Saturday, June 27, 2009

Bahasa oh bahasa

Cadangan YAB Timbalan Perdana Menteri , Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menjadikan matapelajaran Bahasa Inggeris sebagai subjek wajib lulus untuk mendapat sijil SPM mendapat pelbagai reaksi; ada yang menyokong, ada yang kurang bersetuju dan ada yang setuju tetapi bersyarat. Polemik bahasa nampaknya tidak pernah surut dan asyik dibincangkan dalam seminar, ceramah politik, forum di institusi pengajian dan di kedai kopi. Begitu pun, kita seharusnya terbuka dalam menerima kesemua pandangan orang awam mahupun cerdik pandai. Untuk rekod, penulis pernah mengulas dengan panjang lebar tentang isu-isu berkaitan bahasa dalam dua artikel sebelum ini iaitu Kata Permainan Bicara (4 Mac 2009) dan Bahasa Kita Tanggungjawab Kita (27 November 2008).

Sepanjang pengajian penulis dalam kursus Master Kualiti dan Produktiviti, penulis sering membaca kritikan tentang pensijilan ISO (certification) dan perlaksanaan ISO (implementation). Terdapat ahli akademik dan juga pemain industri yang merasakan bahawa standard ISO 9001 misalnya sekadar satu prosedur dan pensijilan yang sekadar menyebabkan sesebuah organisasi membanyakkan kertas kerja dan dokumentasi organisasi tersebut. Pensijilan menjadi bebanan kepada mereka kerana mereka terpaksa menghabiskan masa untuk menyediakan dokumen-dokumen yang diperlukan oleh pihak pengaudit; sampaikan borang hendak membeli barang pun hendak spesifik.

Begitulah halnya seandainya kita kaitkan dengan mewajibkan pelajar lulus Bahasa Inggeris SPM. Seandainya sedari awal lagi kita mengatakan bahawa perkara tersebut menjadi beban kepada pelajar kita, kemudian kita kaitkan lagi dengan pelajar bandar-luar bandar, kita katakan kesusahan pelajar (plight of the students) untuk lulus SPM dengan kewajipan lulus pada subjek Bahasa Inggeris; maka mewajibkan subjek tersebut bagi memperoleh sijil memang sekadar menyusahkan pelajar dan guru. Namun, seandainya lain pula yang kita fikirkan, tentang masa hadapan pelajar, nilai tambah pelajar, peluang untuk pelajar menguasai bahasa antarabangsa – sudah pasti kita perlu melihatnya dari satu perspektif yang berbeza.

Sijil sebenarnya tidak membawa sebarang makna seandainya apa yang perlu diterjemahkan oleh sijil tidak dapat diterjemahkan. Oleh sebab itu, cabaran yang paling utama dalam perlaksanaan dasar sedemikian adalah menimbangkan sama ada sumber yang kita ada itu mencukupi dan boleh dioptimumkan bagi mendapat hasil yang dikehendaki. Dalam hal ini, adakah sudah cukup guru pengajar Bahasa Inggeris yang cekap (competent) untuk mengajar subjek tersebut? Sejauh manakah keberkesanan sumber ilmiah (buku teks) yang bakal digunakan dalam pengajaran tersebut? Adakah guru subjek tersebut sudah bersedia menghadapi bebanan tugas yang lebih berat dengan keperluan lulus Bahasa Inggeris pelajar sebagai KPI untuk mereka?

Oleh sebab itu, adalah penting untuk kita menyediakan prasarana yang diperlukan bagi mencapai objektif syarat wajib Bahasa Inggeris dalam SPM. Kalau peralatan mengajar tidak cukup, guru Bahasa Inggeris tidak cukup, itu tidak cukup dan ini tidak cukup, bagaimana mungkin dasar tersebut boleh member kesan positif kepada pelajar? Malahan, tiap kali keputusan SPM keluar, isu seperti pencapaian bandar-luar bandar akan sentiasa dibangkitkan. Sampai bilakah dikotomi jurang bandar-luar bandar ini hendak diteruskan? Perlukah kita wujudkan pula modul kurikulum baru untuk bandar-luar bandar?

Sebetulnya, penulis melihat isu bahasa ini dari sudut perhubungan. Bahasa pada asasnya adalah untuk komunikasi. Dan antara cara komunikasi paling berkesan adalah melalui pertuturan. Penulis misalnya ada mengambil Bahasa Burma semasa di UM, namun malangnya tidak begitu ramai orang Burma yang ada di Malaysia. Bagaimanakah hendak penulis manfaatkan pengetahuan Bahasa Burma penulis seandainya penulis tidak dapat bertutur dalam Bahasa Burma dengan sesiapa. Sudahlah buku pembelajaran Bahasa Burma pun sangat-sangat terhad di pasaran. Akhirnya, tinggal dua tiga frasa sahaja yang penulis ingat – Minglabar (Selamat sejahtera), Sapi bi laa (Sudah makan ke belum?) dan Kyet su tin bar de (Terima kasih). Sebab itu, pada pendapat penulis, perbualanlah yang menjadi asas kepada penguasaan bahasa.

Justeru, galakan untuk berbual dalam bahasa baru penting bagi memudahkan penguasaan bahasa. Berbual dan menulis adalah dua perkara yang berbeza. Menulis perlu diakui sebagai satu tahap yang lebih tinggi berbanding berbual. Sebab itulah kita seharusnya member galakan untuk pelajar kita berbual dalam Bahasa Inggeris. Kayakan mereka dengan perbendaharaan kata dahulu (vocabulary) bagi memudahkan perbualan. Penekanan ini penting bagi menyesuaikan dan member keselesaan kepada mereka untuk belajar dengan lebih mudah. Selepas itu, barulah unsur-unsur nahu, tatabahasa (grammar) diterap.

Satu perkara lagi, pihak kerajaan seharusnya mengkaji sedalam-dalamnya baik buruk dasar tersebut apabila dilaksanakan kelak. Seandainya kebaikan yang lebih, apakah kita mempunyai sumber yang mencukupi bagi melaksanakan dasar tersebut. Seandainya tidak (seperti guru kurang), maka kita perlu menyelesaikan lompong yang itu dahulu sebelum kita hendak melaksanakannya. Ambil kira pandangan pakar dan cuba kita buat penanda aras modul pengajaran dan pembelajaran negara-negara lain yang mempunyai situasi yang hampir sama dengan kita (i.e. negara yang mempunyai Bahasa rasmi selain Bahasa Inggeris; maka Singapura sudah terkeluar dari senarai…). Contohnya negara-negara di Afrika, atau Hong Kong dan sebagainya. Mana tahu kejayaan mereka dapat kita adaptasikan di negara kita!

Memang benar, belum tentu mereka yang belajar Bahasa Inggeris ini akan menggunakan bahasa tersebut. Ada yang berpendapat bahawa kalau seseorang itu sekadar hendak jadi kerja sekian-sekian, tak perlu pun dia tahu Bahasa Inggeris. Namun, sedar tak sedar, banyak istilah Inggeris yang kita lebih senang gunakan berbanding istilah Melayu. Contohnya untuk kaki bola. Kita lebih senang sebut "defender" berbanding pemain pertahanan. van der Sar adalah seorang "keeper" berbanding penjaga gol. Pemain sepak pemain lebih mudah kita katakan sebagai "foul" berbanding kesalahan. Kawasan petak berhampiran pintu gol pun lebih dikenali sebagai "penalty" berbanding kawasan hukuman. Cara menyepak bola hantaran terus tanpa diberhentikan terlebih dahulu lebih mudah kita katakana sepakan "volley".

Pendek kata, Bahasa Inggeris sebenarnya banyak kita gunakan tanpa kita sedari. Walaupun sekadar sebagai kata pinjam, kita tidak boleh nafikan bahawa bahasa tersebut penting. Itulah yang menyebabkan "signifikan" lebih sedap didengar berbanding bererti. Dan penulis sendiri tidak tahu satu perkataan yang paling sesuai untuk menterjemahkan sofistikated?!? Sama-samalah kita tanamkan azam dan berusaha untuk belajar bukan sahaja Bahasa Melayu dan Inggeris, malah bahasa lain lagi yang releven untuk kita. …

Thursday, June 25, 2009

Ke arah mewujudkan farmakopoeia herba tempatan

Farmakopoeia – begitulah istilah yang digunakan bagi mentakrifkan satu himpunan cara kerja untuk penyediaan bahan-bahan ubatan. Sejarah kewujudannya adalah begitu lama sekali; sejak zaman Greek, ketamaduanan China kuno, ketamadunan Islam dan hingga sekarang. Farmakopoeia menjadi satu bahan rujukan penting bagi persediaan ubatan sama ada menggunakan persediaan herba, haiwan, unsur-unsur, campuran atau sebarang bahan yang boleh dijadikan ubat atau penawar.

Usaha ke arah mewujudkan satu himpunan maklumat penting tentang herba tempatan perlu dibuat. Hal ini bukan sahaja berguna untuk para penyelidik di institusi pengajian dan penyelidikan, edisi yang kurang teknikal tetapi berautoriti juga dapat diterbitkan. Edisi tersebut boleh dijadikan rujukan oleh orang awam tentang khasiat, penggunaan dan sebarang amaran yang perlu diberi perhatian oleh pengguna awam apabila menggunakan ubatan herba.

Sebagaimana yang pernah ditekankan sebelum ini (dalam artikel-artikel yang lepas) Malaysia kaya dengan tumbuhan yang mempunyai potensi untuk dijadikan sebagai ubat. Bagaimanapun, hanya beberapa spesies sahaja yang dikomersialkan sebagai "berubat" dan dapat meningkatkan vitaliti seperti tongkat ali dan kacip fatimah. Memang benar, kesihatan seksual penting dalam kehidupan manusia, akan tetapi, fakta membuktikan bahawa lebih ramai yang mati kerana sakit jantung, strok, kanser, darah tinggi dan kencing manis berbanding mati pucuk. Tambahan pula, penyakit sebaran kelamin seperti AIDS pun masih tidak dijumpai lagi ubatnya. (Fakta terbaru mengatakan bahawa sebaran secara seksual untuk HIV/AIDS sudah mengatasi sebaran melalui jarum; sesuatu yang perlu semua renung-renungkan...) Dan situasi terkini, penyakit binatang pun sudah berjangkit ke kita!

Oleh sebab itu, penulis sangat-sangat berharap agar satu monograf yang sederhana dapat dihimpun dan diterbitkan untuk tujuan mengkaji potensi tumbuhan herba tempatan dalam menangani pelbagai penyakit degeneratif. Ambillah dalam sepuluh tumbuhan sahaja; yang mudah dijumpai di semak samun, di belakang rumah, atau menjalar di pasu bunga – yang mudah diperoleh dan mudah dicapai. Misalnya hempedu bumi/akar cerita (Andrographis paniculata), dukung anak (Phyllanthus niruri), keremak (Alternanthera sessilis), galak kucing/kucing galak??? (Acalypha indica) dan pegaga (Centella aciatica). Tumbuhan sebegini kadang kala dikategorikan rumpai – namun, pastilah Tuhan ciptakan sesuatu itu bukan sia-sia... bukan? (Lagi lima tumbuhan boleh cadangkan.....)

Bagi edisi monograf yang teknikal, ujian saringan fitokimia perlu dilakukan untuk menentukan kandungan sebatian kimia yang ada di dalam tumbuhan tersebut. Ujian-ujian seperti BSLA (Brine Shrimp Lethality Assay) perlu dilakukan untuk mengesan nilai LC50 untuk sebatian. Adalah dicadangkan supaya ekstrak yang digunakan adalah ekstrak ethanol dan air kerana kedua-dua ekstrak ini boleh dimanfaatkan oleh orang kebanyakan. Orang kebanyakan boleh menjadikan "tincture" herba mahupun teh herba dengan menggunakan minuman beralkohol dan dekoksi herba menjadi seakan-akan teh (atau rebusan ubat).

Bagaimanapun, bagi mengoptimumkan potent tumbuhan sebagai ubat, ekstrak cara lain harus juga dibuat bagi mendapatkan sama ada kandungan minyak meruap dan sebatian sekunder yang lain. Laporan fitokimia seperti TLC, HPLC, GCMS, NMR perlu dibuat (kalau ada duit nak buat, kalau tak, TLC sahajalah jawabnya...) Bioassay in vitro sebaiknya dilakukan. Gunakanlah bioassay in vitro yang mudah (kalau setakat antioksidan pakai DPPH sudahlah...) yang boleh dijadikan sebagai kajian pendahuluan untuk kajian akan datang yang lebih ekstensif

Penemuan seperti kesan sampingan perlu dilaporkan. Seandainya terdapat sebatian yang mimik kepada aktiviti dadah atau memberi kesan kepada aktiviti dadah, ia perlu dilaporkan juga. Hal ini akan menjadi sebagai langkah pencegahan supaya pengguna tidak tersalah guna atau overdose. Sebagai contoh pada kes ini, hawthorn yang meningkatkan kesan digoxin. Oleh sebab itu, seandainya seseorang itu mengambil hawthorn, dia tidak sepatutnya mengambil digoxin bersama untuk mengubati penyakit jantungnya.

Setelah edisi teknikal ini diwujudkan, barulah edisi yang kurang teknikal boleh diterbitkan. Edisi ini berbentuk lebih mudah, kurang istilah-istilah pelik (macam TLC, HPLC, BSLA, siapa nak baca benda-benda pelik tu...), mungkin boleh memasukkan langkah penanaman, cara menjadikan tumbuhan tersebut sebagai persediaan ubat ringkas dan paling penting, amaran-amaran tertentu bagi mengelakkan interaksi persediaan herba dengan ubatan klinikal. Hal ini membolehkan orang awam mendapat sedikit manfaat daripada kajian yang telah dibuat di institusi penyelidikan. Orang ramai pun boleh buat duit seandainya ada syarikat yang hendak mengkomersialkan. Akhirnya, siapa sangka rumpai pun boleh buat duit.

Bagaimanapun, kesemua ini menuntut kajian mendalam tentang prosedur untuk perlaksanaan langkah-langkah yang telah dibincangkan. Sudah pastilah, apabila tiba kepada peringkat komersialisasi, isu bioetika pula yang akan menjajat dalam ruang perbincangan. Kalaulah satu tumbuhan itu dijumpai mempunyai potensi mengubati selesema binatang yang menyerang manusia, pastilah ada syarikat dari yang kecil hingga ke multibilion dollar yang akan mengambil kesempatan pula untuk tujuan paten dan sebagainya. Bersediakah kita melihat rumput rumpai belakang rumah dipatenkan dan tidak boleh ditanam pula?

Bagaimana pula dengan isu bahan ubatan di dalam pokok pula? Adalah pokok tersebut akan dimasukkan pula sebagai tumbuhan racun dalam Akta Kawalan Dadah? Perkara tersebut perlu diambil kira juga. Sebarang tumbuhan yang mempunyai potensi racun berbahaya perlu dikenalpasti dan dilaporkan. Bagaimanapun, perkara tersebut pastilah akan menyebabkan sekali lagi orang ramai tidak boleh menanam pokok tersebut pula... tak pasal-pasal.

Begitulah adanya. Walaupun kelihatan pelbagai perkara yang perlu diambil kira dalam membangunkan satu monograf akademik dan umum, namun penulis kira usaha tersebut seharusnya difikirkan dan dilaksanakan. Hal ini bagi menjamin pendemokrasian kesihatan dapat dijadikan kenyataan. Maksudnya frasa "kesihatan untuk semua" itu benar-benar dapat dijadikan realiti. Isu tentang adakah keperluan perubatan itu hak untuk semua sering dibangkitkan di negara barat. Hanya mereka yang berduit dan berinsurans sahaja yang layak mendapat keperluan perubatan. Maka, usaha sebegini pastilah akan memberi harapan kepada orang awam untuk mendapat alternatif kepada perubatan konvensional. Akan tetapi, nyawa tidak boleh dikompromi dengan amalan buruk "doktor kendiri." Dari itu, kewujudan satu sistem perubatan yang holistik adalah didambakan.

Moga-moga usaha itu dapat dicapai....

Wednesday, June 24, 2009

Kehadiran Islam di Alam Melayu: Satu tinjauan awal

Satu lagi kelebihan berada dirumah (i.e. tak kerja... lagi atau tak belajar... lagi) adalah masa yang boleh dihabiskan untuk membelek buku-buku menarik yang ada dalam koleksi. Terminologi "membelek" terpaksa digunakan kerana adalah sangat sukar untuk diri ini membaca satu buku per se. Disebabkan beberapa buku dibelek, maka sejujurnya memang pada kebiasaannya, tidak semua bab bagi satu-satu buku itu dibaca. Akhirnya, tebuk sini tebuk sana jadinya...

Salah satu daripada jenis koleksi buku yang dikumpul adalah buku-buku yang membincangkan sejarah umat Islam di Alam Melayu ini. Paling menarik perhatian adalah bagaimanakah sebenarnya Islam bertapak di kepulauan Melayu; dari manakah ajaran Islam itu tiba di kepulauan Melayu. Hal ini amat penting kerana amalan dan weltenchauung Islam pada bangsa Melayu itu sendiri di dapati berbeza berbanding asal usul bertapaknya Islam di Tanah Arab. Asimilasi budaya Melayu lama dan Islam menjadikan Melayu Islam sebagaimana yang diperlihatkan sekarang.

Oleh sebab itulah, kalau dilihat dari sudut pakaian pun, songkok, baju melayu, baju kurung itu melambangkan seseorang itu Melayu Islam. Dan dalam perlembagaan Malaysia pun, orang yang dikatakan Melayu itu adalah beragama Islam. Sebagaimana yang pernah penulis hujahkan sebelum ini dalam artikel "Kata permainan bicara," (4 Mac 2009) dalam konteks Malaysia, seseorang Melayu itu mesti Islam dan seandainya seseorang Melayu itu murtad, maka dia akan "terkeluar Melayu." Maka dengan sebab itu, sejarah kedatangan Islam ke alam Melayu akan dapat memberikan kepada kita gambaran tentang bagaimanakah sebenarnya situasi "Melayu itu Islam" boleh berlaku. Hal ini penting bagi memahami keunikan Melayu Islam itu berbanding dengan situasi masyarakat Islam yang lain.

Satu perkara yang menarik yang dibawa oleh buku-buku tersebut adalah betapa Islam hadir ke alam Melayu melalui kaedah tasauf; iaitu lebih kepada unsur kerohanian. Walaupun terdapat perdebatan tentang negeri yang paling awal menerima Islam, kebanyakan pengarang menyandarkan bahawa Islam hadir melalui ahli sufi yang singgah di alam Melayu. Perkara ini disokong kuat oleh Syed Muhammad Naquib Al-Attas yang menyatakan manuskrip Melayu tertua yang dijumpai adalah Aqaid An-Nasafi pada abad ke – 16, sebuah kitab kerohanian. Walaupun terdapat pertikaian tentang naskhah Melayu tertua, kedatangan Islam melalui ajaran tasauf adalah sesuatu yang tidak dapat dinafikan. Amalan berzikir dan wirid yang panjang selepas sembahyang dan waktu malam membuktikan pengaruh tasauf di dalam amalan peribadatan umat Melayu Islam. [1]

Pengaruh Syiah semasa awal keIslaman Melayu kuno juga dapat diambil perhatian dalam penyebaran Islam di alam Melayu. Hal ini didorong dengan bukti bahawa unsur-unsur mistik Islam di alam Melayu dahulu lebih mirip kepada amalan Syiah berbanding Sunni. Ajaran seperti Nur Muhammad lebih dekat kepada amalan Syiah. Mahayuddin Haji Yahya misalnya mendakwa bahawa naskhah Melayu yang awal seperti Bahr Lahut merupakan ajaran pengarangnya terhadap doktrin Nur Muhammad; doktrin yang dibawa oleh masyarakat Syiah dari Tanah Arab[2]. Oleh sebab itu, terdapat kemungkinan pengIslaman awal masyarakat Melayu di kepulauan Melayu disaluti dengan ajaran tasauf Syiah. Selepas dari itu, barulah beransur-ansur aliran ahlus sunnah wal jamaah hadir sehingga menenggelamkan ajaran Syiah.

Itu fenomena yang berlaku di Alam Melayu secara umum. Dan fenomena ini juga yang perlu dikaji bagi memahami bagaimanakah Islam tersebar di Tanah Melayu (Semenanjung Malaysia) dan Sabah dan Sarawak. Gerakan-gerakan ajaran yang dikataka terpesong atau ajaran sesat yang menyimpang daripada Islam di Malaysia mungkin memerlukan kajian terhadap sejarah kedatangan Islam ke Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak itu sendiri dikaji.

Bagaimanakah ajaran sesat itu boleh berlaku? Apakah terdapat kaitan antara ajaran sesat itu dengan unsur-unsur tasauf yang telah di ajar pada zaman silam? Mengapakah terdapat cakap-cakap kononnya ajaran Syiah sedang mula hendak disebarkan dalam masyarakat Islam Malaysia? Sejauh manakah Syiah itu terpesong dari ajaran Islam tulen? Persoalan-persoalan sebegini menuntut kita kembali meneliti semula bagaimanakah Islam itu tiba ke Malaysia dan bagaimanakah orang Melayu beradaptasi dengan ajaran Islam setelah menganut kepercayaan animisme dan Hindu Buddha pada masa awal kedatangan Islam.

Moga-moga kita diberi peluang dan ruang untuk mengkajinya [3].

__________________________

Nota hujung

1 Ahmad Jelani Halimi, Sejarah dan Tamadun Bangsa Melayu, Utusan Publications & Distributors, 2008

2Islam di Alam Melayu, Dewan Bahasa dan Pustaka, 2001. Dalam buku ini, pengarang berhujah bahawa karya Melayu paling tua adalah Bahr Lahut karangan Abdullah Arif. Naskhah ini dipercayai ditulis pada abad ke-12. Pengarangnya begitu mendorong kajian yang lebih ekstensif dilakukan bagi memperbaharui rekod Syed Muhammad Naquib Al-Attas.

3 Bagi cuba untuk memenuhi keperluan ini, beberapa buah buku tentang sejarah dan ketamadunan Melayu akan cuba ditelaah. Salah satu karya yang mendapat perhatian ahli akademik masa kini adalah Sejarah Umat Islam karangan Almarhum Prof. Dr. Hamka. Buya Hamka adalah seorang ulama yang tidak asing lagi. Walaupun pembabitan beliau di dalam bidang keagamaan terutamanya Tasauf, Tafsir dan Kesusasteraan Islam sering dirujuk, namun, jasa beliau dalam bidang penulisan sejarah tidak boleh dipandang sepi. Karya Islam di Alam Melayu oleh Mahayudin Haji Yahya dan Sejarah dan Tamadun Bangsa Melayu oleh Ahmad Jelani Halimi juga akan dirujuk. Bagi melihat bagaimana pihak orientalis melihat sikap dan perangai orang Melayu dari persepsi kolonial, tidak boleh tidak karya seminal The Myth of the Lazy Natives oleh Almarhum Prof Dr Syed Hussein Alatas perlu dibaca dan dibincangkan. Hal ini bagi membolehkan sinergi dilakukan antara Islam dan Melayu dari awal penyebaran Islam hingga abad ke-20.