mahu, kita akan berhadapan dengan kenaikan harga barang.

Akan tetapi, kenaikan harga barang (dan perkhidmatan) merupakan tindakan terakhir yang boleh kerajaan laksanakan kerana tindakan tersebut tidak popular dan pasti mengundang rungutan daripada rakyat...! Seterusnya akan menyebabkan frasa "Rakyat Didahulukan" tidak dipatuhi/mengalami ketidakakuran (non-conform), lalu menyebabkan persepsi rakyat terhadap kerajaan menjadi buruk (atau bertambah buruk...; kenangkanlah kesan kenaikan harga petrol RM2.70...!)

Tambahan pula, ketua pembangkang negara yang kononnya lebih tahu daripada segala orang di dalam dunia ini tentang ekonomi boleh memanipulasikan persepsi ini seterusnya mengundang provokasi kepada rakyat bahawa tindakan kerajaan merupakan tindakan kezaliman dan menegaskan bahawa beliaulah yang selayaknya memegang tampuk pemerintahan kerana beliau lebih tahu untuk mengurus ekonomi untuk kepentingan dan keadilan rakyat!

Selain itu, akan timbul juga isu keadilan dalam melaksanakan GST ini.... Kalau satu keluarga yang ramai, bagaimanakah untuk tidak berbelanja lebih dari purata (above average) disebabkan mereka perlu menanggung bilangan keluarga yang besar? Takkanlah hendak salahkan ibu yang mengandung anak yang ramai? Perbelanjaan untuk menyara 5 hingga 6 orang anak pastilah lebih besar daripada hendak menyara 2 hingga 3 orang anak sahaja. Bukankah ini kelak akan mengundang ketakpuasan hati mereka yang berkeluarga besar dan terpaksa berbelanja lebih? (Hujah ini pernah diutarakan semasa pemberian baucer RM650 untuk kenderaan kurang 2000 cc kerana bukan semua yang menggunakan kenderaan 2000 cc ke atas merupakan keluarga berpendapatan tinggi – mereka terpaksa membeli kereta/MPV besar dan berkuasa besar demi menampung anak yang ramai...!)

Maka seeloknya kerajaan melakukan satu kajian menyeluruh sebelum melaksanakan dasar kurang popular tersebut. Kelengkapan dan pengetahuan yang mencukupi amat-amat perlu disediakan untuk rakyat sebelum dasar sebegini dilaksanakan. Andai tidak, maka dasar sebegini akan menjadi dasar yang backfired semula kepada kerajaan. Soal agihan pungutan cukai juga perlu diperjelaskan kerana rakyat berhak mengetahui ke manakah perginya wang yang telah mereka bayar. Diharapkan, seandainya GST ini benar-benar akan dilaksanakan pada masa akan datang (atau diumumkan pada belanjawan kali ini.... mana tahu...?), perkhidmatan awam yang disediakan oleh kerajaan akan bertambah baik selaras dengan berbuihnya mulut pak menteri untuk melaksanakan KPI demi kepentingan rakyat.


Minda nan terkebelakang: Isu agihan kepada Alam Sekitar

Satu lagi perkara menarik untuk dibincangkan adalah betapa terkebelakangnya minda masyarakat Malaysia tentang ekonomi alam sekitar. Dalam tinjauan yang dilaksanakan oleh RTM bagi salah satu rancangan bual bicara tentang pra-belanjawan 2010, hanya 4 peratus sahaja responden yang mengambil bahagian dalam tinjauan SMS yang menyatakan bahawa belanjawan negara pada kali ini harus mengutamakan pemeliharaan alam sekitar. Hal ini bermaksud, daripada 100 orang di Malaysia seandainya diambil secara rambang, hanya 4 orang yang merasakan alam sekitar itu penting untuk mereka dan harus diberi perhatian oleh pihak kerajaan...! Sedangkan kita baru sahaja menyaksikan "penangan alam" dari gempa bumi dan taufan yang membadai Asia Tenggara.

Penulis bukan seorang environmentalist. Pun begitu, isu alam sekitar adalah isu sejagat dan seharusnya diberi perhatian oleh segenap lapisan rakyat Malaysia. Negara kita ketinggalan dalam banyak hal apabila berkaitan dengan alam sekitar. Sedangkan, sebenarnya etimologi ekonomi dan ekologi itu berasal daripada akar yang sama, i.e. oikos yang bermaksud rumah. Kalau rumah kita sudah jahanam dan punah ranah, usah kita hendak berteriak tentang ekonomi lagi....!

Pada hemat penulis, seandainya ekologi yang kita ambil kira, maka ekonomi juga akan turut mendapat faedahnya. Sampai bila kita hendak bergantung kepada sumber tidak boleh diperbaharui seperti minyak dan gas? Adakah tatkala kedua-duanya telah kering-kontang barulah kita hendak mencari alternatif lain pula? Dan seandainya kita mengharapkan tenaga nuklear sebagai alternatif kepada sumber negara, sudah bersediakah kita secara fizikal dan mental untuk menghadapi kesan daripada penggunaannya ? (Kecil atau besar, nuklear tetap nuklear...!)

Seharusnya kerajaan memberikan tumpuan terhadap alam sekitar kerana tumpuan kepadanya sangat berbaloi. Seandainya kerajaan dapat membuat peruntukan untuk kitar semula, misalnya, lalu kempen itu juga berjaya, kerajaan akan dapat menjimatkan sejumlah wang yang besar bagi mengurangkan tapak pelupusan sampah. Kos pengurusan pencemaran juga akan dapat dikurangkan. Sumber bahan kitar semula mampu menjana pendapatan rakyat seterusnya memberi peluang pekerjaan kepada rakyat. Maka dengan sebab itu, persepsi rakyat terhadap kerajaan juga akan dapat ditambahbaikkan.

Namun, penulis insaf bahawa banyak kempen berkaitan alam sekitar kurang mendapat sambutan; hatta di negara maju sekalipun. Bukan mudah untuk melakukan sesuatu yang baik kepada orang lain..., lebih-lebih lagi makhluk lain. Tatkala bumi ini semakin uzur ditelan usia, kita masih lagi bertelagah tentang siapa yang lebih betul, siapa yang sebenar-benarnya pengganas, siapa yang layak menjadi presiden/perdana menteri, siapa yang patut memenangi hadiah Nobel Keamanan; sedangkan umat di dalam dunia ini masih terperangkap dalam minda kelas ketiga dibayangi biasan kemodenan/pasca-moden yang mengasyikkan...


 

Friday, October 16, 2009

Pindaan Perlembagaan UMNO 2009: Antara perubahan tulisan dan perubahan fikiran

Menonton YAB Presiden UMNO, Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak bersyarah buat julung kalinya untuk ucapan dasar presiden merupakan sesuatu yang dinantikan oleh ramai ahli UMNO sendiri. Gaya perawakannya untuk meretorikkan keadaan cukup membuatkan penulis terhibur dengan telatah beliau.

Bagaimanapun, yang lebih menarik perhatian penulis adalah sesi wawancara yang diadakan di TV3 sempena ucapan dasar Presiden tersebut. Wawancara itu dihadiri oleh dua orang tokoh penganalisis politik tanah air yang bukan calang-calang iaitu Prof Dr Atory Hussein dan Prof Madya Dr Agus Yusof. Pengacaranya juga (seorang berpangkat Prof Madya, namun penulis tak berkesempatan menangkap nama beliau) sangat-sangat cemerlang mengutarakan persoalan yang kritis, perkaitan itu dan ini; begitu fasih berbahasa Arab dan mengeluarkan nas-nas Al-Quran, Hadis dan kata-kata para sahabat RA. Sekali sekala penulis terasa seperti berada dalam program Al-Kuliyyah lah pulak...!

Pada pendapat penulis, program bual bicara itu berjalan dengan baik sekali. Cukup ramuan dan cukup rasanya. Cuma mungkin untuk hidangan yang lengkap, barangkali tidak mencukupi tatkala masa begitu pantas berlalu apabila kedua-dua orang ahli penal saling berebut untuk menjawab. Namun, dengan moderator yang baik, maka selayaknya program tersebut dikategorikan sebagai program yang baik dan wajar diteruskan.

Penulis sangat tertarik dengan pendapat Dr Agus yang menegaskan bahawa perubahan dalam UMNO perlulah selaras dari peringkat struktural hingga ke peringkat atitudinal. Pindaan perlembagaan UMNO tidak dinafikan merupakan tindakan yang sangat berani dan mampu meraih kembali perhatian pengundi kepada UMNO, namun di peringkat ahli UMNO sendiri, mereka perlu berubah sikap daripada yang lama kepada yang baru. Modus operandi untuk mendekatkan diri mereka ke hati rakyat juga perlu berubah sama sekali.

Tatkala Dr Agus memetik pengalaman mengajarnya di UKM dengan meluahkan betapa generasi muda kini tidak lagi melihat perjuangan UMNO itu sebagaimana generasi terdahulu melihatnya (dari segi mencapai kemerdekaan, hak istimewa orang Melayu, DEB dan sebagainya) penulis teringat artikel yang telah penulis uploadkan ke blog ini bertajuk Erti Kemerdekaan. Penulis ada mengulas tentang bagaimana berbezanya orang muda zaman kini berbanding mereka yang merasai payah jerih untuk merdeka.

Sesungguhnya, perspektif orang muda kini berbeza dengan mereka yang hidup pada zaman DEB. Dan perbezaan inilah yang gagal dikesan oleh UMNO sejak awal-awal lagi. Kegagalan UMNO dalam memahami cara orang muda berfikir menyebabkan mereka kehilangan banyak undi daripada orang-orang muda. Pendekatan "UMNO telah banyak berjasa", "hanya UMNO yang tahu", "UMNO pejuang tulen hak istimewa orang Melayu" dan sebagainya telah membawa persoalan besar kepada orang muda – apakah hanya UMNO yang "boleh" berjasa, apakah pentingnya DEB itu, perlukah orang melayu menerima hak istimewa tersebut??? Maka, UMNO memerlukan pendekatan baru yang lebih segar khusus untuk orang muda bagi mengelakkan diri mereka asyik terjerat di dalam paradoks siklik yang sentiasa berputar ini!!!

Perbincangan tersebut juga menggariskan betapa sikap dan kelakuan ahli UMNO itu sendiri yang perlu turut berubah. Mendemokrasikan pemilihan pucuk pimpinan merupakan satu perkara, namun menjadi seorang ahli yang benar-benar berkhidmat merupakan satu perkara lain yang berbeza. Imej ahli UMNO terutamanya mereka yang bertaraf pemimpin merupakan sesuatu yang perlu dijaga. Pemimpin UMNO perlulah memperlihat kepada orang ramai bahawa mereka rapat dengan rakyat, senang didekati dan tidak bersikap elitis terhadap rakyat.

Persepsi buruk yang terpalit pada UMNO kini memakan masa untuk diubah. Namun, pemimpin UMNO dan ahli UMNO yang perlu berusaha untuk mengubahnya. Lebih buruk lagi, pergolakan komponen BN juga akan mengheret UMNO ke kancah persepsi yang lebih buruk. Justeru, UMNO dan BN perlu kembali menginsafi perjuangan dan matlamat masing-masing bagi menjelmakan kelangsungan politik mereka pada masa akan datang.