Tuesday, August 25, 2009

Kesukaran menjadi kerajaan

Kewujudannya SPRM memberikan satu "sinar" baru dalam kamus pembanterasan korupsi. Agenda asalnya begitu suci dan murni. Walaubagaimanapun, kini keterwujudannya menjadi bualan hari-hari – antara melakukan tugas atau menjadi barua kerajaan.

Ada pun salah, tak ada pun salah. Walaupun usianya secara teknikalnya tak pun sampai setahun, situasi dan keadaan yang dihadapinya sekarang ini seumpama sudah menerima nasib bagaikan PDRM, ada pun salah, tak ada pun salah. Tangkap orang pun salah, tak tangkap orang pun salah. Buat apa pun salah!

Dilabel sebagai barua kerajaan bukanlah sesuatu yang menyenangkan. Pendek kata, kerja dengan kerajaan pun bukanlah sesuatu yang menyenangkan. Apa sahaja tindak tanduk sebagai pekerja kerajaan akan dinilai oleh mereka yang berurusan dengan kerajaan. Kalau lembab dikatakan karenah birokrasi, kalau cepat dikatakan guna cable.

Tetapi apabila pilihan raya, rakyat yang menentukan. Persepsi rakyat terhadap pekerja kerajaan sedikit sebanyak akan mempengaruhi undi mereka kepada kerajaan yang memerintah. Perlu diingat juga, dalam golongan yang dikatakan sebagai pekerja kerajaan juga ada yang menyokong pembangkang!

Memang susah hendak jadi kerajaan. Bersediakah Pakatan Rakyat untuk menghadapi karenah yang sama yang bakal mereka hadapi seandainya mereka memenangi PRU 13 nanti?

Penulis secara peribadi risau mengenangkan seandainya PR tidak mampu memerintah dengan baik. Melainkan mereka benar-benar menggunakan kaedah dictatorship untuk memerintah. Dah tentulah BN pun akan menjadi parti pembangkang yang tidak kurang hebatnya. BN telah berjaya menumbangkan kerajaan PR di Perak dan berjaya menghuru-harakan kerajaan Selangor, mencucuk sedikit sebanyak di Pulau Pinang dan Kedah.

Sebab itu, adalah penting untuk Anwar Ibrahim dan kunco-kunconya berfikir tentang apa yang mereka patut lakukan sejurus selepas seandainya mereka menang. ISA? Dah tentu akta tersebut tak boleh guna sebab mereka sendiri yang memperjuang untuk dimansukhkan. Mungkin dengan pengaruh Anwar yang sentiasa mendapat pujian melangit daripada media antarabangsa, beliau boleh berlagak seperti Aung San Suu Kyi atau Mahatma Ghandi untuk menarik perhatian dunia bahawa beliau telah berjaya mengembalikan demokrasi Malaysia ke tempatnya!

Dan seandainya PR berjaya memerintah, maka penulis kira kita akan ada beberapa orang TPM khusus untuk memenuhi kepelbagaian kaum di Malaysia. DEB akan dihapuskan dan digantikan dengan agenda ekonomi rakyat – memberi peluang terbuka kepada rakyat Malaysia merentasi bangsa. Korupsi dah tentulah sepatutnya tak ada, jadi SPRM pun boleh kita bubarkan? Jadi, tak payahlah orang sibuk-sibuk nak baling Molotov Cocktail di kereta orang lagi...

Seandainya PR menang PRU 13...........

P/s: Harus sekali kita sedar, sudah hampir setahun 16 September tidak direalisasikan... Adakah akan ada 16 September kedua???? Tunggu..........

“Sokong”, “ahli”, “ syurga”, “neraka”

Kalau seseorang itu bukan ahli kepada sesuatu persatuan, tetapi beliau menyokong segala yang dibuat oleh persatuan tersebut kita boleh katakan beliau sebagai penyokong yang bukan ahli.

Lebihlah logik apabila seseorang itu adalah ahli kepada persatuan; sudah pasti beliau menyokong persatuan. Buat apa jadi ahli kepada persatuan yang beliau tak sokong? Betul tak?

Kalau tak masuk syurga, makanya nerakalah jawapannya. Sebab pada hari pembalasan nanti, hanya ada dua keputusan sahaja – syurga atau neraka. Itu bagi mereka-mereka yang beragama dan mempercayai pembalasan selepas kematian.

Begitulah gravitinya....

Isu hok pangkoh parti ni masuk syurga hok yang lain tak masuk syurga merupakan satu isu popular di tanah air kita. Dari dahulu sampai sekarang pun ahli politik terutamanya berkaitan dengan UMNO-PAS membincangkan hal tersebut. Penulis tidak mahu menjadi seorang racist, namun hakikatnya, selain dari UMNO-PAS, parti lain (Baca: MCA, MIC, DAP, PPP, Gerakan... mungkin boleh masuk PKR) TAK PERNAH peduli pun isu syurga neraka pun di dalam memberikan sokongan mereka kepada parti mereka.

Dalam Malaysia, tidak pernah pun kita dengar orang bukan Melayu/Islam yang mengatakan bahawa parti mereka lebih baik dari segi outcome masuk syurga. Mungkin mereka lebih sekular daripada orang Melayu/Islam kerana membiarkan unsur-unsur masuk syurga-neraka itu kepada diri sendiri dan Tuhan mereka.

Tentang kata-kata Pok Nik diputar alam oleh media, maka perkara tersebut seharusnya pihak Pok Nik dan penyokong-penyokongnya sedia maklum; mana ada akhbar yang tak putar alam? Semua akhbar ditulis berasaskan persepsi pengarang dan persepsi pengarang dibentuk oleh persekitaran penulis itu sendiri. Sebab itulah agaknya bila hok Pok Nik royat “plastik” demo dok dengo “palastin”. Pok Nik keno cakak Melayu standed, tak dok la demo dengo hok lain.... tulih hok lain....

PAS sehrusnya kini perlu mengembalikan doktrin Islam mereka ke tempat asal. Kini orang melihat Pas sebagai parti pengikut setia yang ditambat oleh DAP dan PKR. Sedangkan dari segi negerinya, PAS memiliki DUA negeri berbanding rakan PR yang lain. Hal ini bermaksud orang lebih hendakkan PAS memerintah berbanding DAP dan PKR....

Satu lagi, rasanya Tok Guru Pok Nik kena ada setiausaha akhbarnya yang lebih cekap. Mungkin ada translator ke supaya apa yang hendak disampaikan beliau tidak diputaralamkan. Penulis sebenarnya sedih membaca posting blog-blog tertentu yang begitu kritikal terhadap Pok Nik sampai dilabel yang bukan-bukan... Kasihan beliau. Kepada PAS, jangan biarkan pemimpin anda dikutuk sebegitu rupa! Pok Nik itu Mursyidul Am yang anda sendiri lantik!

P/s: Berbahasa dialek bukanlah satu kekuatan penulis....

Belajar tatkala boleh

Bercakap tentang tazkirah Ramadhan (semasa tarawih – kalau ada), maka penulis teringatkan berberapa persoalan keagaman yang penulis musykilkan dan sempat bertanya kepada beberapa orang rakan penulis yang berpangkat ustaz. Pertamanya berkaitan dengan bacaan La haula wala quwwata illa biLla dan yang keduanya tentang wakaf lazim dalam bacaan Al-Quran...

Penulis rasakan pada bulan yang mulia inilah kita sebenarnya diberi peluang untuk memperbetulkan bacaan Al-Quran kita bagi yang sempat bertadarus. Ada di kalangan ahli yang bacaannya lebih baik dari yang lain. Maka seharusnya penyebaran ilmu itu dibuat.

Bacaan bertajwid terutamanya bagi hukum yang asas sepatutnya kita perhatikan. Mana idghamnya, mana ikhfanya, mana izharnya, mana madnya – hal ini bagi memastikan bacaan Al-Quran itu tepat dan memenuhi maksud. Sebab itu ulama menghukumkan bacaan Al-Quran bertajwid itu hukumnya fardhu ain.

Kadang kala bacaan Yassin ekspres di surau/masjid menyebabkan jemaah terburu-buru dan melanggar segala hukum tajwid yang ada di dalam surah tersebut. Akhirnya, bacaan boleh jadi tunggang langgang dan tidak mencapai tahap "tartil" lagi..

Oleh sebab itu, bagi mereka yang berpeluang bertadarus pada bulan rahmat ini, rebutlah peluang tersebut untuk memperbaiki bacaan Al-Quran kita. Janganlah niat kita kononnya hendak berkhatam secara beramai-ramai tetapi tajwid main langgar dan tiada tambah nilai di dalam bacaan kita.

Dan penulis kira ada baiknya tazkirah Ramadhan yang dijalankan menekankan aspek tajwid yang asas supaya bacaan jemaah dapat ditingkatkan. Satu hari satu hukum tajwid, dalam dua puluh hari, rasanya sudah lengkap tajwid asas seperti nun sakinah, mim sakinah, mad itu dan ini, wakaf dan wasal....

Fikir-fikir dan timbang-timbangkanlah...

Selamat beramal..