Saturday, May 30, 2009

Jangan sampai ia hilang...

Penulis pada awalnya adalah seorang yang "bebal" Al-Quran. Mengaji Muqqadam dari tadika sampai Darjah 6! Tak kenal huruf, tak kenal baris, tak tau nak baca ayat suci Al-Quran. Kalau sudah lebih tujuh tahun mengaji Muqqadam, nak cakap apa lagi?

Tatkala mula membaca Al-Quran, hampir setahun tersangkut di Juzuk 1. Ulang muka surat Alif lam mim mungkin tiga empat minggu. Ulang dan ulang. Tapi tak kenal-kenal huruf. Tak kenal baris, tak tau baca. Penulis sudah macam burung kakak tua dengar apa yang tok guru baca dan cuba ingat. Sampai Tingkatan 1, baru masuk juzuk dua (setahun satu juzuk!)

Hampir semua ustaz ustazah di sekolah rendah penulis tahu yang penulis tak geti baca Al-Quran. Markah tilawah yang penulis peroleh biasanya teruk-teruk mereka bagi. Lebih lagi di sekolah agama. Bagi markah cukup makan agar penulis lepas untuk naik darjah. Kalau tidak, tersangkut lah kat tahap 1 memanjang. (Pengajian di Sekolah Agama Johor, subjek tilawah dan hafazan kena lulus baru boleh naik darjah!).

Tiba akhir tahun Darjah 5 sekolah agama (Tingkatan 2 sekolah menengah) sekali lagi ujian tilawah menjelang. Ustaz penulis (Ustaz Saiful) mengatakan ujian tilawah meliputi juzuk 11 hingga 20. Aduh, haru ni !.... Usahkan juzuk 11, juzuk 2 pun tak habis mengaji ni macam mana? Namun, penulis hendak sangat lulus Darjah 5. Lepas itu boleh naik Darjah 6. Lepas Darjah 6, Darjah Khas! Peringkat tertinggi untuk pengajian Sekolah Agama Johor... Penulis sanggup tak masuk asrama sebab nak belajar di sekolah agama sebelah petang.

Ustaz beri masa seminggu untuk practice satu muka surat daripada juzuk-juzuk tadi sebelum masa ujian. Penulis sudah mati akal. Ustaz merupakan seorang yang tegas. Kalau tak reti baca, memang tak payah nak harap markah kasihan. Penulis rasakan perlu lakukan sesuatu....

Lalu setelah balik ke rumah, penulis mencapai Al-Quran dan lihat surah-surah yang ada antara juzuk 11 hingga 20. Yaasin dah tentu tak ada! Nak baca apa ni? Tiba-tiba, penulis terlihat satu surah yang selalu dikaitkan dengan sirah Rasulullah SAW. Surah yang antara lainnya melembutkan hati salah satu daripada dua Umar – lalu memberi kekuatan kepada Islam pada ketika itu; Surah Tha Ha.

Tha Ha. Kami tidak menurunkan Al Quran kepada mu (wahai Muhammad) untuk menyusahkan mu. Melainkan hanya sebagai peringatan kepada sesiapa yang takut untuk mengingkari perintah Allah. (Al-Quran) diturunkan (oleh-Nya) yang mencipta bumi dan langit yang tinggi. Yang Maha Pengasih yang bersemayam di atas Arasy. Dialah yang memiliki apa yang berada di langit dan apa yang berada di bumi, dan apa yang ada di antaranya dan apa yang ada di bawah tanah. Dan seandainya engkau mengeraskan ucapanmu (sedangkan tidak perlu bagimu untuk berbuat begitu) sedangkan Allah Maha Mengetahui akan segala rahsia dan yang tersembunyi. Allah, tiada Tuhan Selainnya, yang mempunyai nama-nama yang indah. (Terjemahan Surah Tha Ha, 20: ayat 1-8)

Bermula hari itu, penulis cuba lah juga membaca, dan membaca. Walau tak geti baca. Semasa waktu rehat di Sekolah Agama (waktu Asar) penulis minta bantuan sahabat penulis, Hisham untuk mengajar penulis. Membaca untuk penulis. Hari-hari begitu. Masa itu pun macam burung kakak tua juga. Dengar apa Hisham baca, cuba ingat... cuba lah juga nak baca. Yang calit kat atas tu baris atas. Yang macam kepala garpu tu sabdu. Yang macam nombor sembilan tu baris depan. Cuba lah juga untuk baca... Tapi banyak menghafal apa orang sebut daripada baca! Penulis sampai terpaksa menulis ejaan rumi lagi bagi membaca ayat-ayat tersebut. "Tha Ha. Ma anzalna a'laikal Quraanna li tasyqo." Sampai ke tahap itu!

Akhirnya, penulis berjaya fasihkan diri untuk hafal.... Nak baca tak geti lagi. Tau sikit-sikit. Mungkin otak ni dah tahap lampi kot. Tiba hari ujian, dapatlah juga penulis baca ayat-ayat daripada surah tersebut. Jadi, penulis lulus juga akhirnya ujian tilawah. Subjek lain pun lulus juga – bolehlah naik darjah!

Namun, penulis dapat rasakan perubahan ketara selepas peristiwa itu. Secara tiba-tiba, penulis seolah-olah macam kenal huruf. Kenal baris. Semacam sudah boleh baca ayat-ayat Al-Quran tersebut walaupun tidak pernah menghafalnya...Penulis tidak lagi terangkak-rangkak hendak membaca ayat-ayat Al-Quran. Semacam sudah tahu hendak dibaca aa ke ii ke uu ke,,,Lalu penulis masih teruskan mengaji Al-Quran penulis dengan tok guru penulis. Khatam ketika cuti sekolah panjang tingkatan 3!

Begitulah adanya. Al-Quran sesungguhnya adalah Kalam Allah. Lebih daripada itu, Al-Quran juga merupakan penawar kepada orang-orang yang beriman (Surah Al-Israa', 82). Dan penulis sendiri berasa bersyukur kerana dikurniakan nikmat boleh membaca Al-Quran. Sebenarnya, baca surah apa pun di dalam Al-Quran, pasti akan menenangkan jiwa seseorang. Lagilah surah Tha Ha yang memang mempunyai sejarahnya sendiri untuk menenangkan jiwa. Sehinggakan Sayidina Umar RA diberitakan mendapat hidayah Allah dengan surah ini.

Cuma kita kadang kala tak sempat, tak itu dan tak ini; sampai lupa nak bacanya. Letak di rumah jadi perhiasan. Letak di masjid buat penuh rak. Jangan sampai nikmat membacanya ditarik balik... itu sahaja ingatan penulis kepada diri sendiri (dan kepada pembaca). Penulis mengalami kesukaran yang teramat semasa awal-awal membaca Al-Quran, mengenali Al-Quran. Maka adalah sangat-sangat ditakuti juga seandainya nikmat tahu membaca itu ditarik. Hilang penawar, hilang pahala, hilang pedoman, peringatan. Hilang satu-satunya mukjizat yang kekal ke hari ini!


 

Dan manusia itu biasanya tidak akan tahu betapa bertuahnya dirinya sehingga dia kehilangan sesuatu nikmat itu. Dari itu, manfaatkanlah masa dan nikmat yang ada agar tidak tercebur ke dalam lingkungan orang-orang yang rugi.

Wallahu waliyuttaufiq.

Friday, May 29, 2009

“Industri Kesihatan”: Satu tinjauan awal

Pernahkah kita terfikir bahawa segala makanan tambahan yang kita ambil, yang kita percayai akan membawa kebaikan dari segi kesihatan kepada kita merupakan masalah kesihatan yang utama yang akan kita hadapi pada masa akan datang? Pernahkah kita terbayang bahawa ubat-ubatan yang diminta untuk kita makan (prescribe) pada hari-hari untuk sesuatu penyakit kelak akan menjadi punca kepada penyakit lain pula? Atau pernahkah terdetik dalam hati kita bahawa ubat sekian-sekian untuk penyakit sekian-sekian sebenarnya lebih murah daripada apa yang berada di pasaran?

Kesihatan merupakan satu industri yang sedang berkembang pesat; tidak kiralah apa latar belakang ekonomi dan kewangan yang melanda dunia. Mengambil satu contoh, kumpulan perubatan swasta terbesar di Malaysia, KPJ Healthcare mendapat keuntungan bersih sebanyak RM67.8 juta pada sembilan bulan pertama tahun 2008 [1]. Pada 2010, diunjurkan keuntungan bersih bagi kumpulan perubatan tersebut adalah sebanyak RM104.4 juta ringgit [2]. Contoh lain, syarikat pembekal alatan kesihatan Ogawa telah tersenarai sebagai salah sebuah jenama yang paling bernilai di Malaysia pada 2008 [3].

Sedangkan, penyediaan hospitaliti untuk kesihatan dan perubatan (i.e. hospital dan ubat-ubat di dalamnya) hanyalah sebahagian daripada apa yang dikatakan sebagai "industri kesihatan." Lain-lain yang termasuk dalam industri ini adalah seperti makanan tambahan (supplementary food), makanan kesihatan (health food), perubatan tradisional dan komplimentari (TCM), peralatan kesihatan (seperti sofa urut, alatan senaman), alatan/bahan kesihatan dan kebersihan (toiletry seperti sabun, disinfektan, syampu, ubat gigi). Satu lagi yang pada penulis adalah sangat bersesuaian memasuki senarai ini (walaupun secara konvensionalnya mungkin tidak termasuk dalam senarai ini) adalah insurans kesihatan.

Kesemua perkara-perkara tadi walaupun pada dasarnya berada dalam sektor yang berbeza, namun tidak dapat tidak, teknik pemasaran yang menggunakan tagline "kesihatan" menyebabkan penulis mengumpulkan mereka dalam satu senarai yang digelar industri kesihatan. Setiap produk yang dikeluarkan adalah menjurus kepada menjamin kesihatan, meningkatkan kesihatan, meningkatkan kecergasan, mengurangkan risiko penyakit, menjaga kebersihan, memberi jaminan perubatan seandainya diperlukan – kesemuanya menjurus kepada satu kata kunci utama – KESIHATAN. Dan pada tahap yang lebih kritikal seperti insurans kesihatan dan perubatan di hospital, bukan sahaja kesihatan yang menjadi persoalan; sebaliknya NYAWA juga akan menjadi persoalan dalam hal ini.

Pun begitu, beberapa perkara utama dalam industri kesihatan ini perlulah diambil kira oleh pengguna bagi menjamin sama ada seseorang itu benar-benar memerlukannya atau sebaliknya seseorang itu tidak perlu kepadanya. Seseorang boleh jadi sangat-sangat memerlukannya untuk setiap hari, tetapi boleh jadi juga keperluan secara harian (daily basis) itu pula yang memberi kesan sampingan kepadanya. Hal inilah yang dikatakan sebagai risiko dan kesan sampingan yang perlu dihadapi oleh pengguna semasa menggunakan produk dan perkhidmatan dalam industri kesihatan.

Persoalannya, adakah kesemua masyarakat memerlukan produk dan perkhidmatan tersebut? Setakat manakah sesuatu ubat yang perlu dimakan setiap hari itu, perlu dimakan setiap hari? Apakah tiada kesan sampingan terhadap pengambilan ubat setiap hari itu? Bagaimanakah pula peranan bahan-bahan tambahan dalam badan kita? Adakah benar kita perlu mengambil itu dan ini sebagai tambahan kepada kita bagi menjamin kesihatan kita berkekalan? Apakah kesan jangka panjang pengambilan pil-pil ortomolekular tersebut kepada diri kita? Holistik manakah sesuatu perubatan holistik itu? Isu terbaru yang menjadi perang iklan – adalah ubat gigi dengan flourida lebih baik berbanding dengan yang tiada flourida? Dan persoalan etika yang akan menyebabkan kita sendiri akan terfikir panjang – apakah seseorang yang tidak mempunyai insurans kesihatan kelak tidak mendapat hak yang sama dengan orang yang mempunyai insurans kesihatan untuk mengubati penyakitnya?

Hal-hal sebegini merupakan sesuatu yang penting untuk kita fahami kerana kesihatan adalah satu rahmat yang dikurniakan daripada Tuhan. Bukan lagi rahsia bahawa manusia sekarang ini lebih banyak mati sebab makan berbanding yang tidak makan. Namun, di kawasan tertentu di dunia (misalnya di benua Afrika) kematian disebabkan malaria dan kurang zat makanan (malnutrisi) bukanlah sesuatu yang asing. Kewujudan penyakit pelik-pelik yang baru seperti selesema babi, selesema burung dan ditambah lagi dengan penyakit pelik lama yang masih menghantui masyarakat seperti AIDS, taun kesemuanya menyebabkan manusia menghadapi kompromi dengan isu kesihatan.

Sebab itu, industri kesihatan sebenarnya industri yang pesat berkembang. Jangka hayat manusia semakin panjang – dalam masa yang sama penyakit pun semakin bertambah. Sebab itu, adalah penting untuk satu kajian dijalankan bagi memahami situasi industri kesihatan, peluang dan ruang yang ada dan persoalan etika, keagamaan dan sosial yang wujud akibat daripada industri tersebut. Lebih baik lagi, dikaji juga sama ada terdapat satu paradigma lain dalam menyentuh hal kesihatan yang dapat dijadikan sebagai alternatif kepada persoalan kesihatan. Penulis bukan bermaksud "perubatan Islam" atau "perubatan cina" semata-mata, namun satu ruang lingkup pemikiran yang baru bagi menangani masalah yang timbul dalam persoalan kesihatan.

Insya Allah, dari semasa ke semasa kita bincangkan. Wallahu waliyut taufiq.

_____________________________

Nota hujung

1
Malaysian Business, Berita Publishing, Keluaran 1-15 Mac 2009.

2 Ibid.

3
Malaysian Most Valuable Brand Report 2008, dikeluarkan pada 24 November 2008 bawah seliaan Interbrand. Nilai jenama Ogawa adalah RM104 juta meletakkannya berkedudukan ke -29 dalam senarai tahunan tersebut.

Thursday, May 28, 2009

Antara Isme

Secara tiba-tiba, isu ini dibangkitkan semula. Tidak tahulah apakah motif disebalik keinginan pihak tertentu membawa semula Chin Peng kembali ke Malaysia, namun isu sebegini pasti mengundang pelbagai pandangan; sama ada menyokong mahupun membantah cadangan tersebut. Selain itu, kenyataan yang dikeluarkan oleh Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bahawa terdapat organisasi yang sedang menyuburkan semula benih-benih komunisme juga mengundang pelbagai reaksi. Hal ini juga secara tidak langsung akan menimbulkan persoalan – siapakah yang cuba "menghidupkan kembali" ideologi komunis tersebut?

Kisah kekejaman komunis adalah satu episod yang tidak boleh diringkaskan dalam satu jurnal sahaja. Acap kali semasa sambutan Hari Merdeka, kisah tersebut juga merupakan antara kisah-kisah yang selalu diceritakan bagi penghayatan generasi akan datang (selain daripada kekejaman tentera Jepun). Dan sehingga kini, kita masih dimomokkan dengan betapa kesan tinggalan ideologi komunisme masih lagi tidak pupus dan sentiasa cuba disuburkan oleh pihak-pihak tertentu. Sama ada motif politik ataupun tidak, perkara sebegini seharusnya dipandang serius oleh pihak-pihak yang bertanggungjawab kerana gagasan komunis satu masa dahulu yang menimbulkan keganasan dan huru-hara yang masih lagi meninggalkan kesan bagi mereka-mereka yang pernah merasai zaman tersebut.

Bagaimanapun, sesuatu yang unik tentang "kebangkitan" semula isu ini adalah betapa isu tersebut secara tidak langsung membawa kita kepada tesis Fukuyama iaitu "berakhirnya sejarah" dengan keruntuhan idealisme lain selain demokratik liberal.[1] Andainya benar semangat komunisme masih bertapak di dalam dunia ini, maka bolehlah disimpulkan bahawa "sejarah masih belum tamat?!" Oleh sebab itu, apakah hal ini menunjukkan bahawa gagasan liberal dan demokratik yang dipopular dan dibangunkan oleh barat sebenarnya gagal sama sekali untuk mewujudkan kesaksamaan dan kesejahteraan di dunia ini? (Sudah terang lagi bersuluh – selepas Perang Dingin, terdapat berpuluh-puluh lagi perang yang didalangi oleh kuasa besar Barat dan mereka i.e. Barat yang berteriak kepada dunia bahawa mereka adalah juara demokrasi itu sendiri membawa huru-hara ke dalam negara orang lain!)

Isu berkaitan komunis, demokratik, liberal, sosialis adalah isu yang berkait dengan ideologi, walaupun kadang-kala isu tersebut kelihatan bertembung antara satu sama lain – seperti demokrasi dan liberal. Apabila menyentuh kepada isu ideologi/isme ini, penting sekali untuk kita kembali kepada sejarah ideologi itu sendiri sebelum kita membuat kesimpulan yang konklusif atau kita dapat membuat perbandingan antara satu dengan yang lain. Adalah tidak adil seandainya kita bercakap tentang satu fahaman/ajaran sedangkan kita tidak tahu asas/basis atau fundamental kepada fahaman/ajaran tersebut.

Sebagai contoh, Islam. Ramai dikalangan barat yang bukan Islam melihat Islam dari perspektif yang salah – tidak adil, berat sebelah, kejam, suka berperang, menindas wanita dan sebagainya. Namun, kesimpulan demikian pastilah pada umat Islam adalah kesimpulan yang berat sebelah kerana asal-usul Islam dan pembinaan ketamadunan Islam adalah jauh daripada nilai-nilai negatif tersebut. Malahan, andai dibandingkan dengan zaman pertengahan barat, Islam sangat-sangat menghormati tradisi keilmuan dan pembangunan sains berbanding dengan "konspirasi kegerejaan" tentang perkembangan sains pada ketika itu.[2] Mengapakah pandangan negatif terhadap Islam ini yang lebih ditonjolkan berbanding dengan kecemerlangan dunia Islam sebenar?

Hal ini sebenarnya boleh dikaitkan dengan betapa keengganan pihak tersebut membuat kajian secara terperinci terhadap Islam; dari aspek teologi, sejarah, rangka keilmuan, falsafah. Sebaliknya mereka hanya bergantung kepada padangan umum dan pemerhatian bias masa kini bahawa Islam adalah ajaran yang menuntut kepada peperangan, kekejaman. Lebih daripada itu, pandangan masa kini juga lebih bias terhadap barat sehingga menyebabkan barat begitu takut dengan Islam. Penduduk Palastine yang berjuang untuk mendapatkan hak mereka kembali dikatakan penceroboh/pengganas. Rakyat Iraq yang inginkan pemerintahan sendiri pun dikatakan pengganas.

Oleh sebab itu, amat penting untuk kita mengetahui apakah yang belaku disebalik kewujudan sesuatu isme itu. Kita tidak boleh dengan sewenang-wenang melabel itu sekular dan ini sekular sedangkan akar kepada sekularisme itu tidak kita kaji dengan mendalam. Sekular sebenarnya datang daripada latar belakang kegerejaan dan tidak boleh dikaitkan sama sekali dengan Islam. Begitu juga dengan istilah reformasi yang dilaung-laungkan sebelum ini – juga mempunyai konotasi kegerejaan.

Maka, begitu juga dengan komunis, kita seharusnya tahu latar belakang kewujudannya sebelum kita dengan mudah melabel itu komunis dan ini komunis. Hal ini bagi menjamin bahawa kita benar-benar faham ideologi komunis dan dapat mengetahui mengapa ideologi sebegini cuba dihidupkan semula dan bagaimanakah caranya kita dapat mengatasi kemaraan ideologi sebegini. Apabila kita cuba memahami sejarah ideologi ini bukan bermaksud kita hendak menganut ideologi tersebut! Sebaliknya, pemahaman kita itu yang sebenarnya menjadi kekuatan kepada kita untuk menangkis serangan sama ada secara fizikal atau saraf sesebuah ideologi/isme.

Lebih baik lagi, seandainya umat Islam sendiri dapat menghasilkan pemahaman tentang isme-isme ini menurut kaca mata Islam sendiri. Sebagai contoh, usaha seminal yang dilakukan oleh Syed Naquib Al-Attas dalam bukunya Islam and Secularism [3] yang melihat sekularisme dan sekularisasi dari sudut pandangan Islam. Oleh sebab itu, adalah penting untuk kita membuat kajian mendalam sebegini bagi mengetahui apakah perspektif Islam terhadap isme-isme yang berada di sekeliling kita. Memetik kata-kata Nasr, "Dunia barat telah melahirkan banyak orientalis bagi mengkaji Islam dari kaca mata mereka, akan tetapi, dunia Islam melahirkan terlalu sedikit oksidentalis yang dapat mengkaji pelbagai aspek ketamadunan barat dari sains kepada kesenian, dari agama kepada kelakuan sosial; dari kaca mata Islam (from the Islamic point of view).[4]"

Oleh yang demikian, tuntutan sebegini seharusnya kita dapat penuhi supaya pemahaman kita lebih baik dan usaha dakwah kita lebih berkesan. Moga-moga Tuhan permudahkan atas segala usaha kita.

____________________________

Nota hujung


 

1Francis Fukuyama, The End of History and The Last Man, Free Press, 1992. Layari wikipedia bagi mengetahui secara kasar tesis yang dibawa dalam buku ini.

2 Hal ini bukan rahsia. Pada kurun ke-17, berlaku pertelingkahan hebat antara pihak gereja dan pihak yang membawa pandangan baru tentang heliosentrik iaitu teori tentang bumi sebenarnya yang mengelilingi matahari dan bukannya sebaliknya. Teori heliosentrik ini bertentangan dengan kepercayaan yang paling hampir dengan ajaran gereja iaitu geosentrik – matahari mengelilingi bumi. Peristiwa sebeginilah yang membawa idea kepada ahli falsafah sains, Thomas Samuel Kuhn bahawa pemikiran kegerejaan dan pemikiran ahli sains pada ketika itu adalah berbeza dari segi paradigmanya. Maka, apabila paradigma lama tidak dapat diselamatkan lagi, berlakulah "anjakan paradigma" atau "gestalt switch" antara matrik sains yang lama kepada matriks sains yang baru. Baca The Structural of Scientific Revolution, University of Chicago Press, 1962 untuk maklumat lebih lanjut. Versi Bahasa Melayu buku ini diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka di bawah tajuk Struktur Revolusi Saintifik.

3 Cetakan Pertama, 1978. Cetakan kedua oleh ISTAC, 1993.

4 Seyyed Hossein Nasr, A Young Muslim's Guide to the Modern World, 2nd Ed., Kazi Publication, 1994. Juga terdapat terbitan Islamic Text Society, Cambridge.