Tuesday, September 30, 2008

Raya Dahulu Raya Sekarang

Assalamualaikum semua dan Salam Aidil Fitri

Alhamdulillah, kita dapat jua menyambut Aidil Fitri - kembali kepada fitrah. Daripada berpuasa kepada tak berpuasa (bukan bermakna sehari lepas Aidil Fitri tak boleh puasa !)

Daripada hati yang penuh tompok kepada hati yang bersih dan daripada keadaan yang kurang takwa kepada keadaan yang lebih bertakwa (mudah-mudahan). Sebab itulah kita memberi ucapkan Minal A'idin wal Faizin iaitu "kepada mereka-mereka yang kembali (kepada fitrah) dan kepada mereka-mereka yang berjaya"

Moga-moga kita tergolong dalam golongan-golongan tersebut...

Kalau hendak kita bandingkan raya dahulu dan sekarang, pastilah perbezaannya ketara... Dahulu orang bakar lemang, sekarang orang banyak yang beli lemang. Dahulu orang melawat saudara mara dan jiran tetangga, sekarang orang terpacak di hadapan televisyen tonton filem mahupun telemovie (atau rancangan raya bersama artis...)

Dahulu lagu-lagu raya sangat senang nak dihafal sebab senikatanya mudah-mudah (sebab itu lagu raya dahulu masih bermandiri sehingga sekarang) tetapi sekarang lagu raya dah macam puisi sastera yang satupun tak boleh dihafal (pasal ayat berbunga-bunga dan canggih sangat)

Dahulu kuih baulu, kerepek pisang, kerepek bawang, tempeyek, batang burok. Sekarang Almond london pun orang tak pandang. Ha, lagi satu dulu kuih dibuat, sekarang kuih tunjuk!

Penulis sempat juga merasa kedua-dua zaman walaupun tak pernah merasa zaman klasik tulen; tapi pernah juga merasa bakar lemang, kacau dodol kacau serunding...(aktiviti sebegini sebenarnya masih wujud lagi pada masa kini)

Pada penulis, apa yang lebih penting ialah kita hargai peluang yang kita ada. Keamanan yang kita kecapi semasa kita beraya, kesenangan yang kita rasai semasa kita raikan bersama keluarga (walaupun kos sara hidup meningkat). Jadi, besarlah harapan penulis sebagai generasi baru ini untuk sama-sama berjuang bagi mengekalkan keamanan dan kesejahteraan sedia ada.

Selamat Hari Raya Aidil Fitri kepada mereka-mereka yang kembali (kepada fitrah) dan kepada mereka-mereka yang berjaya...

Wassalam

Monday, September 29, 2008

Kelam semakin kabut

Sebagaimana yang telah penulis jelaskan sebelum ini, walau apapun keputusan MT pada "mesyuarat khas" lalu, hal ini tidak akan mendatangkan kesan signifikan andainya UMNO dan BN tidak benar-benar berubah. Penangguhan Mesyuarat Agung sebenarnya memperlihat betapa keadaan yang kelam kabut semakin kelam kabut.

Mungkin Pak Lah masih menaruh harapan untuk mengekalkan jawatan Presiden (walaupun terdapat info-info mengatakan bahawa pencalonan presiden langsung tidak memihak kepada beliau). Atau mungkin terdapat "sebab-sebab" yang hanya Pak Lah dan Najib (dan mungkin MT)sahaja yang tahu. Apa yang pasti, penangguhan sebenarnya menambahkan lagi "ketaktentuan" politik tanah air dan bukan satu gejala yang sihat.Pak Lah dilihat sebagai mencetuskan teka-teki sama ada mempertahan atau melepaskan jawatan. Penulis kira jawapannya sebenarnya jelas....

Walau apapun, penulis masih menaruh harapan agar ketaktentuan ini dapat diselesaikan dengan baik agar tidak memberikan dampak yang lebih buruk kepada ekonomi, kewangan dan kehidupan masyarakat Malaysia. Sepatutnya, pemimpin-pemimpin Malaysia (tak kira pencadang atau pembangkang) tidak menambahterukkan situasi semasa dengan pengumuman pelik-pelik lebih-lebih lagi tatkala kebanyakkan rakyat sedang dalam mood untuk beraya....Selamat Hari Raya Aidil Fitri dan maaf zahir dan batin kepada pembahas-pembahas semua.

Wassalam.

Friday, September 26, 2008

Perubahan mesti diteruskan

Assalamualaikum dan salam sejahtera

Terdapat pelbagai ura-ura mengenai "mesyuarat MT" yang dilangsungkan. Bagaimanapun, tanpa mengira apa pun yang berlaku, penulis kira perubahan yang benar-benar tulen perlu dilakukan bagi menjamin kelangsungan UMNO dan BN.

Hari ini, yang dipanggil "pembangkang" sudah menjadi "kerajaan" di beberapa buah negeri. Kontra dengan kepercayaan umum, penulis lebih melihat bahawa pembangkang di Malaysia sudah semakin hari semakin kuat (dan bukan semata-mata BN semakin hari semakin lemah). Hal ini disebabkan keputusan yang cuba dibuat oleh pembangkang adalah keputusan yang popular di mata rakyat.

Ditambah pula dengan x-faktor pakatan rakyat (baca : Anwar Ibrahim) yang sentiasa berjaya menunjukkan imej bahawa beliau dianiaya, ada pihak yang cuba nak bunuh beliau ada pihak yang berkonspirasi memusnahkan masa depan politik beliau; beliau adalah PM menunggu, beliau gunakan dan mengksploitasi setiap sudut kelebihan yang telah Tuhan berikan kepadanya bagi meraih sokongan; maka tidak mustahil BN akan tumbang tidak lama lagi.

Peluang mentadbir beberapa negeri adalah peluang keemasan yang perlu diperguna untuk meyakinkan rakyat bahawa agenda perjuangan mereka benar-benar ke arah pembaharuan (walaupun tak banyak benda yang barupun setakat yang penulis alami...) Tambahan pula dengan mengaplikasikan ilmu psikologi dan teori motivasi, kemenangan moral sudahpun menjadi milik mereka apabila mereka menamakan kumpulan mereka atas nama rakyat (Pakatan Rakyat) walaupun perjuangan mereka tak semestinya untuk rakyat (kalau nak dibandingkan dengan Barisan Nasional yang bergambar dacing seimbang tapi pada realitinya dacing senget sebelah!)

Tindakan pihak kerajaan yang nampak begitu "kasar" terhadap mereka (seperti ISA, membicarakan kes Anwar) menambat lagi hati rakyat atas perjuangan Pakatan Rakyat walaupun tidak dinafikan bahawa tindak tanduk mereka ini ada kala sangat-sangat memualkan dan menjijikkan.

Paradoks yang berlaku adalah apabila apa sahaja "kesalahan" yang dilakukan oleh kerajaan BN sekarang akan diamplifikasikan sebagai kesalahan yang maha besar. Apa jua "kebaikan" yang dibuat oleh kerajaan BN sekarang akan diperkecil sebagai memberi "gula-gula" kepada rakyat.

Begitu halnya dengan pihak Pakatan Rakyat. Apa sahaja "tindakan kerajaan" terhadap mereka akan dilihat oleh rakyat sebagai penganiayaan. Dan apa sahaja hujahan yang boleh diterima dek akal akan didengar oleh rakyat sebagai "alternatif yang lebih baik untuk rakyat."

Oleh yang demikian, adalah sangat penting untuk UMNO dan BN memikirkan masalah rakyat; cuba memenangi semula hati rakyat dan mengurangkan politiking dalam diri mereka. Penulis kira, walaupun ada perubahan peringkat organisasi seperti peralihan kuasa, atau pemecatan, hal yang demikian tidak akan memberi kesan positif dan kebaikan jangka masa panjang andai paradigma UMNO tidak diubah.

Seharusnya, pak menteri-pak menteri tidak boleh mengeluarkan kata-kata yang bercanggah antara satu dengan yang lain kerana hal ini hanya menunjukkan kelemahan UMNO dan BN sahaja. Dan kelemahan inilah yang akan dieksploitasi sepenuhnya oleh pihak Anwar yang terkenal sebagai opportunis yang sentiasa menggunakan kelemahan orang sebagai "advantage" kepada diri sendiri. Sekian, wassalam.