Saturday, February 27, 2010

Banyakkan Salawat kepadanya

Bermula minggu lepas, disebalik rakyat Malaysia yang berbangsa Cina menyambut Tahun Baru Cina, tiba-tiba wujud pula polemik baru dalam politik tanah air apabila dikhabarkan bahawa kerajaan negeri Pulau Pinang tidak membenarkan perarakan sambutan Maulidur Rasul SAW sebaliknya digantikan dengan majlis lain. Maka perkara sedemikian telah menimbulkan rasa kurang senang oleh masyarakat Melayu Pulau Pinang seterusnya dijadikan sebagai satu topik perbualan dan perbincangan negara bukan sahaja dalam lingkungan politik, malah perbincangan akademik tentang sama ada wujudkah apa yang dikatakan sebagai Maulidur Rasul.

Penulis suatu ketika dahulu sewaktu belajar di sekolah hampir setiap tahun menyambut sambutan tersebut. Sekolah agama akan adakan satu hari perarakan berselawat dari satu check point kembali semula ke sekolah. Kemudian, pelajar akan mendengar ceramah daripada penceramah jemputan dan kemuncak segala-galanya adalah jamuan makan berkumpulan dengan beralaskan dulang/talam besar.

Sambutan sebegini sebenarnya meriah bagi budak-budak. Pada ketika ini, mereka akan berselawat dan berzanji sambil berarak beramai-ramai, memegang sepanduk dan sebagainya. Biasanya, ustaz yang dijemput untuk memberi ceramah pun akan menceritakan kisah Nabi SAW; satu kisah yang walaupun selalu didengar, tidak pernah terasa bosan mendengarnya. Hinggalah mereka ke tahap remaja-belia, maka selebihnya adalah bergantung kepada diri mereka sendiri bagi menghayati sambutan tersebut sendiri.

Hukum menyambutnya, berarak kerananya; sama ada bidaah ke tidak, boleh ke tidak, harus ke tidak, baik ke tidak, adat ke tidak, maka itu terpulanglah kepada pembaca dan masyarakat Islam untuk menafsirnya. Penulis kira telah banyak sekali perbincangan, perbahasan sama ada di televisyen, di radio hatta di blog tentangnya. Penulis dapati beberapa versi tentang sejarah Maulid tersebut. Maka seharusnya kita memahami konteks tertentu kewujudan sambutan tersebut dan bagaimanakah sambutan tersebut boleh menyerap masuk ke dalam masyarakat Melayu Islam di Malaysia sehingga sambutan tersebut menjadi satu sambutan tahunan dalam negara kita. Negeri Johor misalnya, mengadakan sambutan Maulidur Rasul pada peringkat kampung, sekolah, daerah sehingga berbulan-bulan. Sudah pastilah sambutan sebegini diharapkan dapat menghidupkan ruh Islami dalam diri umat Islam mengenangkan perjuangan Rasulullah SAW menegakkan syiar Islam.

Pada hemat penulis, kewujudan sambutan sebegini tujuannya memberikan motivasi kepada umat Islam bagi memperingati Rasulullah SAW. Almaklumlah, nama pun manusia – al insan – nasiya – pelupa. Kita kadang-kala lebih ingat kepada orang lain sehinggakan kita lupa junjungan besar Nabi SAW. Kita diperingatkan dengan kelebihan selawat, kisah-kisah perjuangan dan sunnah-sunnah Nabi SAW dan kesemuanya ini sebenarnya memberi maksud yang baik. Justeru, seharusnya semangat sedemikian diharapkan kekal bukan sahaja untuk dua tiga bulan, malah untuk sepanjang hayat kita. Kalaupun kita tidak dapat hendak menghayati sepenuhnya, dapat meringankan lidah untuk berselawat pun jadilah.... laksanakanlah sunnah mana yang mampu.

Barangsiapa berselawat kepada Nabi SAW sekali, maka Allah akan mendoakan kepadanya sepuluh kali.... Amalkanlah kerana amalan ini mudah.

Friday, February 26, 2010

Ancaman Mossad dan pihak luar

Penulis jarang sekali menonton rancangan yang hampir larut malam yang ditayangkan di TV1 yang membincangkan isu antarabangsa. Maklumlah, dengan persekitaran politik dan semasa di tanah air yang jauh lebih terasa di sanubari; pelbagai isu menarik hendak diulas. Kes buang bayi, Liaw Tong Lai di"tai-ci", isu royalti minyak, isu kenderaan berat tersadai di tepi lebuh raya yang mengundang kemalangan, isu sebat dalam konteks syariah di Malaysia dan pelbagai lagi.

Namun, berita tentang pembunuhan pegawai penting Hamas oleh sekumpulan perisikan Israel menarik perhatian penulis. Mossad. Perkataan itu benar-benar menarik perhatian penulis pada awalnya kerana taraf organisasi tersebut samalah seperti CIA, MI6 dan perisikan cerdik pandai yang lain. Yang menjadikan berita tersebut sensasi dan mendapat perhatian adalah betapa gambar suspek-suspek yang menjadi dalang pembunuhan tersebut berjaya disiarkan oleh polis Dubai sekaligus menjadikan pembunuhan yang pada awalnya kontroversi; kini diselimuti dengan kontroversi-kontroversi yang lain pula. Seolah-olah teori konspirasi antara negara-negara Eropah dan Barat dengan Israel kini ke tahap "menjadi nyata senyata kristal" setelah selama ini keadaan hanya boleh disimpulkan sebagai "berlapik sini berlapik sana, samar sini dan samar sana."

Ulasan penel yang hadir dalam bual-bicara pada Ahad malam tersebut (21/02/2010) cukup membuka mata kita terhadap kelicikan barat dan Israel untuk melakukan apa yang dikatakan sebagai penaklukan dunia. Melalui apa yang dibincangkan oleh penel jemputan, Prof Dr Redzuan Othman, tiga perkara yang boleh penulis simpulkan.

Pertama adalah berkenaan dengan kewujudan Mossad iaitu ejen perisikan pintar Israel. Kebanyakkan pembunuhan berprofil tinggi yang melibatkan pemimpin kanan Hamas, pejuang Palastin, Lubnan dan Syira. Tidak mustahil, mereka sebenarnya merancang untuk membunuh pemimpin tertinggi Iran pula. Sebagai status perisikan cerdik pandai yang sama taraf dengan 007, mereka dibolehkan membunuh siapa sahaja tanpa mengundang sebarang kesan terhadap diri mereka sendiri oleh kerajaan mereka. Kegiatan mereka biasanya akan dibuat-buat "tak tahu" oleh kerajaan. Namun, hakikatnya pemimpin kanan kerajaan tersebut jualah yang menjadi mastermind kepada segala kegiatan mereka. Kadang-kala, bagi memenuhi kehendak ordinate dan mengelakkan konflik daripada berlaku, superior kumpulan ini (i.e ketua bagi agensi perisikan) lebih tahu dan lebih terlibat dalam segala operasi yang mereka jalankan berbanding pak menteri, PM mahupun Presiden sendiri. Hal inilah yang dimaksudkan dengan "black bag operation."

Kedua, penglibatan secara langsung barat dalam memenuhi kehendak Israel. Israel adalah sebagai budak merengek yang tidak henti-henti memekak tiap-tiap masa bagi mencari perhatian dan memenuhi kehendak fisiologi dan psikologi diri. Mereka tidak adapun rasa bersalah walau sedetik pun di dalam hati mereka. Dalam hal pembunuhan terkantoi tadi, salah satu kenyataan Israel/Mossad adalah passport yang digunakan oleh agen Mossad itu merupakan passport yang tulen. (bukan dipalsukan) Bayangkan, agen Mossad ini berjaya "menulenkan" passport daripada negara-negara yang kononnya begitu ketat sekali kawalan keselamatan mereka seperti Britain, Jerman dan digunakan sebagai identiti mereka bagi melakukan pembunuhan di negara orang! Ataupun Baratlah sebenarnya yang menyediakan passport yang sudah semestinya tulen untuk digunakan oleh pembunuh Mossad tadi ! Dapat dilihat disini bahawa tindakan kedua-dua mereka adalah lebih bersifat mutually exclusive. Barat akan menyediakan segala-gala benda yang mereka boleh sediakan bagi memberi peluang Israel untuk menghancurkan seteru-seterunya dan Israel pula menjadi penyumbang ekonomi terbesar untuk Barat. Barat akan menutup kedua-dua belah mata mereka apabila Israel membunuh ratusan atau ribuan pejuang-pejuang Islam dan akan melenting bagaikan orang kena gigit dek lipan apabila pejuang Islam berjaya membunuh seorang atau dua orang Israel. Barat akan sentiasa menghalalkan operasi Israel terhadap negara Islam seperti Lubnan, Syria (atau mungkin Iran) atas dasar "Israel menyerang mereka kerana bimbang mereka akan menyerang Israel dahulu. Jadi, bagi mengelakkan Israel daripada diserang, maka sewajarnya Israel menyerang mereka dahulu." Hal inilah yang menjadi justifikasi setiap peperangan membabitkan Israel. Israel bukan mempertahankan diri sebaliknya menyerang orang lain bagi "mempertahankan diri.". Ideologi ini telah meresap sebati dengan Amerika Syarikat apabila rakyat mereka mengiktiraf terkorbannya tentera US di negara-negara yang mereka takluki sebagai "mati kerana perang mempertahankan Amerika Syarikat." Dalam sejarah peperangan moden Amerika Syarikat, TIADA SATUPUN peperangan tersebut berlaku DALAM Amerika Syarikat sendiri. Siapa yang ambil peduli?

Ketiga adalah kewujudan Mossad di negara-negara lain selain Israel sendiri. Menurut Prof Redzuan, Mossad mempunyai "cawangan" mereka di Singapura dan mantan PM Singapura sendiri mengakui menggunakan khidmat Mossad. Hal ini merupakan perkara yang paling menggerunkan kerana walaupun negara kita tidak mengiktiraf negara Israel dan tiada hubungan diplomatik dengan mereka, apakah kebarangkalian penggunaan passport tulen negara lain yang dibekalkan kepada agen Mossad untuk memasuki negara kita tidak berlaku! Kebolehan mereka bergerak ala-ala James Bond ini merupakan sesuatu yang sangat menggerunkan. Mossad boleh masuk ke dalam negara kita sebagai pelancong atau peniaga atau apa sahaja bagi merisik maklumat penting dalam negara. Perkara ini merupakan sesuatu yang kedengaran paranoia, malah mungkin ada yang akan mempersoalkan "ada apa dengan Malaysia" atau "pemimpin mana yang ada di Malaysia yang mereka nak bunuh." Namun, segala kebarangkalian tidak boleh kita ketepikan kerana sifat Malaysia sebagai negara yang menjadi pendulu ekonomi Islam tidak boleh kita ketepikan. Seharusnya entiti keselamatan seperti PDRM, ATM dilengkapi dengan pelbagai kemudahan bagi mengenalpasti sebarang ancaman luar terutamanya daripada si licik yang berpassportkan orang lain. Kerajaan Malaysia juga perlu berhati-hati dalam mengadakan hubungan ekonomi dengan entiti barat kerana kini semakin terbukti bahawa barat semakin "terdesak" untuk menyokong Israel dalam segala tindak- tanduk rejim Zionis tersebut. Campur tangan asing dalam undang-undang negara juga perlu diperhatikan kerana seakan-akan mereka mempunyai kepentingan dalam hal tersebut. Maklumlah, Barat tidak pernah hendak masuk campur urusan "rumah tangga" negara lain melainkan mereka ada kepentingan terhadap negara tersebut. Lihat sahaja kes Iraq; US dan sekutunya begitu kuat berteriak kepada dunia bahawa serangan terhadap negara teluk tersebut adalah kerana bagi memusnahkan senjata pemusnah besar-besaran (WMD) dan apabila tidak dijumpai senjata tersebut, mereka tukar topik pula dengan mengatakan bahawa mereka sebenarnya mahu mengembalikan demokrasi kepada rakyat Iraq. Tidak mustahil alasan yang sama digunakan bagi menghuru-harakan Malaysia. Hal ini disebabkan negara kita telah dijaja oleh ahli politik (yang merasakan dirinya malaikat) sebagai negara yang mengamalkan penghapusan etnik, tidak adil kepada rakyat jelata, tidak demokratik, melakukan penindasan terhadap agama dan bangsa, negara pemerintahan kuku besi dan melakukan kezaliman berleluasa. Lebih teruk lagi adalah ungkapan-ungkapan inilah yang dipetik oleh agensi berita antarabangsa bagi menggambarkan Malaysia!

Sebagai intiha, apa yang hendak kita insafi sekarang adalah betapa kita hendaklah bersedia untuk menghadapi segala kemungkinan yang akan berlaku kepada negara kita. Ada ketika, tatkala kita sedang begitu ghairah untuk menegakkan kebenaran dan pada ketika itu pula, ada pula pihak-pihak yang entah dari mana entah, menyokong kita, maka seharusnya kita bermuhasabah apakah kebenaran yang kita cuba tegakkan benar-benar tegak dan betul? Satu lagi perkara adalah keselamatan negara dari segi dalam dan luar. Apakah negara kita benar-benar telah melengkapkan dirinya bagi mencegah sebarang ancaman daripada luar dan dalam? Diharapkan kaedah seperti ISA benar-benar berkesan bagi menghadapi sebarang kemungkinan ancaman pihak-pihak tertentu untuk memecah-belahkan negara kita dan seterusnya menakluki negara dengan cara moden pula.

Bagaikan doa yang sering khatib baca; Ya Allah, jauhilah negeri dan negara kami ini dari segala kekacauan dan huru-hara. Semoga kami dalam keadaan aman dan damai, hidup tenteram dan bahagia, menjalin mahhabbah, bersatu-padu menentang musuh-musuh dan penderhaka.

Kepada-Mu Ya Allah, doa kami pohon untuk diperkenan dan diterima....

Tuesday, February 16, 2010

Kenapa orang setia?

Membuat kajian Sains Sosial kadang kala lebih sukar daripada Sains Tulen. Bak laporan Latour dan Woolgar dalam karya magnum opus mereka, Laboratory Life (1979), saintis (sains Tulen) sebenarnya berperang sesama sendiri bagi membentuk fakta saintifik (dan bukannya saintis mengkaji secara objektif sesuatu fenomena). Akan tetapi, bagaimanakah pula sikap tersebut bagi saintis sosial yang biasanya mengoperasikan konstruk-konstruk "nilai," "kualiti," dan "persepsi prestasi" dengan menggunakan soal selidik? Bukankan mereka boleh "me-reka" data bagi memenuhi teori atau aksiom yang mereka kaji? Bagaimanakah objektiviti sains sosial/sains kemanusiaan yang hendak dikaji secara emperikal dapat dipastikan agar ilmu tersebut kekal sebagai ilmu yang "mengkaji fenomena manusia" dan bukannya membentuk apa yang dikatakan sebagai "fenomena manusia."

Mungkin soalan berbentuk falsafah sebegini memerlukan masa yang lebih lama untuk dijawab sebab pembacaan penulis belum sampai ke tahap itu....

Berbalik semula kepada persoalan awal tadi; mengapakah seseorang itu setia (Loyal). Kesetiaan sesama keluarga mungkin boleh kita kaitkan dengan talian darah, bak orang putih "blood is thicker than water." Saudara setia bersama saudara, ibu setia sesama bapa, anak setia sesama ibu bapa. Namun, dalam konteks pemasaran misalnya, mengapakah seseorang itu setia kepada sesuatu jenama?

Kalau persaingan dalam pasaran tersebut merupakan jenis monopoli, maka kita tidak berapa hairan kenapa seseorang itu setia – sebabnya mudah. TIADA alternatif lain. Namun dalam hal persaingan yang pada tahap oligopoli dan ke atas, mengapakah seseorang itu setia kepada jenama atau syarikat tersebut. Contohnya dalam industri telekomunikasi (disertasi penulis untuk MSc Q&P), industri automobil, industri peuncitan minyak petrol, industri makanan segera dan sebagainya. Memanglah agak tidak masuk akal untuk menguji kesetiaan pelanggan terhadap perkhidmatan televisyen berbayar kerana hanya satu syarikat sahaja yang menguasai penuh perkhidmatan tersebut di Malaysia. Namun, cuba kita tumpukan kepada entiti perniagaan yang mempunyai saingan yang jelas. Kenapa seseorang itu suka dengan Proton misalnya sedangkan banyak lagi jenama kereta lain yang berada di pasaran. Atau kenapakah seseorang itu suka jenama pakaian tertentu seperti B.U.M, atau yang taraf tinggi sedikit mungkin Prada, Bonia dan sebagainya.

Begitu juga dengan parti politik. Kenapakah seseorang itu setia? Mengapakah walaupun dengan pelbagai keadaan dan situasi yang menggugat prinsip dan perjuangan parti tersebut sendiri; orang tetap setia terhadap parti tersebut. Kenapa orang setia kepada UMNO, PAS, DAP, MCA, PKR, MIC dan sebagainya. Kenapakah orang tegar menyokong Pakatan Rakyat ataupun BN? Maka, persoalan sedemikian jugalah yang menarik minat penulis bagi memahaminya.

Akhirnya, kita kena sedar bahawa kesetiaan seseorang kepada satu entiti atau seseorang itu merupakan sesuatu yang amat-amat berharga. Kesetiaan mungkin berasal daripada kepercayaan (trust) – maka sebagaimana yang telah dipetik oleh Maxwell daripada bekas ahli politik Kanada, George McDonald dalam Leadership 101 (2002), "To be trusted is a greater complement than to be love." Begitulah hebatnya kepercayaan sebagai pendulu kepada kesetiaan.

Tidak kurang juga kesetiaan membabi buta, atau memang tidak kisah sebab apa pun; sebagaimana yang dimudahertikan oleh Tim Harford dalam The Undercover Economist (2006) sebagai – Lazy customer.

Anda berada di mana?