Monday, October 13, 2008

Kenapa nak bypass-bypass ?


Assalamualaikum semua

Penulis kira pembahas-pembahas terdiri daripada pelbagai golongan umur, ada yang muda seperti penulis, ada yang dah berumur sedikit dan mungkin ada yang veteran. Ada yang mempunyai pengalaman sebelum dan semasa merdeka (kalau adalah...) dan ada juga yang mempunyai pengalaman 13 Mei dan ada yang tak ada pengalaman langsung (macam penulis...)

Tapi apabila kita semakin tua, jantung pun sudah tidak kuat, salur darah pun dah banyak tersumbat sini sana, itulah yang terkena atherosklerosis; pemendakan atheroma (seperti kolesterol atau darah beku) di salur darah (lihat gambar pertama). Sudahnya, seseorang itu boleh kena serangan jantung atau lebih pilu lagi boleh kena strok (angin ahmar).

Semua dek apa yang kita makan semasa muda; dibawa sampai ke tua. Jadi, sesiapa yang hendak melantak sakan di rumah terbuka, fikir-fikirkanlah pasal kesihatan kita; anda mampu mengubahnya!



Kalau sudah kena atherosklerosis, salah satu remedinya ialah bypass. Ideanya ialah kita buat saluran baru bagi menghubungkan saluran darah di kawasan yang tersumbat. Maknanya kalau saluran yang sudah tersumbat itu lurus, kita pencongkan aliran darah menggunakan saluran artifisial untuk peredaran darah yang lebih baik (Gambar kedua).

Tetapi, buat apa kita dok sibuk nak buat bypass kalau tak perlu? Kalau sudah tak tersumbat, buat apa nak bypass? Bukankah lebih baik jalan lurus (straight foward) sahaja ? Buat bypass ini, risikonya tinggi. Boleh mati kalau tak kena gaya. Jadi, kalau sudah memang tidak nampak sebarang masalah pada jantung, buat apa nak buat benda yang berisiko?

Begitulah anologi keahlian dalam BN... Fikir-fikirkanlah.

Wassalam

Sunday, October 12, 2008

Apabila Dato' melambak lambak


Malaysia adalah negara yang paling banyak monarknya iaitu sebanyak 9 orang. Negeri-negeri lain yang tiada monark mempunyai Yang Dipertua Negeri, sebanyak empat orang. Setiap monark dan Dipertua pula boleh menganugerahkan bintang kebesaran dan pingat bagi negeri masing-masing.. Di peringkat persekutuan, Yang DiPertuan Agong pun boleh menganugerakan pingat dan bintang kebesaran menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang begitu banyak bintang kebesaran dan pingat.

Malah, untuk kebanyakan bintang kebesaran ada gelaran tertentu pula. Walaupun dari segi kekananan, S.P (sebagaimana gambar) merupakan pingat tertinggi negara (tapi tak ada gelaran), S.M.N dan S.S.M yang memberikan gelaran Tun lebih tinggi pula statusnya dengan sapaan Yang Amat Berbahagia. Kalau dahulu, gelaran cuma Dato' dan diikuti pangkat (seperti Dato' Amar Diraja), gelaran Dato' sekarang sudah pelbagai dari Dato' Seri, Dato' Panglima, Dato' Seri Utama, Dato' Seri Diraja, Dato' Wira, Dato' Seri Panglima. Sedangkan kalau merujuk buku protokol terbitan DBP, pingat yang membawa gelaran Dato' yang paling kanan ialah S.P.M.J yang yang membawa gelaran Dato'. Titik. Tak ada tambahan “Seri” ke “Diraja” ke, “Panglima” ke...

Setelah daripada itu, timbul pula isu tentang penerima anugerah Dato’. Ada negeri yang banyak sekali penerima Dato’ sehingga mencecah ratus pada satu-satu masa. Ada negeri pula yang tidak ada langsung penerima Dato’. Isu layakkah penerima Dato’ menerima Dato’ juga dibangkitkan apabila ada ahli sukan yang telahpun menerima Dato’ pada usia 20-an sedangkan ada ahli akademik yang memanjang dengan gelaran Dr. (bukan professor) sahajapun sukar sekali menerima Dato’. Situasi terkini, pelakon hindustan pun diberi anugerah Dato’. Begitulah penganugerahan Dato’ di Malaysia.

Soalnya, perlukah anugerah yang begitu berprestij seperti Dato’ ini diberikan dengan banyakknya kepada orang ramai? Penulis kira, kalau kita anologikan gelaran Dato’ ini dengan sistem di British, Dato’ boleh kita samakan dengan gelaran Sir. Namun, kalau dilihat sistem di British, seseorang yang menerima bintang yang membawa gelaran Sir (seperti K.B.E) pun tidak boleh menggunakan gelaran Sir andai beliau bukannya seorang rakyat British. Atau mungkin Malaysia tidak mengikuti cara British dalam penganugerahan bintang berprestij sebab Malaysia ada sistem sendiri dalam pemberian gelaran.

Penulis harap kerajaan persekutuan dan setiap kerajaan negeri mengkaji benar-benar gelaran Dato’ untuk individu. Penulis bukannya tidak menyokong penganugerahan bintang dan pingat ini tetapi biarlah prestijnya dijaga. Biarlah orang yang menerimanya benar-benar layak menerima dan menjadi contoh kepada masyarakat. Penulis akur bahawa hak memberi gelaran Dato’ terletak kepada pemerintah, tetapi sudah tiba masanya gelaran berprestij ini diprestijkan semula agar orang awam benar-benar menghayati kewujudan Dato’ sebagai role model masyarakat.

Dato’ adalah simbol betapa tingginya status dan menjadi inspirasi kepada masyarakat. Dato’ seharusnya dijadikan sebagai satu gelaran yang benar-benar mencapai maksud penganugerahan, dan bukan semata-mata jasa sahaja. Pemilihan calon seharusnya meliputi peribadi, bidang yang diceburi dan jangkamasanya, CSR yang dilaksanakan, dampak positif yang diberikan kepada masyarakat, juga disebabkan pandangan tinggi masyarakat terhadap penerima gelaran. Bukannya Dato’ yang baru berjasa pada satu perkara sudah dapat gelaran atau Dato’ yang melambak-lambak dan buat terbelit lidah hendak membaca pangkatnya.

Mohon ampun kalau terkasar bahasa, wassalam.

Friday, October 10, 2008

Kenapa bukan presiden?


Assalamualaikum semua pembahas,

Suasana pemilihan parti kini sedang rancak. Penulis maksudkan bukan sekadar UMNO, tetapi terdapat juga parti-parti lain yang juga mengadakan pemilihan.

Cuma dari sudut liputan, pastilah UMNO yang paling banyak mendapat perhatian dek kerana parti ini merupakan parti dominan dalam BN malah paling dominan kalau nak dibanding dengan parti-parti lain (termasuk daripada Pakatan)

Mungkin ada juga pertandingan peringkat Presiden dengan Ku Li mencadangkan bahawa kalau beliau menang, kerajaan campuran akan dibentuk. Paling nampak perlumbaan untuk dikejar ialah jawatan timbalan presiden; jadi rebutan orang-orang besar UMNO.

Tapi penulis hairan lagi pelik, kalau "betul" nak buat perubahan besar-besaran, mengapa tidak tanding terus jawatan Presiden? Lebih menghairankan, yang menawarkan tanding untuk jawatan timbalan presiden pula jauh lebih berumur berbanding Najib sendiri. Patutnya terus sahajalah bertanding presiden!

Itulah kesukaran politik. Antara legesi, maruah, ego, kemahuan, kehendak dan lain-lain atribut-atribut lain yang boleh dikaitkan menjadi pertaruhan. Tetapi, jauh di dasar hati penulis, penulis tetap yakin bahawa kalau ada pertandingan peringkat Presiden, mungkin huru hara juga pemilihan UMNO kali ini...

Atas nama perubahan, lakukanlah perubahan yang sebenar-benarnya. Penulis yakin andai perubahan yang dicanang-canang itu benar-benar dibuat, Insya Allah sesebuah parti itu mendapat sokongan semula...

Wassalam