Wednesday, October 29, 2008

Halal : Antara Cap dan KeTuhanan

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Penulis pernah membangkitkan persoalan yang sama dalam sebuah forum Internet beberapa tahun lepas. Tetapi, penulis tidak mendapat respon dan rasanya, forum itu pun sudah tidak wujud lagi. Mungkin disebabkan gaya penyampaian penulis adalah berbentuk tulisan dan bukannya lukisan dan gambar; orang malas nak baca kot? Tetapi penulis rasakan penulis perlu juga menulis perkara ini atas rasa tanggungjawab dan ingin benar mengetahui apakah pandangan mereka-mereka yang mempunyai sedikit sebanyak pengetahuan mengenai isu halal di Malaysia.

Latar belakang pemasaran

Pemasaran merupakan salah satu kunci kepada kejayaan sesebuah perniagaan. Salah satu jargon dalam pemasaran adalah perlu mengambil kira 4P, Price, Product, Place dan Promotion. Kalau kita mengambil kira kesemua P ini, kita pastilah akan kaitkan juga dengan satu lagi P iaitu People. People adalah unsur penting dalam penentuan keempat-empat P dan lebih penting lagi apabila kita kaitkan dengan kesetiaan dan kepuasaan pelanggan terhadap produk dan perkhidmatan yang disediakan.

Oleh yang demikian, dalam memasarkan sesuatu produk ataupun perkhidmatan, faktor persekitaran makro dan persekitaran mikro perlu diambil kira bagi menjamin produk yang hendak dipasarkan itu sampai kepada sasaran yang diinginkan. Salah satu faktor dalam persekitaran adalah faktor demografi, faktor yang cukup signifikan dalam negara berbilang kaum seperti Malaysia. Betapa pentingnya faktor demografi ini boleh dilihat dengan situasi di Malaysia yang penulis istilahkan sebagai Halal Conscious – masyarakat yang mempunyai kesedaran halal.

Kesedaran Halal (Halal Conscious)

Kesedaran halal ini sebenarnya sudah lama bertapak di Malaysia. Namun, disebabkan pada zaman 80 dan 90-an, capaian orang terhadap pengetahuan halal hanya terhad di madrasah-madrasah, atau sekolah-sekolah agama, atau surau-surau atau masjid-masjid sahaja; hanya mereka-mereka yang pergi ke tempat-tempat sebegitu sahaja yang lebih peka terhadap isu halal. Mereka-mereka ini biasanya adalah golongan yang sudah berumur atau mereka-mereka yang mempunyai latar belakang pendidikan Islam.

Situasi kini berbeza dengan ledakan teknologi komunikasi dan maklumat (ICT) mengambil tempat dalam penyampaian maklumat. Ditambah pula dengan peningkatan peranan media massa yang begitu ketara menyebabkan kesedaran halal begitu meningkat dikalangan muslim. Pelbagai infomasi dapat dicapai dengan mengklik tetikus atau menyentuh skrin sahaja. Mereka dahulu yang mungkin menjadi ignorant mengenai hal-hal agama kini lebih mudah menerima pelajaran agama dengan kewujudan laman web, forum, dan saluran-saluran televisyen yang lebih “Islamik”

Malah, terdapat juga kecenderungan di kalangan orang melayu dan muslim untuk menjadikan diri lebih Islamik andai hendak dibandingkan dengan keadaan dahulu. Hal ini boleh dilihat melalui produk-produk biasa yang telah diIslamkan bagi menarik minat pasaran muslim. Sebagai contoh, produk selipar jepun yang lebih Islamik adalah “capal nabi”; ubat gigi telah ditambah “ekstrak kayu sugi”; kismis yang lebih mujarab adalah “kismis doa” dan sebagainya. Dan satu perkara yang lebih penting yang sangat dititikberatkan iaitu produk makanan atau yang lain-lain kalau boleh mesti ada “cap halal”

Halal, babi dan cop Jakim.

Agak malang sekali apabila kesedaran halal yang ada kini lebih terbatas kepada sama ada sesuatu itu ada cap halal atau tidak dan sesuatu itu ada campuran babi atau tidak. Sehingga kini, produk yang mengandungi gelatin dilabel sebagai tidak halal kerana dakwaan bahawa gelatin diambil daripada unsur babi. Hal ini menyebabkan syarikat-syarikat terutamanya pengeluar produk farmaseutikal terpaksa menerangkan bahawa produk gelatin yang mereka gunakan adalah berasaskan bovine (lembu) dan bukannya babi.

Kini, untuk semua barang seeloknya ada cap halal. Hatta ubat gigi pun hendak dicapkan cap halal logo Jakim. Persoalan yang ingin penulis bangkitkan adalah adakah halal itu dilihat daripada dua aspek itu sahaja? Ada cop halal dan tiada unsur babi! Halal sebenarnya merangkumi satu paradigma universal daripada sumber yang betul dan cara mendapatkan sumber itu yang betul. Oleh yang demikian, halal sebenarnya ada konotasi kerohanian yang perlu dipenuhi kerana akhirnya, apa yang kita gunakan dan kita makan itu akan menjadi sebahagian daripada diri kita. Kalau hendak mendapatkan beras yang ada logo halal tetapi cara kita dapatkannya adalah melalui mencuri, adakah halal beras itu dimakan? (pasti ada hujah-hujah yang boleh sahabat-sahabat utarakan)

Halal Jakim vs HDC

Bagi mencapai hasrat menjadikan Malaysia sebagai “hub halal” kerajaan Malaysia telah mewujudkan Perbadanan Kemajuan Halal atau lebih dikenali sebagai HDC. Kononnya perbadanan ini adalah perbadanan yang bakal menerajui industri halal dan akhirnya menjadi peneraju bidang halal.

Namun, sebagaimana Malaysia ketinggalan dalam menjadikan Jatropa (pokok jarak) sebagai pengganti produk biofuel, Malaysia sekali lagi ketinggalan dalam hal hub halal dek kerana negara lain kini lebih “walk their talk” berbanding Malaysia yang lebih “talk their talk”. Khabarnya, Hong Kong sudah pun bergerak ke arah menjadi peneraju hub halal sedangkan Malaysia baru sahaja hendak merangka semula perbadanan halal yang didambakan. Infomasi yang penulis dapat daripada peserta Forum Halal Sedunia ialah betapa HDC baru sahaja dalam peringkat penstrukturan sedangkan negara lain sedang berlumba-lumba menguasai pasaran halal.


Sebagaimana pelbagai isu, penulis skeptik juga dalam isu pengesahan halal. Kalau dahulu, Jakim adalah pengeluar logo halal rasmi negara ini namun dengan kewujudan HDC, “keistimewaan” atau privilege itu menjadi milik HDC Bagaimanakah pengesahan halal dibuat oleh sebuah syarikat/perbadanan dan bukannya badan seliaan terus kerajaan seperti Jakim? Mungkin HDC akan dipanggil syarikat milik kerajaan (GOC) namun penulis tidak dapat menerima idea bahawa logo halal yang dicari-cari semua orang itu akan dikeluarkan oleh sebuah syarikat yang pastinya, salah satu sebab kewujudannya adalah bagi mengaut keuntungan. Mungkin mereka yang berkenaan boleh memberi komen mengenai persoalan yang penulis utarakan ini.

Penutup : Halal vs Pemasaran

Kesedaran tentang Islam dan cuba mengIslamikkan barang telah lama berlaku dalam masyarakat Melayu Malaysia. Dahulu, produk jenama Zaitun telah berjaya memecah pasaran Colgate-Palmolive dalam produk kosmetik dan penjagaan badan sehingga syarikat besar itu terpaksa membeli syarikat Zaitun bagi mengurangkan pecahan pembelian dan mendapatkan semula pasaran. Begitulah signifikannya pasaran barang-barang berunsur “melayu Islam”

Kini, hampir kesemua syarikat kosmetik dan penjagaan badan mempunyai nic “pengguna muslim”atau ada logo halal dalam barisan produk mereka. Sebab itulah wujudnya produk ubat gigi yang lebih “mukmin”, jenama-jenama yang terserlah lebih melayu dan Islam berbanding jenama konvensional. Iklan syampu pun telah berubah; kalau dulu menggunakan wanita berjurai-jurai rambutnya kini sudah dikomplemenkan dengan iklan wanita bertudung. Hal ini cukup membuktikan bahawa kesedaran Islam di Malaysia begitu terserlah pada zaman kini.

Begitu halnya dengan produk halal. Kesedarannya begitu membuak-buak dan menyebabkan idea mewujudkan hub halal. Pasaran halal nampaknya begitu terjamin (promising) sehinggakan banyak pelabur tidak mahu ketinggalan untuk turut serta dalam perlumbaan ini. Namun, sejauh manakah kita memahami tuntutan halal yang termaktub dalam kitab suci Al-Quran? Lebih menimbulkan persoalan, apakah justifikasi keadaan ini kelak, apabila pengeluar-pengeluar produk menggunakan “halal” sebagai satu senjata pasaran bagi menjatuhkan syarikat-syarikat saingannya?

Sebagai contoh kalau satu syarikat pengeluar makanan jenama A yang ada cop dan logo halal difitnah dalam internet atau akhbar tabloid bahawa mereka mencampurkan unsur babi dalam produk makanan mereka; bukankah itu menjadi satu kelebihan (advantage) kepada syarikat pesaing jenama A? Peperangan ini akan sentiasa berterusan sehinggakan masyarakat akan keliru yang mana satu lebih halal daripada yang lain! Adakah pasaran pengguna yang ada kesedaran halal membenarkan syarikat berlumba-lumba bersaing cara kotor untuk mendapatkan nic pasaran halal?


Apa yang lebih menyedihkan adalah sedang rakyat melayu Malaysia yang memang sudah mempunyai kesedaran Islam dan kesedaran halal dok bergaduh sesama sendiri tentang produk mana yang lebih Islam dan lebih halal; negara lain seperti di Singapura, Thailand dan Hong Kong terus memacu ke hadapan mengaut keuntungan hasil daripada peluang pasaran yang diwujudkan bagi memenuhi pasaran dan hub halal. Mereka sedang asyik meneroka pasaran halal di China dan Timur Tengah (sekarang ini, serban yang dijual di kota suci Makkah pun “Made in China”) sementara kita masih bertelagah tentang cara produk mana tidak dicampurkan dengan unsur babi. Ke manakah kita?

Wassalam

P/S: Penulis sangat-sangat mengharapkan komen pembaca yang boleh dibuat di laman blog penulis, http://lappanblablabla.blogspot.com. Pembaca boleh mencari entri untuk tajuk ini.

Monday, October 27, 2008

Apabila kepala dah tepu...

Jarang sebenarnya penulis sampai ke tahap tepu. Mungkin minggu ini mungkin mengalami keletihan (fatigue) kepala otak yang amat sangat. Lagipun, penulis juga menumpukan kepada mengulas dan memfowardkan emel yang telah dihantar kepada penulis.

Ada beberapa emel yang berorientasikan tazkirah sempat penulis baca; namun sebelum penulis memfowardkannya, penulis pasti akan mengulas sedikit sebanyak beberapa perkara di dalam emel tersebut yang penulis kira sangat penting. Blog ikutan penulis, kadirjasin telahpun mengepos beberapa entri baru yang mana penulis tak terulas; mungkin dek banyak sangat isu semasa yang berlegar di kepala penulis; atau sebenarnya penulis telah mencapai tahap blur.

Selain daripada itu, melangsaikan tanggungjawab sebagai seorang pelajar juga menjadi kekangan untuk mengulas kerana dek menyiapkan laporan dan menyediakan presentation. Oleh yang demikian, entri kali ini adalah sekadar menulis tentang diri sendiri tanpa mengulas sebarang isu semasa. Sekadar berkongsi pengalaman penulis yang tak seberapa; menjadi pelajar semula setelah menanam anggur hampir setahun. Anggur masak pun masam!

Betuah juga jadi pelajar; walaupun tidak banyak pengalaman industri namun peluang untuk menuntut ilmu dan pengetahuan lebih daripada biasa dapat dicapai. Al-maklumlah, alam universiti banyak menganjurkan seminar, ceramah dan bengkel yang sedikit sebanyak agak sukar untuk diperoleh secara percuma. Namun, ceramah, atau bengkel atau seminar bukannya semata-mata jenis ceramah atau bengkel atau seminar cara industri; (macam seminar meningkatkan soft skill, atau sebagaimana yang dianjurkan oleh INTAN dan sebagainya). Sebaliknya seminar yang dianjurkan ada juga menyentuh isu semasa; sesuatu yang cukup-cukup meningkatkan rembesan adrenalin penulis yang sekaligus merangsang keinginan untuk menurutinya.

Seminar pertama yang penulis ikuti sebelum bulan Ramadhan dahulu iaitu “Do Malaysian Differ in Thinking about Politics.” Seminar yang bagus namun diadakan di bilik yang sangat kecil. Penyampai membahaskan beberapa ketegori yang dikaji seperti gender, kawasan, etnik, generasi dan sebagainya dalam mendapatkan data tentang pandangan mereka terhadap politik. Sayangnya, kajian ini dibuat sebelum pilihanraya (iaitu dibuat pada tahun 2007) 8 Mac 2008, sebelum tunjuk perasaan di Terengganu dan sebelum Hindraf secara rasmi ditubuhkan; menyebabkan limitasi kajian terhadap adalah pada sela masa sebelum demam pilihanraya. Antara dapatan “pelik” kajian ini adalah betapa generasi muda lebih konservatif berbanding generasi yang lebih tua, orang yang lebih berharta lebih mudah “mengorbankan” demokrasi berbanding yang kurang berharta, rakyat Malaysia kurang gemar berorganisasi dan betapa rakyat Malaysia percaya kepada sistem kehakiman negara.

Kemudian, penulis mengikuti pula satu ceramah tentang topik yang lebih islamik iaitu Cendekiawan Islam: Realiti atau Fantasi. Ceramah disampaikan oleh Prof. Dato’ Mohd Yusuf Othman; seorang ilmuan dalam bidang fizik yang begitu passionate untuk mengkaji Sains Islam dan ilmu-ilmu yang berunsurkan Islam. Penulis mengenali nama beliau semenjak beliau belum lagi mendapat gelaran Dato’ dan selalu muncul di kaca televisyen untuk program Al-Kuliyyah, TV3. Panjang lebar mengenai tajuk ini mungkin akan penulis ulas kelak.

Seminar lain yang signifikan kepada penulis adalah mengenai standard MS 1900 iaitu pengurusan kualiti secara Islam dan pensijilan halal. Banyak juga persoalan yang timbul dek isu-isu ini namun tidak dapat pula jawapannya kerana dek kesuntukan masa.Namun, terbuka juga satu dimensi baru mengenai pengurusan menurut Islam dan sememangnya menyebabkan penulis berkeinginan untuk menyelami lebih mendalam hal-hal berkaitan dengan standard baru ini (siap dibangunkan pada 2004). Apa yang menarik mengenai standard ini ialah andai ada organisasi yang ingin mendapat pensijilan MS 1900 ini, mereka secara automatik akan mendapat pensijilan MS ISO 9000:2000; satu strategi serampang dua mata untuk sesebuah organisasi. Panjang lebar, ada masa, nanti cerita.

Kemudian, baru-baru ini, dengan kehangatan pemilihan parti (terutamanya komponen BN) dan kesibukkan beberapa pihak mempertikaikan asal usul kaum-kaum di Malaysia, penulis menghadiri satu forum yang dipenelkan oleh YABhg. Tun Dr. Mahathir Mohamad, YBhg Prof Emeritus Tan Sri Dr. Khoo Kay Kim dan YBhg Prof Dato’ Dr Shamsul Amri; tiga orang tokoh yang tidak perlu diperkenalkan lagi. Punyalah terkedunya penulis dek kerana tidak dapat bersama-sama di dalam dewan forum dek disebabkan dewan itu penuh. Nak balik, tak berbaloi, nak mengamuk, nanti esok keluar berita muka pertama “Incredible Hulk mana pulak yang mengamuk tengah malam-malam buta!” Sudahnya, terpaksa menghadap skrin besar di luar dewan bagi menonton forum tersebut. Forum tersebut bertemakan perpaduan dan penulis kira sangat penting sekali hujahan-hujahan yang disampaikan oleh panelis-panelis terhadap isu-isu yang dibangkitkan. Cerita panjang, nanti-nanti.

Begitulah kehidupan sebagai seorang pelajar. Setelah dok belajar bertahun-tahun, sambung belajar lagi setahun; silap-silap terus sambung lagi bertahun-tahun. Kalau boleh nak jadi Emeritus, simpan juga angan-angan moga berjaya. Kalau nak dapat DSc., lagilah panjang ceritanya, entahkan dapat entahkan tidak. Nak buat Ph.D pun belum tentu lepas. Agaknyalah penulis memang disektorkan dalam bidang pembelajaran; bukannya pengajaran. Banyak yang penulis belajar daripada mengajar. Bak kata “abang utara”, salah seorang senior penulis semasa di UM, “sebenarnya baca saja pun boleh dapat duit. Siapa tak nak, baca pun boleh dapat duit.” (apalah cerita abang utara. Last time jumpa di BioJohor 2007 di Persada Johor.) Lepas itu, muntahkan apa yang dibaca/diketahui kepada kawan-kawan. Sudahnya, kawan-kawan cuma melongo sebab tak tahu apa yang penulis katakan. Sudah sampai tahap falsafah kot. Atau memang kita sahaja yang syok sendiri cerita...

Mungkin sebahagian daripada kehidupan penulis terbentuk sejak kecil lagi dengan pergaulan penulis yang lebih mudah lekat dengan cerita isu semasa. (Dalam menyentuh hal ini, kita boleh bincangkan teori-teori Behaviorism dan Psychoanalysis dengan lebih mendalam pada masa akan datang). Tatkala budak lain tengah bercerita mengenai cinta monyet mereka, penulis cenderung bercerita tentang parti dacing lawan bulan masa darjah 5. Mujur ada seorang kawan penulis yang ada mempunyai minat yang sama untuk bercerita mengenai politik masa kecil dulu. Politik, kerajaan imaginasi dan isu semasa adalah rencah kami tatkala sekolah kebangsaan. Sekarang, kawan penulis tersebut sedang menapak untuk menjadi usahawan sementara penulis meneruskan usaha untuk jadi belajarwan. Moga semua berjaya mencapai “wan” yang kita idamkan.

Andai ditanya siapakah sebenar-benarnya yang ingin penulis jadi? Arah manakah penulis ingin tumpukan dalam kehidupan penulis. Jawapannya; penulis ingin menjadi seorang polymath yang dapat menyumbangkan sesuatu kepada masyarakat. Mungkin kita ada sasaran dalam hidup kita. Mungkin kita ada cita-cita besar yang ingin kita capai. Ada yang hendak bergaji besar, beli rumah, memandu BMW 5 series, atau Nissan Skyline, dan mungkin juga pada umur yang penulis, ada yang hendak atau telah mendirikan rumah tangga; sudah fikirkan tentang life. Namun, bukanlah penulis tidak fikirkan semua itu. Tetapi... Hmm kompleks juga nak bagi alasan. Senang cerita, penulis nak buka syarikat dapat tersenarai di Bursa Saham lepas itu jadikan syarikat itu daripada sebuah Holding kepada Corporation dan yang terakhir, jadi Group. Macam IOI dengan CIMB... (Beso juga cita-cita ! Macam alam maya je..) Paling cikai, kalau dapat jadi BoD or NXD pun jadilah... Ye Tak ?

Begitulah bebelan penulis; apabila kepala menjadi tepu........
Wassalam

Monday, October 20, 2008

Siapa yang lebih layak ?

Assalamualaikum dan Selamat sejahtera

Kalau nak jadi doktor, kenalah ada ijazah kedoktoran, belajar lima enam tahun, jadi pelatih, kerja hospital kerajaan, lepas itu baru boleh buka klinik atau kerja hospital swasta (bagi yang money oriented)

Tetapi, trend sekarang ini, semua orang boleh belagak doktor... Tukang jual ubat tepi jalan atau di pasar malam atau di pasar jumaat (pasar dalam tempoh waktu jumaat dekat dengan masjid; pukul 1230 sampai pukul 3 petang)kadang-kadang cakap "lebih doktor dari doktor." Semua penyakit boleh ubat. Kecuali MATI. (Betul lah..)

Orang kalau sudah pandai bercakap, perkara tak logik pun boleh dengar macam logik. Sebab anugerah pandai bercakap ini tidak ramai yang dapat. Kalau pandai bercakap, selepas itu pandai berpolitik, lagilah satu bonos. Itulah kadang-kadang orang sebegini dipandang maksum, macam tak pernah buat salah... sebab pandai bercakap.

Biasa juga terdengar cliche bahawa "pemimpin dulu takut hendak jadi pemimpin... tetapi sekarang, berebut-rebut hendak rebut jawatan. Itu dulu. Kata S.M Salim, dulu lain, sekarang lain. Memetik kata-kata Shamsul Amri, dulu orang lelaki pakai kain pelekat, sekarang semua sudah pakai seluar...lain zaman lainlah caranya.

Kata-kata orang tua seharusnya jadi pedoman. Mesti ada hikmah pesan orang tua. Tetapi pesan bukannya hukum. Sebab yang ada autoriti keluar hukum bukan sebarang orang. Kalau yang tua sudah bagi nasihat, timbang-timbangkanlah... Biasalah perangai orang-orang tua. Memang keras kepala sedikit sebab mereka sudah dahulu "makan garam." Itu yang memanjang kena darah tinggi dan sakit jantung...

Sebaliknya yang tua, kadang kala kena tahu sebab apa sudah tua. Umur semakin lanjut. Ibadah kena tambah, almaklumlah, tidak siapa yang tahu nasib kita. Bukan bermakna yang muda ini tidak boleh mati cepat; tapi Tuhan sudah beri nikmat umur panjang, gunakanlah sepenuhnya. Yang tua kena sedar, tidak semua cakap orang tua; orang muda akan dengar. Maklumlah, sudah tua...

Siapa yang lebih layak dan siapa jadi pengarah, itu tidak jadi hal kalau bersatu. Tetapi kalau parti macam kucing jantan berebut betina, baik difikirkan dahulu siapa undi siapa. Siapa tikam siapa. Kalau nak buat perubahan betul, pilihlah jawatan yang betul. Pilih nombor dua nak belagak nombor satu... takut karang tak sampai hajat. Siapa tekan siapa?

Kata orang putih, "two heads are better then one" Tapi orang putih tak tau kalau manusia berkepala dua, tak dipanggil manusia (human being) tetapi dipanggil makhluk asing (aliens)- Kembar-kembar tak masuk, sebab kembar hakikatnya dua; bukan satu. OK ?

Sama-sama kita renungkan. Serahkan sahaja pada yang pakar/layak/sepatutnya.

Sekian, wassalam